Sabtu, 3 November 2018

Belanjawan 2019

BAJET PERTAMA KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

Tumpuan utama kepada pembentangan belanjawan sulung, Belanjawan 2019,  ialah sejauhmanakah usaha  Pakatan Harapan mengurus agihan perbelanjaan sebagai sebuah kerajaan baru. Di peringkat awal pentadbiran Pakatan Harapan pernah dilontarkan usaha mengatur perbelanjaan kerajaan secara berjimat dan berhemat. 

Disebutkan langkah mengurangkan perbelajaan pengurusan terutamanya emolumen (upah, gaji, elaun, ganjaran, bonus) dan bayaran persaraan, yang merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan kerajaan. Item emolumen dan pencen biasanya satu pertiga dari jumlah perbelanjaan kerajaan.  Pakatan Harapan mencadangkan menyemak emolumen serta menghentikan bayaran pencen. Tetapi persoalan mengurangkan perbelanjaan mengurus dan pencen ini tenggelam dalam tempoh terdekat menjelang pembentangan belanjawan atau bajet 2019 kelmarin, Jumaat 02 November 2019. 

Belanjawan Pakatan Harapan 2019 meletakkan angka RM314.55 billion, di mana 26.1% diperuntukan untuk emolumen dan 8.4% untuk bayaran persaraan. Sebanyak RM108.52 billion adalah peruntukan pembayaran gaji, elaun dan bayaran persaraan. Belanjawan 2019 masih mengekalkan taburan item perbelanjaan sebagaimana amalan kerajaan pimpinan Barisan Nasional dahulu. Di samping itu belanjawan ini mengekalkan langkah-langkah tumpuan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat terbanyak dengan beberapa penambahbaikan. Bantuan atau sumbangan untuk menampung kos hidup bagi kumpulan B40 atau kumpulan 40 peratus isu rumah yang diamalkan oleh kerajaan BN dahulu diteruskan kepada isi rumah berpendapatan RM4000 ke bawah. Di samping itu, ditambah pemberian RM120 setiap bagi setiap anak berumur bawah 18 tahun, menjadikan pemberian kos hidup isu rumah lebih tinggi.

Kakitangan awam gred  54 ke bawah dan pesara awam diberikan bayaran khas RM500 dan RM250, lebih rendah berbanding Belanjawan 2018, RM1500 dan RM750 dengan dua kali bayaran; awal Januari 2018 dan Aidilfitri. 

Gaji minima RM1100 diperkenalkan sebagai langkah mengatur jaminan penampungan kos hidup, di samping pemberian subsidi minyak kenderaan, pas bulanan pengangkutan awam dan subsidi elektrik isi rumah. 

Belanjawan Pakatan Harapan mengagihkan RM259.8 billion untuk perbelanjaan mengurus, sementara RM54.7 billion dari jumlah belanjawan RM314.55 billion. Berbanding dengan bajet zaman pemerintahan BN iaitu belanjawan RM280.35 billion bagi tahun 2018 dan RM260.8 billion bagi belanjawan 2017. Belanjawan 2018 mengaturkan RM234.25 billion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 billion untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan 2019 meletakkan 17.39% dari jumlah belanjawan perbelanjaan pembangunan berbanding 16.40% bagi Belanjawan 2018. Dalam Belanjawan 2017, sebanyak RM214.8 billion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus atau 82.37% dari jumlah perbelanjaan RM260.8 billion, sementara RM46 billion atau 17.63% untuk perbelanjaan pembangunan. Belanjawaan 2019 sebenarnya tidak berkecenderungan untuk mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerana ianya lebih besar berbanding dengan apa yang dirancangkan untuk tahun 2017, cuma berkurangan berbandingan dengan perbelanjaan mengurus tahun 2018. 

Perbelanjaan pengurusan terus relatif dengan matlamat dan strategik untuk meningkatkan kuasa beli pengguna dengan menampung kos hidup isi rumah. Namun demikian, keseluruhannya Belanjawan Pakatan Harapan lebih berfokus kepada kelompok rakyat yang menghuni sektor kota. Langkah untuk meringankan kos hidup mereka yang bermastautin di sektor desa dan ekonomi tani tidak diberi tumpuan. Subsidi untuk pesawah, bantuan untuk masyarakat nelayan, bantuan untuk pekebun kecil, tidak kedengaran dalam pembentangan belanjawaan di Dewan Rakyat kelmarin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan