Sabtu, 18 April 2020

Kerajaan Pintu Belakang

KERAJAAN PINTU BELAKANG ADALAH DISAHKAN OLEH SISTEM DEMOKRASI 

Kekecuhan dalam Pakatan Harapan (PH) membuka ruang yang luas untuk memudahkan usaha menjatuhkannya oleh sama ada pihak dalaman PH sendiri atau pihak luar iaitu parti pembangkang. Isu serahan tugas jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada DS Anwar Ibrahim adalah pokok yang mencetuskan masalah. Bukan itu sahaja, isu kurang berkesan pentadbiran kerajaan Malaysia Baru di bawah PH serta janji-janji pilihan raya, sengaja menjarakkan antara pemerintah dengan rakyat. 

Kepimpinan PH tekad berpegang kepada perjanjian pada 07/01/2018 iaitu perjanjian peralihan kuasa ketuai PH bersama Tun Mahathir. Tun M sebagai ketuai kerajaan kiranya PH menang dalam PRU14, selepas 2 tahun akan diberikan kepada DS Anwar Ibrahim, setelah proses perundangan selesai untuk membolehkan beliau berada dalam medan tadbiran negara. Tempohnya dalam Mei 2020 harus dilepaskan kepada DS Anwar iaitu jawatan PM. Tun M, awal-awal lagi  membuat kenyataan beliau akan lepas jawatan sebaik selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia dan Pacific (APEC) yang dituanrumah oleh Malaysia, dalam bulan November 2020. 

Detik mula kronologi kejatuhan kerajaan PH bermula dengan Mesyuarat Majlis Presiden PH diadakan pada Jumaat, 21/02/2020, dengan agenda utama penyerahan kuasa PM. Mesyuarat untuk memuktamadkan pengalihan kuasa yang berakhir dengan menyerahkan kepada Tun M membuat keputusan. Tun M mengumumkan beliau akan terus memegang jawatan sehingga tarikh yang sesuai yang akan ditentukan. 

Lusanya,  hari Ahad, 23/02/2020, beberapa buah parti utama mengadakan mesyuarat dan perjumpaan. Pada sebelah pagi, anggota PH, Parti Peribumi Malaysia Bersatu (PPBM) bermesyuarat di ibu pejabatnya. UMNO dan Pas mengadakan sesi bersama di Janda Baik. Gabungan Parti Sarawak (GPS) adakah perjumpaan khas di Kuala Lumpur. DS Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR adakah perjumpaan dengan 20 orang Ahli Dewan Rakyat di Hotel Sheraton, Petaling. 

Pada sebelah petang, DS Azmin Ali dan penyokongnya (ADR), TS Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM), DS Zahid Hamidi (Presiden UMNO), DP Abang Johari (Pengerusi GPS), DS Shafie Apdal (Pengerusi Parti Warisan Sabah) dan TG Abdul Hadi (Presiden Pas) mengadap Yang di-Pertuan Agong, istihar sokongan kepada PM baharu. 

Pada sebelah malam, Azmin Ali mengadakan perjumpaan dengan penyokongnya di Hotel Sheraton. Turut serta ialah DS Ismail Sabri (Naib Presiden Pas) dan TG Abdul Hadi. Sementara DS Anwar mengadakan majlis solat bersama penyokong di rumahnya. 

Besoknya, Isnin 24/02/2020, kepimpinan PH; Anwar, Dr Wan Azizah, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu ke rumah Tun M. Rombongan meminta penjelasan Tun M berhubungan kejadian pada 23/02/2020. Tun M menjelaskan bahawa beliau tiada kaitan. 

Pada hari yang sama, Setiausaha Agung PKR mengumumkan pemecatan keahlian; Azmin Ali dan Zuraidah Kamaruddin (Naib Presiden). Berikutnya, Azmin Ali umumkan pembentukan satu blok bebas di Dewan Rakyat bersama 10 orang ADR PKR yang menyokongnya. 

Tun M menhantar surat perletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong. Justeru itu, Tun M dilantik sebagai Perdana Menteri interim. Lantaranya, kabinet terbubar mengikut Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan. Pada masa sama, PH telah hilang majoriti di Dewan Rakyat, selepas PPBM dan kumpulan Azmin Ali meninggalkan PH. Walau bagaimanapun, PPBM menolak perletakan jawatan Tun M sebagai Pengerusi PPBM. 

Selasa, 25/02/2020, seramai 90 orang Ahli Dewan Rakyat telah dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong. ADR yang sempat dipanggil mengadap pada hari ini adalah dari blok pembangkang. 

Pada sebelah petang, ADR dari UMNO, Pas, MCA, MIC dan PBRS menarik balik sokongan kepada Tun M sebagai PM, dan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat untuk satu pilihan raya umum baru. 

Pada hari Rabu, 26/02/2020, baki 132 ADR mengadap Yang di-Pertuan Agong. Tun M memohon maaf kepada rakyat di atas kemelut yang berlaku dan memaklumkan hasratnya untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan (unity government).

DAP, PKR dan Amanah telah menjemput Tun M ke satu mesyuarat untuk mengembalikan semula kerajaan yang telah tumbang. Tetapi, Tun M tidak hadir, justeru  mereka mncalonkan Anwar sebagai PM ke 8. 

Khamis, 27/02/2020, pada sebelah pagi, Tun M mengadap Yang Di-Pertuan Agong. Tengah harinya, Setiausaha Agung PPBM mengumumkan Tun M telah menarik balik perletakan jawatan Pengerusi PPBM. 

Tun M mencadangkan satu sidang khas Dewan Rakyat pada 02/03/2020 untuk memilih PM baru. Sekiranya dewan gagal membuat keputusan, dicadangkan pembubaran dewan untuk satu pilihan raya awal. 

Jumaat 28/02/2020; pada sebelah pagi, Raja-raja Melayu telah mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-raja. Turut diundang ialah Penglima Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Polis Negara. 

Speaker Dewan Rakyat mengeluarkan kenyataan menolak cadangan sidang Dewan Rakyat pada 02/03/2020 kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 11(3).  

Pada sebelah petang, hasil Mesyuarat Majlis Raja-raja, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan panggil mengadap semua parti untuk kemukakan  nama calon PM. 

Petang itu juga, PPBM mengemukakan kenyataan menyokong TS Muhyiddin Yassin sebagai PM ke 8, yang disokong oleh 26 ADR PPBM dan 11 ADR dari blok bebas Azmin Ali. Juga diumumkan lebih 60 ADR dari UMNO, Pas, MCA dan MIC menyokong pencalonan TS Muhyiddin Yassin. 

Setelah satu minggu kemelut politik nasional, hari Sabtu 29/02/2020 adalah kemuncak peristiwa seorang Perdana Menteri sementara tanpa kuasa legislatif. Majlis Presiden PH mengambil keputusan hasil mesyuaratnya memberikan sokongan kepada Tun M, untuk mengetuai kerajaan. 

TS Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong menyatakan gabungan ADR PPBM, UMNO, Pas, MCA, MIC, GPS, PBRS dan STAR serta anggota bebas memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

Pada sebelah petang, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa TS Muhyiddin menerima sokongan majoriti untuk mengetuai dan membentuk kerajaan. 

Ahad 01/03/2020, terlerailah kemelut apabila TS Muhyiddin mengangkat sumpah terima jawatan PM ke 8. Beliau mengambil masa 10 hari untuk membentuk kerajaan apabila 32 orang menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah terima jawatan pasa 10/03/2020. Berakhirlah deretan peristiwa menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat menerusi PRU14 diganti oleh sebuah kerajaan gabungan wakil-wakil rakyat yang dipilih melalui PRU14. 

Adakah kerajaan baru yang diasaskan atas gabungan Perikatan Nasional hasil gabungan sokongan di kalangan Ahli Dewan Rakyat boleh dilabelkan sebagai kerajaan pintu belakang. Mereka adalah wakil rakyat yang dipilih menerusi amalan demokrasi berparlimen, mereka berhak membentuk gabungan atau puak untuk menentukan bilangan yang mencukupi yang boleh menyakinkan Yang di-Pertuan Agung, unsur teratas dalam institusi Parlimen. 

Ahli badan perundangan atau dewan legislatif: Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, tiada ikatan yang menghadkan pergerakan atau pendirian, kerana undang-undang mentafsirkan mereka dipilih sebagai wakil rakyat atas kapasiti peribadi bukan atas nama puak atau parti. Ini boleh dirujuk menerusi tafsiran undang-undang apabila institusi kehakiman negara memutuskan undang-undang menghalang seseorang ahli perundangan keluar parti adalah tidak sah dan batal. 

Pada 25/04/1991, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Enakmen Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Pertama)  (Pindaan) 1991 yang memutuskan kedudukan ahli DUN gugur jika mereka bertukar parti dan kawasan mereka diistiharkan kosong. Dua orang ahli DUN dari Parti Semangat 46 telah melompat sertai Barisan Nasional (BN). 
 
DUN istihar kekosongan 2 kerusi ahli berkenaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan  pilihan raya kecil di 2 kerusi berkenaan; Sungai Pinang dan Limbongan. Dalam pilihan raya kecil berkenaan kedua-dua ahli berkenaan bertanding semula atas tiket BN dan tewas kepada calon-calon Parti Semangat 46. 

Pada 08/11/1991, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengistiharkan bahawa pindaan Perkara 31A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan sebagai tidak sah sebahagiannya kerana menyekat kebebasan yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada anggota DUN untuk keluar parti. Mahkamah Agung pula pada 03/04/1992 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak rayuan DUN Kelantan untuk membatalkan keanggotaan DUN. 

Sebelum kes DUN Kelantan (1991), beberapa anggota DUN Sabah yang melompat parti tergugur sebagai anggota dewan kerana ada peruntukan dalam Undang-undang Negeri Sabah dalam kes lompat parti. Tapi selepas kes Kelantan ini, DUN Sabah tidak lagi menggunakan peruntukan undang-undang tersebut untuk menggugur ahli DUN. Selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 1994, apabila kedudukan kerusi PBS; 25, BN; 23, sebahagian besar anggota DUN PBS menyokong BN, tanpa dipengaruhi oleh undang-undang anti-lompat parti yang diamalkan di Sabah sejak zaman kerajaan Berjaya (1976-1985).

Punca kejatuhan kerajaan PH disebabkan sebilangan ahli Dewan Rakyat meninggalkan PH untuk menghilangkan suara majoriti dan membentuk  gabungan baru, bukanlah amalan pintu belakang tetapi berpelembagaan sebagaimana kes Kelantan (1991). 

Sistem perwakilan mengikut kawasan atau constituency representatives dalam amalan demokrasi berparlimen model Westminster Abbey atau the first past the post membuka ruang ahli untuk sertai atau pindah kumpulan. Mereka tidak terikat dengan parti yang mereka wakili dalam pilihan raya, tetapi mereka mewakili kawasan. Mereka boleh berubah sokongan apabila desakan rakyat yang diwakilinya meminta berbuat demikian pada bila-bila masa. Mereka boleh bergerak secara bebas atas jaminan kebebasan bersuara atas keperluan rakyat di kawasannya. Pergerakan dan tindakan mereka adalah secara terbuka dan berpelembagaan bukan secara pintu belakang. 

Antara syor Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) dalam usaha menambaik sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia ialah sistem perwakilan di Dewan Rakyat berdasarkan peratusan undi yang dimenangi oleh parti politik. Ahli Dewan Rakyat bukan mewakili kawasan pilihan raya (constituency) tetapi mewakili parti. 

Syor tersebut untuk peringkat atau bahagian pilihan raya Persekutuan (Parlimen), sementara peringkat pilihan raya negeri dikekalkan sistem sedia ada. Perwakilan berasaskan peratusan undi dalam pilihan raya atau perwakilan berkadar (proportionate representatives) boleh elakkan seseorang ahli Dewan Rakyat boleh melompat parti kerana mereka mewakili parti, parti boleh ambil tindakan, mereka terikat dengan parti yang memilih mereka. Parti yang menentukan sama ada, parti akan bersama membentuk kerajaan atau sebaliknya. Kejatuhan sesebuah kerajaan bergantung kepada keputusan parti sama ada kekal atau tarik balik sokongan. Kejatuhan sesebuah kerajaan sebagaimana dialami kerajaan PH tempoh hari dapat dielakkan, kerana ahli Dewan Rakyat, bebas membuat keputusan sendiri. 

Jika dilaksanakan perwakilan berkadar atau proportionate, berdasarkan keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen, jumlah undi gabungan PH (DAP, PKR, PPBM, Amanah): 5,518,638 undi atau 45.68% undi, sepatutnya mendapat 101 kerusi, tetapi kerusi dimenangi PH: 113 kerusi. Undi diterima BN ialah  4,080,797 undi atau 33.77%, yang wajar diperuntukkan 75 kerusi, berbanding kerusi dimenangi 79 kerusi. Pas perolehi 2,041,186 undi atau 16.90%, layak diperuntukkan 37 kerusi, berbanding hanya 18 kerusi dimenangi dalam PRU14. 

PH yang membentuk kerajaan Persekutuan bersama ADR dari Parti Warisan Sabah (280,520 undi atau 2.32%) dan tiga calon bebas mesra PH (71,153 undi atau 0.59%) hanya disokong oleh 48.59% pengundi Malaysia. Undi BN digabung dengan undi Pas ialah 50.67% dari jumlah undi sah keseluruhan. Baki 0.74% pengundi memilih parti-parti lain. 

Dakwaan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional yang melibatkan BN dan Pas, satu pencabulan atau pengkhianatan suara rakyat boleh dipersoalkan. Gabungan yang membentuk Perikatan Nasional sudah mewakili suara simple majoriti, apabila dipaparkan lebih separuh rakyat tidak menyokong gabungan PH. Persoalan kerajaan pintu belakang tidak timbul apabila gabungan yang membentuk kerajaan PH tidak mewakili suara majoriti. Justeru itu, hakikinya kerajaan PH lebih terdedah kepada suasana politik yang tidak stabil, yang berisiko tumbang di tengah jalan. 

Kerajaan PH yang ditubuhkan di atas kekuatan yang rapuh membantu membuktikan dakwaan Pas sebelum PRU14, bahawa Pas ke arah peranan kuasa penentu dalam politik Malaysia. Parti yang disokong oleh hampir 17% pengundi Malaysia mampu menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Kuasa 17% itu bukan tipu daya pintu belakang tetapi ianya realiti keperluan politik sebagai menjawab ejekan pihak lawan Pas pra PRU14.

 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan