Khamis, 17 Mei 2012

Strategi Daftar Pemilih

DAFTAR PEMILIH SATU STRATEGI

Salah satu dari lapan tuntutan gerakan pembaharuan pilihan raya menerusi Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 ialah pembersihan pendaftaran pemilih. Daftar pemilih sebagai mekanisme utama dalam mana-mana amalan pilihan raya dan ianya menjadi antara faktor dominan menentukan keputusan pilihan raya, sejak akhir-akhir ini. Faktor isu semasa sama ada tempatan atau nasional, perwatakan calon, dasar parti serta manisfesto, masih lagi antara faktor utama, tetapi faktor pendaftaran pemilih serta senarai pemilih diberi perhatian yang amat berat semua parti yang bertanding, khususnya di negara kita.

Faktor pendaftaran pemilih serta senarai pemilih yang layak mengundi atau electoral rolls juga berkait rapat dengan mekanisme persempadanan kawasan pilihan raya. Faktor ini memberi kelebihan kepada parti pemerintah, setiap kali berlakunya perubahan atau persempadanan kawasan pilihanraya di Malaysia. Persempadanan kawasan pilihan raya bukan sekadar penyusunan kawasan daerah mengundi serta lokaliti, yang lebih penting ialah pertambahan kawasan pilihan raya, yang disusunatur yang sengaja dirancangkan untuk memberi merit kepada parti pemerintah.

Berbalik kepada isu pendaftaran pemilih, ianya mula dikenalpasti sebagai satu strategi dalam pilihan raya negeri (Dewan Undangan Negeri) Sabah 1994. Ini dapat dikesan, sepanjang tempoh 1990-1995, jumlah pengundi di Sabah bertambah sebanyak 103,107 dari angka daftar pemilih dalam PRU 1990: 543,612 atau 18.97 peratus. Kadar peningkatan pengundi yang paling tinggi di seluruh negara. Berbanding peratus purata seluruh negara 13.24 peratus. Ianya lebih nyata kesan strategi daftar pemilih. Salah satu mekanisme popular di Sabah 1990-1994 ialah pemberian kad pengenalan kepada pendatang dari Filipina, di sebelah pantai timur Sabah. Kesannya, PBS kehilangan banyak kerusi. Dalam pilihan raya Sabah 1994, PBS dapat 25 kerusi dan Barisan Nasional 23. Dalam masa 2 hari selepas pilihan raya, beberapa ADUN PBS lompat ke BN, membolehkan Sakaran Dandai membentuk kerajaan baru.

Strategi ini diperkukuhkan lagi, dalam tempoh 1995-1999, Sabah telah menambah peningkatan pemilih sebanyak 11.20 peratus, iaitu kadar tertinggi di seluruh negara, berbanding 6.12 peratus seluruh negara. Justeru itu, memberi kemenangan besar kepada BN di Sabah. Ini menjadikan Sabah, kubu kuat BN, hingga hari ini. Peningkatan peratusan pengundi yang tinggi di negeri yang rata-ratanya luar bandar, komunikasi jalan darat yang serba terhad serta akses kepada maklumat yang masih rendah, adalah sesuatu yang luar biasa. Sesuatu yang mustahil, kesedaran sivik yang tinggi membolehkan berlakunya perubahan besar dalam pendaftaran pemilih.

Berbanding wilayah yang pesat dengan pertumbuhan penduduk ekoran perkembangan pesat ekonomi saperti di Lembah Klang: Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, cuma meningkat sebanyak 8.73 peratus dan 6.01 peratus, bagi tempoh 1995-1999. Sedangkan Sarawak, yang memiliki persamaan struktur muka bumi dengan Sabah, taburan kependudukan, latar belakang demografi, kemudahan prasarana perhubungan, batasan geografis, cuma dapat mencatat pertambahan pemilih sebanyak 4.58 peratus sahaja.

Apabila kerajaan BN Terengganu jatuh hasil kekalahan dalam PRU 1999, cuma menang 4 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri serta kalah semua 8 kerusi Parlimen, satu strategi menggunakan mekanisme daftar pemilih telah diusahakan di Terengganu. Haslnya, berlakunya pertembahan pengundi yang luar biasa di Terengganu, dalm tempoh 2000-2004. Usaha dan perancangan menerusi projek Gelombang Biru mencatatkan pengundi di negeri itu telah meningkat dari 387,339 dalam PRU 1999 kepada 455,924 menjelang PRU 2004 atau 17.71 peratus, berbanding peningkatan pengundi seluruh negara cuma 2.01 peratus.

Kesan peningkatan pengundi seramai 68,585 atau 17.71 peratus itu, menghasilkan BN berjaya merampas Terengganu dari Pas, dengan menguasai 28 dari 32 kerusi DUN.

Dalam tempoh 2004-2008, pengundi di Terengganu meningkat sebanyak 14.40 peratus, seramai 65,673 pengundi. Angka 14.40 peratus ini, masih tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung. Kesanya, BN masih kuasai Terengganu dalam PRU 2008, dengan kuasai 24 dari 32 kerusi DUN (hilang 4 kerusi). Peningkatan besar, 14.40 ini, menjadikan Terengganu, negeri banyak menambah undi untuk BN. Undi BN di Terengganu, untuk kerusi negeri, meningkat sebanyak 18,064 undi atau 8.13 peratus, Kelantan: 6,261 undi atau 2.46 peratus dan Perlis: 1,218 atau 2.13 peratus, sementara di negeri-negeri lain, undi BN merosot, kesan ledakan Tsunami Politik PRU 2008.

Pengalaman Sabah dan Terengganu menerusi percaturan atau gerakan daftar pemilih menampakkan kaitan yang amat rapat antara gerakan daftar pemilih dengan prestasi pilihan raya.

Pengalaman Pas Kelantan dalam PRU 2004, di mana Pas dapat menguasai kerajaan dengan majoriti tipis: Pas 24, BN 21., dan cuma mampu bertahan dengan kedudukan: Pas 23, BN 22, selepas Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir 2006. Dalam tempoh 2000-2004, pertambahan pengundi cuma 20,968 atau 3.27 peratus, antara terendah berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung. Justeru itu, dalam tempoh 2004-2008, Pas bekerja kuat mempertahankan kerajaan yang hampir jatuh itu, dengan langkah utama gerakan daftar pemilih, begitu juga BN dalam usaha merampas penguasaan DUN, hasilnya pengundi di Kelantan bertambah sebanyak 88,960 atau peningkatan 13.42 peratus, antara tertinggi. Hasilnya, Pas bersama PKR berjaya meningkatkan penguasaiaan kerusi DUN dari 23 ke 39.

Awal bulan ini, SPR telah mengumumkan jumlah pendaftaran pengundi baru dari Suku Pertama 2008 dan berakhir Suku Keempat 2011, dalam tempoh 4 tahun, seramai 1,008,850 orang telah didaftar dan disahkan dalam senarai induk daftar pemilih 2011. Senarai ini boleh digunakan sekiranya pilihan raya diadakan bila-bila masa.

Kuatnya sentimen kepilihanrayaan serta kesan tsunami 2008, semua parti, sama ada kerajaan atau pembangkang main peranan utama menggerakkan jentera daftar pemilih. Pertambahan pengundi berlaku dalam kadar atau peratusan peningkatan yang hampir sama di semua negeri, dengan purata peratus nasional ialah 9.39 peratus dari jumlah pengundi PRU 2008. Paling rendah di Sarawak, 7.73 peratus, tertinggi Sabah (11.56%) dan Selangor (10.55%).

Sama ada negeri yang diperintah BN atau Pakatan Rakyat, selain Selangor, semuanya di sekitar 8 hingga 9 peratus. Seramai 165,222 pendaftaran baru di Selangor (10.55%). Negeri-negeri yang kadar pendaftarannya rendah dalam tempoh 1995-2008: Pulau Pinang, dan Perak, pada kadar bawah 4 peratus, juga meningkat: 64,029 orang di Pulau Pinang atau 9.03 peratus, 96,710 di Perak atau 8.09 peratus.

PRU13 amatlah dijangka menarik, apabila kadar pendaftaran baru atau first time voters yang agak seimbang di semua negeri di seluruh negara, berbanding PRU sebelum ini, di mana negeri-negeri tertentu sahaja menjadi tumpuan gerakan daftar pemilih. Timbalan Perdana Menteri, TS Mahyuddin Yassin kata: PRU13 ibu segala pilihan raya. Ada analisis sebut: selesailah teori RAHMAN menerajui negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan