Khamis, 30 Ogos 2012

Dilema Pengundi Melayu

DILEMA PENGUNDI MELAYU TERUNGKAINYA FAKTOR SIMPANAN TETAP DALAM PRU13

Dalam catatan saya minggu lepas dipaparkan kebimbangan Barisan Nasional menghadapi Pilihan Umum ke 13 (PRU13), hasil daripada beberapa peristiwa di negeri Johor, yang merupakan kubu UMNO/BN sejak merdeka. Diperkukuhkan lagi, kenyataan MB Johor yang dipetik dari portal Free Malaysia Today.

Jangkaan kehilangan 9 kerusi Parlimen adalah satu kejutan yang memerlukan kebangkitan serta kerja kuat, bukan sahaja di pihak BN, tetapi juga pihak pakatan pembangkang sebagai golongan berkepentingan. Dengan kemungkinan kemerosotan 1/3 kerusi BN, berasaskan kemungkinan 9 kerusi berkenaan, menepati pendapat TPM TS Mahyiddin Yassin bahawa PRU13 adalah ibu segala pilihan raya di negara kita dan BN akan hadapi cabaran paling getir.

Seandainya berlakunya kemerosotan 1/3 atau 30 peratus kerusi yang dimenangi BN dalam PRU12, telahan kerajaan Persekutuan akan bertukar akan bukanlah satu imaginasi. Segala persiapan kemungkinan ke arah itu, perlulah diperlengkapkan oleh semua pihak yang berkepentingan. Pihak  pemegang kuasa semasa seharusnya bersiap sedia meninggalkan Putrajaya dengan berlapang dada serta akur kepada kemurniaan demokrasi yang didokongi lebih 50 tahun.

Di pihak pakatan pembangkang, sekiranya ada persefahaman pilihan raya, bersiapsiaga memperkemaskan jentera serta mempertingkatkan permuafakan, andainya diberi peluang membentuk kerajaan, berlakunya proses peralihan kuasa dengan penuh semangat demokrasi. Kedua-dua pihak bersedia menerima apa saja sebaik mungkin tanpa perancangan provokasi menafikan suara demokrasi yang menjadi asas pengwujudan keadilan sosial.

Terungkainya cengkaman BN di kubu kuatnya, Johor, sebagaimana dibimbangi MB Johor tersebut, asas persoalannya ialah sejauhmanakah impaksnya ke seluruh negara, di Semenanjung khususnya. Sekiranya, kesan serta analisis dan momentun pemilihan pengundi sebagaimana yang dipaparkan dalam 16 siri pilihan raya kecil seluruh negara selepas PRU12 itu berkekalan, dengan peratusan sokongan pengundi Melayu:Cina:India kepada BN: 60:20:50, sebaliknya untuk pakatan pembangkang; 40:80:50, akan mengubah panorama PRU13 nanti.

Secara perbandingan, dalam PRU12, peratusannya untuk BN ialah 60:45:35, sementara kecenderungan kepada pakatan pembangkang 40:55:65, telah menafikan suara majoriti 2/3 di Parlimen serta penguasaan 5 buah negeri oleh pakatan pembangkang. Dijangka kesan perubahan sokongan pengundi Cina yang menurun dari 45 peratus kepada 20 peratus, sementara pengundi India berubah sebaliknya dari 35 peratus dalam PRU12, kepada 50 - 55 peratus, akan memburukkan atau memerosotkan sokongan kepada BN dalam PRU13 nanti.

Justeru fokus persempadanan kawasan pilihan raya Parlimen di Johor dalam tahun 2003 kepada kawasan campuran, jika diambil dari angka 80 peratus pengundi Cina memihak ke pembangkang, 14 kawasan Parlimen di Johor dalam bahaya buat BN. Sumber BN Johor akui 9 kerusi Parlimen dari angka tersebut akan jatuh.

Andainya berlakunya perubahan mendadak sikap pengundi Cina di saat akhir, katakan peratusan pengundi Cina turun dari 80 peratus ke 60 peratus, masih 12 kerusi Parlimen di Johor dalam bahaya. Sungguhpun perubahan 20 peratus, tidak banyak mengubah keadaan yang boleh membantu memulihkan sokongan jangkaan kepada BN.

Mengambil kadar purata 40:80:50, yang terbentuk dalam tempoh pasca PRU12 hingga PRK terakhir iaitu Merlimau dan Kerdau (2011) untuk sokongan pembangkang dan pembangkang berjaya menaruh keyakinan pengundi agar mengekalkan momentum, diramalkan 28 kawasan Parlimen yang dimenangi BN dalam PRU12, iaitu kawasan pengundi Melayu kurang 75 peratus, akan jatuh ke pakatan pembangkang. Antaranya: Alor Star, Tambun, Kuala Kangsar, Kampar, Lumut, Raub, Bentong, Pandan, Setiawangsa, Bukit Katil, Segamat, Ledang, Kluang, Gelang Patah, Kulai. Dari 28 itu: DAP (12), Pas (5) dan PKR (11), kiranya parti yang sama bertanding di kerusi sama dalam PRU12.

Itu belum dikira, ada 6 kerusi Parlimen yang pengundi Melayunya melebihi 80 peratus, di mana Pas tewas dengan majoriti kecil; Arau, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Larut, Parit dan Jerantut.

Ini ditambah lagi, salah satu simpanan tetap BN, iaitu Sarawak. Berpandukan kepada perjumlahan undi setiap kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (DUN Sarawak) 2011, terdapat 6 kawasan Parlimen di mana undi BN ditinggalkan oleh jumlah undi pakatan pembangkang: Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sarikei, Bintulu dan Miri. Sementara Sibu, BN mengatasi pembangkang dengan cuma 700 undi, dan DAP menang dalam PRK Sibu, 2010.

Sebuah lagi negeri fixed deposit undi BN iaitu Sabah, akhir-akhir ini, digelorai dengan keluar parti di peringkat pemimpin parti komponen BN. Dijangka, akan terus berlaku dalam masa terdekat. Ini menggambarkan secara relatifnya, suasana kemerosotan sokongan BN sedang melanda Sabah secara beransur. Mengambil pengalaman Sabah tahun 1976, 1985/86 dan 1994, kes seumpama ini membawa kepada keruntuhan sokongan parti yang sedang memerintah, yang telah menukar kerajaan.

Memetik tulisan Mohd Farhan Darwis, dalam portal The Malaysian Insider (27/8/12): Dr Mahathir recently warned Najib against further estranging members of the ruling coalition, saying any defections could result in BN losing the next election. Sedutan itu,  Dr Mahathir mengulas penghijrahan parti, pengistiharan keluar parti serta kemasukan beberapa tokoh ke dalam parti-parti pakatan pembangkang.

Setengah analisis menyebut, pakatan pembangkang yang kemudiannya bermuafakatan dalam Pakatan Rakyat, yang memenangi 82 kerusi Parlimen dalam PRU12, dijangka dapat mengekalkan 78 kerusi berkenaan. Ditambah dengan ramalan di atas serta kesan dalam terungkainya kekebalan benteng terakhir BN: Johor, Sabah dan Sarawak, secara zahir angkanya 78 campur 28 campur 6 campur 6, menjumlahkan 108.  Belum ada angka spesifik kesan senario Sabah semasa. Untuk bentuk kerajaan Persekutuan memerlukan 112 kerusi untuk simple majority. Justeru itu, tiada ada ketidakmungkinan, PRU13, adalah PRU yang amat getir, sengit, mendebarkan dan tada kejutan andainya sebuah pemerintahan baru akan terbentuk, menjelang Subuh malam pengiraan undi.

Berpandukan kadar 60:20:50 untuk BN dan 40:80:50 untuk Pakatan Rakyat, untuk semua negeri kecuali negeri yang memilik pengundi Melayu melebihi 75 peratus: Terengganu (95.5), Kelantan (94.3), Perlis (84.1) dan Kedah (77.1), undi dan kerusi BN akan menjunam kemerosotannya berbanding PRU12. Selain Pulau Pinang dan Selangor, Perak dan Negeri Sembilan berpeluang besar akan dikuasai PR. BN dijangka hilang kuasa majoriti 2/3 di DUN Melaka dan Johor.

Mungkinkah tepat ulasan Mohd Sayuti Omar menerusi blognya: msomelayu.blogspot.com (25/8/12), gelombang PLUS akan melanda UMNO/BN dalam PRU13 nanti. Kalau dalam PRU12, gelombang ini bermula di Bukit Kayu Hitam, melanda Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan terhenti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Gelombang ini menyusur lebuhraya  ke Negri Sembilan, Melaka dan Johor. Ini melihat kepada perkembangan terakhir di selatan tanah air, yang menunjukkan riak inginkan perubahan.

Dalam satu sesi : " Weak, World, Strong Malaysia", satu taklimat tinjauan ekonomi kepada pelabur-pelabur asing,anjuran Phillip Morris (Malaysia) Sdn Bhd, ahli ekonomi dari Economic Corporate Network, Justin Wood (lihat The Malaysian Insider, 28/8/12) menyebut Malaysia di bawah kepimpinan DS Najib sedang melaksanakan beberapa program pemulihan ekonomi, yang akan memberi kesannya BN dijangka akan terus berkuasa dengan pengurangan jumlah kerusi Parlimen. Maksudnya, prestasi BN dalam PRU13 akan lebih buruk berbanding PRU12, walaupun masih boleh bentuk kerajaan. Berita yang sama dalam akhbar mainstream, Berita Harian (30/8/12), tidak menyebut BN akan perolehi jumlah kerusi yang kurang dari PRU12. Itulah keadilan dan kebebasan suara yang diamalkan oleh media mainstream.

Kesimpulannya dari beberapa maklumat di atas, PRU13 akan menghasilkan satu keputusan yang mengejutkan. Sebenarnya, jika menyelami suasana, senario dan persekitaran isu sama ada nasional atau tempatan, dalam masa 4 tahun terakhir ini, keputusan pihak mana yang akan mengatasi pihak lain, bukanlah satu kejutan, kerana memang sudah diduga.

Kesan dari lonjakan sikap dan kecaknaan masyarakat sivil disertai kematangan ilmu dan pengalaman, memungkinkan benteng terakhir BN sejak lebih 50 tahun, akan direntap dan dijatuhkan dalam PRU13. Usia kemerdekaan yang sudah melewati separuh abad, menambahkan impian untuk merungkaikan belenggu pemerintahan yang popular dengan rasuah serta penindasan ekonomi kroni pemimpin kerajaan.

Kedewasaan demokrasi kita, sudah mula meminggirkan isu-isu tampak seperti prasarana fizikal dan kemudahan awam, tepi lebih mendalami persoalan moral dan nilai, seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, pembaziran, ketidak telusan, keutamaan kroni, nepotisme serta sikap opportunis kepimpinan di semua peringkat. Ini antara sekelumit faktor yang mendekatkan jarak kemusnahan faktor kubu kuat atau kerusi fixed deposit.

Rasa serba salahnya ialah pengundi Melayu di seluruh negara. Mereka berdepan dua pilihan:

Pilihan A: mempertahankan kerajaan yang ada dengan alasan mempertahankan kuasa Melayu menerusi UMNO/BN. Dengan kata lain, mengekalkan BN menguasa kerajaan Persekutuan.

Pilihan B: membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang lebih kukuh dan stabil, dengan penyertaan berbilang kaum.

Pilihan A, sebuah kerajaan yang tidak stabil dari segi politiknya, kerana dikuasai satu kaum, berdapan pembangkang yang kuat dari kaum lain. Mungkin kerusi BN, bahagian besarnya dimenangi menerusi UMNO. Sementara, majoriti anggota pembangkang terdiri dari bukan Melayu, bahagian besar dimenangi menerusi DAP.

Pengalaman di Perak 2008/2009, kerajaan Pakatan Rakyat yang dikepelai oleh Pas menduduki kerusi MB, tetapi kerusi kerajaan lebih didominasi oleh anggota DAP, semuanya bukan Melayu. DAP mempunyai 18 ADUN, sementara Pas dengan 6 ADUN mewakili orang Melayu. Sementara pembangkangnya 27 ADUN UMNO mewakili Melayu dan seorang ADUN MCA. Memaparkan wujud kerajaan dikuasai atau didominasi satu kaum dan pembangkang oleh satu kaum, di negeri bilangan pengundi campuran. Komposisi pemilih di Perak dalam PRU12: 47.24 peratus Melayu, 40.23 peratus Cina, 11.5 peratus India. Sungguhpun pengundi Melayu kurang separuh, tetapi memiliki 36 ADUN dari jumlah 59: UMNO (27), Pas (6) dan PKR (3). Sementara ADUN bukan Melayu 23 orang: DAP (18), PKR (4) dan MCA (1). Jika ADUN Pas bergabung ADUN UMNO bentuk kerajaan, 2 kali 5 juga, pembangkang pula terdiri dari ADUN bukan Melayu. Ini lebih memperkukuhkan polarisasi kaum dan menyekat perpaduan, dalam sebuah kerajaan negeri, yang mempunyai jumlah pemilih yang hampir sama, antara kaum.

Justeru itu, kerana pengundi Cina agak liat untuk kembali ke BN, dengan peningkatan trend sokongan kepada PR selepas PRU12, sedangkan pengundi Melayu, sudah berlaku sedikit swinging balik ke BN. Ini akan melebarkan lagi jurang pemisahan antara kaum, yang memungkinkan, dominasi kaum berlainan di pihak yang membentuk kerajaan dan pihak yang menjadi pembangkang. Dengan kereputan sokongan di benteng terakhir UMNO/BN, yang memungkinkan BN akan terlepas banyak kerusi, yang akan jadi teka teki siapa akan bentuk kerajaan lepas ini.

Ada kemunasabahan, pengundi-pengundi Melayu menolak calon UMNO, untuk memberi kemenangan kepada calon-calon Pas dan calon-calon Melayu dari PKR, supay.a boleh bergabung membentuk kerajaan yang mencerminkan kepelbagaian kaum, bersama calon-calon yang dipilih masyarakat bukan Melayu. Dikhuatiri, wujud ketidakstabilan politik, andainya PR ambil alih penguasaan kerajaan Persekutuan, sebagaimana pengalaman atau kes Perak dulu.

Pilihan B berupaya membentuk sebuah kerajaan yang stabil, mencerminkan keharmonian dalam situasi kepelbagaian kaum di Malaysia, dengan mengekalkan status quo; Yang Dipertuan Agung sebagai Ketua Negara dibantu seorang Perdana Menteri, mewakili masyarakat Melayu secara tradisinya sebagai Ketua Kerajaan. Seeloknya Ketua Pembangkang Parlimen juga mewakili masyarakat Melayu, untuk memperlihatkan penghakisan polarisasi kaum dan menghilangkan sentimen rasis, yang boleh membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi keyakinan pelaburan asing.

Gelora lanjutan trunami politik 2008, yang sedang menulari dan merebak ke selatan Semenanjung dan menyeberangi Laut China Selatan ke Malaysia Timur, menimbulkan serba salah di kalangan pengundi seluruh negara sama ada mengekalkan status quo sejak 55 tahun atau menyembut Kemerdekaan ke 55 ini dengan azam baru, ingin membuat perubahan.

Memetik dari  ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh dalam tweetnya (29/8/12): so many senior citizens told me,"we can't wait for the coming elections". Pendek kata, bukan saja kita menunggu dengan penuh debar, tindakan dan pendirian pengundi bawah 40 tahun dan the first time voters, yang telah menyumbangkan kejutan PRU12, malah golongan dari berbagai peringkat umur, tidak sabar menunggu bila Parlimen hendak dibubarkan, untuk menyempurnakan tanggungjawab masing-masing kepada negara.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55. Semoga kedewasaan kemerdekaan kita, mematangkan kita membuat pilihan yang tepat demi masa depan negara kita serta generasi kita.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan