Isnin, 12 November 2012

Nilai Politik Di Sebalik Dikir Barat

NILAI POLITIK  DI SEBALIK DIKIR BARAT DIBIARKAN TERPINGGIR

Kesenian persembahan tradisional dalam masyarakat Melayu  bukan sekadar memain peranan untuk menghuburkan khalayak penonton dan penggemar, tetapi memilik mesej tersendiri untuk mendidik dan menyampaikan maklumat.  Seni persembahan Dikir Barat yang popular dalam masyarakat Kelantan, tapi kini tidak terhad di daerah asalnya, sudah melepasi sempadan keaderahan. Ianya satu medan yang mendekati sebagai media penyampaian maklumat untuk khalayak penontonnya.

Peranannya lebih berkesan berbanding seni persembahan tradisional yang lain seperti Wayang Kulit, Mak Yong, Dabus, Dondang Sayang, Rodat, Boria, Kuda Kepang, Menora, Selampit.

Persembahan Dikir Barat yang terdiri dari 2 segmen; nyanyian dan mengarut. Segmen mengarut, sungguhpun karut sifatnya tetapi membuka ruang menyoal, menyindir, membidas dan memberi penjelasan. Ciri-ciri ini terangkum mirip sebuah persembahan debat atau perbahasan. Persembahan Dikir Barat ini, asasnya bukan sekadar hiburan berbentuk nyanyian, tetapi segmen kedua ini menggambarkan ciri-ciri pendidikan politik, kebebasan bersuara dan kepintaran berhujah.

Keberanian serta kematangan seorang tukang karut membidas dan membalas lontaran idea dari pihak lawan, menggambarkan perwatakan seorang yang berfikiran terbuka serta ketangkasan berhujah. Justeru itu, seni persembahan yang asasnya dibangunkan dalam masyarakat tradisional Kelantan ini, mengiringi sifat asas politik penduduknya.

Amatlah tepat gelaran yang diberikan "Kelantan tok guru politik", kerana kandungan persembahan Dikir Barat itu, mengcirikan unsur-unsur mendidik manusia menjadi seorang ahli politik yang boleh berhujah dan berdebat. Berbanding dengan persembahan tradisional yang lain, yang lebih berbentuk monolog dan retorik, seperti Wayang Kulit atau pun Selampit, Rodat dan Menora.

Dalam tahun 1960an dan awal 1970an, setiap tahun diadakan Debat Ekonomi di Universiti Malaya, serta majlis seumpama itu di IPTA masa itu yang lain: UKM, USM dan Maktab Teknik (sekarang UTM). Majlis berkenaan membolehkan mahasiswa dan khalayak umum dapat berkongsi maklumat dengan berbagai golongan dari luar kampus, khususnya tokoh-tokoh politik tanah air, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang. Semuanya ini, di era sebelum pelaksanaan Akta Univeristi dan Kolej Universiti, 1975.

Warisan medan ujian kepintaran di pentas terbuka dengan khalayaknya di desa menonjolkan tokoh-tokoh tukang karut Seman Wau Bulan yang seringkali digandingkan dengan Hussien Gelang Emas, dipertingkatkan ke kota dan meluas ke kampus universiti, menerusi debat dan forum yang telah memunculkan tokoh-tokoh seperti Dr Mahathir Mohamad, Musa Hitam, Dr Tan Chee Khoon, Lim Kit Siang, Fan Yew Teng, Dr Sanusi Osman, dll.

Seman dan Hussien cuma bertegang leher di pentas. Turun pentas tumpang kereta sama, balik ke rumah masing-masing. Boleh singgah minum, bergilir membayar. Malam berikutnya, naik pentas semula. Penonton yang rata-ratanya tiada kemudahan akses maklumat semasa, boleh sedikit sebanyak berkongsi pengetahuan. 

Hari ini, tukang karut dalam Dikir Barat dibataskan dengan beberapa larangan, menyaksikan ianya sebuah pentas dengan mesej retorik dengan fokus sebagai hiburan semata. Medan tokoh politik berdebat dan berhujah di pentas terbuka tertutup. 

Langkah diambil oleh kerajaan Pas Kelantan menerusi Urusetia Penerangan Negeri menganjurkan beberapa wacana mempertemukan beberapa insan penting dalam politik dan akademik tanah air, sejak setahun dua ini, sepatutnya diambil langkah yang sama oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain, khususnya negeri-negeri yang diperintah oleh BN tanpa bertukar tangan sejak merdeka.

Tahniah kepada Penerbitan Karangkraf yang berani mengambil tanggungjawab sosial ini, menganjurkan beberapa wacana dengan gandingan panel dari berbagai parti dan perbadanan, seharusnya diambil tindakan sama oleh media mainstream seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Langkah berani dan proaktif ini yang diambil oleh sebuah NGO, ASLI yang mempertemukan Chua Soi Lek dan Lim Guam Eng dalam satu perdebatan.

Harapan akhirnya, media mainsteam harus ambil langkah menganjurkan satu perdebatan antara Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan dengan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Perdebatan antara DS Najib dengan DS Anwar Ibrahim harus ambil semangat Seman Wau Bulan dan Hussien Gelang Emas, 50 tahun dulu, sekadar berdebat di pentas. Lain kali bertemu pula dalam siri yang sama. Tak ada penonton yang jemu.

Sementara di zaman ini, kena malu kepada Obama dan Romney, mereka berdebat di media letronik, membolehkan kita ikut sama menonton. Era globalisasi kini, orang tak main dah, cakap monolog, bercakap dengan audiens pasif, retorik gaya bebas dipentas. Hari ini, perlu kepada manusia yang jujur, berani dan berterus-terang. Menungu masa untuk dibidas, serta bersedia dan bertanggungjawab pertahan hujah. Bukan lontar batu sembunyi tangan.

Asas segmen tukang karut dalam Dikir Barat puluhan tahun itu, harus dijadikan tindakan susulan mematangkan tahap kita berpolitik secara terbuka serta mempertahankan prinsip sebagai manusia tulen, bukan politikus pondan, hanya pandai bercakap bentang bajet dan ucapan dasar, kemudian tinggal majlis, takut untuk menjawab bidasan, kritikan dan teguran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan