Isnin, 28 Mei 2012

Daftar Pemilih Tak Bersih

DAFTAR PEMILIH TAK BERSIH MERENCAT PRU13
Satu perkara yang menarik untuk renungan semasa ialah pendapat berbeza antara 2 pihak yang menjadi aktor utama episod ke 13, Pilihan Raya Umum (PRU13): Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Sumber yang disebut dari BN, PR cuma mampu menang di 105 kerusi dari 222 kerusi Parlimen. Ertinya gagal bentuk kerajaan, kerana simple majoritinya: 112 kerusi.

Maklumat dari PR pula menyebut: BN cuma mampu menang 79 atau 80 kerusi melalui UMNO, 3 melalui MCA, dan 21 kerusi dari parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak, menjadikan jumlah kerusi yang mampu menang BN ialah 103 atau 104 sahaja. Semua calon BN dari MIC, Gerakan dan PPP akan kalah. Dalam PRU12: UMNO bertanding 120 kerusi Parlimen (105 di Semenanjung, 14 di Sabah dan 1 di Labuan), MCA 39, MIC 9, Gerakan 11 dan PPP 1.

Sekiranya formula agihan kerusi di kalangan anggota komponen BN kekal sebagaimana PRU12, UMNO akan hilang 40 atau 41 kerusi Parlimen. Di Semenanjung, BN akan hilang semua kerusi di kawasan majoriti bukan Melayu dan bahagian besar kawasan campuran, berikutan perubahan mood dan sokongan kepada BN selepas PRU12, sebagaimana yang dipamirkan dalam 16 siri pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Jika dicampurkan ramalan berasaskan pemerhatian empirikal serta perubahan sikap pengundi yang amat ketara selepas PRU12, 104+105=209 kerusi, ada baki 13 kerusi yang akan menjadi penentu, mana-mana gabungan membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Sudah barang tentu PRU13, amat menarik dan cukup istimewa. Himpunan ucapan dan ulasan pemimpin dan mantan pemimpin BN akhir-akhir ini jelas menampakkan keistimewaan dan kelainan PRU13, berbanding dengan PRU sebelum, yang dilalui mudah, serta dengan kemenangan bergaya. Andainya jumlah kerusi yang menjadi penentu, ditentukan oleh keputusan undi di kurang dari 10 peratus kerusi Parlimen, tentu mendebarkan dengan serba kemungkinan. Sama ada sebuah kerajaan yang lemah kerana beza kerusi kerajaan dan pembangkang yang kecil atau kerajaan akan bertukar tangan secara demokratik.

Laporan kajian sebuah badan penyelidikan persendirian, Merdeka Center, terbaru, 92 peratus respondennya berpendapat daftar pemilih yang dikelolakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dibersihkan sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang bakal menjelang. Kajian tersebut dipilih dari 1,019 responden yang dipilih dari berbagai kumpulan etnik, taburan umur, merangkumi jantina berlainan serta dari kawasan penempatan yang berbagai serta berlainan latar belakang pendidikan dan sosio-ekonomi.

Angka 92 peratus amat besar dan beri impaks yang berat. Tambahan pula badan yang laksanakan kajian ini, sebuah badan bebas, tidak memihak dan ada kepentingan dengan pihak kerajaan dan pembangkang, sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri. Kajian ini dijalankan pada 14 hingga 26 April 2012, berakhir 2 hari sebelum himpunan Bersih 3.0. Justeru itu, penemuan fakta berkenaan amat wajar diberi perhatian oleh semua pihak, yang menjadi aktor proses kepilihanrayaan: agensi terlibat pendaftaran pemilih (bukan SPR sahaja), petugas parti-parti politik dan paling penting, rakyat sebagai pengundi berdaftar.

Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dari 31 Mac hingga 15 April 2012, walaupun respondennya lebih ramai 2,282, tidak menggambarkan dapatan yang adil, bebas dan berwibawa, kerana UM adalah agensi di bawah pengurusan kerajaan Persekutuan, sinonimnya dikawalselia kerajaan. Hasil kajiannya merumuskan, pemilih inginkan status quo yang ada. 49 peratus respon memilih BN mengekalkan kerajaan Persekutuan, 21 peratus cenderung kepada Pakatan Rakyat.  Di Kelantan, 44 peratus memilih Pas/Pakatan Rakyat, 27 peratus memihak kepada UMNO/BN.

Secara lateralnya, hasil dapatan kajian Merdeka Center di bawah pimpinan Sdr. Ibrahim Suffian, memberi implikasi rakyat tidak yakin dengan kerja buat serta ketelusan SPR mengurus pendaftaran pemilih. Maknanya, senarai daftar pemilih yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) sengaja dihidangkan untuk kepentingan dan muslihat politik golongan tertentu, yang menggambarkan secara halus SPR gagal mewujudkan sebuah pengurusan yang adil dan telus untuk pelanggan utamanya: rakyat Malaysia.

Seramai 49 peratus atau hampir separuh responden Merdeka Center, bersepakat bersetuju dengan kenyataan proses pendaftaran pemilih di negara kita, bebas dan bersih dari ketidakaturan. Maksudnya, mereka tidak yakin bahawa proses pendaftaran pemilih dilaksanakan mengikut peraturan. Sementara 39 peratus, berpendapat sebaliknya, tidak setuju pernyataan daftar pemilih di negara kita tidak bersih.

Di kalangan responden Melayu, 57 peratus yakin senarai daftar pemilih keluaran SPR adalah bersih, sementara 39 peratus tak yakin bersih. Bagi 4 peratus, tidak pasti. Di kalangan responden berbangsa Cina: 19 peratus yakin ianya bersih, sebaliknya 68 peratus tak yakin akan kebersihan dan ketelusannya. Sementara responden India: 39 peratus yakin dan 50 peratus tak yakin.

Jangkaan kerusi yang akan diperolehi BN, 77 peratus diperolehi menerusi calon UMNO, yang bertanding di kawasan majoriti Melayu, seimbang dengan peratusan responden Melayu kepada kerja buat SPR, begitu juga sebaliknya peratusan responden Cina yang beri komitmen tidak yakin terhadap daftar pemilih yang bersih, BN akan ditolak di kawasan campuran dan majoriti Cina.  

Dengan kedudukan 50:50, BN : PR, berbaki 13 atau 14 kerusi, harapannya senarai pemilih yang bersih diharap dapat diimpikan sebelum PRU13: tiada nama pengundi diragui, tiada nama pengundi sama dengan perbezaan satu atau dua digit dalam mykad, pendaftaran berganda, pengundi yang ramai didaftar di satu alamat, alamat tidak wujud, tiada projek IC (pengalaman Sabah 1994).


Sebuah catatan di Taman Sentosa Indah, Teluk Ayer Tawar, Butterworth, 28/05/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan