Isnin, 25 Mei 2020

Kerajaan PN Ada Majoriti

KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL BERKEDUDUKAN MAJORITI DI PARLIMEN

Persidangan Dewan Rakyat pada 18/05/2020 lepas memberikan reaksi negatif kepada barisan pembangkang baru sebagaimana dijangkakan. Sidang yang hanya diisi dengan satu agenda; titah ucapan di-Raja, dan ditangguhkan selesai titah tak sampai dua jam. Pembangkang mengharapkan sidang pertama penggal ini lebih panjang, sekurang-kurangnya lapan hari untuk membolehkan ahli membahas beberapa isu, khususnya kerajaan baru yang didakwa tiada mandat rakyat. 

Kerajaan baru, Perikatan Nasional (PN), satu kerjasama hasil perpecahan dalam kerajaan Pakatan Harapan yang baru memerintah 22 bulan dengan dibantu oleh parti-parti pembangkang: BN, Pas, GPS, serta tiga parti kecil dari Sabah, yang berjaya menghimpunan kumpulan terbanyak atau mampu atasi menguasai majoriti ahli di Dewan Rakyat.  Majoriti mudah 112 ahli sudah mencukupi, walaupun berbagai tafsiran mempersoalkan kemampuan PN memperolehi angka berkenaan. 

Sebelum TS Muhyiddin mengangkat sumpah disensasikan dengan masing-masing kumpulan mendakwa memperolehi majoriti, lantaran dikhabarkan berlaku pertindihan sokongan. Kumpulan menyokong pencalonan mantan PM, Tun Dr Mahathir mendakwa Tun perolehi sokongan 114 ahli, sebaliknya kumpulan penyokong TS Muhyiddin juga mendakwa perolehi 114 ahli. Yang jelas, ADR Selangau dari PKR, Baru Bian, yang keluar PKR bersama Azmin Ali, umumkan menyokong Tun Dr Mahathir. ADR Sri Aman, Masir Kujat, bekas anggota PRS anggota komponen GPS, yang sertai parti baru, PSB, maklum beliau menyokong Tun Mahathir. ADR Serian, Richard Riot  Jaem, anggota SUPP juga dari komponen GPS, disebut-sebut sokong Tun Mahathir. Dalam saat itu, ADR Bukit Gantang, bekas ahli UMNO, Syed Abu Hussin Hafiz, yang mendiamkan diri akhirnya umum menyokong TS Muhyiddin.  Lain ADR secara terbuka sama ada individu atau blok atau kumpulan, tidak menampakkan sebarang pertindihan sokongan, walaupun disebut-sebut sekitar 20 ADR berpendirian tunggu dan lihat.

Setelah TS Muhyiddin mengangkat sumpah dengan keyakinan perolehi sokongan majoriti ADR oleh Yang di-Pertuan Agong, masih timbul persoalan sokongan majoriti kerajaan PN. Ada pihak yang mendakwa Tun Mahathir perolehi sokongan majoriti ADR lebih besar dan menjangkakan kerajaan PN tidaklah panjang usianya. Sesungguhpun Dewan Rakyat dalam sidang pertamanya, 18/05/2020, tanpa diusulkan undi tidak percaya terhadap PM, susunan kedudukan dalam DR memperlihatkan 114 menduduki blok kerajaan, dengan baki 108 blok pembangkang. 

ADR Masir Kujat (Sri Aman) yang awalnya dilihat menyokong Tun Mahathir diletakkan di blok kerajaan. Selepas sidang, beliau umumkan bahawa beliau kekal dengan menyokong pencalonan Tun Mahathir. Pengumuman ADR Sri Aman, mengurangkan penyokong blok kerajaan kepada 113 anggota. Kedudukan 113 lawan 109 di Dewan Rakyat, perbezaan 4 kerusi, masih mampu kerajaan PN menguasai kerajaan, walaupun dengan perbezaan keanggotaan yang kecil, yang sudah tentu terdedah kepada beberapa kemungkinan yang boleh menggugat kestabilan politik. Maksudnya, setiap ADR kerajaan perlu hadir setiap kali persidangan untuk mengelakkan kemungkinan pengundian sesuatu rang undang-undang dibawa kerajaan yang tidak memihak kepada kerajaan. Pernah semasa kerajaan Barisan Nasional, penggal ketiga belas, di mana keahlian blok kerajaan kurang dua pertiga, usul meluluskan bajet tahunan dengan kelebihan undi tipis. Kebetulan bukan sahaja kehadiran penyokong kerajaan tidak penuh dibantu beberapa ahli pembangkang tidak hadir. 

Kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Pas pernah alami perbezaan tipis anggota kerajaan dengan blok pembangkang. Dalam Pilihan Raya Umum ke 11 (PRU 2004), Pas menguasai 24 kerusi berbanding 21 kerusi milik BN untuk menguasai kerajaan negeri Kelantan. Satu pilihan raya kecil (PRK) diadakan akhir 2006, berikutan kematian seorang ADUN Pas. Pas hilang kerusi berkenaan kepada BN, menjadikan kedudukan dalam DUN Kelantan; 23 Pas, 22 BN. Di kalangan ADUN Pas, 2 orang ADUNnya kurang sihat dan terpaksa elak bercuti setiap kali DUN bersidang. By hook or by crook, semua ADUN kerajaan perlu hadir sidang untuk berdepan dengan sebarang kebarangkalian. 

Kerajaan Kelantan dengan majoriti 1 kerusi mampu bertahan sampai tamat penggal, bukan sahaja berdepan dengan pembangkang yang kuat tetapi juga sebuah kerajaan besar dan kuat iaitu kerajaan Persekutuan. Kerajaan PN dengan majoriti kerusi yang kecil pula berdepan dengan sebuah blok pembangkang yang merupakan sebuah kerajaan yang gagal, hanya mampu bertahan 22 bulan sahaja. Kerajaan yang diselubungi perebutan kuasa dan krisis keyakinan yang tumbang separuh jalan. 

Ada penganalisis nakal yang meletakkan kerajaan PN kehilangan majoriti daripada 114 kepada 111 kerusi, kerana satu kerusi diumumkan oleh ADR Sri Aman, satu kerusi bebas, ADR Selanggau dan kerusi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ngo Kor Ming dari DAP. Kerusi Selanggau memang berada di blok pembangkang kerana sedia maklum, menyokong Tun Mahathir. Ngor Kor Ming adalah ADR Teluk Intan yang memang berada dalam blok pembangkang, kerusi DAP sebanyak 42 kerusi dimenangi dalam PRU14 tetap kekal dengan 42, dalam susunan Dewan Rakyat pada sidang 18/05/2020.

Ikut analisa yang diviralkan secara meluas menerusi media sosial,  sokongan PN 114 tolak 3 jadi 111, sementara di blok pembangkang meningkat dari 108 kepada 111. Ertinya akan berlaku Dewan Rakyat tergantung (hanging), akan menjurus kepada pembubatan Dewan untuk mendapat mandat baru. 

Sebenarnya, blok kerajaan hanya berbeza kurang satu kerusi sahaja, kepada jumlah 113 kerusi terdiri dari: 42 BN, 18 Pas, 18 GPS, 3 GBS (PBS,STAR,PBRS), 31 Bersatu (termasuk blok Azmin Ali) dan  ADR bebas Bukit Gantang (Syed Abu Hussin).

Blok pembangkang pula berjumlah 109; 42 DAP, 39 PKR, 11 Amanah, 9 Warisan, 5 Bersatu blok Mahathir, 1 UPKO, 1 PSB (ADR Sri Aman), dan calon bebas ADR Selanggau (Baru Bian).  

Sokongan penuh GPS seramai 18 ADR kepada TS Mahyuddin, tidak memungkinkan ADR Serian berkecuali, sedangkan keputusan GPS menyokong pembentukan kerajaan PN dengan syarat tanpa penyertaan DAP. 31 ADR Bersatu (PPBM) menyokong PN terdiri dari 7 ADR Bersatu asal, 14 ADR UMNO melompat ke Bersatu dan 10 ADR PKR keluar parti bersama Azmin Ali). Semua ADR BN, Pas, GPS dan GBS menyokong TS Mahyuddin secara blok bukan secara individu begitu juga DAP, Amanah, PKR, Warisan dan UPKO menyokong secara blok kepada Tun Mahathir. Kecuali ADR dari Bersatu yang mengambil pendirian secara individu, menyokong mana-mana blok. 

Sungguhpun usul undi tak percaya terhadap PM ditangguhkan, berdasarkan susunan kedudukan ahli dalam Dewan Rakyat sebagaimana sidang pada 18/05/2020, serta kenyataan ADR Sri Aman, kedudukan atau status penguasaan majoriti kerajaan PN tidak perlu dipersoalkan. Hakikinya kerajaan PN memiliki majoriti, walaupun keyakinan yang tinggi di pihak pembangkang menaruh perasaan curiga kesahihan majoriti yang mendorong usul undi tidak percaya terhadap PM. 


Salam Aidilfitri 1441





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan