Ahad, 2 September 2012

Tuntutan Royalti Minyak

KESUNGGUHAN BN DALAM TUNTUTAN ROYALTI MINYAK


Pengumuman PM DS Najib pembentukan sebuah jawatankuasa khas tuntutan royalti minyak yang melibatkan kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, di saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), memberikan ruang khalayak awam membina berbagai interpretasi. Tafsiran awal, ialah menampakkan kesungguhan dan kesedian pihak kerajaan Persekutuan, menawarkan rundingan untuk menilai Perjanjian yang ditandatangani oleh pihak PETRONAS dengan kerjaan negeri Kelantan, 1975, yang disensasikan sejak 2009.

Mengungkit semula isu royalti minyak Kelantan; PM kedua, Tun Abdul Razak Hussien semasa menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Bandar Melaka) di Dewan Rakyat, 12/11/1975 menyebut, "mengikut perjanjiian itu tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktor".

Sementara jawapan yang lebih detail berhubungan hak negeri Kelantan eloklah merujuk kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kasitah Gaddam, kepada soalan Senator Hassan Harun di Dewan Negara, 4/4/1989; "sekiranya minyak diperolehi di hadapan kawasan berhadapan dengan negeri Kelantan, negeri Kelantan akan menerima hasil royalti sebanyak 5 peratus daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana yang diterima oleh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak".

Secebis lakaran sejarah royalti minyak sepatutnya Kelantan berhak memperolehinya semenjak 2005. Kekalahan BN 5 kali berturut dalam perebutan menguasai DUN Kelantan, sejak PRU 1990 hingga PRU 2008, menggagalkan Kelantan menerima haknya.  Senario berubah menafikan roh dan semangat perjanjian 1975, demi kepentingan politik penguasa kerajaan Persekutuan. 


Pemimpin kecil dan besar, sama ada di peringkat Pusat atau negeri yang mewakili kepentingan kerajaan Persekutuan di Kelantan memberikan berbagai alasan untuk memperkukuhkan agenda penderaan ke atas rakyat Kelantan menerusi tindakan serta sikap layanan ke atas pihak yang menguasai kerajaan negeri Kelantan. Semua episod ini menggambarkan penyingkiran nilai kemerdekaan hakiki yang menjadi impian setiap nurani setiap individu yang mendokong pendemokrasian kehidupan harian semua insan.

Penyuburan nilai-nilai neo-kolonialisme menerusi hubungan satelite-pinggiran, di mana kerajaan Persekutuan sebagai satelite, sementara kerajaan negeri adalah pinggiran yang membentuk satelite tersebut dan berlaku sikap pergantungan. Lingkaran pergantungan inilah memperkukuhkan Pusat sebagai penjajahan bentuk baru. Inilah nasib yang diterima oleh kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh parti yang berlainan dengan parti yang memegang kuasa di Pusat. Setengah pemimpin Pusat dan media main stream mengistilahkan kerajaan pinggiran dengan istilah nakal "kerajaan pembangkang".

Sementara PM semasa, DS Najib memberitahu Dewan Rakyat pada 4/11/2009, " tiada pengeluaran petroleum daripada kawasan perairan negeri Kelantan dan Terengganu. Oleh itu kerajaan Kelantan tiada hak untuk menuntut pembayaran royalti".

Cadangan DS Najib selaku pemimpin kerajaan Persekutuan pembentukan jawatankuasa khas tersebut, bolehkan diterjemahkan sebagai satu strategi menghadapi PRU13, yang rata-rata disebutkan PRU penentuan hidup mati UMNO/BN. Ini lantaran jawatankuasa tersebut dicadangkan akan membuat keputusan dalam tempoh 6 bulan. Jika 6 bulan bererti besar kemungkinannya selepas selesai PRU13.

Sebagai anggota masyarakat sivil, pembentukkan jawatankuasa khas royalti ini, mempunyai 2 kepentingan menyebelahi BN menjelang PRU13. Pertama sebagai memperlihatkan rasa kebertenggung jawaban kerajaan BN di atas kebajikan rakyat serta sifat murah hati kerajaan BN.  Kedua berdasarkan senario seluruh negara kini memperlihatkan harapan BN kekal kuasa kerajaan Persekutuan amat mencabar dan harapan BN merampas kerajaan negeri Kelantan mempunyai potensi.

Rasionaliti selepas PRU13, dengan andaian UMNO/BN akan berjaya merampas kerajaan negeri Kelantan dalam PRU13 nanti, di mana tuntutan royalti di mahkamah oleh kerajaan negeri sekarang, di mana tertunggak sejak tahun 2005 dari 4 telaga di JDA, PM302 dan PM301 satu-satunya telaga tidak bertindih bersamaan RM4.2 billion atau kira-kira RM270 juta setahun. Kerajaan baru selepas PRU13 dijangka akan menerima tunggakan tersebut. Kerajaan negeri selepas PRU13 di bawah UMNO/BN boleh berdikari, sungguhpun kerajaan Persekutuan akan dikuasai oleh pakatan pembangkang utama; PKR, DAP dan Pas.

Keyakinan UMNO mampu menguasai 23 kerusi DUN Kelantan dan boleh bentuk kerajaan dengan simple majority berdasarkan 6 kerusi yang dipertahankan ditambah 17 kerusi yang akan dirampas dari Pas/PKR. Keyakinan BN berasaskan kepada prestasi BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Manek Urai dan Galas. Dalam PRK Manek Urai (Julai 2009), Pas cuma menang dengan 0.61 peratus sahaja atau 65 undi, berbanding 13.3 peratus dalam PRU12.

Dalam PRU12, jumlah undi yang dipungut oleh Pas/PKR di 44 kerusi negeri (tidak termasuk kerusi Kijang, di mana Pas menang tak bertanding) ialah 336,220 undi, sementara jumlah undi BN ialah 260,501 undi atau perbezaan 75,719 iaitu 12.69 peratus, dari jumlah 596,868 undi sah. 147 undi lagi adalah undi kepada seorang calon bebas.

Justeru itu, kes Manek Urai menjadi asas analisis, angka 13.3 boleh menjunam ke 0.61, kerusi yang dimenangi Pas/PKR di bawah paras purata negeri, 12.69 peratus, berada dalam garisan bahaya. BN mengfokuskan untuk menawan kerusi berkenaan. Terdapat 17 kerusi berkenaan ialah: Gual Periok (2.62), Gaal (2.79), Wakaf Baru (4.09), Bukit Tuku (4.46), Jelawat (5.60), Kemuning (6.07), Selising (6.17), Semerak (6.37), Perupok (7.16), Air Lanas (7.51), Dabong (7.60), Galas (7.92), Guchil (7.96), Limbongan (10.46), Melor (10.66), Tendong (11.39) dan Pulai Chondong (11.95).

Tidaklah menghairankan mengapakah kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa khas royalti, seolah-olah hendak memenuhi tuntutan royalti yang menjadi antara fokus utama Pakatan Rakyat, di saat menjelang PRU13. Sementelahan pula diramalkan Hari Kemerdekaan tempoh hari, adalah sambutan terakhir di bawah kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN.

Bila negeri Kelantan diperintah oleh "kerajaan pembangkang" selepas PRU13, akan bermewah dengan tunggakan royalti petroleum berbillion ringgit. "Kerajaan pembangkang" UMNO Kelantan dijangka mampu menyediakan prasarana dan pembangunan fizikal, sungguhpun JPP dikuasai oleh kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat masa itu. Apakah kebarangkalian ini menjadi ilham wujudnya jawatankuasa khas royalti petroleum. Sebagai khalayak awam, amatlah diharapkan, jawatankuasa ini dibentuk seberapa segera, sebab Parlimen Ke 12, sekarang akan berakhir April 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan