Rabu, 30 November 2016

Dua penjuru

TAK BOLEH ELAK DUA PENJURU

Sungguhpun realiti kecenderungan politik kepilihanrayaan di Malaysia yang menghasilkan ke arah sistem dua parti terkesan seawal Pilihan Raya Umum Ketiga (PRU3) atau PRU 1969 tetapi ianya lebih berfokus kepada sektor atau ruang yang terbatas. Daripada 13 siri PRU, lima PRU yang mempamirkan keberkesanan saingan dua penjuru yang memberi kelebihan kepada pakatan atau kerjasama parti-parti pembangkang serta kemerosotan sokongan kepada UMNO dan rakan--rakannya dalam komponen Barisan Nasional. PRU3, keberkesanan saingan dua penjuru hasil persefahaman parti-parti pembangkang di negeri-negeri Tanah Melayu atau disebut juga Semenanjung Malaysia, ialah antara 3 parti utama; DAP, Gerakan dan PPP, uang berfokus kepada kawasan bandar. Hasilnya, kekalahan teruk calon-calon Perikatan terutamanya MCA dan MIC, di samping UMNO di kawasan pinggiran bandar. Malah, Partai Rakyat berjaya merampas kerusi UMNO, bila dibiarkannya bersaing satu lawan satu di kawasan luar bandar, walaupun bilangannya kecil. 

Dalam PRU8 (PRU 1990) parti-parti pembangkang mengadakan kerjasama dalam dua sektor  untuk mewujudkan satu lawan satu di negeri-negeri Tanah Melayu. Penubuhan sebuah parti serpihan UMNO; Semangat 46 mencetus inisiatif ke arah kerjasama parti-parti pembangkang. Di kawasan luar bandar, kerjasama Semangat 46, Pas, Berjasa dan HAMIM, sementara di kawasan bandar dan pinggiran bandar, antara Semangat 46, DAP, PRM dan IPF. HAMIM dan IPF bertanding atas logo Semangat 46. Kerjasama ini membentuk nama tak rasmi, Angkatan Perpaduan Ummah di luar bandar dan Gagasan Rakyat di bandar. Kerjasama ini memberikan kesan besar kepada perubahan aliran sokongan di kawasan luar bandar, ayungan undi luar bandar dari BN kepada pembangkang, kecuali di negeri-negeri sebelah utara; Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak. Sementara di sektor kota dan perbandaran, berlaku sebaliknya. Pencapaian kerjasama Gagasan Rakyat tidaklah memberi kesan besar menarik aliran sokongan keluar dari BN. 

PRU10 (PRU 1999) memperlihatkan cubaan parti-parti pembangkang berkerjasama ke arah realiti saingan dua penjuru. Kerjasama dalam gagasan Barisan Alternatif yang menggabungkan parti baru hasil daripada krisis kepimpinan UMNO, Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dengan Pas, DAP dan PRM. Sebagaimana PRU8, hasil kerjasama parti-parti pembangkang pasca krisis dalam UMNO, selaku tunjang penguasa kerajaan Persekutuan, memberikan kesan yang besar di kawasan luar bandar. Perubahan sokongan kepada pembangkang berlaku keseluruhan kawasan luar bandar, kecuali di negeri-negeri sebelah selatan; Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Sebaliknya sokongan di kawasan bandar banyak membantu BN mempertahankan kerajaan, lantaran prestasi DAP yang lembab. 

Kerjasama parti-parti pembangkang menjelang PRU12 (PRU 2008) yang melibatkan Pas, DAP dan PKR mencetuskan satu gelombang baru dalam kecenderungan aliran pengundian di Malaysia. Kerjasama parti-parti pembangkang membuka satu penerokaan baru kerana prestasi hasil saingan satu lawan satu antara BN dengan parti pembangkang lebih meluas. Ianya  bukan lagi terbatas kepada sektor geografi dan ras, ianya memperlihatkan kesatuan aliran pemikiran tanpa batasan tempat tinggal dan perkauman. Ayungan undi meninggalkan BN berlaku secara menyeluruh melibatkan kawasan bandar dan luar bandar dan semua negeri kecuali Johor, Sabah dan Sarawak. Walaubagaimana pun, perubahan aliran undi dari BN ke pembangkang berlaku di negeri-negeri berkenaan. 

PRU13 (PRU 2013) memperlanjutkan persepakatan pembangkang untuk memberi cabaran kepada BN yang lebih sengit. PRU13 menyaksikan penolakan kepada BN lebih menyeluruh di mana, pakatan pembangkang berjaya membolosi kawasan luar  di Johor, Sabah dan Sarawak. Kali ini bermulalah parti yang menguasai kerajaan memerintah dengan sokongan minoriti, bila BN cuma perolehi 47% sokongan mutlak rakyat menerusi undi popular. 

Keretakan hubungan dalam pakatan longgar parti-parti pembangkang utama; Pas, PKR dan DAP setahun selepas PRU13 memunculkan persoalan baru; masih ada lagikah pakatan untuk satu lawan satu antara BN dan pembangkang atau saingan dua penjuru untuk PRU14. Persempadanan semula kawasan pilihan raya tanpa penambahan kerusi atau kawasan yang di peringkat prosiding bantahan, yang lazimnya akan banyak membantu BN berdepan PRU14, menjadi perhatian umum sejauhmanakah persediaan parti-parti pembangkang berdepan PRU14. 

PRU14 yang dijangka awal dengan momokan seruan pendaftaran pemilih beakhir 30/09/2016 untuk mempastikan sempat dimasukkan dalam daftar  pemilih induk (DPI) yang akan digunakan dalam PRU14, menghasilkan SPR menerima permohonan pendaftaran pemilih baru seramai setengah juta orang. Kesungguhan SPR melaksanakan persempadanan semula memperlihatkan PRU14 boleh diadakan dalam tempoh enam atau tujuh bulan lagi. Tempoh ini sesuai dengan proses persempadanan, bermula dengan pameran kepada awam bulan lepas, diikuti prosiding bantahan, semakan bantahan, semakan perundangan dan pewartaan. 

Tanda tanya semasa  tertumpu kepada Pas, parti paling senior dalam sejarah tanah air, berpengalaman dalam berbagai bentuk kerjasama dan pemuafakatan, setelah terbubarnya gagasan Pakatan Rakyat. Sejauh manakah peranan Pas dalam PRU14, akan bersama dalam membentuk pertandingan dua penjuru atau berperanan sebagai blok ketiga yang membuka jalan kepada BN akan ditentang oleh parti-parti pembangkang secara berasingan. 

Penentuan pertandingan dua penjuru terletak kepada bahu Pas, lantaran setiap kali berlaku persepakatan antara parti-parti pembangkang, manfaatnya lebih kepada Pas berbanding parti lain. Persepakatan menjelang PRU8, memberikan sebuah kerajaan kepada Pas, Kelantan yang terus dipertahankannya hingga kini. Kerjasama pembangkang menjelang PRU10, menghilangkan kuasa BN di Terengganu kepada Pas. Sementara kerjasama menjelang PRU12, memberikan Pas mengetuai dua buah kerajaan; Kedah dan Perak. Tumpuan terarah kepada Pas, sama ada saingan dua penjuru menjadi realiti atau sebaliknya, lantaran penyingkiran Pas yang turut melenyapkan Pakatan Rakyat. 

Mursyidur Am Pas, Hashim Jasin sudah mencetuskan keperluan kepada saingan dua penjuru dalam amalan demokrasi kepilihanrayaan dalam kenyataan sebelum ini. Ilmiahnya, beliau menggariskan tiga pendekatan utama dalam membentuk kerjasama; tahaluf, ta'awun dan isti'anah.  Tahaluf ialah kerjasama yang lebih menjurus kepada politik. Ta'awun ialah bersama dalam satu ikatan atau pakatan, sementara isti'anah ialah keadaan yang memerlukan  pertolongan dari pihak lain untuk mencapai matlamat atau sesuatu tujuan. (Sinar Harian, 28/11/2016, halaman 10-11).

Umum terperangkap antara dua paradoks. Kepimpinan Pas berulang-ulang menegaskan tiada kerjasama jika melibatkan DAP dan parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara. Dalam masa sama, kepimpinan Pas dengan tegas mengeluarkan kenyataan musuh utama Pas ialah BN tidak berubah sejak dulu. Kepimpinan DAP dan Amanah sering menyebut hubungan Pas yang mula berjinak dengan UMNO. Lebih-lebih lagi keperluan peranan UMNO bagi membantu Pas mengemukakan cadangan pindaan Akta 355.

Kematangan politik menerusi demokrasi kepilihanrayaan sudah menemui realiti sistem dua parti, yang secara langsung cerminan saingan dua penjuru. Perpecahan undi lantaran ruang terbuka memberikan hak kebebasan bersuara tidak menepati prinsip demokrasi sebenar. Ini lantaran berkemungkinan kumpulan minoriti yang memperolehi kuasa, kerana amalan "the first past the post". Sistem dua parti atau lebih praktiknya saingan dua penjuru, memberikan maksud sebenar, kuasa diperolehi oleh suara majoriti. 

Masa depan politik Malaysia terdedah kepada saingan dua penjuru mempunyai kebarangkaliannya, bila kita meletakkan Pas sebagai faktor penentu. Pas mampu berkejasama atas prinsip isti'anah iaitu atas tujuan bersama untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, walaupun bercanggah dan berbalah soal prinsip dan ideologi. Kerjasama parti-parti pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan yang membarisi DAP, PKR dan Amanah, bersefahaman atas prinsip isti'anah bersama serpihan UMNO, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berserta Pas.  Pendekatan yang digunakan dalam PRU8, Pas dan DAP masing-masing tiada kerjasama rasmi kerana Pas tidak terlibat dengan Gagasan Rakyat yang diperuntukan kerusi kawasan bandar. Sokongan kepada Pas yang bekerjasama dengan Semangat 46 tidak terbantut di kawasan luar bandar.

Kemungkinan kedua ialah Pas adakan kerjasama mengelak pertembungan calon dengan UMNO, demi merealisasikan saingan dua penjuru yang lebih menyedia peluang lebih jelas.  Saling sefahaman memberi laluan rakan tahaluf bertanding. Persefahaman ini berbantuk pendekatan untuk survival masing-masing, berdepan dengan pakatan parti-parti pembangkang lain. Taruhlah apa nama, demi perpaduan Melayu ke, demi perpaduan Islam ke, pokoknya mengajar parti politik merancang seribu kemungkinan, demi menyelamatkan diri dalam demokrasi berparlimen ala Malaysia.  

Pas mengambil pendekatan baru memperkenalkan gagasan blok ketiga dengan wawasan politik matang dan sejahtera (PMS). Sejauhmanakah gagasan ini yang turut disertai oleh sebuah parti baru, mampu meletakkan diri dalam medan saingan PRU14. Apakah Pas kekal bersendirian tanpa sebarang koloborasi dengan mana-mana gabungan parti yang menjurus kepada banyak tawaran pilihan kepada pemilih dalam PRU14 nanti. Jika sebelum ini, medan politik demokrasi kepilihanrayaan menuju kepada dua pilihan sama ada menyokong atau menukar kerajaan yang ada. Hanya tunggu dan lihat saja, keperluan kepada dua penjuru dengan beberapa isu dalam perkembangan semasa. 

Empat isu utama; persempadanan semula kawasan pilihan raya, faktor pengundi muda, faktor kebejatan ekonomi, faktor Tun Dr Mahathir, dijangka menjadi faktor dominan keputusan dan tindakan parti-parti politik sama ada dalam gabungan BN atau parti-parti pembangkang. Persempadanan semula kawasan pilihan raya tanpa penambahan kerusi baru di negeri-negeri Melayu secara nyata perancangan kegelisahan pihak berkuasa mempertahankan kuasa yang ada menerusi mekanisme birokrasi dan eksekutif. Gelombang anak muda dalam dua PRU terakhir yang semakin menghakis sokongan kepada penguasa semasa adalah gambaran universal anti-establishment yang mula meresap ke negara-negara Dunia Ketiga. Peranan seorang negarawan turun padang menganjurkan satu perubahan besar dalam PRU14, meletakkan berbagai kemungkinan tindakan yang akan dilakukan oleh parti-parti politik. 









  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan