Ahad, 20 Januari 2013

Rakyat bangkit

MANIFESTASI RAKYAT BANGKIT MENERUSI PERHIMPUNAN

Penentuan kuasa rakyat menerusi suara dari peti undi, yang dapat menghasilkan atau mengukur tahap suara rakyat secara kuantitatif, menerusi penjelmaan angka. Di mana angka-angka itu dapat dirumuskan dalam sebuah analisis berdata. Ini lebih tepat untuk perbandingan, bagi mengukur prestasi dan pendapat awam. 

Di samping itu, pendapat awam juga boleh diukur secara dinamik menerusi himpunan awam. Sungguhpun penterjemahan kecil atau besar, berkesan atau sebaliknya, dianalisis secara perbandingan, boleh digunakan untuk menggambarkan keadaan.

Himpunan Mega Kebangkitan Rakyat atau KL112, pada 12/01/2013 lepas, yang memulakan episod sekitaran politik bagi tahun ini, bukan sekadar satu himpunan hujung minggu, tetapi dapatlah diterjemahkan sebagai gambaran sebenar kehendak sebahagian rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Pengorbanan warga dari seluruh negara, yang sanggup datang berhimpunan dari jauh, bertandang ke Stadium Merdeka, satu manifestasi iltizam dan harapan rakyat yang mewakili sebahagian berbagai kelompok, untuk melihat kedatangan tahun baru 2013, sebagai tahun untuk membuat perubahan.

Sungguhpun percanggahan yang amat ketara dalam membuat pengukuran atau perhitungan khalayak yang hadir, ada media menyebut sekitar 50,000 orang, ada 100,000  dan ada sebut 700,000 orang berasaskan pengalaman dan pemerhatian akademik. Apapun angka yang diberi, KL112 memberi pengertian berbeza dengan himpunan mega sebelum ini, Bersih 2.0 (09/07/2011) dan Bersih 3.0 (28/04/2012), kerana KL112 menghampiri tarikh PRU13.

Dalam tahun 1989-1990, ceramah-ceramah anjuran parti pembangkang khususnya parti-parti yang bernaung di bawah Angkatan Perpaduan Ummah atau APU (Semangat 46, Pas, Berjasa & Hamim) mendapat sambutan yang cukup hebat khususnya di Pantai Timur. Pilihan Kecil Parlimen Johor Bahru (1988), kegagalan calon BN mempertahankan kerusi,  adalah turning point menarik kehadiran yang luar biasa dalam ceramah parti-parti pembangkan. Dalam kerancakan itu, hasil Pilihan Raya Kecil Dun Teluk Pasu, Terengganu (1989), di mana Pas berjaya merampas kerusi BN, memberikan impaks besar kepada kemeriahan ceramah parti pembangkang.

Kesannya, dalam PRU8 (PRU 1990), BN kalah semua kerusi di Kelantan (39 Dun, 13 Parlimen). Di Terengganu, BN hilang 2 kerusi Parlimen dan 8 kerusi Dun, berbanding dengan PRU7 (PRU 1986) BN cuma kalah di 2 kerusi Dun sahaja, sementara di Kelantan  BN menang 12 dari 13 kerusi Parlimen. Gambarannya, kekalahan teruk BN di Kelantan, sudah pun dibayangi awal, dengan sambutan yang luar biasa, majlis ceramah APU.

Paparan gelombang Reformasi kebangkitan rakyat tahun 1998-1999, kesan dari pemecatan DS Anwar Ibrahim dari UMNO dan Kabinet Persekutuan, dapat diterjemahkan natijahnya dalam PRU10 (PRU 1999). Ceramah umum DS Anwar dalam siri jelajahnya ke seluruh negara sebelum beliau ditahan pada 20/09/1998, mendapat sambutan luar biasa, khususnya  di negeri-negeri sebelah utara dan Pantai Timur. PDRM digunakan untuk memperlahankan ledakan sokongan khalayak rakyat. Sekatan-sekatan jalan raya "berhenti pemeriksaan polis", di setiap program ceramah reformasi, dalam usaha mengganggu orang ramai serta mengurangkan kehadiran.

Gambaran awal sebenarnya telah menghasilkan realitinya, kejayaan Barisan Alternatif menguasai kerajaan negeri Kelantan dan merampas Terengganu. BN hilang 13 dari 14 kerusi Parlimen di Kelantan, semua 8 kerusi Parlimen di Terengganu dan tewas 8 dari 15 kerusi Parlimen di Kedah. Prestasi UMNO juga merosot di semua negeri kecuali di negeri-negeri selatan; Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. BN banyak bergantung kepada sokongan orang bukan Melayu, menguasai kawaan bandar dan campuran, untuk terus menguasai kerajaan Persekutuan dan dewan-dewan perundangan negeri.

Kegagalan 680,000 warga di Selangor dan ibu kota Kuala Lumpur khususnya, untuk didaftarkan sebagai pemilih, telah menyelamatkan beberapa kerusi BN. Kesan gelombang reformasi serta kesedaran untuk mengambil tanggungjawab sebagai pemilih, warga berkenaan amat mengharapkan melakukan satu perubahan dalam PRU10.

Justeru itu, persempadanan kawasan pilihan raya di seluruh negara, kecuali Sarawak, dalam tahun 2003, lebih bersifat menghukum pengundi Melayu, dengan tumpuan kepada penambahan kerusi di kawasan campuran. Negeri-negeri majoriti pengundi Melayu melebihi 75 peratus: Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dinafikan pertambahan kerusi, kecuali 2 kerusi Dun di Kelantan, yang bertujuan untuk menambahkan kerusi di kubu UMNO: Nenggiri dan Bukit Bunga.

DAP yang bergantung kepada sokongan masyarakat bandar dan bukan Melayu, keluar dari pakatan Barisan Alternatif, kerana PRU10 menyaksikan penolakan masyarakat berkenaan kepada parti pembangkang.

Kesan dari persempadanan kawasan pilihan raya serta keperluan mandat untuk Perdana Menteri baru, PRU11 memberikan kemenangan cemerlangan untuk BN. Terengganu dapat diambil kembali, dan hampir berjaya menguasai Kelantan.

Menginsafi peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebuah badan eksekutif yang berat sebelah dan lebih menjaga kepentingan mempertahankan parti pemerintah, parti-parti pembangkang bergabung tenaga dengan beberapa NGO, menganjurkan demontrasi tuntutan keadilan dan penambahbaikan pengurusan pilihan raya, dalam akronim Bersih pada 10/11/2007. Kehadiran begitu ramai rakyat yang menuntut hak serta berdepan dengan water canon dan gas pemedih mata, sebenarnya memaparkan hasrat yang terpendam mahukan keadilan.

Apa yang dipamirkan oleh Bersih pertama ini, beberapa bulan menjelang PRU12, memerlukan satu tafsiran yang tepat. Realitinya, dalam PRU12, pakatan pembangkang berjaya merampas 4 buah kerajaan negeri dari BN, mempertahankan Kelantan dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Penyertaan rakan dalam himpunan Bersih 2007 mempunyai hubungan yang harmonis dengan hasil PRU12.

PRU12 secara langsung memperlihatkan ketepatan parameter Bersih 10/11/2007 dalam menerangkan kaitan antara kekuatan himpunan manusia dengan perolehan data dari peti undi. Kuantiti kelompok manusia yang menyertai himpunan atau demonstrasi Bersih itu menggambarkan kemungkinan hasil dari peti undi dalam pilihan raya, dalam tempoh yang terdekat.
Justeru itu, pemaparan himpunan manusia yang besar, mencecah puluhan ribu, malah kadang-kadang melepasi angka 100,000, memberikan petunjuk awal apa yang bakal terjadi dalam peti undi, dalam PRU13 nanti. Menjadikan kuantiti khalayak dalam beberapa himpunan kebangkitan rakyat sebagai asas ukuran, PRU13 menepati kata-kata TPM TS Mahyuddin Yassin: PRU13 ibu segala PRU, Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar; PRU paling sengit. Kalimah popular dari Sabah "ini kalilah".

Di samping Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 pada 12/01/2013 di Stadium Merdeka, penulis juga hadir sama di 4 perhimpunan besar, Bersih 2.0 pada 09/07/2011 dan Bersih 3.0 pada 28/04/2012 di Ibu Kota, Himpunan 100,000 Hijau Ke Putrajaya, 01/06/2012 di Stadium Darul Aman, Alor Star dan Himpunan Kebangkitan Rakyat, 16/11/2012 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, satu kesimpulan yang dapat diutarakan untuk perkongsian minda ialah program yang berjaya menghimpunan lautan umat yang inginkan perubahan dan menuntut keadilan.

Logiknya berasaskan senario kebangkitan rakyat menerusi setiap program himpunan manusia anjuran bukan penyokong UMNO/BN selepas PRU12, dipadankan dengan pengalaman apa yang berlaku sebelum PRU8 dan PRU10, munasabah dan logik juga jika dikatakan PRU13 adalah masa untuk perubahan. Tidak keterlaluan jika disimpulkan PRU13, kali terakhir UMNO/BN menyertai pilihan raya sebagai penyandang.














 




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan