Sabtu, 21 Januari 2023

Pilihan UMNO

 DULU NO ANWAR NO DAP KINI NO CONTEST

UMNO baru selesai mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), mesyuarat agung parti yang tertangguh. Keistimewaan PAU kali ini ialah memutuskan tiada pertandingan dua jawatan utama parti: Presiden dan Timbalan Presiden. Alasan utama keputusan berkenaan untuk mengstabilkan parti setelah  UMNO alami dua kekalahan; dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) hilang kerajaan Persekutuan dan hanya mampu bertahan dua buah kerajaan negeri, kemudian diikuti kekalahan lebih teruk dalam PRU15, prestasi yang lebih parah berbanding PRU14. 

 Prestasi UMNO bersama Barisan Nasional (BN) dalam PRU15, meletakkannya sebagai kuasa ketiga, sekadar melengkapkan diri untuk membantu mana-mana pihak mencukupkan bilangan kerusi membentuk kerajaan. Dalam PRU14, BN ditolak oleh pengundi bukan Melayu, tapi dalam PRU15, penolakan terhadap BN merangkumi semua pihak, penolakan secara total, menjadikan UMNO sudah tidak relevan mewakili masyarakat terbanyak, orang Melayu. `

UMNO yang ditubuhkan secara rasminya pada 11 Mei 1946, asasnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dengan matlamat utama memperjuangkan nasib bangsa dan warga Melayu bermula krisis kepimpinan setelah kegagalan Yang Dipertuanya, Dato' Onn Jaafar membuka ruang keahlian UMNO kepada bukan Melayu serta sokongan UMNO membuka kerakyatan kepada bukan Melayu, memaksa perletakkan jawatannya  pada 26 Mei 1951. 

Kekosongan kepimpinan UMNO, membuka ruang pencarian ketua parti. Dalam pemilihan YDP UMNO dalam mesyuarat agung UMNO tahun 1952, Tunku Abdul Rahman berjaya mengatasi saingan Ahmad Fuad Hassan (Ketua Biro Agama UMNO) dan CM Yusoff. Tunku berjaya memimpin UMNO bersama MCA dan MIC dalam komponen Perikatan memenangi pilihan raya pertama: pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1955, yang merintis kepada pembentukan kerajaan sendiri. 

 Kerajaan sendiri yang diketuai oleh Tunku selaku Ketua Menteri, menuju kepada kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Di bawah Tunku, Perikatan telah memenangi 3 kali Pilihan Raya Umum (PRU), PRU1 (1959), PRU2 (1964), PRU3 (1969). Kemerosotan pencapaian serta rusuhan kaum selepas PRU3, memaksa Tunku berundur. 

 Tun Hussien Onn yang mengambil alih kepimpinan UMNO dari Tun Abdul Razak dalam tahun 1976, telah diuji dalam perhimpunan parti untuk memilih kepimpinan parti sesi 1978/1981. Beliau dicabar untuk jawatan Presiden (dulunya YDP) oleh Sulaiman Palestine, yang disebut sebagai kroni Dr Mahathir Mohamad, orang nombor dalam parti masa itu. Tun Hussien perolehi 898 undi, Sulaiman Palestine dapat 250 undi. 

 Pemilihan kepimpinan UMNO sesi 1987/1991 menjadi kemuncak dalam perebutan kuasa dalam UMNO, yang membentuk ada dua pasukan bertanding: Team A dn Team B. Tengku Razaleigh Hamzah yang telah tewas kepada Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden bagi sesi 1981/84 dan sesi 1984/87 bekerjasama dengan Musa Hitam mengetuai Team B. Bagi jawatan Presiden, Tengku Razaleigh memperolehi 718 undi, ketinggalan 43 undi, kepada Dr Mahathir yang merangkul 761 undi. Untuk jawatan Timbalan Presiden, Abdul Ghaffar Baba hanya mengatasi Musa Hitam dengan kelebihan 46 undi. 

Selepas pemilihan 1987, kumpulan Team B digugurkan dari jawatan kabinet. Tindakan 11 cawangan  membawa kes salah pengurusan dalam pemilihan 1987 membawa kepada UMNO diharamkan pada 04/02/1988. 2 cadangan penubuhan parti baru mengisi kekosongan UMNO; UMNO 46 dan UMNO Malaysia. Kedua-duanya ditolak untuk memberi laluan kepada penubuhan UMNO (Baru) pada 13/02/1988.

 Ujian kekuatan UMNO (Baru) boleh diukur menerusi pilihan raya kecil. Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Puteri, 15/03/1988, di negeri kubu kuat UMNO, nyaris memalukan BN. Calon BN yang diwakili UMNO (Baru) hanya menang 31 undi saja, di mana sudah ada gerakan memboikot undi kepada UMNO/BN. Protes melalui mengundi parti lawan atau tidak keluar mengundi, hanya 58.18% sahaja mengundi. Lazimnya di Johor, UMNO menang dengan majoriti besar.

Antara menteri tersingkir, Shahrir Samad. Beliau mengosongkan kerusi Parlimen Johor Bahru untuk membolehkan satu PRK. PRK Johor Bahru, 25/08/1988, memberikan Shahrir yang bertanding sebagai calon bebas menumpaskan calon UMNO (Baru) dengan majoriti besar, 12,613 undi. Keputusan PRK Johor Bahru telah membuka episod baru dalam politik negara, bermulanya penolakan rakyat dan penyokong UMNO terdahap kepimpinan UMNO (Baru) khususnya.

 Kekosongan kerusi DUN Johor kawasan Parit Raja, membawa kepada PRK Parit Raya, 20/10/1988. Di Johor, beberapa kawasan dikenalpasti sebagai kubu kuat UMNO, yang merekodkan UMNO sama ada melalui Perikatan atau BN, seringkali menang tak bertanding, kiranya ada pertandingan calon lawan UMNO hilang wang pertaruhan dalam  beberapa siri pilihan raya 1960an hingga 1980an. Parit Raya tergolong dalam kategori kerusi selamat buat UMNO. Dalam PRU6 (PRU1982 dan PRU7 (PRU1986), calon UMNO menang tak bertanding.

 Dalam PRK Parit Raja, kumpulan Team B meletakkan bekas pemimpin pemuda UMNO, Hamdan Yahya sebagai calon bebas menentang calon UMNO (Baru), Yassin Kumari. UMNO (Baru) telah mengatur strategi meletakkan 5 orang calon bebas dalam saingan 7 penjuru, untuk mengelirukan pegundi. Matlamat utama supaya hasrat calon Team B menggunakan lambang kunci yang memenangi PRK Johor Bahru, tidak kecapaian, kerana peraturan SPR jika lebih seorang calon bebas, undian terpaksa diadakan memilih simbol setiap calon.

Hamdan Yahya telah memberikan cabaran sengit dengan kekalahan majoriti kecil 413 undi saja kepa calon UMNO (Baru), sementara semua 5 calon bebasp tajaan bukan sahaja hilang wang pertaruhan tetapi memperolehi undi antara 9 hingga 67 undi sahaja.

Awal 1989, berlaku kekosongan kerusi Parlimen Ampang Jaya. Ahli Parlimen Ampang dari MCA meninggal dunia. Team B meletak bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Harun Idris menenatang calon BN dari MCA. Sama seperti Parit Raja, 5 calon bebas ditaja bertanding untuk menghuru-hara calon-calon bebas. Walaupun BN terus mengekalkan kerusi ini dalam PRK Ampang Jaya pada 20/01/1989, tetapi dengan pungutan undi dan majoriti berkurangan berbanding dengan pencapaian dalam PRU7. Dalam PRU7, calon BN dapat 36,700 undi, meninggalkan 30,721 undi mengatasi calon lawan. Tapi, dalam PRK Ampang Jaya, calon BN perolehi 23,719 undi, Dato' Harun 19.489 undi, dengan majoriti 4,230 undi sahaja. Sementara semua calon dapat jumlah undi amat kecil; 22 hingga 104 undi sahaja. 

Kumpulan Team B pimpinan Tengku Razaleigh  mengasaskan penubuhan Parti Semangat 46 pada 05/05/1989, setelah cadangan penubuhan UMNO 46 digagalkan oleh penubuhan UMNO (Baru).

Kekosongan kerusi DUN Terengganu, Telok Pasu, lantaran kematian ADUN penyandang, telah membuka ruang menguji kekuatan UMNO (Baru) selepas perpecahan di negeri sebelah Pantai Timur, kawasan bukan kubu UMNO. Parti Semangat 46 mula bekerjasama dengan Pas dalam PRK Telok Pasu, 24/06/1989. Calon Pas telah merampas kerusi UMNO dengan majoriti 141 undi, berbanding kemenangan UMNO dengan 776 undi dalam PRU7. 

Menjelang PRU8 (PRU 1990) UMNO (Baru) terus diuji dengan beberapa siri PRK: Tambatan, Teruntum, Pantai Merdeka, Sungai Besar, Kuala Linggi dan Kijal, yang memberikan kemampuan BN mempertahankan kerusi yang disandang dengan kemerosotan undi berbanding pencapaian dalam PRU7. 

PRU8, memberikan kesan sebenar perpecahan dalam penubuhan serta pengaruh parti serpihan UMNO iaitu Parti Semangat 46. Kerjasama Semangat 46 kepada Pas, merampas semua kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan.  Juga membuka ruang senario penolakan kepada UMNO (Baru) di beberapa negeri, khususnya di Pantai Timur dan Johor. UMNO (Baru) meneruskan penguasaan UMNO di negeri-negeri sebelah utara. 

Perwakilan memberikan hujah pengalaman pertandingan pemilihan 1987 sebagai sandaran untuk menerima usul supaya dua jawatan utama; Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingan dalam pemilihan sesi 2023/2026. Demi mengelakkan perpecahan parti kesan pemilihan jawatan tertinggi, usul itu wajar diterima. Parti dalam babak merudum, sudahlah gagal pertahan kuasa pemerintahan dalam PRU14, lebih parah lagi UMNO hanya menang 26 kerusi Parlimen dalam PRU15. Hakikinya UMNO hanya menang 20 kerusi Parlimen, iaitu kerusi yang dimenangi di Semenanjung, tempat asal  UMNO bertapak, sementara 6 kerusi lagi dari Sabah, bolehlah dianggap sebagai bonus. 

Dengan kedudukan UMNO yang semakin mengecil dalam peta politik tanahair, apabila UMNO mengambil keputusan no contest untuk dua jawatan utama meletakkan UMNO sebagai sebuah parti yang tidak stabil dengan kegagalan untuk mengadakan mesyuarat agung pemilihan. UMNO sengaja meminda peraturan supaya mesyuarat pemilihan tidak bertembung dengan persiapan hadapai pilihan raya umum. Saingan utama UMNO, Pas sentiasa patuh kepada peraturan tanpa menghiraukan keperluan parti menumpu kepada  persiapan pilihan raya. Tahun 2023, Pas meneruskan pemilihan semua peringkat: cawangan, kawasan dan Jawatankuasa Agung, sedangkan Pas bersiapan dengan PRN di negeri yang dikuasainya. 

UMNO menangguhkan pemilihan parti semua peringkat; cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi kepada 18 bulan dari genap tempoh asal. Pemilihan terakhir UMNO ialah bagi sesi 2018/2021, telah ditundakan kepada tempoh berakhir, Mei 2023. Penundaan ini, untuk memberi ruang kepada parti hadapi PRU15. UMNO bimbang pemilihan parti memberi kesan kepada sabotaj atau seumpamanya hasil persaingan merebut jawatan dalam parti. 

Pemilihan terakhir UMNO ialah sesi 2018/2021 di mana Zahid Hamidi menang jawatan Presiden dengan perolehi 93 undi mengatasi Khairy Jamaluddin yang dapat 51 undi, Tengku Razaleigh 23 undi, Mohamad Iqbal Maricain dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin tidak mendapat sebarang undi. Sementara Mohamad Hassan menang jawatan Timbalan Presiden setelah perolehi 75 undi untuk menewaskan Annuar Musa, yang dapat 55 undi. 

Keputusan parti untuk tiada pertandingan bagi dua jawatan utama ini dalam pemilihan sesi 2023/2026, bukan setakat menafikan amalan dan prinsip demokrasi tetapi meletakkan UMNO di tempat yang salah. UMNO bukan lagi parti dominan, sebagai parti kecil dengan hanya 26 kerusi, bukan lagi satu kuasa yang disegani yang perlu disekat perebutan merebut jawatan. Apa perlu lagi, sebuah parti yang tidak terpengaruh, hanya bergantung kepada parti lain untuk terus berkongsi kuasa dengan bantuan parti lain yang lebih dominan. Di kedudukan dan situasi begini, apa perlu lagi berdelima perpecahan dalam parti.

Mungkin UMNO sudah beristikharah perlunya no contest untuk meneruskan kelangsungan dalam politik Malaysia setelah teruk ditolak oleh pengundi Melayu dalam PRU15,  bersambungan dengan penolakan bukan Melayu dalam PRU14. Pendekatan no contest ini diambil untuk mengimbangani gagasan no Anwar no DAP yang dimomokkan kepada pengundi dalam PRU15 tempohari. Sejauhmana penerimaan pengundi dengan langkah undemocratic ini dapat diterjemahkan dalam PRN di enam negeri tahun ini. Apakah pilihan UMNO ini mampu membantu UMNO untuk bangkit semula, sebagaimana prestasi UMNO dalam PRN Melaka dan PRN Johor. 


Buat sahabat-sahabat Tionghua, diucapkan selamat menyambut tahun baru.

 

 


 

 

 

 

 


 

 



 




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan