Sabtu, 21 Mac 2020

Penglibatan ATM

PERLUNYA PENGLIBATAN TENTERA MEMBANTU PDRM KUATKUASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (MCO)

Keperluan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan atau Movement Control Order (MCO) yang berkuatkuasa jam 12.01 malam ini untuk membendung penularan COVID-19, sepatutnya diberikan reaksi yang positif dalam negara berdepan dengan masalah kritikal berkenaan. Pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) DS Ismail Sabri Yaacob, juga menerima kritikan berbagai pihak, termasuk kepimpinan politik. 

Sehingga jam 14.55 GMT bersamaan 10.33 malam waktu tempatan, angka keterlibatan wabak COVID-19 menunjukkan 287,325 kes rawatan di seluruh dunia, dengan angka kematian sebanyak 11,893 jiwa atau 4.14 peratus. 93,618 orang telah pulih atau 33.58 peratus. Di Malaysia, pada waktu yang sama, 1,183 kes, dengan 114 orang telah pulih atau 0.98 peratus. Seramai 8 orang meninggal dunia atau 0.67 peratus. Di Malaysia, kes meningkat dengan 76 peratus dalam tempoh 4 hari iaitu sehari sebelum dikuatkuasakan MCO pada hari Rabu 18/03/2020 lepas.  

Pihak yang memberi respons negatif penglibatan ATM dalam penguatkuasaan MCO memberikan alasan penglibatan ini mirip perintah berkurung, mengekang kebebasan pergerakaan rakyat. Masih terlalu awal, pengelibatan militer mengurus ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat. 

Penglibatan ATM sepatutnya disokong lantaran keterlibatan anggota masyarakat dalam aktiviti dan pengurusan sosial yang semakin luntur kesopanan dan ketertiban, dalam tempoh sepuluh dan dua puluh tahun terakhir. Kepekaan ahli masyarakat khususnya generasi muda terhadap peraturan pengurusan dan peraturan kemasyarakatan semakin luntur dan semakin diperlekehkan. 

Anak-anak muda yang masih di bangku sekolah memperlihatkan pelanggaran peraturan sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan harian. Di seluruh negara, sama ada di Alor Setar, di Kota Bharu, di Tanjung Malim, di Tampin, adalah satu pemandangan biasa bila pelajar-pelajar dengan bebas menggunakan motorsikal tanpa topi keledar ke sekolah. Di bangku sekolah lagi, anak-anak muda dengan sengaja, sudah menjadi lumrah melanggar peraturan jalanraya setiap hari. Di usia muda, anak-anak muda terdidik dengan nilai-nilai tidak menhormati undang-undang dan peraturan-peraturan. Selain penggunaan topi keledar, adakah anak-anak kita memiliki lesen memandu untuk menggunakan motorsikal ke sekolah.

Tabiat membuang sampah merata, khususnya di kalangan yang lebih berumur, iaitu golongan dewasa, menjadikan sampah satu masalah sosial di Malaysia. Sungguhpun pihak berkuasa tempatan sama ada Majlis Perbandaran atau Dewan Bandaraya atau Majlis Daerah menyediakan tempat buang sampah di kawasan operasi masing-masing, sampah masih di buang di merata tempat. Tong sampah yang disediakan masih kosong, tetapi bungkusan sampah berlambak tidak dimasukkan oleh penduduk. Gotong-royong membersih kawasan setempat tidak mendapat sambutan penduduk setempat. 

Sungai, satu anugerah alam semula untuk dimanfaatkan dan diambil sebagai sesuatu yang harus disyukuri. Sungai dijadikan tempat pembuangan sampah, malah di setengah tempat terdedah kepada tempat pembuangan bahan-bahan buangan dari industri, yang membahayakan kesihatan manusia. Kawasan tanah lapang dikhususkan untuk kemudahan awam seperti padang permainan, aktiviti sukan dan rekreasi, dijadikan tempat buangan sampah dan bahan-bahan terbuang. 

Jalan raya dijadikan medan lumba haram khususnya pengguna motorsikal, malah berlumba kereta, merupakan antara pencabulan peraturan dan undang-undang. Di samping aktiviti samseng jalan raya yang mencerminkan kelemahan undang-undang serta kelemahan penguatkuasaan. 

Sekadar beberapa contoh lumrah dan popular dalam masyarakat Malaysia merentasi asal keturunan dan kepercayaan, menepati cadangan kerajaan hari ini, Perikatan Nasional melibatkan sama ATM membantu PDRM dalam menguatkuasa MCO yang bermula malam ini. Rakyat Malaysia perlu didisiplinkan menerusi tindakan tersusun, tindakan susulan setelah mereka menerima pendedahan disiplin, jatidiri dan pembangunan insan dari institusi pendidikan dan institusi keluarga. 

Setelah operasi MCO bermula 4 hari lepas, sasaran untuk menghadkan pergerakan orang ramai tidak menampakkan respons positif. MCO menyasarkan penduduk tidak meninggalkan tempat tinggal dalam tempoh 14 hari; 18 hingga 31/03/2020. Justeru itu, sebarang himpunan ramai tidak dibenarkan; majlis kenduri kendara, aktiviti kemasyarakatan, kerajaan dan politik. Sepatutnya mereka berada di rumah masing-masing tetapi diambil kesempatan untuk pulang kampung dan melancong. 

Bertepatan dengan kelulusan undang-undang menurunkan had umur pengundi dari 21 tahun ke 18 tahun serta menurunkan takrif belia dari 40 tahun kepada 30 tahun, sewajarnya tindakan berkesan mengikut perundangan, demi mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih berdisiplin serta mematuhi peraturan bikinan manusia. Langkah yang diambil beberapa negara menguatkuasa kawalan pergerakan anggota masyarakat untuk mengawasi wabak COVID-19 yang berkesan, wajar dan relevan untuk dilaksanakan di negara kita. 

 







 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan