Jumaat, 10 April 2020

Duta Khas

PERLANTIKAN TOK GURU  HAJI HADI SEBAGAI DUTA KHAS YANG DISENSASIKAN

Pengumuman perlantikan Presiden Pas, Dato' Seri Tuanguru Abdul Hadi Awang (TGHH) sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah minggu lepas memecahkan kesunyian di kala rakyat patut kepada Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP). Rakyat akur kepada arahan berada di kediaman masing-masing, patuhi penjarakan dan kebersihan diri serta menghadkan pergerakan, demi menangani penularan wabak Covid-19. 

Sebagai figura politik yang tidak asing, perlantikan ini menerjahkan isu serta komentar negatif, yang banyak mempersoalkan keperluan tugasan tersebut. Lebih ditonjolkan berikutan perubahan pemerintahan peringkat kerajaan Persekutuan, iklim ekonomi yang kurang menyerlah ditambah dengan negara berdepan dengan wabak Covid-19 sebagaimana dialami lebih 180 negara kini. 

Perlantikan TGHH mendapat reaksi kontra yang besar, tidaklah sebagaimana lantikan beberapa duta khas oleh kerajaan terdahulu. Zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan zaman Pakatan Harapan (PH), perlantikan seumpama ini tidaklah bising sangat. 

DS Samy Vellu (mantan Presiden MIC) sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke India dan Asia Selatan, TS Ong Ka Ting (mantan Presiden MCA) ke Republik Rakyat China dilantik setelah tidak lagi berada dalam kepimpinan negara atau Jemaah Menteri dan mereka dilantik bertaraf menteri, sebelum kejatuhan kerajaan BN. Semasa dilantik mereka tidak lagi mengetuai  parti masing-masing yang merupakan parti utama komponen BN.

Samy Vellu ditugaskan duta khas infrastruktur untuk ke India serta negara-negara Asia Selatan; Pakistan, Nepal, Sri Lanka, Bhutan, Bangladesh dan Meldives. Kejayaan membawa pulangan besar pelaburan di India semasa beliau menjadi Menteri Kerjaraya dijadikan asas perlantikan beliau.  Ong Ka Ting dijuruskan membuka peluang perniagaan di RRC serta ditanggungjawabkan sebagai Pengerusi  Malaysia China Business Council (MCBC). 

Duta khas atau special envoy berbeza dengan ambassador, yang merupakan wakil rasmi kerajaan yang ditauliahkan ke sesebuah negara. Mereka diberikan bertaraf menteri, kerana untuk mendapatkan pengiktirafan atau keistimewaan protokol sebagai wakil rasmi kerajaan, sebagaimana ambassador yang merupakan wakil rasmi diplomatik yang ditauliahkan. Duta khas atau special envoy adalah dikhususkan sebagai utusan dalam sesuatu konflik dan kepentingan lain.

Tradisinya  sejak zaman pemerintahan Perikatan (kemudiannya BN), menteri-menteri atau  timbalan menteri yang digugurkan dari kabinet, atau yang kalah dalam pilihan raya dilantik mengetuai anggota diplomatik negara sama sebagai duta atau ambassador atau sebagai duta khas atau special envoy.  Ismail Mohd Yusoff, Abdul Rahman Talib, Mohd Khir Johari, Wan Mokhtar Ahmad, Abu Bakar Daud, Dr Awang Adik Hussin, Abdullah Ahmad, Dr Jamaluddin Jarjis, Hassan Abdul Malek, Mohamad Rahmat, antara beberapa nama besar terlibat dalam permerintahan Perikatan/BN, bermula era Tunku, sehingga era Najib. 

Apabila Pakatan Harapan menguasai kerajaan Persekutuan, Samy Vellu dan Ong Ka Ting ditamatkan perkhidmatan sebagai duta khas. Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dilantik mengisi kekosongan Duta Khas ke RR China. Perlantikan ini banyak terima kritikan dari penyokong pembangkang kerana janji PH tidak akan melibatkan kepimpinan politik kerajaan dalam perlantikan ke jawatan awam atau syarikat milik kerajaan. Sebenarnya, kerajaan PH mengekalkan tradisi BN meletakkan orang-orang politik ke jawatan dalam perbadanan dan anak syarikat kerajaan. 

Bezanya, masa BN melantik tokoh yang tercicir sebagai duta, kerana beberapa sebab antaranya kes mahkamah, kalah dalam pilihan raya, tidak lagi menjadi pemimpin parti sama ada kalah dalam pemilihan parti atau melepaskan jawatan. Lantaran PH hanya sempat berkuasa hanya 21 bulan, memungkinkan hanya Pengerusi DAP diberi peluang. 

TGHH diberi ditawarkan sebagai Duta Khas Perdana Menteri di atas sifatnya berlatarbelakang pendidikan, pengalaman keterlibatan dalam politik Timur Tengah serta peranannya dalam Kesatuan Ulamak Islam Dunia yang berpengkalan di Qatar menguatkan hujah perlantikannya. Sebagai Presiden parti yang menganggotai kerajaan yang tidak disenaraikan dalam struktur atasi kuasa iaitu jemaah menteri, sama seperti perlantikan Pengerusi DAP oleh kerajaan PH, wajar diberi satu kedudukan yang penting dalam pentadbiran negara. 

Perlantikan Pengerusi DAP sebagai duta khas oleh kerajaan PH dan Presiden Pas oleh kerajaan PN mempunyai kewajaran dan wawasan tersendiri. Faktor ini memisahkan amalan perlantikan duta di kalangan orang politik atau di luar perkhidmatan tadbir dan diplomatik oleh kerajaan Perikatan/BN dulu, dengan pendekatan yang diambil oleh kerajaan PH, disusuli oleh PN. Dalam tempoh 60 tahun pemerintahan Perikatan/BN, memberikan satu tanggapan yang negatif kepada masyarakat melihat perlantikan duta dari kalangan orang politik yang telah terkeluar dari landasan perdana politik negara. Samalah seperti mana-mana amalan parti sama ada BN atau PH, malah Pas, melantik pemimpin mereka yang tidak terpilih dalam pilihan raya, sebagai anggota Dewan Negara (senator). Pemerintahan PH dan PN meletakkan duta khas sebagai satu keistimewaan untuk ketua parti atau pemimpin yang masih dalam landasan utama politik negara. 

Pelantikan duta khas oleh kerajaan PH dan PN bolehlah ditafsirkan sebagai cerminan halatuju serta fokus negara dalam politik nasional dan antarabangsa. PH tumpu ke negara China, sementara PN menghala fokus ke Timur Tengah. Lantaran tuduhan pihak pembangkang khususnya, PH didominasi oleh DAP yang secara lateralnya penguasaan kepimpinan Cina lebih terserlah bila tumpuan diberikan kepada hubungan dengan negara Republik Rakyat China dalam berbagai bidang terutamanya perdagangan, pelancongan, teknologi dan kebudayaan (khususnya pendidikan).

Kerajaan PN pula dilabelkan kerajaan dominasi Melayu/Islam, apabila parti-parti utama Melayu: UMNO, Pas dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menguasai pembentukan kerajaan. Perlantikan Duta Khas ke Timur Tengah yang relatifnya negara-negara Islam. Perlantikan TGHH boleh memainkan peranan aktif Malaysia dalam kemajuan dan diplomatik pergolakan dalam masyarakat Timur Tengah. Agenda konflik Sunnah-Syiah, konflik Palestine-Israel, konflik Saudi-Yaman, konflik proksi Amerika Syarikat dan Israel dengan proksi Russia dan China, antara peranan yang boleh dimain peranan Malaysia menerusi Duta Khas ke arah merealisasikan usaha Malaysia menyelesaikan masalah ummah.  

Dua paradoks peranan dan perlantikan Duta Khas semasa BN dengan zaman PH dan PN, serta keutamaan halatuju antara perlantikan di bawah PH dengan PN, memperlihatkan jawatan atau tugasan Duta Khas relevan dalam konteks visi pemerintahan. Pengkritik kerajaan memberikan alasan membantah perlantikan TGHH sebagai Duta Khas PM ke Timur Tengah, kepada keperluan kewangan kerajaan yang kritikal serta fokus kerajaan bertumpu kepada memerangi wabak Covid-19. 

Pada era BN dulu, semasa Samy Vellu bertugas sebagai duta  khas, beliau dibantu oleh seorang Setiasuaha Sulit Kanan, seorang Pegawai Khas, dua orang pembantu khas dan seorang anggota keselamatan. Sudah tentu memerlukan satu peruntukan kewangan yang besar, walaupun jawatan ini adalah secara kontrak. Apapun kos yang ditanggung oleh kerajaan sama berbaloi walaupun pulangan bukan dalam bentuk kuantiti yang tampak.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan