Khamis, 15 November 2012

Dua Wajah Demokrasi

DEMOKRASI DARI 2 PERSPEKTIF: KAPITALISME & SOSIALISME

Demokrasi sebagai asas keadilan sosial untuk  memenuhi tuntutan hak individu dalam masyarakat ditafsirkan mengikut keperluan fahaman yang berbeza. Keadilan sosial dari maksud asal demokrasi adalah dari sudut peluang yang sama untuk semua individu menentukan kuasa pentadbiran. Asasnya, demokrasi itu dibina untuk mencapai matlamat politik, bagaimana manusia menyelesaikan masalah bersama secara jemaah.

Peranan setiap individu diakui oleh kumpulan atau jemaah, setiap pandangan individu dihargai menggambarkan peri penting dan bernilainya suara orangramai sebagaimana democracy can be most simply understood as a procedure for taking decisions in any group, association or society, whereby all members have an equal right to have a say and to make their opinions count.

Justeru itu, dalam merealitikan kepentingan setiap individu yang membina atau membentuk satu entiti, kesatuan atau lebih luas sebuah wilayah atau negeri, persamaan hak dan mengambil kira segala pandangan dan suara anggota atau rakyat, menggambarkan betapa bernilainya suara atau pandangan setiap individu. Prinsip " one person, one vote, one value", menggambarkan perluasan konsep semua orang memiliki peluang yang sama.

Asas demikian ditafsirkan di Barat, sebagai rakyat diberi hak yang sama rata menentukan kerajaan atau rakyat membentuk sendiri pihak berkuasa untuk mentadbir kawasan yang mereka diami. Hal ini disempurnakan melalui pembentukan pemerintahan menerusi proses pilihan raya. Konsep setiap individu mempunyai persamaan suara, diterjemahkan sebagai kebebasan menubuhkan persatuan, kebebasan berhimpun dan kebebasan memilih.

Kebebasan tersebut diimplementasikan menerusi pilihan raya mengikut acuan berbagai. British mempopularkan pembentukan dewan legislatif perwakilan melalui dua dewan, Dewan Rendah dianggotai perwakilan mengikut kawasan pilihan raya (constituency) dan Dewan Ketuanan, dianggotai oleh perwakilan yang dilantik. Model British, diamalkan di beberapa negara bekas tanah jajahan British, termasuk Malaysia. Sistem legislatif Amerika Syarikat, keanggotaan semua badan legislatif, adalah dipilih secara langsung, juga mengikut kawasan pilihan raya. Sistem yang lebih popular, diamalkan berasaskan perwakilan proportional, di mana agihan kerusi dewan legislatif yang dikendalikan menerusi proses pilihan raya, berasaskan kepada nisbah undi keseluruhan. Contohnya, parti A, menguasai 35 peratus undi, maka parti tersebut diperuntukkan 35 peratus kerusi dewan legislatif.

Apa sistem yang diamalkan, pilihan raya adalah elemennya. Namun demikian, ada perbedaan yang jelas antara keanggotaan atau perwakilan badan legislatif antara perwakilan berdasarkan kawasan pilihan raya (constituency representatives) dengan perwakilan berasaskan nisbah undi parti (proportional representatives). Constituency representatives lebih popular dalam amalan sistem 2 parti atau 2 parti dominan, sementara proportional representatives pula lebih popular dalam sistem berbilang parti.

Di Britain, rakyat didedahkan sama ada nak pilih Parti Labour atau Conservative, di Malaysia, sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, di Amerika Syarikat, antara Republican dengan Democrat. Kalau ada parti dominan ketiga, cuma sekadar pengimbal, parti-parti lain sekadar memeriahkan demokrasi sahaja.

Di negara-negara yang amalkan proportional representative, demokrasi berbilang parti, yang meletakkan parti yang dominan pun banyak bergantung sokongan parti lain untuk bentuk kerajaan. Di setengah negara, menjurus kepada pembentukan unity government atau kerajaan perpaduan, di mana ahli-ahli parlimen yang menang bergabung bentuk kerajaan, tidak semestinya parti kerusi terbanyak akan dilantik sebagai ketua kerajaan. Parti Demokrat pimpinan Susilo Bambang, bukanlah parti utama di Dewan Pemesyuaratan. Parti Golkar, Parti Kebangkitan Bangsa, Parti Amanat Nasional, Parti Demokrasi Indonesia (pimpinan Megawati) lebih ke depan dari segi peratusan undi.

Di setengah negara pula, menjurus kepada pembentukan kelompok-kelompok gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan dan pembangkang. Kes ini berlaku di India, dalam pembentukan kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri.

Demokrasi yang dilengkapi dengan pilihan raya, menghidupkan budaya kapitalisme serta memperkukuhkan kedudukan kaum pemodal. Sungguhpun demokrasi bererti kebebasan untuk rakyat menentukan kerajaan, tetapi pihak berjaya mendapat penguasaan akan menggunakan kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan menerusi akta yang berkepentingan memberi keuntungan kepada kaum pemodal.

Pihak yang banyak ruang dan akses kepada pengundi menerusi kegiatan kempen dalam berbagai cara, memberi kemudahan yang lebih banyak kepada mereka yang ada modal dan bila berkuasa memperkukuhkan peluang-peluang menambah harta menerusi pembikinan perundangan serta kemudahan memperolehi tender.

Hubungan lebih erat antara pemimpin dengan pengikut dalam sistem perwakilan berkawasan, kerana pemimpin perlu peka, sensitif dan sentiasa menjaga kebajikan pengikut, di samping itu pemimpin perlu sumber yang banyak untuk menjaga hati pengikut. Secara tidak langsung, usaha untuk memperkukuh sumber kewangan dan kekayaan pemimpin perlu untuk survival, dalam mengekalkan hubungan berpanjangan pemimpin-pengikut.

Melebarnya kapitalisme, kerana rakyat yang diberi hak atas nama kebebasan bersuara sebenarnya terikat dengan ganjaran dan balasan berbentuk material. Justeru itu, benarlah kata orang, demokrasi memperkukuhkan kapitalisme. Demokrasi menyekat manusia kebebasan kerana demi kehidupan, manusia memerlukan ganjaran demi kehidupan, walaupun diberi kebebasan suara, tapi mereka tiada pilihan.

Pendokong sosialisme, yang dulunya dikenali sebagai blok Timur, mentafsirkan kesamarataan bukan sekadar kesamarataan dan hak yang sama setiap insan. Bila hubungan antara pemimpin dengan pengikut diikat dengan jaminan kemudahan dan balasan kebendaan, melanggarkan hak kebebasan manusia. Justeru itu, demokrasi pada kacamata sosialisme, hanya akan wujud apabila pembahagian harta kekayaan yang adil dan sama rata di kalangan rakyat, tanpa mengira kedudukan.

Bila terungkainya ikatan antara manusia berasaskan kebendaan, maka barulah demokrasi yang berasaskan kebebasan bersuara, bolehkan direalisasikan. Pembentukan sebuah negara bangsa dengan ketidaksamataan harta kekayaan, adalah sebuah kesamarataan palsu, cuma dalam imaginasi sahaja.

Pada hakikinya, pada rohnya, demokrasi yang asasnya kebebasan dan peluang yang sama setiap individu hanya pada nama saja, cuma satu alat untuk mengesahkan pihak berkuasa untuk mengekalkan kuasa. Dengan pengekalan kuasa itu, memberikan kemudahan dan ruang untuk mengaut kekayaan khazanah negara.  Telahan pendokong sosialisme ini ada kebenarannya, bila kita padankan dengan realiti demokrasi di negara kita, membuka jalan dan ruang bagi pihak tertentu memperkayakan diri dan kroni. Seolah-olah demokrasi sengaja dijunjung dan dipertahankan, kerana ianya alat untuk menyekat pihak lain (musuh politik) menguasai bidang pengangerahan kekayaan negara menerusi pemberian tender.

Lantaran itu, baik negara sebelah Barat atau Timur, semuanya mengaku melaksanakan dan mengamalkan demokrasi. Negara yang amalkan sistem satu parti, bersungguh-sungguh mengaku mempertahankan demokrasi untuk menjamin keadilkan, kesamarataan dan kebebasan suara. Bagi mereka, bila rakyat keluar membuang undi, maka tertunailah tanggungjawab rakyat dalam negara demokratik.

Negara-negara komunis membubuhkan perkataan 'demokratik", sebagai melambangkan sifat murninya demokrasi dalam tadbir urus negara. Korea Utara dikenali sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea, Republik Demokratik Rakyat Congo.

Namun apa istilah, tafsiran dan konotasinya, umumnya secara global, demokrasi bukan sahaja menjadi idaman untuk kesejahteraan manusia, tetapi juga alat untuk mempertahankan kuasa dan harta peribadi dan kroni. Bagi yang gila kuasa, bermati-matian mempertahankan idealisme demokrasi, kerana demokrasi mengabsahkannya meneruskan kerakusan membolot kekayaan dan menafikan hak orang lain.

Sama ada bagi pemuja kapitalisme atau pendokong sosialisme, hak rakyat harus diberi kepada rakyat, usah takut dan bimbang, bila hilang kuasa, tiada esok untuknya. Yakinlah kepada firmanNya yang bermaksud: " Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa) dan Allah pula membalas tipu daya mereka, dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya" Al Imran 54 (3:54).

Sebuah catatan sempena 1 Muharam 1434





Tiada ulasan:

Catat Ulasan