Jumaat, 17 Ogos 2012

Faktor Kelantan & Johor

FAKTOR KELANTAN DAN JOHOR DALAM PENENTUAN KEPUTUSAN PILIHAN PENGUNDI

Persepsi pengundi Kelantan dan Johor, dua extreme tanggapan dan sikap yang jauh berbeza, menjadikannya satu elemen yang terasing dan istimewa, dalam penentuan keputusan pilihan raya di Malaysia, sejak belum merdeka lagi. Dalam suasana kita menyambut dan mengingati kemerdekaan tanah air, dua faktor extreme ini, amat penting dalam membaca sikap, pendirian, pilihan dan gelagat pengundi dalam penyertaan massa di bawah sistem demokrasi berperwakilan.

Kelantan, satu-satunya penguasaan kerajaan negeri yang dikuasai oleh orang Melayu yang paling banyak bertukar tangan, sementara Johor, kubu UMNO paling kuat, bersesuaian dengan tempat lahirnya parti berkenaan. Kuatnya UMNO Johor, membolehkan negeri yang sering memberikan calon Perikatan dan Barisan Nasional melalui calon UMNO, menang tidak bertanding, dalam 12 siri pilihan raya umum (PRU) di negara kita. Kemenangan tidak bertanding yang jantan, iaitu kerana tiada lawan atau parti lawan amat lemah di kawasan berkenaan, bukan menang tak bertanding kerana kesilapan teknikal calon lawan. Kesilapan teknikal termasuklah; kesilapan mengisi borang pencalonan, status calon, tidak memenuhi syarat menjadi calon.

Dalam PRU4 (PRU 1974), semasa Pas menyertai BN, semua negeri memperuntukan kerusi, dengan mengorbankan kerusi UMNO untuk Pas, atas semangat BN, kecuali Johor. Negeri-negeri yang belum pernah ada wakil Pas dan DUN, saperti Pulau Pinang, Selangor, Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan, buat pertama kalinya membolehkan Pas memiliki ADUN, yang menang atas tiket BN, kecuali Johor. Johor, sebagai kubu terkuat UMNO, disertai kelemahan pengaruh Pas di negeri itu, tidak memperuntukan atau mengorbankan kerusi UMNO kepada Pas.

Kelainan partisipasi politik berpilihan raya yang unik dan amat ketara perbezaannya dengan negeri lain, Kelantan dan Johor mempamerkan identiti politik mindset tersendiri. Ianya lebih diperkukuhkan dengan senario sejarah politik di negeri berkenaan yang berlainan dengan negeri lain.

Dr Noordin Sopiee (Allahyarham), dalam tesis kedoktoran falsafahnya yang dikemukakan ke Universiti Nasional Singapura, From Malayan Union To Singapore Separation, menyebut dua kerajaan negeri enggan menerima taraf kemerdekaan menerusi Persekutuan Tanah Melayu, yang dianjurkan oleh Parti Perikatan, yang menenangi pilihan raya umum pertama sebelum merdeka, Pilihan Raya Umum Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu.

Kelantan tidak mahu merdeka bersama Persekutuan Tanah Melayu kerana tidak mahu berkongsi kuasa dengan suku kaum lain; Cina, India dan lain-lain. Walau akhirnya, setelah melalui beberapa rundingan dan pujukan, Kelantan bersetuju menyertai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sementara Johor pula tidak mahu merdeka bersama gabungan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, kerana tidak yakin berkerajaan sendiri. Johor pada awalnya memilih, untuk terus kekal di bawah British, anak tempatan tidak mampu hendak menghasilkan barangan untuk keperluan sendiri. Nak buat jarum pun tak mampu. Kalau merdeka pun, tidak merdeka sepenuhnya kerana masih bergantung kepada penjajah dalam berbagai bidang.

Jelas menunjukkan dari awal lagi, senario politik Kelantan terbentuk satu budaya sukar berkongsi kuasa dengan kaum lain, tidak semudah masyarakat di negeri lain. Contohnya, dalam PRU1 (PRU 1959), Perikatan menurunkan tiga calon Cina dari MCA: Bandar Hilir (kawasan campuran dengan Melayu 60 peratus), Ulu Kelantan Barat dan Tumpat Tengah (kawasan majoriti Melayu, 80 peratus pengundi Melayu). 3 kawasan paling pengundi bukan Melayu di Kelantan masa itu. Calon MCA, Wee Khoon Hock menang besar di Bandar Hilir (kawasan Kota Lama sekarang, pusat bandar Kota Bharu).

Foo Chow Yong kalah di Tumpat Tengah (sekarang: Kelaboran ) kepada calon Pas. Wong Yeow Wye kalah di Ulu Kelantan Barat (sekarang: Galas, Nenggiri, Dabong) kepada calon Pas. Itulah kali pertama Pas menang di Ulu Kelantan, sehinggalah Pas menang sekali lagi Galas dalam PRU12.

Berbeza dengan negeri Terengganu, dalam PRU1, Perikatan meletakkan 2 calon Cina (MCA)  di kerusi Bandar (pusat bandar Kuala Terengganu) dan Chukai (majoriti Melayu, lebih 80 peratus). Kedua-dua calon MCA ini menang mudah dengan majoriti besar. Sedangkan sejak PRU1 hingga kini, pengundi Melayu di Terengganu lebih tinggi berbanding Kelantan.

Dalam PRU2, Perikatan menukarkan calonnya kepada calon UMNO di Ulu Kelantan Barat dan Tumpat Barat, Perikatan berjaya merampas kerusi berkenaan. Di Ulu Kelantan Barat, dengan majoriti besar. Di kerusi Chukai, juga ditukar kepada UMNO.

Dalam PRU7 (PRU 1986) BN menurunkan calon MCA di kerusi Guchil, Lau Kim Siong, menyebabkan BN gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi calon UMNO dalam PRU6, kepada calon Pas. Sejarah 1959 berulang, calon bukan Melayu tidak diterima di kawasan majoriti Melayu. Di kerusi Labok(dulunya: Bandar Machang), yang dimenangi calon UMNO sejak PRU2, kalah dengan majoriti besar kepada calon Pas, kerana UMNO meletakkan calon berbangsa Pakistan. Kekalahan BN di kubu kuat sejak tahun 1960an ini, menyaksikan keunikan politik Kelantan, berbeza dengan negeri lain, malah dengan jirannya, Terengganu. Itulah realiti pendidikan politik Kelantan, yang sejak awal lagi sebelum merdeka, sudah ada identitinya sendiri, terasing dengan ragam politik nasional.

Di Terengganu, dalam PRU3, UMNO meletakkan keturunan Pakistan, Jabir Mohamad Shah di Hulu Besut dan berjaya mengalahkan penyandang kawasan berkenaan dari Pas, Lokman Abdul Kadir yang memenanginya dalam PRU2. Kejayaan calon UMNO ini agak istimewa di kala prestasi Pas meningkatan di seluruh Terengganu dalam PRU3.

Dalam PRU12, Tan Lian Hoe dari Parti Gerakan yang bertanding atas tiket BN, menang selesa di kerusi Parlimen Gerik, di kawasan 75 peratus pengundi Melayu. Ini amat jauh berbeza dengan pengalaman Kelantan. Mungkinkah konsep 1Malaysia mendahului zaman di luar Kelantan.

Dari lakaran politik kepilihanrayaan di atas, menjelaskan faktor kaum tidak merentasi parti di Kelantan, berlainan di negeri lain. Tetapi faktor parti merentasi orang luar - anak tempatan, atau faktor negeri. Justeru itu, sejak belum merdeka lagi, orang Kelantan boleh terima orang luar sebagai pilihan mereka. Khalid Awang Osman, asal Kedah, menang dalam pilihan raya pertama 1955, di kawasan Kelantan Selatan, atas tiket Perikatan. Beliau adalah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, zaman Tunku.

Di pihak Pas, sejak 1959, menjadikan tapak kepimpinan nasional parti dari luar Kelantan, menduduki kerusi Parlimen. Antara mereka; Zulkifli Mohamad (Bachok 1959-1964), Dato' Raja Abu Hanifah (Pasir Mas Hulu 1959-1964), Ahmad Abdullah (Kelantan Hilir 1959-1967), Othman Abdullah (Tanah Merah 1959-1964), Abu Bakar Hamzah (Bachok 1964-1969), Dr Sanusi Daeng Mariok (Rantau Panjang 1990-1999), Muhamad Sabu (Nilam Puri/Kubang Kerian 1990-1999), Salahuddin Ayub (Kubang Kerian 2004-kini), Nasharuddin Mat Isa (Bachok 2008-kini).

Kes ini juga berlaku di Terengganu, tetapi bagi Parlimen Pertama (1959-1964) sahaja, membolehkan tokoh-tokoh Dr Burhanuddin Mohd Nor (Besut), Hassan Adli Haji Arshad (Kuala Terengganu Utara) dan Khadijah Sidek (Dungun), serta Dato' Onn Jaafar (Kuala Terengganu Selatan) dari Parti Negara.

Sebaliknya, dalam PRU4 (PRU 1974), Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) yang menjadi pembangkang utama di Terengganu masa itu, meletakkan tokoh-tokoh nasional bertanding di kerusi Parlimen; Kassim Ahmad, Dato' Kampo Radjo Baginda Kayo dan Siti Noor Hamid Tuah, semuanya kalah.

Sementara Johor pula, di samping menjadi kubu kuat UMNO, sejak belum merdeka, adalah negeri yang paling selamat untuk kepimpinan parti komponen BN lain dari luar Johor untuk bertanding. Tun Ling Liong Sik, masa jadi Presiden MCA, adalah Ahli Parlimen Labis. Datuk S. Subramaniam, semasa menjadi Timbalan Presiden MIC, bertanding di Segamat, untuk membolehkannya menduduki kerusi Timbalan Menteri, setelah tewas dalam PRU5 di kerusi Damansara. DS Ong Ka Ting, masa pegang Presiden MCA, adalah Ahli Parlimen Tanjong Piau, kini di Kulai. Datuk Kerk Choo Ting, Timbalan Presiden Gerakan, 2 penggal jadi Ahli Parlimen Simpang Renggam. Kerusi Segamat kini diduduki Dato' Dr S. Subramaniam (Timbalan Presiden MIC). Ketua Pemuda MCA, Dato' Dr Wee Ka Siong, bertanding di Parlimen Ayer Hitam, sejak 2004.

Persoalannya, apakah Kelantan dengan identitinya tersendiri berbudayakan kerajaan negeri bertukar tangan, dari UMNO ke Pas (1959), Pas ke UMNO (1978), UMNO ke Pas (1990), tidak menjadikan sesuatu yang upset bila berlaku kejatuhan sebuah kerajaan. Apakah episod-episod ini akan membina satu kerangka baru dalam politik nasional, sebagaimana dicetuskan asasnya dalam PRU12 lalu, berlakunya pertukaran kerajaan di 4 negeri.

Rationalitinya, kerangka pemikiran politik yang dibina di benak orang Kelantan, sebaik saja kita mencapai kemerdekaan, secara pelahan meresap ke lain-lain tempat dan sudah hampir mensasari pembinaan nilai dan pemikiran politik nasional. Masanya cukup panjang itu telah mematangkan idealisme politik baru di negara kita yang dicetuskan asasnya di Kelantan. Wajarlah kalau hendak ditampilkan, Kelantan adalah guru politik. Berkebetulan kerajaan negeri Kelantan dikepalai oleh seorang tuan guru.

Johor dengan legendanya kubu BN menerusi UMNO sejak belum merdeka. Dato' Onn Jaafar, pengasas UMNO dan bekas Menteri Besar Johor, gagal bertapak di Johor menerusi Parti Negara, selepas meninggalkan UMNO dan Independence Malaya Party (IMP) dalam pilihan raya 1955, dan terpaksa mencari medan baru di Terengganu dalam PRU1.

Johor kini adalah benteng terakhir UMNO. Ini dapat disaksikan kepada analisis prestasi UMNO/BN dalam 3 PRU terakhir. Dalam PRU10 (PRU 1999), undi dan pencapaian calon-calon BN yang bertanding di kawasan luar bandar/kawasan majoriti Melayu alami kemerosotan di semua negeri di Semenanjung kesan gelombang Reformasi 1998/99. Johor terkecuali dalam kes ini. Pencapaian undi BN di Johor adalah satu-satunya negeri di mana undi BN meningkat berbanding PRU9.

Sumber media baru serta pemerhatian empirikal akhir-akhir ini menunjukkan diramalkan perubahan dalam skala besar dijangka berlaku di Johor. Andainya, ini berterusan, sudah barang tentu benteng terakhir BN menerusi pendokong utamanya, UMNO akan terempoh, sama ada berbentuk skala kecil atau besar.

Mungkinkah penyebarluasan kematangan politik Kelantan serta terungkainya cengkaman UMNO di Johor, mempengaruhi gelagat dan pilihan pengundi seluruh negara, PRU13 adalah pilihan raya yang contradict dengan 12 PRU yang lepas.


Selamat hari raya, maaf zahir dan bathin, untuk semua pengunjung cikguzain.blogspot.com




Tiada ulasan:

Catat Ulasan