Jumaat, 12 Jun 2020

Politik Angka

TERJAMINKAH UNDI TIDAK PERCAYA

Sekiranya kerajaan Perikatan Nasional yang baru berusia 3 bulan tumbang dalam tempoh terdekat, ianya memberikan sekurang-kurangkan dua catatan sejarah tanah air. Pertama, usia kerajaan paling pendek, kedua menolak pendapat bahawa negara ini menolak rombakan jaminan kontrak sosial persetujuan bersama orang Melayu dan bukan Melayu menuju kemerdekaan 1957.  Selama 60 tahun, pemerintahan negara bertunjang kepada mempertahankan status quo berasaskan jaminan pemuafakatan kemerdekaan berteraskan kedudukan dan peranan institusi Raja-raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan Peribumi. 

Dalam tempoh 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan tempoh hari, beberapa kenyataan dan tindak-tanduk kepimpinan PH lebih terarah menyerapi usaha mempersoalkan beberapa perkara berkaitan dengan kedudukan institusi kesultanan, bahasa dan agama. Sungguhpun usaha tersebut berpaksikan wadah keadilan untuk semua serta persamaan hak, tetapi lebih menampakkan usaha ke arah merobek kontrak sosial yang termaktub jaminan  dalam Perlembagaan.  Keberhentian penguasaan PH di akhir Februari lepas, mempamirkan usaha mengubah aliran dan kecenderungan pemerintahan masih belum diizin oleh pencipta alam ini yang Maha Mengetahui. 

Pasca kejatuhan kerajaan PH, usaha mengembalikan kuasa dipergiatkan khususnya dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan Perikatan Nasional. Lantaran persekitaran politik tanah air dibatasi oleh sebaran pandemik Covid-19, usaha yang lebih dominan ialah mempersoalkan keabsahan dan kemuktamadkan PM TS Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti di Parlimen. Dewan Rakyat bersidang dalam tempoh tak sampai setengah hari, pada 18/05/2020, untuk memenuhi syarat tempoh keperluan mesyuarat supaya tidak melampaui 6 bulan, menghalang usaha membawa usul undi tidak percaya.

Dalam sidang 18/05/2020, menyaksikan 114 ahli menduduki blok kerajaan, 108 ahli di blok pembangkang. Selesai sidang, seorang ahli yang diletakkan di bangku kerajaan, memaklumkan beliau tidak memihak atau menyokong kerajaan PN.  Tindakan seorang ahli ini, mengurangkan angka penyokong kerajaan kepada 113, yang masih lagi menguasai majoriti di Dewan Rakyat. 

Pihak pembangkang iaitu penyokong PH dan sekutu, mendakwa sudah mengumpulkan sokongan 129 ahli, beberapa hari lepas sidang 18/05/2020. Berdasarkan angka dakwaan ini, masyarakat awam sedang menunggu, siapakah di kalangan ADR dari blok kerajaan PN yang berubah hati. Disensasikan kalangan ADR dari Sabah dan Sarawak akan menukar blok dari menyokong PN kepada bersama PH. Ada seorang ADR dari Sarawak menafikan secara individu, berubah angin. Setelah 2 minggu, berita ini menyorot dan hilang begitu saja.

Awal minggu ini, seorang ADR dari PH, Jugah anak Muyang (PKR-Lubok Antu) mengumumkan keluar PKR serta menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Tindakan ADR Lubok Antu ini meletakkan penyokong di blok kerajaan kepada 114 ahli. 

Dua hari lepas, Ketua Pembangkang Parlimen, DS Anwar Ibrahim menyatakan blok PH bersama rakan sekutu; Warisan, Bersatu (blok Tun Dr Mahathir), UPKO dan Parti Sarawak Bersatu, memiliki kekuatan 107 ADR. Sumber terbaru pula, 2 ADR dari PKR; Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (Julau) dan Dr Michaael Teo Yu Keng (Miri) akan meninggalkan PKR.  Jika spekulasi ini menjadi kenyataan, akan berkuranglah penyokong blok pembangkang. 

Kecenderungan angka blok pembangkang yang berpotensi untuk berkurangan serta tiada respon dakwaan 129 ADR akan bersama pembangkang, politik Malaysia selepas 100 hari kerajaan PN akan terdedah kepada dua kemungkinan untuk tatapan khalayak awam:

i. Perkembangan serta potensi usul undi tidak percaya terhadap PM di Dewan Rakyat kelak. Menjelang sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 13/07/2020, lebih banyak berita sensasi mengenai kedudukan, pendirian dan halatuju ahli politik Malaysia. Malah lebih rancak dengan perang saraf memprovokasi pihak lawan. 

ii.  Lebih ramai lompatan wakil rakyat dari blok pembangkang ke pihak kerajaan, yang merupakan fenomena biasa dalam politik negara kita.  Alasan popular yang mendorong wakil rakyat lompat parti ialah masalah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang serta peruntukan kerajaan ke kawasan yang dikuasai pembangkang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan