Selasa, 22 Oktober 2013

Pemilihan UMNO

PEMILIHAN UMNO:  PERLANJUTAN KELOMPOK ELIT KUASAI SUARA RAMAI

Pemilihan UMNO 2013 bagi penggal 2013/2016 yang berakhir 19 Oktober lepas merupakan satu episod baru dalam kedewasaan UMNO (Baru) yang ditubuhkan dalam tahun 1988. Agenda transformasi pengurusan dan pentadbiran parti, hasil dari prestasi parti yang semakin merosot diterjemahkan menerusi beberapa pilihan raya umum (PRU) terakhir.

Pengenalan kepada undi popular, demi menyuburkan demokrasi serta penglibatan yang lebih besar di kalangan ahli secara tersuratnya adalah satu pengakuan keperluan kepada inspirasi realiti kehendak semasa. Keperluan semasa yang menuntut keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Seramai 146,500 orang perwakilan dari 21,056 cawangan seluruh negara secara langsung terlibat dalam memilih kepimpinan parti, iaitu keanggotaan Majlis Tertinggi, termasuk Presiden. Berbanding, cuma 2,500 perwakilan mewakili 191 bahagian, dalam pemilihan sebelum ini. Dalam pemilihan terdahulu, 3 hingga 5 orang perwakilan mewakili cawangan untuk pemilihan peringkat bahagian dan tidak terlibat dalam memilih kepimpinan tertinggi. Peraturan baru, sesebuah cawangan boleh diwakili sehingga 15 orang perwakilan, untuk memilih kepimpinan bahagian serta terlibat secara langsung mengundi untuk kepimpinan tertinggi parti.

Dengan 146,500 terlibat memilih pemimpin parti, cuma 4.0 peratus sahaja dari jumlah keahlian UMNO (Baru) terkini, 3.3 juta orang. Secara demokratiknya, tidaklah menggambarkan penglibatan secara berkesan dan menyeluruh. Empat peratus ahli mewakili keahlian penuh, masih menampakkan penguasaan segelintir kecil ahli di puncak dalam hiraki organisasi parti. 

Disebutkan pemilihan UMNO tahun ini menggabungkan sistem pilihan raya popular amalan Amerika Syarikat dan Great Britain. Diwarwarkan media, pemilihan UMNO mengambil amalan sistem pilihan raya Amerika Syarikat: electoral college. Sistem ini memberikan undi satu kawasan atau bahagian UMNO kepada mana-mana calon yang dapat undi terbanyak. Jika di bahagian A, calon yang bertanding dapat undi terbanyak dari perwakilan cawangan, maka satu undi, undi mewakili bahagian berkenaan diberikan kepada calon berkenaan. Dalam sistem electoral college, undi untuk satu kawasan bukan satu undi, tetapi bergantung kepada kapasiti pengundi. Kawasan yang lebih ramai pengundi, diberi undi electoral college yang lebih banyak, bukan satu undi, sama rata semua bahagian UMNO seluruh negara. UMNO Bahagian Kemaman dengan keahlian seramai 42,455 orang (mengikut rekod Disember 2010), tidak sewajarnya diberi satu undi kepada calon yang dapat undi terbanyak.

Satu undi untuk satu kawasan adalah mengikut amalan pilihan raya Great Britain: calon yang dapat undi terbanyak dapat kerusi berkenaan atau satu undi mewakili kawasan berkenaan. Amalannya undi popular mewakili bahagian, berasaskan constituency representation.

Undian ala pilihan raya Westminster Abbey amalan Britain tersebut membantu DS Hishammuddin Hussien memenangi kerusi Naib Presiden untuk mengatasi Datuk Mukhriz Mahathir. Hishammuddin dapat 101 undi bahagian, dengan 56,604 undi popular, sedang Mukhriz yang dapat 57,189 undi perwakilan tapi 93 undi bahagian. Jika ikut pengundian popular sebagaimana dalam pemilihan MIC dan PKR,  Mukhriz sepatutnya memenangi kerusi Naib Presiden. 

Begitu juga trend pengundian dalam jawatan lain sama ada untuk ahli Majlis Tertinggi, ahli Jawatankuasa Pusat Pergerakan Wanita atau Pemuda. Contoh calon kerusi ahli Majlis Tertinggi; DS Ahmad Shabery Chik, dengan 181 undi, memperolehi 85,820 undi, sementara Datuk Abdul Rahman Dahlan; juga 181 undi bahagian, 76,031 undi popular, dan DS Shahidan Kassim; 166 undi bahagian, 76,992 undi popular. Menggambarkan ketaksamaan peruntukan undi bahagian, di mana bahagian yang memiliki ahli yang ramai tidak diberi advantage, seumpama kaedah electoral college di Amerika Syarikat.

Penglibatan segelintir ahli, kelompok elit dalam sesebuah cawangan, dengan cuma 4 peratus sahaja, walaupun lebih ramai berbanding amalan sedia ada, masih lagi menggambarkan kegagalan parti merealisasikan penglibatan langsung ahli dalam proses demokrasi peringkat parti. Kelompok teratas dalam hiraki parti peringkat cawangan masih mempamirkan kumpulan kecil menguasai suara ramai.

Satu undi untuk satu bahagian UMNO, tidak menepati realiti sebenar electoral college. Bahagian yang mempunyai ahli yang ramai, sudah semestinya kubu kuat parti tidak dilayani dan diraikan dengan sepatutnya. Nisbah undi sepatutnya diamalkan untuk menghargai sumbangan ahli yang memperkasa parti.

Dari sudut untuk menghakis label UMNO sebagai pembekal utama "politik wang" yang disinonimkan dengan organisasi politik yang semakin hilang roh perjuangan untuk masa depan bangsa kerana tertimbus oleh kemewahan kebendaan, amalan pemilihan kepimpinan yang baru ini adalah asas perubahan.

Keperluan kepada perubahan sistem pemilihan ini, memulakan tranformasi UMNO (Baru) untuk melangkah dengan lebih yakin dan bergaya menghadapi arena politik tanah air selanjutnya. Proses transformasi ini diharap menjadi UMNO (Baru) yang ditubuhkan dalam tahun 1988 itu, lebih terkedepan menyaingi parti-parti yang lebih lama usianya; MIC (1946), MCA (1949), Pas (1951), DAP (1966) dan Gerakan (1968).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan