Jumaat, 6 Julai 2012

Dimensi baru PRU13

SELEBRITI MENGUBAH DIMENSI PRU13

Satu peranan baru  dalam mencorak landskap politik tanah air menjelang Pilihan Raya Umum (PRU13) ialah penampilan selebriti Melayu. Justeru sokongan pengundi Cina, yang semakin memisahkan diri menyokong Barisan Nasional (BN) sebagaimana dipamirkan dalam 16 siri pilihan raya kecil di seluruh negara, kecuali Perlis, selepas PRU12 dan paparan trend pengundian kaum Cina, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2011.

Perubahan mendadak dalam PRU12 dan bertambah peratusan sokongan pengundi Cina kepada calon bukan BN selepas PRU12, memberikan 2 tanggapan kepada pengundi Melayu, khususnya di Semenajung. Tanggapan pertama: peratusan sokongan pengundi Melayu/luar bandar kepada calon UMNO/BN, telah menampakkan perubahan positif. Ada peningkatan undi beralih ke BN. Ini dapat dikesan dari PRK Manik Urai, Galas, Kerdau, Tenang dan Merlimau. Pengundi-pengundi Melayu kembali ke BN, bimbang kuasa Melayu melalui UMNO akan hilang, andainya BN kalah dalam PRU13 nanti.

Tanggapan kedua: menyakini bahawa BN akan hilang kuasa pemerintahan Kerajaan Pusat. Pembongkaran isu-isu kebobrokan kepimpinan BN di bawah UMNO, pemborosan dan ketirisan dalam pengurusan kewangan negara di bawah kepimpinan UMNO, perwatakan agresif dan provokatif serta rasis penyokong UMNO dalam program pakatan pembangkang. Semua ini, menghambat pengundi dari menyokong BN, khususnya first time voters dan pengundi atas pagar atau tak berparti.

Lebih parah lagi, selepas Himpunan Hijau di Alor Star, disusuli perhimpunan yang sama di Kerdau, di Kuala Terengganu, di Dataran Dahlia, Johor Bharu, di Padang Kota, di Puntar Buntar dan di Ledang, di samping berjaya menghimpunkan puluhan ribu khalayak, ialah di setiap perhimpunan tersebut, seorang demi seorang bekas pegawai tinggi perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan istihar masuk Pas.

Bermula, Dato' Fauzi Saari, mantan Ketua JSJ PDRM (kedudukan nombor 3 dalam hieraki kepimpinan PDRM), Prof Dato' Dr Nik Mohd Zain Yusoff, mantan KSU Kementerian Pembangunan Tanah dan Koperasi, diikuti pesara-pesara elit dari berbagai jabatan dan agensi.

Memberi implikasi negatif kepada birokrasi negara kita. Anggota eksekutif dalam komponen birokrasi, dari berbagai peringkat, menunggu masa bila bersara akan istihar masuk Pas. Tunggu masa bersara, setelah berkhidmat dengan penuh komited berpandukan peraturan dan pekeliling perkhidmatan, mendedahkan penyelewengan, ketidaktelusan dan kebobrokan kuasa legislatif mencampuran urusan eksekutif dan judicial, demi survival politik.

Lebih menariknya, disusuli dengan seorang demi seorang selebriti dan artis Melayu serah borang masuk Pas atau PKR atau cenderong menyokong Pakatan. Bob Lokman paling awal berada di pentas ceramah . Diikuti pelawak Leman Raja Lawak, Sham Kamikaze, Raja Dangdut Iwan Syahman,  Wan Aisyah Raja Ariffin (Aisyah).

Kebanyakkan mereka memilih pentas ceramah Pas untuk menyatakan pengalaman mereka dan ingin bersama-sama menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia ini, menerusi Pas.

Terbaru Haire Othman dan Arbaiyah Abdul Manan (Abby Abadi). Abby Abadi menyatakan beliau baru sedar bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan serta mengkagumi kepimpinan serta kesederhaan kehidupan kepimpinan Pas; Tuanguru Dato' Nik Abdul Aziz dan Dato' Seri Tuanguru Abdul Hadi Awang.

Mengikut Ketua Penerangan Pas Wilayah Persekutuan, Suhaimi Abdul Aziz, lagi selebriti akan istihar masuk Pas, dalam majlis Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Wilayah Persekutuan, pada 14 Julai ini.

Bagi golongan artis dan selebriti yang mewakili suara anak muda, mereka menyedari perbezaan yang amat jelas dan jauh perbezaan gerakkerja Pas dan UMNO.

Mereka melihat, UMNO sebuah parti sekular, tebal sifat perkaumannya, memisahkan agama dan politik, disertai tindak tanduk kepimpinan UMNO serta pendokongnya akhir-akhir ini, berasaskan beberapa peristiwa dan kekecohan. Tindakan mereka lebih rakus dan kasar.

Jauh berbeza dengan pendokong Pas yang lebih kepada pengajuran aktiviti membendung gejala sosial disamping usaha untuk mendaulatkan Islam. Program munajat, tazkirah, solat berjemaah, bertujuan membentuk keperibadian sesuai dengan naluri semula jadi sejagat yang impikan sebuah kehidupan bermasyarakat yang aman dan adil. Lebih-lebih lagi membentuk manusia ke arah taqwa.

Dua faktor determinat di atas: faktor mantan birokrat elit dan faktor selebriti, menjadi dimensi baru yang akan menentukan sejauh mana sikap pengundi Malaysia dalam PRU13 nanti. Ianya bukan saja menjadi penentu arah pengundi Melayu, malah akan menjadi perhatian pengundi bukan Melayu, pengundi Cina khususnya.

Anak muda Melayu yang baru boleh mengundi atau first time voters dan pengundi Melayu yang tidak berparti, sedikit sebanyak akan terpengaruh dengan dua faktor di atas. Dalam pemikiran golongan pengundi Melayu dalam kumpulan ini, sudah tentu akan terfikir, sudah tentu berlaku krisis keyakinan terhadap kerajaan yang memerintah hari ini yang dipimpin oleh UMNO/BN. Jika tidak, masakan mereka yang sudah sekian turut terlibat melaksanakan dasar kerajaan, tiba-tiba bila bersara, menceritakan segala kemelut dalam kerajaan sedia ada.

Di samping itu, anak-anak muda, sudah tentu terfikir masa depan diri mereka dan negara akan datang. Tak kan lah, nak teruskan masalah kebajatan sosial dan immoraliti, akan berterusan seperti hari ini. Tambahan pula, anak-anak muda hari ini, inginkan kehidupan yang lebih bahagia, di mana kebahagian bukan sekadar material tetapi nilai-nilai rohaniah, yang hanya diperolehi menerusi ilmu wahyu.

Menjelang PRU10 (1999), menerusi gelombang Reformasi, menggerakan beberapa artis lelaki Melayu, naik pentas Barisan Alternatif, yang membolehkan BN kehilangan sebuah kerajaan negeri dan gagal merampas sebuah kerajaan negeri, serta di seluruh Semenanjung, kecuali Johor, undi masyarakat luar bandar dan undi Melayu kepada BN telah merosot berbanding PRU9 (1995). Masa itu, selebriti yang naik pentas, tidak seramai dan sehebat sekarang. Cuma mereka yang menyokong gerakan Reformasi, demi keadilan dan kedaulatan undang-undang serta simpati kepada DS Anwar Ibrahim.

Bagi pengundi bukan Melayu, pengundi Cina khususnya, perubahan sikap dan kecenderungan orang Melayu ini, akan mempengaruhi sikap dan tindakan mereka. Tak munasabah orang Cina hendak ambil sikap counter attack, dan berpendirian menyokong BN yang ditunjangi oleh UMNO. 2 faktor penentu di atas tadi, ditambah dengan pengekalan trend pengundi Cina selepas PRU13, yang lebih memihak ke pakatan pembangkang, memungkinkan PRU13 dengan kuasa dan kehendak Allah, sebuah kerajaan baru akan terbentuk.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan