Rabu, 11 Mac 2020

Kabinet Perikatan Nasional

KABINET PERIKATAN NASIONAL LEBIH SERATA

Kabinet kerajaan Perikatan Nasional yang diumumkan oleh Perdana Menteri, TS Mahyuddin Mohd Yassin, pada hari Isnin, 09/03/2020 dilihat lebih serata perwakilannya berbanding dengan mana-mana kabinet zaman pemerintahan Barisan Nasional dan zaman pemerintahan Pakatan Harapan. Perwakilan daripada wilayah yang mundur dan terbelakang sama ada di bawah pemerintahan BN atau PH lebih diberi tumpuan. 

Pembentukan kabinet Perikatan Nasional memberikan kelainan berbanding kabinet BN dan PH. Seramai 11 orang Ahli Parlimen dari negeri Sarawak; 4 menteri penuh dan 7 timbalan menteri, paling ramai berbanding negeri lain. Belum pernah perwakilan yang begitu ramai menduduki kerusi pentadbiran di bawah 7 orang Perdana Menteri. Kuantiti keanggotaan ini meletakkan satu pendekatan baru; mengiktiraf kedudukan Sarawak dan Sabah dalam konteks pentadbiran dan politik tanah air. Walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 18 orang Ahli Parlimen, hanya sekadar berstatus kerjasama menyokong pembentukan kerajaan baru. 

Buat pertama kalinya dalam sejarah, negeri Kelantan memiliki seramai 5 orang menteri penuh dan 5 orang timbalan menteri serentak. Paling ramai Kelantan menerima bilangan menteri yang agak besar ialah semasa Pas bersama Barisan Nasional (1974-1977) yang membarisi Tengku Razaleigh Hamzah, Dato' Mohd Asri, Tengku Ahmad Rithaudeen, Dato' Mohamad Yaacob. Kehadiran bilangan anggota pentadbiran kerajaan Persekutuan yang besar oleh negeri Kelantan, mewakili kelompok atau taburan penduduk Melayu terbesar memberikan persepsi kecenderungan kerajaan baru membina fokus baru dalam pentadbiran dan pembangunan. 

Di samping Sarawak dan Kelantan, negeri Johor diperuntukan 10 kerusi pentadbiran termasuk Perdana Menteri (7 menteri penuh, 3 timbalan menteri). Bagi negeri Johor, bilangan anggota yang besar adalah amalan biasa sejak merdeka di bawah Perikatan dan BN, tambahan pula Johor adalah kubu kuat UMNO/BN lebih 60 tahun.  Malah zaman PH pun, bilangan menteri mengatasi negeri-negeri lain. 

Di negeri-negeri lain, angka anggota pentadbiran, ditaburkan secara setara, sekitar satu atau dua orang menteri setiap negeri. Angka atau taburan yang lebih rendah berbanding dengan zaman kerajaan PH, malah berbanding dengan zaman pemerintahan BN di peringkat Persekutuan.

Empat komponen utama yang membentuk kabinet kerajaan Perikatan Nasional; Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu, Barisan Nasional (yang didominasi oleh UMNO, dengan keahlian kecil dari MCA dan MIC), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Keahlian PPBM mewakili anggota asal menerusi PRU14, ahli UMNO yang melompat dan anggota PKR yang melompat.  

Agihan jawatan mengikut parti:

Menteri
Timbalan Menteri
PPBM
10
15
UMN0
10
8
GPS
4
5
Pas
3
5
MCA
1
3
MIC
1

PBS
1

PBRS

1
STAR

1
Bukan parti
2

Jumlah
32
38
 

PPBM sebagai parti utama dalam jentera pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional dengan kekuatan 10 orang menteri dan 15 orang timbalan menteri. Anggota asal PPBM (iaitu yang bertanding dalam PRU14) memiliki 4 orang menteri penuh dan  4 timbalan menteri, kumpulan ahli UMNO yang melompat ke PPBM selepas PRU14; 3 menteri penuh dan 5 timbalan menteri. Ahli Parlimen PKR yang keluar parti bersama DS Mohamed Azmin Ali; 3 menteri penuh dan 6 timbalan menteri. 

Kehadiran Ahli Parlimen GPS seramai 9 orang dan 8 dari Pas membantu meletakkan tumpuan lebih kepada Sarawak dan Kelantan, antara negeri-negeri yang ketinggalan dalam ukuran kemajuan fizikal nasional. Walaupun GPS yang dulunya BN Sarawak, bersama dengan BN yang menguasai kerajaan Persekutuan dulu, layanan kerajaan Perikatan Nasional ini lebih istimewa. 

Kabinet Perikatan Nasional yang ikut sama bukan orang politik mengambil kira keperluan dan kepentingan kepakaran membelakangi kepentingan politik. Pelantikan Dato' Tengku Zafrul, CEO CIMB Holdings Bhd dengan portfolio kewangan dan DS Dr Zulkifli Mohamad, Mufti Wilayah Persekutuan, mengetuai portfolio agama, dijangka mampu meningkatan pengurusan sektor berkenaan. Kehadiran dua tokoh dalam bidang masing-masing berupayaa.n membina semula sektor kewangan dan ekonomi serta kedudukan Islam.


Kabinet Perikatan Nasional masih gagal menempatkan sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, khususnya dalam perkhidmatan. Kabinet ini hanya dibarisi oleh 5 menteri penuh dan 4 timbalan menteri dari kaum hawa. Angka ini menyamai kabinet PH yang dibentuk sebaik selesai PRU14, yang mula bergerak menghargai sumbangan wanita dalam pembinaan negara, dengan menonjolkan 5 menteri wanita bersama 4 timbalan menteri wanita.

Zaman pemerintahan Perikatan/Barisan Nasional, bermula seorang menteri wanita, Tun Fatimah Hashim masa zaman Tunku Abdul Rahman,  dan mula bertambah di zaman Tun Mahathir, kabinet selepas PRU7 (1986) di samping Rafidah Aziz, disertai sama oleh Napsiah Omar. Kemenangan cemerlang BN dalam PRU11 (2004), kabinet Tun Abdullah menempatkan 3 orang menteri wanita. Selepas tsunami politik menerusi PRU12, peranan wanita semakin berkurangan, kabinet Tun Abdullah hanya diisi oleh cuma 2 menteri wanita. Kabinet pasca PRU13, di bawah DS Najib hanya diwakili oleh 2 jemaah menteri wanita dari Sarawak, tanpa penyertaan ahli UMNO atau MCA. 

Kabinet Perikatan Nasional meneruskan peranan dan keterlibatan wanita di peringkat pembuat dasar tertinggi oleh Pakatan Harapan, setelah keterlibatan mereka berkecenderungan berkurangan di zaman BN. Walau bagaimanapun dengan jumlah Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang lebih kecil berbanding zaman kerajaan Malaysia Baru dan zaman kerajaan Tradisi Membela Rakyat, komposisi keanggotaan kabinet ini lebih memperlihatkan ada usaha memartabatkan peranan dan kedudukan wanita.

 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan