Jumaat, 25 Mei 2012

Konflik kelas

PERSAINGAN MENJELANG PRU13 &  KONFLIK KELAS

Hari mengundi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) terus menjadi teka teki dan teki yang mendedahkan rakyat dengan berbagai spekulasi. Amalan ini menjadikan suasana menjelang pilihan raya di negara kita agak menarik serta unik berbanding dengan amalan negara-negara jiran, kecuali Singapura. Rakyat di Thailand, Filipina dan Indonesia hadapi piliahan raya di negara mereka dengan tenang kerana tarikhnya diberikan lebih awal dan dalam tempoh yang lama.

Amalan menyorok tarikh pilihan raya serta menjadikan hak menentukan tarikh sebagai satu strategi melemahkan pihak lawan, yang amat berkesan, di Malaysia dan Singapura. Hak menyembunyikan tarikh pilihan raya, satu keistimewaan pada sang penguasa, sejak puluhan tahun. Keistimewaan ini cuba dipertahankan dengan apa cara sekalipun, mewujudkan rakyat yang mendokong prinsip demokrasi too much politiking.Lebih banyak masa untuk politiking daripada aktiviti kehidupan yang lain.

Ada baiknya, permainan surong tarik tarikh pilihan raya. Ianya secara tidak langsung memberikan kuliah pendidikan politik kepilihanrayaan secara percuma untuk rakyat terbanyak serta menanam nilai-nilai kemurniaan demokrasi merangka kehidupan manusia yang lebih bermakna.

Secara tidak langsung, pemerhatian secara empirikal, kita dapat membuat beberapa perbandingan nilai, budaya dan tingkahlaku kepimpinan serta penyokong parti-parti politik utama di negara kita, setelah BN yang dikepalai UMNO bukan lagi kuasa monopoli selepas PRU8 (1990) dan PRU12 (2008). 

BN yang dikepalai UMNO mengepalai semua kerajaan baik di Pusat atau negeri, di samping Parti Bumiputera Bersatu (PBB) yang mengepalai kerajaan negeri Sarawak. Berbanding Pakatan Rakyat, yang punyai kuasa yang seimbang antara 3 parti: Pas kuasai kerajaan negeri Kelantan dan Kedah, DAP di Pulau Pinang dan PKR mengetuai kerajaan negeri Selangor.

Sungguhpun BN dianggota oleh 14 buah parti politik (sebelum SAPP keluar), hakikatnya budaya, gaya hidup, sikap dan perwatakan UMNO dan PBB, yang lebih menonjol dan menampakkan atau memberi gambaran sebenar BN. Berlainan dengan Pakatan Rakyat: ketiga-tiga parti memberikan manifestasi perwatakan kepimpinan PR, walaupun berbagai latar belakang pendidikan, dasar parti dan budaya serta ras.

Kepimpinan dari berbagai peringkat dalam BN yang ditonjolkan oleh UMNO dan PBB, membentuk satu gaya hidup baru, kelas baru, yang lebih mencorak kepada kelas pemodal, kapitalis dan materialis, yang mengamalkan budaya elitis. Ianya telah melahirkan manusia yang meletakkan kepentingan diri lebih diutamakan: kesannya terbentuklah kronisme, nepotisme, korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Satu budaya politik baru di Malaysia ialah menafikan korupsi dalam parti pemerintah dengan membina untuk mengabui mata rakyat yang rabun "politik wang". Lebih nakal lagi, kes dalaman parti tidak boleh dibawa ke mahkamah, kerana mahkamah sivil buta politik.

Kepimpinan UMNO dan PBB lebih menonjol membawa budaya feudalisme dan kapitalisme berbanding kepimpinan PRS, PBS, Gerakan atau UPKO, mengaut harta kekayaan dan khazanah negara kerana  khurafat  "dulu. kini dan selamanya" amat diyakini dan diimani.

Sementara kepimpinan yang ditunjukkan oleh Pas di Kelantan dan Kedah serta Terengganu dan Perak (suatu masa), DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor, lebih sederhana, telus dan hemat berbelanja. Hingga hari belum ada kepimpinan Pas, DAP dan PKR dituduh di mahkamah atas tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Belum ada Menteri Besar atau Exco atau wakil rakyat Pakatan Rakyat, diwarwarkan dengan membina kediaman baru atau dapat kontrak jutaan ringgit atau kroni dapat kontrak juataan ringgit projek tak siap.

Gaya hidup Menteri Besar atau Exco Pakatan Rakyat tak seboros dan semewah, rakan sejawat mereka dari BN. Mereka lebih menjiwai rakyat marhean, papa kedana dan proletariat, berpandukan budaya hidup sederhana rakyat terbanyak. Budaya korporat, mewah, membazir, boros dan bermegah dengan kenderaan mewah, tidak pernah dipaparkan di mana-mana media arus perdana yang mesra BN dan pro-kerajaan Pusat.

Paparan dan penonjolan etika kerja, kerja buat dan perwatakan kepimpinan dari berbagai peringkat dari desa ke Putrajaya, dari kampung ke Kota Darulnaim atau Komtar,  dari dua fraksi utama masakini: Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dapatlah disimpulkan secara kasarnya BN mewakili kelas elit dan kapitalis baru, PR mewakili rakyat kelas bawahan dan marhaen.

Apakah PRU13 nanti, bukan saja pertarungan hidup mati BN mempertahankan Putrajaya, bukan saja pertarungan antara BN dengan PR, bukan saja pertarungan kelas pemodal dengan kuasa politik baru hasil tsunami politik 2008. Tapi yang tersirat ialah pertarungan atau konflik kelas masyarakat pasca Dasar Ekonomi Baru. Apakah implikasi kegagalan DEB, meningkatkan 30 peratus ekuiti Bumiputera, cuma memperkayakan segelintir Bumiputera yang ada hubungan dengan kuasa politik yang memperkukuhkan kronisme serta nepotisme, akan diterjemahkan dalam peti undi.

Salah satu fakta yang kurang popular dan jarang didebatkan, kemerosotan undi Parti Perikatan dalam PRU 1969 serta tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969, kerana konflik kelas. Rakyat desa meninggalakan sektor desa serta tani yang disinonimkan dengan kemiskinan, berhijrah ke kota untuk memperbaiki kehidupan. Di kota, mereka jadi setinggan dan gagal baiki ekonomi.Di kampung mereka ditindas, di kota pun juga ditindas.  Penjelmaan kekecewaan inilah yang mencetuskan konflik kelas membawa kepada elemen di atas. Faktor konflik kelas ini ditudung dan yang lebih ditonjolkan ialah konflik kaum, demi survival dan kepentingan politik.

Mungkinkah agenda ini dihidangkan lagi menjelang PRU13, demi mileage politik pihak tertentu. Harapannya, kita inginkan sebuah kehidupan yang aman di mana nilai-nilai murni demokrasi tidak dicacatkan.

Sejauhmanakah runcingnya atau sempitnya lompang pendapatan antara kelas masyarakat kita, akan dijatuhkan hukummya oleh rakyat.  Antara doa yang mudah dimaqbulkan Allah, ialah doa orang yang tertindas. Pastinya, rakyat kelas bawahan. Ingat, suara rakyat suara keramat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan