Ahad, 8 Mac 2020

Penjajaran Posisi Kuasa

SEMOGA  PENJAJARAN POLISI KUASA MENJERNIHKAN KEMELUT POLITIK

Satu minggu berlalu Perdana Menteri ke 8, TS Muhyiddin Mohd Yassin mengangkat sumpah jawatan, setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Keyakinan Baginda Yang Dipertuan Agong yang merupakan cabang utama institusi Parlimen kepada sokongan majoriti mudah kepada TS Muhyiddin menawarkan pembetukan kerajaan baru hasil penjajaran  institusi politik berparti.  Penjajaran atau alignment politik dalam konteks politik semasa di Malaysia ialah menposisikan semula kedudukan ahli politik atau parti politik dalam di dewan legislatif; blok kerajaan atau blok pembangkang. 

Penjajaran institusi politik bermula apabila berlaku pengunduran ahli Parlimen dari Parti Peribumi Malaysia (PPBM) bersama sebahagian ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), menggabungkan diri bersama kumpulan ahli Barisan Nasional), Pas, membentuk satu blok baru. Pengunduran ahli PPBM dan sebahagian ahli PKR iaitu seramai 36 ahli telah menghilang suara majoriti kerajaan PH kepada 102 ahli di Parlimen. Secara langsung hilangnya kekuasaan PH.  

Penjajaran ini membolehkan kumpulan yang menyokong TS Muhyiddin hasil gabungan anggota pembangkang dari BN dan Pas bersama ahli kerajaan yang meninggalkan PH, serta disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) seramai 18 orang ahli, mampu membentuk majoriti mudah melebihi 112 kerusi Parlimen. Di peringkat Persekutuan, cuma PM angkat sumpah jawatan tetapi hingga kini, sudah satu minggu, anggota pentadbiran iaitu Kabinet belum dibentuk. Justeru faktor pembentukan pemuafakatan yang berjaya menjatuhkan kerajaan PH ini dalam tempoh yang pendek dan pantas, membantu memperlahankan proses pembentukan barisan pentadbiran. 

Kesan penjajaran semula di peringkat Persekutuan telah menjejaskan kuasa legislatif di lima buah  negeri. Dewan Undangan Negeri Johor yang mempunyai kedudukan pemerintahan PH yang agak kukuh apabila menguasai suara majoriti dua pertiga dengan 39 kerusi berbanding 17 kerusi pembangkang. Apabila semua anggota PPBM seramai 11 orang meninggalkan PH, menjadikan kedudukan PH tinggal 28, sementara kerusi gabungan BN, Pas dan PPBM berjumlah 28. Perubahan ini, membolehkan wakil UMNO dilantik sebagai Menteri Besar untuk mengetuai kerajaan baru. Selepas pembentukan kerajaan baru, seorang anggota DUN dari PKR menyertai blok kerajaan, untuk membolehkan kerajaan Perikatan Nasional menguasai majoriti mudah, 29-27. 

Di negeri Kedah, kedudukan dalam DUN ialah 19 penyokong PH (7 PKR, 6 PPBM, 4 Amanah, 2 DAP) dan 17 pembangkang (15 Pas dan 2 BN). Berlainan dengan di DUN Johor, anggota PPBM kekal dalam blok kerajaan, untuk membolehkan kerajaan Kedah terus bertahan dengan Menteri Besar dari PPBM. Di Johor, PPBM hilang kerusi Menteri Besar demi kebersamaan dengan kerajaan Persekutuan, di Kedah, PPBM enggan berpisah dengan kerusi MB daripada berkongsi kuasa bersama pembangkang menerusi Perikatan Nasional. 

Situasi di Perak tidak jelas pendirian PPBM sama ada akan memtertahankan kerusi MB sama seperti amalan rakan sejawat di Kedah, atau mengorbankan kerusi MB sebagaimana di Johor, demi  pemuafakan di peringkat nasional. DUN Perak mempunyai 31 kerusi PH (18 DAP, 4 PKR, 6 Amanah dan 2 PPBM, 1 bebas), sementara pembangkang (25 BN, 3 Pas). Kerajaan PH akan jatuh bila-bila masa andainya wakil PPBM mengikut jejak sahabat mereka di Johor. 

Kerajaan negeri Melaka sudah bertukar tangan apabila kedudukan di DUN berubah daripada 15 PH (8 DAP, 3 PKR, 2 PPBM, 2 Amanah) dan 13 BN sebagai pembangkang, kepada 11 PH, apabila masing-masing seorang ADUN DAP dan PKR bersama 2 ADUN PPBM menggabungkan diri membentuk kerajaan bersama 13 ADUN BN. Justeru kerusi Ketua Menteri disandang oleh wakil Amanah, tidak memaksa ADUN PPBM sama ada mengamalkan kaedah Kedah atau kaedah Johor dalam menangangi penjajaran politik semasa.Yang Dipertuan Negeri telahpun meminta wakil UMNO membentuk kerajaan.

Kerajaan PH di Pulau Pinang dan Selangor yang menguasai DUN dengan majoriti besar tidak terjejas dengan penjajaran posisi dewan legislatif. Kerajaan PH Pulau Pinang memiliki 37 daripada 40 kerusi DUN, dengan 19 DAP, 14 PKR, 2 PPBM dan 2 Amanah. Pembangkang hanya mempunyai 3 kerusi: 2 BN dan satu Pas. 2 ahli PPBM terikat dengan undang-undang negeri yang melucutkan jawatan ADUN andainya berpindah parti. Mereka telah menyatakan akan terus sokong kerajaan negeri untuk mengelakkan kehilangan kerusi. Suasana status quo di Pulau Pinang yang mengekalkan PBBM dalam kerajaan sebagaimana situasi di Kedah.

Di Selangor, kerajaan PH menguasai 50 kerusi DUN; 21 PKR, 16 DAP, 5 PPBM dan 8 Amanah, sementara 5 ahli BN dan seorang ahli Pas menduduki blok pembangkang. Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan PKR telah memecat ADUN PPBM daripada anggota kerajaan. Tanpa ahli PPBM, kerajaan Selangor masih kukuh mempertahankan kuasa majoriti suara dua pertiga di DUN, walaupun seorang ADUN PKR keluar blok kerajaan. 

Kerajaan PH di Negeri Sembilan, walaupun dibina dengan tanpa suara majoriti dua pertiga, masih bertahan lantaran ketiadaan anggota DUN daripada PPBM. DUN Negeri Sembilan mempunyai 20 ahli kerajaan (7 PKR, 11 DAP, 2 Amanah), sementara blok pembangkang dibarisi oleh 16 ahli BN. 

Proses serta pendekatan yang tidak setara kesan pengunduran PPBM daripada kerajaan PH di peringkat Persekutuan menampakkan ketidaklancaran penjajaran selepas kejatuhan kerajaan PH baru-baru ini. Kegagalan keseragaman pelaksanaan penjajaran baru di setengah negeri terarah kepada masalah yang dihadapi oleh parti PPBM. Belum ada keputusan muktamad parti, apakah tindakan yang sepatutnya diambil oleh ahli-ahli parti. Di peringkat Persekutuan, PPBM bersama gagasan baru, Perikatan Nasional, di beberapa negeri PPBM masih kekal bersama PH. 

Apakah terbentuknya Kabinet baru yang diberitakan akan diumumkan hari ini akan meleraikan kemelut serta memuktamadkan posisi sebenar PPBM. Mungkinkah pendekatan digunakan di Sarawak dalam tahun 1980an, di mana Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pimpinan Leo Moggie menjadi pembangkang kepada kerajaan BN peringkat negeri tetapi ikut sama sertai kerajaan BN di peringkat Persekutuan. Jika pendekatan Sarawak diamalkan nanti, menjelaskan antara kepentingan politik peribadi dengan kepentingan awam, antara kepentingan negeri dengan kepentingan nasional. 

Apakah matlamat akhir menjatuhkan kerajaan PH semata-mata menghalang dominasi DAP dalam pemerintahan peringkat Persekutuan sahaja. Matlamat mematikan ibu segala masalah, dengan matlamat akhirnya secara perlahan akan menyelesaikan masalah di peringkat tempatan dan negeri. Harapan awam ialah ingin melihat politik Malaysia kembali kepada kestabilan yang akan membantu pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kebajikan rakyat. Pengalaman BN memerintah selama 60 tahun dan pengalaman pemerintahan PH selama 21 bulan, disarankan menjadi ikhtibar, pengajaran dan panduan yang disepadukan untuk pengurusan dan pentadbiran negara akan datang.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan