Rabu, 18 Julai 2012

kingmaker

SIAPA KINGMAKER DALAM PRU13

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lepas menyatakan pengundi Cina akan menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), kerana undi Melayu akan berpecah kepada UMNO/BN dan Pas. Ekorannya, satu kenyataan dari MIC pula, menerusi Datuk Dr S. Subramaniam; pengundi kaum India akan menjadi penentu kemenangan mana-mana parti, sebagaimana dalam PRU12 lalu.

Tun Dr Mahathir berpandangan, undi Melayu akan berpecah kepada UMNO dan Pas, kesempatan ini diambil kaum Cina, menjadi penentu kemenangan, sama ada BN yang menang atau pakatan pembangkang melalui Pakatan Rakyat (PR). Ertinya, dengan trend sokongan kaum Cina, sebagaimana dipaparkan menerusi 16 pilihan raya kecil selepas PRU12, yang berlaku di seluruh negara, kecuali Perlis, serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kerajaan pusat yang dikuasai BN, dengan izin Allah akan tumbang.

Sementara sokongan kaum India dan Melayu, sudah menunjukkan tanda-tanda kembali ke BN. Kajian oleh Centre for Strategic Engagement (CSE) dalam kajiannya bulan lepas, menghasilkan dapatan; 8 peratus pengundi Melayu sudah beralih menyokong BN selepas PRU12. Ini adalah kesan dari beberapa penambaikkan jentera parti serta implikasi dari dasar-dasar baru kerajaan Persekutuan.

Ini sedikit sebanyak membantu mengimbangi trend sokongan keseluruhan selepas PRU12, yang akan menyaksikan PRU13, satu episod sejarah tanah air yang amat menarik, serta mendedahkan peluang terbuka kepada semua pihak atau parti. Potensi ke arah serba kemungkinan akan lebih luas dan lebih besar, sama ada kerajaan yang ada berjaya mengekalkan kuasa atau hilang kuasa.

Secara keseluruhannya, siapakah kingmaker dan pentingkah kingmaker. Justeru PRU13 berkemungkinan seperti PRU12, amalan sistem dwi parti, yang menyaksikan perlawanan satu lawan satu di semua kerusi antara BN dan PR akan lebih merancakkan dan mendebarkan. Setakat ini, belum parti pembangkang di luar PR, yang dominan dan nampak hebat, yang boleh meletakkan diri setanding BN dan parti-parti dalam PR, untuk menawarkan diri sebagai kuasa ketiga.

Kalau dilihat secara berfokus kepada persaingan di peringkat kawasan pilihan, peranan kingmaker amatlah signifikan terutama dalam persaingan 3 penjuru.

Dalam PRU3 (1969), bagaimana DAP yang majoriti penyokongnya orang Cina boleh menang kerusi majoriti pengundi Melayu, kerana persaingan 3 penjuru. Di kerusi Ampang (DUN Selangor), calon DAP, Wong See Ong mengalahkan penyandang kerusi berkenaan, Mahyeedin Mohd Zakaria (UMNO/Perikatan), kerana undi Melayu berpecah kepada calon UMNO dan calon Pas. DAP dapat 7634 undi, calon Perikatan dapat 6601, sementara calon Pas, Yunus Hj Mohd Yatim perolehi 3560 undi. 

Sedangkan dalam PRU2 (1964), Mahyeedin menang di Ampang, setelah memperolehi 7865 undi, mengalahkan calon Socialist Front (SF), Zakaria Yusoff, yang dapat 4720 undi.

Di kerusi Alor Star Luar (DUN Kedah), kawasan campuran, dalam PRU3, Calon Pas menang menerusi, Osman Hj Hussien, kerana perpecahan undi di kalangan pengundi bukan Melayu. Beliau perolehi 5545 undi berbanding penyandang kerusi berkenaan, Dato' K.K. Nair (MIC/Perikatan) 5043 undi.  Calon Gerakan, Tengku Nong Tengku Mohd Jiwa, dapat 2783 undi.

Sungguhpun Gerakan meletakkan calon Melayu dan anggota kerabat diraja Kedah, ianya dilihat sebagai parti berbilang kaum, yang didominasi oleh kaum Cina.

Berbanding PRU2, calon MIC/Perikatan menang besar, bila perolehi 7345 undi, berbanding 3 calon lain: Wan Saad Wan Said (Pas) 3013, Ab Majid Ariffin (UDP) 676 undi, Syed Noh Syed Zain (SF) 354 undi. (Gerakan ditubuhkan 1968, diasaskan oleh kepimpinan UDP, kepimpinan Parti Buruh (dulunya bergabung dalam SF dan tokoh akademik).

Satu kawasan majoriti Melayu yang memaparkan keunikan keputusan pilihan raya sejak sekian lama ialah kerusi Kuala Kurau (DUN Perak). Satu perkara yang amat menarik serta unik di Kuala Kurau ialah corak pengundian yang berbeza dengan kawasan lain. Ianya memaparkan: kelainan kecenderungan sokongan kepada parti, kelainan dengan arus pengundian peringkat nasional atau negeri, pengundian berasaskan suku kaum.

Kawasan Kuala Kurau mengandungi 75 peratus pengundi Melayu. Kebiasaannya, kawasan majoriti kaum Melayu serta bersifat luar bandar, aliran sokongan lebih memihak kepada parti pemerintah dan tidak alami banyak perubahan sokongan kepada mana-mana parti yang bertanding, di samping itu trend pengundian anti-establishment.

Dalam PRU3, calon UMNO/Perikatan, Ismail Daud cuma menang dengan 88 undi, bila beliau memungut 5826 undi, mengatasi calon Pas, Shaary Mohd Zain, yang dapat 5758 undi.

Dalam PRU4, semasa Pas berada dalam Barisan Nasional (BN), keseluruhannya di seluruh negara, di kawasan luar bandar, undi calon BN, sama ada dari UMNO atau Pas, perolehi majoriti besar, walaupun persaingan satu lawan satu. Ini tidak berlaku di Kuala Kurau. Calon UMNO/BN, Zakaria Hj Johar Ali, kumpul 6932 undi, untuk mengalahkan calon bebas, Semagun Hj Harun, yang dapat 5019 undi. Undi calon bebas sebanyak 42 peratus itu, relatifnya besar, yang bertanding bersendirian dengan jentera yang serba terhad. Di Terengganu, kekosongan yang ditinggalkan Pas sebagai pencabar UMNO, diisi oleh calon-calon Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM), dan di Kelantan, oleh calon-calon Barisan Bebas Bersatu. Ini tidak berlaku di negeri-negeri lain.

Dalam PRU5 (PRU 1978), bila Pas berada di luar BN dan pencapaian Pas yang merudum di seluruh negara, tetapi Pas menang di Kuala Kurau. Calonnya, Abdul Rahman Mokhtar, berjaya memungut 5132 undi berbanding calon UMNO/BN, Hj Mohd Thalhah Ariffin, 4929 undi, sementara calon DAP, Hj Ahmad Bakar 3560 undi. Undi diperolehi calon DAP ialah 26.6 peratus, mendekati peratus pengundi bukan Melayu di situ.

Dalam PRU6 (PRU 1982), UMNO berjaya merampas balik kerusi Kuala Kurau. Shaarani Mohamad berjaya mengumpul 7051 undi, sementara calon Pas, Hashim Hj Walad, dapat 5135 undi, hampir sama undi Pas dalam PRU5. DAP menerusi calonnya, Ong Pey Yong, cuma dapat 3002 undi, berkurangan berbanding PRU5. Sepintas lalu, dapatlah dirumus, kejatuhan undi DAP disebabkan pengundi Melayu yang menyokong Hj Ahmad Bakar dalam PRU5, beralih ke BN, dan DAP bergantung kepada undi pengundi Cina.

Dalam PRU7 (PRU 1986), dapatlah dilihat keunikan corak pengundian di Kuala Kurau selepas persempadanan kawasan pilihan raya 1983, yang menjadikan peratusan pengundi bukan Melayu semakan besar. Implikasinya, bila keputusan pilihan raya menghasilkan: Ahmad Sharifuddin Aziz (UMNO/BN) 4924 undi, Lin Yon Chiow (DAP) 4564 undi, Hj Ghani Hj Ahmad (Pas) 4100 undi. Undi calon DAP adalah 33.6 peratus.

Kejayaan calon BN mengekalkan kerusi  dengan mengtasi calon bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu, dengan majoriti tipis 360 undi, menggambarkan kesan besar, peranan pengundi mengikut kaum, bila berlaku persaingan tiga penjuru. Kebarangkalian, calon Melayu kalah di kawasan majoriti Melayu kepada calon bukan Melayu, adalah besar.

Dalam PRU8 (PRU 1990), kesan krisis UMNO, yang memberi impaks besar kepada prestasi BN yang diwakili UMNO, di kawasan luar bandar, tidak berlaku di negeri-negeri utara. Ianya mengubah senario di negeri-negeri Pantai Timur, di samping di kawasan tengah dan selatan. Di negeri-negeri utara, trend sokongan kawasan luar bandar yang menggambarkan kecenderungan pengundi Melayu, memihak ke BN.

Di Kuala Kurau, calon UMNO/BN, Ahmad Sharifuddin Aziz dapat 5910 undi, Celement de Britto (DAP) 4493 undi, Hashim Hj Walad (Pas) 3628 undi. Menunjukkan peralihan besar undi orang Melayu, dari Pas ke UMNO, berbanding PRU7. Undi DAP kekal.

Berdasarkan 3 sampel di atas, dapatlah disimpulkan, memang benar wujudnya kingmaker yang akan menentukan kemenangan sesebuah parti politik, dalam amalan pilihan raya di Malaysia. Ketiga-tiga kaum utama di Semenanjung, sama penting dan sama-sama terlibat sebagai penentu kemenangan mana-mana pihak.

Pengundi Melayu, sebagai golongan majoriti dan mendominasi 88 kerusi Parlimen di Semenanjung, berasaskan angka 60 peratus pengundi di setiap kerusi, juga ada peranan dan jadi penentu kemenangan, di kawasan campuran.  Kalau ambil kes, Alor Star Luar (1969), Bandar (Terengganu) dalam PRU 1990 dan 1999, Padang Garong (Kelantan) 1990, Kota Lama (Kelantan) sejak 1999.

Kes Gombak dan Kuala Kurau, menggambarkan peranan pengundi minoriti jadi penentu dalam saingan tiga penjuru. Juga tidak dapat dinafikan peranan kaum India sebagai penentu, jika diambil kes Kota Raja (2008), bagaimana calon Melayu dari Pas boleh menang di kawasan 28.21 peratus atau 20,337 dari jumlah 57,323 pengundi adalah dari kaum India, bila berlaku gerakan di kalangan masyarakat India menolak calon-calon BN, walaupun dari kaum sendiri.

Analitikalnya, pengundi minoriti di sesuatu kawasan pilihan raya, sama ada Melayu, Cina atau India, adalah penentu kemenangan, lebih-lebih lagi bila berlaku persaingan tiga penjuru atau lebih. Trend terbaru dalam politik pilihan raya Malaysia ke arah sistem dua parti, sebagaimana dalam PRU terakhir, menampakkan peranan golongan minoriti yang tidak kurang pentingnya menentu kemenangan sesebuah parti atau kolasi politik.

Di samping politik rasis yang secara tidak langsung dalam gerakan jentera parti hari ini, akan lebih menonjolkan lagi kepentingan golongan ini sebagai penentu kemenangan. Peranan ini amat berkesan dan memberi impaks besar ialah di kawasan campuran. Di Semenanjung, terdapat 46 kerusi Parlimen campuran atau 27.9 peratus, iaitu kawasan pengundi Melayunya di antara 40 hingga 59 peratus.

Menariknya di kawasan campuran, jika berlaku persaingan 3 penjuru, kumpulan pengundi berasaskan kaum ini, akan dapat manfaat, sebagaimana kes Kuala Kurau dan Gombak. Bila persaingan antara kumpulan majoriti, puak minoriti yang dapat untung.

Tetapi, setakat ini, perpaduan dalam pakatan pembangkang menerusi Pakatan Rakyat, hasil kerjasama politik dan persefahaman pilihan raya, masih mantap dan utuh. Ini memungkinkan saingan adalah satu lawan satu antara PR dan BN, di mana keputusan kumpulan minoriti sebagai penentu akan memperkukuhkan jaminan kemenangan kepada mana-mana pihak.

Di samping itu, hingga kini, selain 3 parti utama dalam PR, tidak ada kesungguhan memperlihatkan usaha memunculkan pihak ketiga, sebagai alternatif kepada BN dan PR. Parti KITA
 semakin kendur dan menurun keterlibatannya. PERKASA dan JATI, walaupun bukan parti politik, apa salahnya sertai PRU13 sebagai calon bebas, pun semakin kuyup dan lesu.






























































Tiada ulasan:

Catat Ulasan