Sabtu, 16 Jun 2012

Kerajaan beradab

Membentuk Kerajaan Biarlah Beradab

Saranan Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas, 2 minggu lalu, supaya memilih jalan bersopan untuk membentuk kerajaan, cukup menarik. Sungguhpun amalan sistem demokrasi yang memberi hak kepada orang ramai atau warganegara menentukan serta buat pilihan memilih mana-mana kumpulan membentuk kerajaan. Kumpulan berkenaan tidak semestinya mewakili mana-mana organisasi. Tetapi amalan demokrasi tidak menafikan atau membataskan sesebuah kerajaan boleh ditukar dengan kerajaan baru, sebelum cukup tempoh yang ditentukan Perlembagaan sesebuah kerajaan perlu meminta mandat baru. Atau dengan kata mudah, pertukaran kerajaan sebelum cukup penggal.

Pada 30 Oktober 1961, satu usul undi tidak percaya terhadap kerajaan Terengganu pimpinan  Menteri Besar, Mohd Daud Abdul Samad. Undi tidak percaya dibawa ADUN Perikatan berjaya menumbangkan kerajaan Pas Terengganu. Kedudukan ADUN dalam DUN Terengganu masa itu: Pas 13, Perikatan 7 (UMNO 5, MCA 2), Parti Negara 4.

Sebelum itu, 2 ADUN Parti Negara: Wan Daud Wan Ahmad (Ladang) dan Haji Abdul Mutalib Salleh (Batu Burok) masuk UMNO, menambahkan kekuatan Perikatan dalam DUN dan memberi ruang kepadanya memberanikan diri mengusul undi tak percaya, di samping ura-ura beberapa ADUN Pas akan meninggalkan parti.

Bila usul dibawa oleh Ibrahim Fikri Mohamad (Perikatan-Kuala Nerus), disokong 7 ADUN Perikatan, 2 ADUN Parti Negara masuk UMNO, turut disokong seorang lagi ADUN Parti Negara, Mohamad Abdul Rahman (Bukit Besar) bersama ADUN Pas, Haji Wan Said Haji Mohd Nor (Kuala Besut) dan Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah). Sementara Ahmad Azam Napiah (Pas-Jeram) dan Speaker DUN, Mohd Taib Sabri (Pas-Marang) tidak mengundi.

Seorang lagi ADUN Parti Negara, Ismail Abas (Langkap) bersama ADUN Pas yang lain menentang usul berkenaan.

Mohd Daud Abdul Samad (Pas-Setiu) yang kehilangan kerusi Menteri Besar, mengadap Sultan Terengganu, mohon pembubaran DUN, untuk mengembalikan kepada rakyat memberi mandat kepada kerajaan baru. Permohonan tersebut ditolak baginda. Kes Terengganu ini, bermulanya episod dalam sejarah Malaysia, penggulingan kerajan dan pembentukan kerajaan baru tanpa meminta mandat rakyat, secara demokratik.

Kesan dari kejatuhan Kerajaan Pas Terengganu dapat ditonton dari PRU 1964, di mana Perikatan menang besar dengan 21 kerusi, sementara Pas cuma perolehi 3 kerusi sahaja.

Kes Sarawak yang lebih dikenali sebagai " Melanau Coup" 1966, adalah episod kedua, drama menjatuhkan kerajaan yang sah. Perancangan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan SNAP, lantaran hubungan kurang mesra antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Dato' Stephent Kalong Ningkan, Pengerusi Sarawak National Party (SNAP), yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 22 Julai 1963, dijatuhkan menerusi satu surat yang ditandatangani oleh 21 Ahli Council Negeri (dari jumlah 42 ahli termasuk Speaker) ditulis di Kuala Lumpur dituliskan dan dihantar oleh Tan Sri Temenggong Jugah, Menteri Hal Ehwal Sarawak dalam kabinet Persekutuan kepada Governor Sarawak, Tun Abang Haji Openg, pada 14 Jun 1966. Jugah pemimpin Parti Pesaka. Surat tersebut  menyatakan mereka telah hilang keyakinan kepada Stephent Kalong Ningkan, sebagai pemimpin dalam Council Negeri dan Ketua Menteri.

Governor melantik Penghulu Tawi Sli dari Parti Pesaka sebagai Ketua Menteri baru. Kerajaan Sarawak dibentuk hasil sokongan ahli-ahli Perikatan Sarawak: Parti Bumiputera dan Sarawak Chinese Association (SCA) , dan Parti Pesaka.

Kalong Ningkan bawa kes ke mahkamah, mendakwa pada 14 Jun 1966,  Council Negeri bersidang, dihadiri 20 ahli, selain beliau dan Speaker, meluluskan beberapa bills tanpa bahas. Turut hadir selain anggota SNAP, ialah 5 ahli dari Sarawak United People's Party (SUPP) dan seroang ahli Parti Machinda, yang selalunya membangkang. Krisis perlembagaan Sarawak, diputuskan oleh perintah Mahkamah Persekutuan, pada 7 September 1966, memutuskan pemecatan Kalong Ningkan adalah sah.
Klausa 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang Dipertuan Agong berkuasa memutuskan pemecatan dan perlantikan seseorang ketua kerajaan.

Ahli Council Negeri Sarawak bukan dipilih melalui pilihan raya tetapi dilantik berasaskan kuota komposisi penduduk serta kekuatan parti, dan SNAP memiliki anggota paling ramai berbanding dengan parti-parti politik lain.

Ahli Council Negeri terlibat secara langsung melalui pilihan raya, ialah dipilih menerusi PRU 1969, yang merupakan pilihan raya Council Negeri (Dewan Undangan Negeri) Sarawak. Hasilnya memperkukuhkan kedudukan parti Perikatan walaupun bukan bertanding atas lambang parti masing-masing. Parti Bumiputera (mewakili Bumiputera Islam) dapat 11 kerusi, SCA (mewakili masyarakat Cina) 4 kerusi. Parti Pesaka (majoriti ahlinya Bumiputera Non-Islam), dapat 8 kerusi. Dibantu seorang calon Bebas, mereka membentuk kerajaan tanpa majoriti: 24 kerusi. Baki 24 kerusi miliki pembangkang: 12 SUPP (parti berbagai kaum, lebih didominasi masyarakat Cina dan di samping sokongan kaum Bidayuh), 12 SNAP (majoriti kerusinya dimenangi di kawasan majoriti Bumiputra Non-Islam.
Usaha menjatuhkan kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Dato' Mohd Asri Haji Muda, menjadi episod ketiga selepas kejayaan di Terengganu dan Sarawak. Ini berlaku dalam bulan Ogos 1968. Dalam tahun 1967, ADUN Pas dari Kota Bharu Timur, Saufi Idris, tak lama selepas dibebaskan dari tahanan ISA, istihar keluar Pas, dan menjadi Anggota Bebas. Menjadikan kedudukan dalam DUN Kelantan: Pas 20, Perikatan 9 dan Bebas 1.
4 ADUN Pas: Abdullah Haji Yusoff (Tok Uban/Spekaker), Abdul Rahman Mohd Salleh (Pasir Puteh Tenggara/Exco), Yusoff Abdul Latiff (Tanah Merah Barat/Exco), dan Che Omar Mamat (Tanah Merah Timur) mengistiharkan keluar Pas, di Kuala Lumpur. Abdul Rahman istihar sebagai Anggota Bebas, sementara Abdullah, Yusoff dan Che Omar masuk UMNO. Saufi masuk UMNO lebih awal.  Akhbar melaporkan 4 lagi ADUN Pas: Dato' Haji Ishak Lutfi (Kota Bharu Selatan/Exco), Abdul Rahman Awang Sulong (Kota Bharu Barat), Yusoff Yaakub  (Kuala Kelantan) dan Abdul Kadir Mat Saat (Pasir Puteh Utara), akan keluar Pas.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan diadakan pada 20 Ogos 1968. Kedudukan semasa: Kerajaan 16, Pembangkang 14 (UMNO 13, Bebas 1). Dijangka 3 atau 4 ADUN Pas akan melompat parti dalam Dewan. Akhbar melaporkan kerajaan Pas akan jatuh.
Sidang bermula, Abdul Rahman Mohd Salleh pindah tempat duduk. Istihar rujuk balik ke Pas. Speaker menangguhkan sidang. Pada sebelah petang, di luar dewan, Yusoff Abdul Latiff dan Che Omar istihar kembali ke pangkuan Pas.
Drama 1968 ini yang lebih dikenali "turn about about turn", tinggal kenangan dan menghampakan segala perancangan yang dibuat di Kuala Lumpur. Kegagalan rancangan menumbangkan kerajaan Pas ini, tidak terhenti setakat itu. Kerajaan Persekutuan menerusi saluran parti, memperkenalkan agihan anak lembu skim pawahan. Agihan hanya di kalangan ahli dan penyokong UMNO, untuk mengekalkan penyokong dan menarik pihak lawan. Projek ini menimbulkan perbalahan di kalangan penyokong UMNO. Perikatan mempertingkatkan usahanya menerusi UMNO, mewujudkan pasukan khas pemuda, "Pemuda Tahan Lasak", bertujuan menakutkan musuh dan menjamin keselamamtan pasukan kempen UMNO.
Semua ADUN di atas bertanding semula dalam PRU 1969, kecuali Yusoff Abdul Latiff dan Yusoff Yaakub. Saufi Idris dan Abdullah Haji Yusoff yang bertanding sebagai calon Perikatan tewas. Che Omar, Dato' Ishak Lotfi, Abdul Rahman Awang Sulong dan Abdul Kadir, dipilih semula oleh Pas untuk mempertahankan kerusi masing-masing dan berjaya, kecuali Abdul Rahman Mohd Salleh , gagal pertahan kerusi Pasir Puteh Tenggara.

Dalam PRU 1969, 8 bulan selepas episod 1968 itu, Pas berjaya mempertahankan kerajaan negeri. Hilang 3 kerusi Dun kepada Perikatan: Pasir Puteh Tenggara,Tanah Merah Barat dan Rantau Panjang (yang terkenal peristiwa bakar jambatan, menyebabkan lebih 200 pengundi Pas tak dapat keluar mengundi). Pas dapat rampas balik kerusi Bandar Hulu. Pas dapat 19 kerusi berbanding 21 dalam PRU 1964.
Episod empat melakonkan krisis kerajaan Kelantan tahun 1977, yang membawa kepada Dewan Undangan Negeri digantung dan diistiharkan Darurat, meletakkan Kelantan ditadbir perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan.

Pada  29 September 1977, Dato' Mohamad Nasir dipecat sebagai ahli Pas oleh Jawatan Kuasa Pas Pusat kerana enggan mematuhi arahan parti melatak jawatan Menteri Besar. Keesokannya, beliau membawa kesnya ke mahkamah. Pada 10 Oktober 1977, Mahkamah Tinggi Kota Bharu, mengeluar perintah melarang pemecatan itu.

Pada 15 Oktober, satu usul undi tidak percaya dibentangkan dalam sidang khas DUN Kelantan. Kedudukan ADUN masa itu: 36 BN (Pas 22, UMNO 13 dan MCA 1), tiada anggota pembangkang. Semua ADUN UMNO dan MCA, disertai sama Dato' Mohamad Nasir dan seorang lagi ADUN Pas, Hassan Yaacob (Telipot) keluar dewan. Usul disokong 20 ADUN Pas.

Berikutnya himpunan rakyat beserta demonstrasi jalanan dan rapat umum diadakan di merata bandar, oleh penyokong Dato' Mohamad Nasir.

Pada 8 November 1977, Dewan Rakyat meluluskan Akta Kuasa Darurat di Kelantan 1977. Anggota Pas dalam Dewan Rakyat menentang pembentangan akta berkenaan. Berikutnya, semua anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan dari Pas, meletak jawatan. Pada 8 Disember 1977, Majlis Tertinggi BN memecat Pas dari komponen BN.

Justeru itu, Kelantan diletakkan di bawah pentadbiran Perkhidmatan Awam Persekutuan yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri. Pada 10 Februari 1978, undang-undang darurat ditarik balik , DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan pada 11 Mac 1978. Pilihan raya ini menghasilkan kekalahan teruk diterima Pas. Pas cuma dapat 2 kerusi, BN 23 (22 UMNO dan 1 MCA) dan BERJASA 11 kerusi. BERJASA , parti baru sepihan Pas, dibawah kepimpinan Dato' Mohamad Nasir. BN bersama BERJASA membentuk kerajaan, diketuai Dato' Mohamad Yaacob sebagai Menteri Besar. 3 ADUN BERJASA menduduki kerusi Exco bersama 6 ADUN BN.

Episod kelima, mempamerkan keberanian kepimpinan politik Sabah membubarkan DUN demi memohon mandat rakyat dalam tempoh tak sampai setahun. Dalam PRN DUN Sabah 1985, Parti Bersatu Sabah (PBS) kepimpinan Dato' Jospeh Pairin Kitingan berjaya meledakkan satu upset dalam arena politik demokrasi Malaysia. PBS adalah serpihan dari Parti BERJAYA, yang memerintah Sabah, sejak 1976, ekoran krisis kepimpinan BERJAYA. Masa itu, BERJAYA sebagai anggota komponen BN, bertanding atas nama BN. Keputusan PRN Sabah 1985: BN 6, USNO 16, PBS 25 dan Pasok 1 kerusi. Tun Datu Mustapha Datu Harun, pemimpin USNO berusaha menubuhkan kerajaan minoriti bersama BN, 22 ADUN (16 USNO + 6 BN)dan ditambah 6 ADUN dilantik. Tetapi gagal. Akhirnya, Pairin berjaya bentuk kerajaan simple majoriti.

Kegagalan USNO bentuk kerajaan, diekori masalah ketidaktenteraman dalam negeri, di samping ancaman dari pihak pembangkang, akhirnya Pairin ambil tindakan berani bubar DUN dalam tahun 1986, 11 bulan lepas tubuh kerajaan. PRN 1986, menyaksikan PBS berjaya meningkatkan undi dan menambah kerusi. BN yang diwakili BERJAYA cuma menang 1 kerusi sahaja. Kerusi USNO juga berkurangan.

Usaha pihak pembangkang, BN khususnya untuk menggulingkan kerajaan PBS akhirnya membuahkan hasil dalam PRN DUN Sabah 1994. Projek IC, berjaya meningkatkan undi BN, teruatama di kawasan Bumiputera Islam. Tidak kurang juga signifikannya  persempadanan kawasan pilihan raya kepada BN. PBS ada krisis dalaman, seorang ahli Kabinet negeri, Yong Teck Lee keluar PBS dan menubuhkan Sabah Progressive Party (SAPP).

Keputusan PRN 1994: PBS 25, BN 23 (UMNO 18, SAPP 3, AKAR 1, LDP 1). Pairin gagal angkat sumpah Ketua Menteri, walaupun berkhemah di perkarangan Istana. Beberapa ADUN PBS melompat ke BN, menyebabkan PBS hilang majoriti, dalam tempoh 2 hari lepas pilihan raya. Dato' Bernard Dompok, mewakili masyarakat Kedazan-Dusun, bekas anggota kabinet negeri, tubuh Parti Demokratik Sabah dan Dato' Joseph Kurup, mewakili masyarakat Murut, juga bekas anggota kabinet negeri, menubuhkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Mereka mengepalai beberapa ADUN PBS berpaling tadah. Tindakan mereka ini, membolehkan ADUN UMNO, Osu Haji Sukam, mengangkat sumpah sebagai Ketua  Menteri.

Di Sarawak, selepas kemelut 1966, satu lagi episod menarik ialah peristiwa "Ming Court Coup Attempt 1987. Dato' Amat Abdul Taib Mahmud menghadapi kritikan dalam parti berhubung beberapa penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan negeri. Kumpulan ini dikepalai 2 orang sepupu beliau yang juga ADUN Parti Bumiputera Bersatu: Wan Madzihi Wan Mazha dan Salleh Jafaruddin, serta mendapat sokongan anggota pembangkang dalam DUN, iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). PBDS menjadi pembangkang di peringkat negeri dan anggota BN di peringkat Persekutuan. Kumpulan ini buat pertemuan di Kuala Lumpur, dan merancang akan bawa usul undi tak percaya terhadap Taib Mahmud.

Permintaan Taib Mahmud pembubaran DUN, diperkenan Governor Tun Zaidee Adruce. Sebuah parti baru, diketuai Tun Abdul Rahman Yaacob (bapa saudara Taib Mahmud), bekas Ketua Menteri, Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS). PERMAS didokongi serpihan kepimpinan Parti Bumiputera Bersatu, dari fraksi Bumiputera Islam. PERMAS adakan kerjasama dengan PBDS.

PRN Sarawak 1987 merupakan PRN yang sengit dialami BN. Keputusan PRN Sarawak 1987 ialah: BN 28, PBDS 15 dan PERMAS 5 kerusi. Mengekalkan Taib Mahmud bentuk kerajaan dengan kurang majoriti 2/3, berdepan 20 ADUN di barisan pembangkang. Berbanding dengan PRN Sarawak 1983, BN perolehi 30 kerusi, SNAP 8, PBDS 6 dan Calon Bebas 4 kerusi. SNAP dan Calon Bebas sertai BN menjadikan kerusi penyokong kerajaan 42 dan pembangkang 6.

Episod terakhir ialah kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak 2009. Kedudukan kerusi  DUN Perak hasil PRU12: BN 28 (UMNO 27, MCA 1), DAP 18, PKR 7 dan Pas 6 kerusi. Hasil gabungan kerusi DAP, PKR dan Pas membentuk kerajaan Pakatan Rakyat dengan 31 kerusi, majoriti mudah membentuk kerajaan. Barisan pembangkang memiliki 28 kerusi.

Kerajaan yang diketuai Dato' Mohd Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang) dibantu 11 Exco iaitu DAP 7, PKR 3 dan Pas 1, mula goyah dalam usia yang terlalu pendek, bila anggota Exco dari PKR, Jamaluddin Mohd Rodzi (PKR-Behrang) dan Othman Jailu (PKR-Changkat Jering) mula disiasat SPRM. Kemudian agak tenang dengan lompatan Nassaruddin Hashim (BN-Bota), mengubah kedudukan: kerajaan:pembangkang dari 31:28 ke 32:27.

Menjelang Februari 2009, 2 Exco hilang, berakhir dengan kemunculan menjadi ADUN Bebas. Seorang ADUN, Hee Yit Fong (DAP-Jelapang), istihar ADUN Bebas, sementara ADUN Bota kembali ke pangkuan BN. Perdana Menteri mengadap Sultan Perak, memaklumkan kerajaan Perak telah hilang majoriti, apabila 4 orang penyokong kerajaan menyertai pembangkang yang diketuai oleh UMNO.

Nizar mengadap Sultan, mohon pembubaran DUN. Permohonan ini ditolak dan meminta Dato' Zambri Abdul Kadir bentuk kerajaan, kerana kumpulan yang memihak kepada Zambri, sudah menjadi kumpulan majoriti: UMNO 27, MCA 1 dan Bebas 3, menjumlahkan 31 ADUN.

6 Februari 2009, hilanglah sebuah kerajaan yang dipilih rakyat yang hayatnya baru berusia 11 bulan, menerusi rancangan coup d'etat. Terbentuklah sebuah pemerintahan baru di Perak, tanpa menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk pembaharuan mandat. Sungguhpun diizinkan oleh amalan demokrasi, berasaskan kepada yang boleh membentuk kuasa majoriti, tetapi dari semangat demokrasi, ketelusan dan ketulinan kuasa rakyat, sewajarnya satu mandat baru amat perlu dipohon dari rakyat yang menjunjung demokrasi berparlimen.

Demi penyuburan demokrasi dan menghormati kuasa rakyat, kes Perak ini lebih elok dan wajar diambil dari kes Kelantan 1977. Krisis yang timbul, ditangani menerusi penggantungan sementara fungsi legislatif. DUN digantung dan dalam tempoh tertentu, dikembali kepada rakyat menentukannya. Adakah dengan mengambil rujukan kes Kelantan 1977, kerajaan yang dipilih rakyat dalam PRU12 tidak mempunyai jaminan akan jatuh.

Tindakan diambil Pairin dalam kes Sabah 1986 dan Taib Mahmud dalam kes Sarawak 1987, satu tindakan memurnikan ketulinan demokrasi yang menjadi asas keadilan sosial. Langkah mereka berdua ini, langkah anak jantan. Tanpa apa risiko menanti, suara rakyat, hak rakyat dan inspirasi rakyat lebih penting untuk dihormati dan ditangani. Kuasa bukan mutlak, bila-bila masa rakyat boleh hentakan.

Oleh kerana politik adalah survival, nilai-nilai demokrasi itu sendiri dicemari dengan berbagai tafsiran demi kepentingan kelompok, yang menjurus kepada penafian keadilan, kesamarataan dan hak asasi manusia. Justeru dizinkan oleh amalan demokrasi berbagai teknik dan ragam untuk mencapai kuasa, tetapi kuasa amat penting diperolehi melalui saluran yang betul, telus dan berhemah. Kerakusan memperolehi kuasa demi menegakkan sebuah kerajaan atau pemerintahan menerusi unsur-unsur tidak bersopan dan beradab seperti rampasan kuasa, merasuah, mengugut dan menimbulkan ketakutan kepada anggota legislatif, menyekat hak rakyat mendapatkan keadilan, mereputasikan sistem judicial, dan menghalang rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Menukar serta menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan, merampas kuasa legislatif, sabotaj birokrasi atau jentera kerajaan dan menafikan hak ummah sebagai khalifah di alam ini, adalah antara saluran kebiadapan. Tidak hairanlah bila kerajaan yang baru dibentuk itu sudah sebati dengan immoral dalam berbagai bidang, yang membabitkan sama ada orang awam atau jentera pentadbiran kerajaan, sebab asas pembentukkan kerajaan pun tidak bersopan.

Demokrasi yang mengasaskan persamaan hak, kekebebasan bersuara, kebebasan memiliki harta  dan kebebasan berkumpul, mentunjangi realiti kehidupan sosial sejagat, yang menuntut kepada keamanan, keselesaan dan kesejahteraan (kesihatan fizikal dan bathin). Sebarang pencabulan asas-asas demokrasi, akan melenyapkan intergriti dan akan menjadikan kehidupan sosial dalam mana-mana masyarakat atau entiti politik tidak stabil. Ketidakstabilan inilah yang menjuruskan kepada ketidakpuasan hati, yang membawa kepada kehidupan yang kritis yang akan mengancam kerajaan dibentuk tadi, sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang. 

Pilihan raya adalah penyelesai, kemelut pembentukan kerajaan atau ketidakstabilan sesebuah kerajaan. Sungguhpun pilihan raya tidak semestinya boleh memuaskan semua pihak, dikhuatiri pilihan raya yang tak bersih, penuh dengan berbagai agenda penipuan, tetapi ianya jalan yang paling baik berbanding beberapa amalan: pergantungan kuasa legislatif, rampasan kuasa, keputusan judicial, undi tak percaya atau demonstrasi jalanan. Sebab utama ianya ditentukan oleh aktor paling penting dalam mana-mana kerajaan iaitu rakyat. Tiada rakyat tiada kerajaan. Rujuk kepada rakyat, sebelum tukar kerajaan.

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan