Isnin, 8 Jun 2020

100 Hari Kerajaan PN

100 HARI KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL 

Hari ini, 08/06/2020 genap 100 hari pertama TS Muhyiddin Mohd Yassin mengetuai kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara ini setelah tumbangnya kerajaan Malaysia Baru, Pakatan Harapan, akhir Februari lepas. Hari ini juga sambutan hari keputeraan baginda Yang di-Pertuan Agong. 100 hari kerajaan PN bersama hari keputeraan YDA, ditafsirkan memiliki satu perhubungan saling berkait dalam penubuhan kerajaan PN. Peranan dimainkan YDA menyelesaikan kemelut krisis kepimpinan dalam kerajaan PH yang meruntuhkan sebuah kerajaan, mengabsahkan kuasa dan kedaulatan institusi kesultanan dalam pembinaan negara. 

100 hari kerajaan PN hari ini berbeza dengan pengalaman dan senario dihadapi kerajaan PH. Pengalaman yang sama dilalui oleh mana-mana kerajaan yang baru yang memecahkan status quo dan tradisi kuasa. Bila Pas mengambil alih kerajaan Kelantan dalam tahun 1990, masyarakat khususnya musuh politik Pas melihat dengan pesimis kemampuan memerintah di mana 100 hari pertama pemerintahan dijadikan indikator. Pihak lawan meletakkan garisan kerajaan Pas Kelantan cuma mampu 100 hari sahaja, berikutnya akan berdepan dengan berbagai ancaman dan masalah, paling utama keupayaan mengurus perbelanjaan. Apabila Pakatan Rakyat berjaya menguasai 4 buah negeri menerusi PRU 2008, tumpuan dan pemerhatian dihalakan kepada pemerintahan dalam tempoh 100 hari pertama. 

Masyarakat memerhari sejauhmana PH menunaikan janji pilihan raya dalam 100 hari pertama. PH berjanji menerusi manifesto pilihan raya akan melaksanakan 10 perkara dalam tempoh 100 hari apabila berjaya menguasai pemerintahan kerajaan Persekutuan. Dalam tempoh 25/05/2018 hingga 29/08/2018, kerajaan PH hanya melaksanakan 2 perkara yang dijanjikan; i. menghapuskan cukai perkhidmatan barangan (GST), ii. pelaksanaan subsidi petrol bersasar. Di samping itu, telah mula melaksanakan: i. menghapuskan hutang peneroka Felda, ii. memperkenalkan KWSP untuk suri rumah, iii. menyamaratakan gaji minima, iv. menangguhkan bayaran PTPTN, v. memperkenalkanskim peduli sihat, vi. mengkaji semula projek mega NSR dan ECRT. Kerajaan PH tidak sempat melunaskan janji dalam tempoh itu; i. menubuhkan suruhanjaya siasatan Di-Raja (RCI) mengenai 1MDP, Felda, MARA dan Tabung Haji, ii. penubuhan jawatankuasa khas kabinet mengenai Perjanjian Malaysia 1963.  

100 hari pertama kerajaan PH, jauh berbeza dengan 100 hari kerajaan Kelantan bersama Pas, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang bersama Pakatan Rakyat, di mana lebih menonjol dihiasi dengan perkara-perkara yang banyak mencabar dan menyingung khalayak awam. Menteri PH memperkecil usaha pakaian patuhi syariah dalam perkhidmatan MAS. Ada menteri tuduh orang Melayu 'pendatang', dan lambat minta maaf. Kenyataan akhbar menteri disiarkan dalam Mandain dan Bahasa Tamil. Penerima bantuan dituduh menanti 'duit percuma' sahaja. Dalam tempoh ini, ada kontroversi perlantikan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara. Lebih jelas, di peringkat awal pemerintah, kerajaan PH berkecenderungan membawa banyak perubahan secara drastik dan terdesak, membina identitinya demi menghilangkan status quo yang dibina lebih 60 tahun oleh kerajaan terdahulu. 

100 hari di bawah pentadbiran kerajaan PN, lebih banyak terima asakan dari pembangkang lantaran mekanisme peralihan kuasa. Peralihan kuasa yang dilabelkan sebagai 'kerajaan pintu belakang' atau 'kerajaan tebuk atap' cabaran yang dihadapi kerajaan PN bukan dasar serta pengurusan menjana ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat. Ancaman lebih kepada keabsahan dan moral pembentukan kerajaan, yang digemburkan dengan beberapa kemungkinan politik. 100 hari kerajaan PN dilalui dalam ancaman pandemik Covid-19 yang memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, memerangkap kritikan dan cabaran masyarakat awam. 

Masyarakat awam sekadar memerhati perjalanan pentadbiran lantaran kerajaan PN yang dibina di atas pemuafakatan di kalangan Ahli Dewan Rakyat, tanpa ikatan janji atau manifesto pilihan raya. Kerajaan PN berdiri di atas ihsan runtuhnya sebuah kerajaan pilihan rakyat yang memberikan YDP menggunakan kuasa, tonggak utama dalam sistem Parlimen. Urusan pentadbiran dan pengurusan negara berjalan baik dan bertanggungjawab walaupun keabsahan dan sokongan legislatif banyak dipersoalkan dan dipertikaikan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan