Ahad, 21 Disember 2014

Mengemis pertolongan Cina

TERPAKSA MENGEMIS UNTUK DAPAT KUASA


Ucaptama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk "Halatuju Melayu Islam menuju Wawasan 2020" di Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (NUSA 14) di Akademi Kenegaraan Biro Tatanegara, Kuala Lumpur, 20/12/2014, yang memaparkan kekecewaan beliau dengan politik Melayu yang makin lemah.

Intisari dari ucapan beliau, kekecewaan beliau apabila orang Melayu melalui UMNO, Pas dan PKR terpaksa mengemis dengan bangsa lain terutama kaum Cina bagi mendapatkan sokongan untuk mendapat kuasa pemerintahan (Berita Harian, 21/12/2014, halaman 4,  Sinar Harian 21/12/2014, berita utama).

Beliau berkata, orang Melayu seringkali mencari jalan mudah dengan rela memberi kerakyatan percuma kepada kaum lain yang mendapat hak mengundi dan politik. Kesannya membuatkan kuasa politik orang Melayu berkurangan hingga menyukarkan penguasaan majoriti dalam pilihan raya bagi membentuk kerajaan.

Peratusan pengundi Melayu dalam daftar pemilih selepas kemerdekaan yang kita capai, 1957 semakin mengencil berbanding dengan peratusan pengundi Melayu sebelum merdeka. Sebelum merdeka, dalam pilihan raya pertama iaitu pilihan raya Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, 1955, 85 peratus pengundi adalah Melayu. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pertama selepas merdeka, iaitu PRU 1959, peratusan pengundi Melayu di bawah 60 peratus. 

Pengurangan peratus pemilih Melayu kerana peningkatan mendadak pengundi bukan Melayu; Cina dan India, hasil kelayakan mereka mendapatkan taraf kewarganegaraan hasil semangat setiakawan untuk mencapai kemerdekaan. Pengurangan peratus pengundi Melayu relatifnya peningkatan jumlah pemilih bukan Melayu yang layak didaftarkan sebagai pemilih selepas memperolehi taraf kewarganegaraan sehari selepas merdeka. 

Pengurangan peratusan pengundi Melayu adalah hasil pemuafakatan syarat kemerdekaan diusahakan oleh struktur kuasa mewakili UMNO, MCA dan MIC dengan penjajah British. Antara nikmat kemerdekaan secara rundingan ini ialah penganugerahan taraf kewarganegaraan kepada pemegang British nationals iaitu pemastautin yang berhijrah: Cina dan India.

Dengan bilangan atau peratusan pengundi Melayu yang semakin kecil dan bukan majoriti mutlak, mana-mana parti dokongan orang Melayu sama ada UMNO, Pas atau PKR, memerlukan sokongan dan pakatan dengan suara bukan Melayu khususnya Cina. UMNO memerlukan bantuan orang Cina menerusi MCA atau Gerakan, ataupun PKR atau Pas, memerlukan sokongan DAP, yang disokong oleh pengundi Cina. 

Persoalan pergantungan sokongan atau Tun Mahathir sebut sebagai mengemis undi bukan Melayu, Cina khususnya sepatutnya dilihat dari sudut sejarah, untuk mengenal akar umbi atau pencetus peningkatan peratusan komposisi pengundi Cina. Pemikir, perancang dan pembuat dasar masa lampau sepatutnya dipersalahkan. Tidak adil meratap situasi semasa tanpa menggaris susur galur masalah. 

Soalan utama ialah mengapa pengundi Melayu merangkumi 85% pengundi sebelum merdeka dan konstan antara 55% hingga 60%, selepas merdeka, dari PRU1 hingga PRU13.

Seorang Ahli Dewan Negara (senator) dalam satu ceramah menjelang PRU13 tahun lepas, menyimpulkan penurunan peratus pengundi Melayu dari 85 peratus kepada sekitar 55-60 peratus hari ini, kesan kemurtadan orang Melayu/Islam. Alangkah dangkal, tanpa rujukan akademik, membuat kesimpulan emosional, yang boleh ditertawakan oleh mereka yang sensitif kepada sejarah. Untuk makluman, ahli politik tersebut adalah generasi lepas merdeka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan