Jumaat, 15 Mei 2020

Undi Tak Percaya

USUL UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP PERDANA MENTERI 

Usul undi tidak percaya (motion of no confidence) oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri, TS Muhyiddin Mohd Yassin, pada 05/05/2020, dalam Sidang Pertama Penggal Ketiga Dewan Rakyat ke 14, pada 18/05/2020, menghangatkan iklim politik nasional yang sepi lantaran keredaan suhu setelah sebaran pendemik Covid-19. Bermula 18/03/2020, sebahagian aktiviti hidup terhenti ekoran perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekarang berada di fasa ke 5, yang akan berakhir pada 09/06/2020.

Sidang Dewan Rakyat, ikut jadual bermula 09/03/2020, ditangguhkan kerana kerajaan belum terbentuk setelah tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada 24/02/2020. Sidang yang ditangguhkan ke 18/05/2020 dan terpaksa bersidang dalam tempoh satu hari sahaja untuk meluluskan beberapa aturan tadbiran kerajaan kerana PKP, akan ditangguhkan kepada pertengahan Julai untuk 15 hari. Justeru  itu, usul persendirian undi tak percaya oleh Ahli Parlimen Langkawi terdedah kepada kemungkinan tidak sempat diadendakan dalam persidangan pada 18/05/2020, dan akan dibawa ke persidangan bulan Julai. Mengikut Perintah Tetap Dewan Rakyat,  usul-usul kerajaan akan didahulukan. Paling akhir usul persendirian di bawa ke Parlimen ialah Akta RUU 355 oleh Ahli Parlimen Marang dalam tahun 2017, dimasukkan dalam jadual dan diletakkan di agenda terakhir, sehingga hari akhir persidangan tidak sempat dibentang kerana persidangan ditangguhkan. 

Ahli mempunyai hak untuk membawa usul persendirian bila menepati peraturan perlu disegerakan, ada kepentingan awam dan tujuan tertentu pada hemat Speaker Dewan Rakyat. Usul undi tidak percaya terhadap PM kerana diyakini beliau tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, walaupun Yang di-Pertuan Agong yakin dengan jumlah sokongan ADR yang ditemuduga oleh baginda dengan semua ADR. 

Baginda Agong mendapati 112 ADR menyokong TS Muhyiddin terdiri dari 42 Barisan Nasional (UMNO: 39, MCA: 2, MIC:1), 18 Pas, 18 GPS (PBB: 13, PRS: 2, PDP: 2, SUPP: 1), PBS: 1, PBRS: 1, STAR: 1, berjumlah 81, bersama 31 ahli lain. 31 orang tersebut adalah 7 ahli PPBM, 13 ADR UMNO melompat ke PPBM (Bersatu), 10 ahli PKR keluar parti dan seorang ADR UMNO yang keluar parti berkedudukan ahli bebas (ADR Bukit Gantang). Maklumat terkini, mendapat tambahan 2 penyokong iaitu ahli Bersatu, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) yang dulunya  memihak kepada Tun Dr Mahathir dan seorang ADR PRS yang tidak sertai GPS dan tubuh parti baru, GSB, Masir Kujat (Sri Aman). Jumlah 114 menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan kekuatan TS Muhyiddin menghadapi usul undi tidak percaya. 

Sungguhpun perkembangan terakhir, Speaker Dewan Rakyat mengumumkan bahawa persidangan pada 18/05/2020, hanya titah ucapan Yang di-Pertuan Agung sahaja, sementara agenda lain ditangguhkan ke sidang akan datang, ketidakyakinan keupayaan PM Muhyiddin tetap kekal sebagai isu utama politik nasional. Kejatuhan kerajaan PH-Bersatu negeri Kedah setelah 2 ADUN PKR dan 4 ADUN Bersatu hilang keyakinan kepada kerajaan neger Kedah. Mereka akan bersama pembangkang; 15 ADUN Pas dan 2 UMNO membentuk kerajaan negeri. 

Apa yang berlaku di Kedah, memberikan gambaran politik nasional yang boleh memberikan kekuatan kepada kerajaan PM Muhyiddin. Usaha undi tidak percaya untuk menguji dan mencabar kerajaan Persekutuan di bawah PN menjadi lebih keliru dan kabur dengan perkembangan terbaru di Kedah, yang mengekalkan Bersatu bersama rakan PH, satu gambaran krisis keyakinan dalam parti Bersatu. Jika kerajaan perpaduan PH-Bersatu masih kukuh, usaha usul undi tidak percaya terhadap PM serta kerajaan PN, lebih merupakan satu cabaran kepada institusi pemerinatahan negara melibatkan peranan Yang di-Pertuan Agong, sebagai unsur utama institusi Parlimen. 

Perkembangan terbaru, apabila diletakkan agenda hanya titah perasmian Diraja sahaja dengan menggugurkan usul-usul kerajaan, seolah satu gambaran kurang jelas kedudukan dan sokongan terhadap PM dan kerajaan PN. Apakah kurang yakin memperolehi majoriti, menyebabkan sidang yang asalnya satu hari diringkas kepada titah Diraja sahaja, yang memakan masa biasanya tak sampai separuh hari. Kendatipun usul persendirian tidak sempat diagendakan, memungkinkan usul kerajaan kurang pasti mendapat sokongan majoriti. Andainya usul kerajaan gagal perolehi sokongan majoriti mudah, moralnya PM dan kerajaan PN tewas sebelum undi tak percaya. 

Perkembangan terakhir, pihak Muafakat Nasional menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya dan Setiausaha Agung Pas akan mengundi secara blok menyokong PM dan kerajaan PN, yang memiliki 60 ADR. Begitu juga GPS, serta PBS, PBRS, STAR , yang berjumlah 21 ADR, mengundi secara blok. Blok parti Bersatu yang memihak kepada Muhyiddin seramai 7 orang, semuanya dilantik sebagai menteri dan timbalan meteri (termasuk MB Perak), 10 bekas PKR penyokong Azmin Ali, dengan semuanya dilantik menteri dan timbalan menteri kecuali ADR Batu Pahat kekal dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, 13 bekas ADR UMNO melompat ke Bersatu, dengan 9 daripadanya adalah menteri dan timbalan menteri, semuanya berjumlah 30 orang. Kumpulan ini berjumlah 111 ADR. Tambahan dengan ADR  Bukit Gantang yang turut memberi sokongan awal, sudah cukup kumpulan PM Muhyiddin perolehi majoriti mudah. Di samping pendirian ADR Sri Aman dari GSB yang turut menyokong PM Muhyiddin serta ADR Simpang Renggam yang banyak memberikan kenyataan kritis terhadap partinya, Bersatu akhir-akhir ini, diyakini masih memihak kepada PM, boleh mengukuhkan keyakinan berdepan cabaran undi tak percaya yang akan dibawa oleh ahli Bersatu yang masih bersama PH.





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan