Rabu, 31 Oktober 2018

Perlukah PRK

PERLUKAH PILIHAN RAYA KECIL 

Melewati usia 60 tahun berkerajaan sendiri menerusi amalan demokrasi kepilihanrayaan acuan  sistem perwakilan Westminster, asasnya kita dihidangkan idealisme keterbukaan dan perluasan hak suara rakyat kepada pengekangan serta keterbatasan hak. Dari masa ke semasa, pindaan-pindaan dilakukan dalam peraturan menjalankan pilihan raya untuk memurnikan mekanisme demokrasi di samping bermatlamat kepentingan politik parti pemerintah. 

Pilihan raya kecil (PRK) asasnya satu proses melengkapkan badan legislatif lantaran berlakunya sebarang kekosongan terbitan; perletakan jawatan, kematian, tindakan perundangan. Asasnya sebarangan kekosongan dalam mana-mana dewan perundangan: Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, hendaklah dipenuhkan menerusi satu pilihan raya khas mengisi kekosongan itu. 

Tiada sebarang peruntukan undang-undang atas apa-apa keperluan, seseorang ahli mana-mana dewan perundangan atau legislatif, yang boleh menyekat seseorang berbuat demikian. Tiada tempoh masa minima seseorang yang dipilih rakyat berhak mengosongkan kerusinya. 

Ruang yang disediakan oleh Perlembagaan untuk menjamin hak-hak kebebasan individu dalam demokrasi, sedikit sebanyak mengganggu kepentingan rakyat. Rakyat diberi ruang untuk membuat pemilihan anggota legislatif, walaupun tiada tempoh rakyat diberi peluang untuk membuat pemilihan semula, membuatkan rakyat merasa diri mereka dijadikan sebagai alat untuk kepentingan politik dan individu. Walaupun rakyat yang berdaftar sebagai pengundi tidak diwajibkan keluar mengundi, tetapi peratusan keluar mengundi dalam PRK relatifnya lebih rendah berbanding pilihan raya umum (PRU). Ini jelas dapat dikesan dari PRK yang diadakan dalam tempoh yang pendek selepas PRU.

Antara pindaan peraturan pilihan raya selepas PRU9 (PRU 1995) ialah PRK tidak perlu diadakan sekiranya berlaku kekosongan kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas genap 36 bulan selepas tarikh  badan berkenaan dibentuk. Pindaan tersebut diperuntukkan satu kelonggaran; kiranya kekosongan tersebut menggugat kerajaan yang sedang memerintah, PRK perlu diadakan.

Lantaran tarikh pilihan raya di negara kita sentiasa menjadi hak istimewa parti pemerintah merahsiakannya di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekadar menjalankan tugasan eksekutif, tempoh sesebuah badan perundangan tidak menentu. Parti yang menguasai kerajaan meletakkan strategi mempertahankan kuasa dalam menentukan tarikh pilihan raya, berasaskan peruntukan Perlembagaan, tidak melebihi usia 5 tahun. 

Tempoh Parlimen Ketujuh (1986-1991), sepatutnya berakhir September 1991, tetapi parti-parti politik pemerintah atau pembangkang, sudah rancak membuat persiapan awal. PRU dijangka dalam tahun 1990, kerana tempoh Parlimen biasanya empat tahun berserta dengan iklim politik yang getir dihadapi parti pemerintah khususnya UMNO (1987-1990). PRK Pantai Merdeka (24/03/1990), PRK Kuala Linggi(29/07/1990) dan PRK Kijal (01/08/1990) terpaksa  diadakan kerana berlaku kekosongan ahli badan legislatif. Sebulan selepas PRK Kijal, Parlimen dibubarkan untuk PRU8. Tujuh PRK diadakan sepanjang tahun 1989. Kesempatan dari sepuluh siri PRK tersebut, menjadikan kajian prestasi dan harapan parti-parti politik membuat persiapan untuk PRU. BN berjaya mempertahan 9 kerusi dan terlepas satu kerusi di Teluk Pasu, memberikan keyakinan pemerintah memanggil PRU dalam tahun 1990, walaupun tempoh Parlimen masih berbaki satu tahun lagi.

Sepatutnya pindaan seumpama itu, meletakkan satu tempoh seseorang ahli badan perundangan hendak mengosongkan kerusi perlu ditentukan tempoh yang munasabah selepas selesai satu PRU. Satu PRK dalam tempoh terlalu singkat dengan PRU perlu dielakkan. PRK Port Dickson (13/10/2018), PRK Permatang Pauh (26/08/2008) dan PRK Kajang (23/03/2014) yang diadakan dalam tempoh kurang satu tahun selepas PRU, dapatlah dielakkan. Perlu ada peruntukkan menghalang pengosongan dengan segaja keanggotaan badan legislatif, dalam tempoh tertentu. Justeru kos pengurusan sesuatu pilihan raya yang besar dan menggunakan dana awam hendaklah diambil kira, dalam meraikan kebebasan bersuara dan hak yang dituntut oleh demokrasi. 

Selepas PRK Sungai Pinang (24/08/1991) dan PRK Limbongan (24/08/1991) yang telah diistiharkan oleh mahkamah sebagai tidak sah kerana tidak menepati kehendak peruntukan Perlembagaan Perekutuan berhubung kebebasan bersuara,  tiada lagi PRK ekoran kehilangan kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat atau ADUN apabila keluar atau bertukar parti. Sebelum itu, beberapa siri PRK berlaku khususnya di Sabah ekoran pengosongan kerusi setelah berpindah parti. 

Seseorang calon yang bertanding atas nama parti tertentu disyaratkan menandatangani borang perletakan jawatan sebagai wakil rakyat tanpa tarikh dan disimpan oleh urusetia parti. Antara parti-parti yang mengamalkan kaedah ini; Berjaya, PBS, USNO, MIC, Semangat 46. Joseph Pairin Kitingan tergugur sebagai wakil rakyat setelah dipecat oleh kepimpinan Berjaya merupakan wakil rakyat pertama terkesan dengan peraturan berkenaan. Satu PRK untuk kawasan Tambunan diadakan pada 20.12.1984, yang memberikan Pairin berjaya pertahan kerusi atas nama calon bebas untuk menewaskan calon Berjaya.

Empat PRK diadakan di Sabah, iaitu zaman pemerintahan PBS, empat wakil rakyat pembangkang (2 Berjaya, 2 USNO) melompat ke PBS. Secara otomatis, mereka dikenakan tindakan oleh parti masing-masing, di mana parti kemuka surat perletakan jawatan yang di simpan oleh parti kepada Speaker DUN. 

PRK pada 25.01.1986, Ahmad Baharom Abu Bakar Titingan, yang melompat dari Berjaya ke PBS, berjaya pertahan kerusi Balung sebagai calon PBS. Lau Pui Keong, juga keluar Berjaya yang bertanding atas nama PBS, berjaya pertahan kerusi Karamunting.  Sebaliknya, wakil rakyat USNO yang melompat ke PBS, gagal pertahan kerusi masing-masing. Saman Gulam yang keluar USNO dan bertanding sebagai calon PBS, dikalahkan oleh calon USNO, Zaki Gusmiah di Sukau. Othman Mohamad Yasin yang keluar USNO tidak bertanding pertahan kerusi Buang Sayang yang dimenangi calon USNO, Osu Sukam. 

Mark Koding, pemimpin kanan dan pengasas PBS dipecat keahlian parti yang secara otomatis tergugur status wakil rakyat kerusi Ranau. Dalam PRK Ranau, 9.12.1989, beliau yang bertanding atas tiket parti AKAR yang diasasnya kalah kepada calon PBS, Siringan Gubat. 

Tun Datu Mustapha Datu Harun, keluar USNO, parti yang diasaskannya menyertai UMNO berikutan kemasukan UMNO ke Sabah, terlucut ADUN Usukan. Dalam PRK Usukan 11.05.1991, beliau berjaya pertahan kerusinya atas nama calon BN. 

Pengguguran terakhir sebagai wakil rakyat yang melompat parti ialah kepada Mohd Nordin Salleh dan Wan Mohd Najib Wan Mohammad, ADUN Sungai Pinang dan Limbongan, dalam tahun 1991, setelah mereka meninggalkan Parti Semangat 46 untuk sertai UMNO. Dalam PRK pada 24.08.1991, mereka yang bertanding atas tiket gagal pertahan kerusi setelah kalah kepada calon Semangat 46; Mahmud Yaakob (Sungai Pinang) dan Samat Mamat (Limbongan). Keputusan yang dibuat oleh mahkamah mengekalkan Mohd Nordin dan Mohd Najib sebagai ADUN mengakhiri episod PRK lantaran wakil rakyat hilang jawatan ekoran lompat parti. 

Sebelum pindaan peraturan pilihan selepas PRU9, seseorang yang menganggota Dewan Undangan Negeri tidak boleh serentak menganggotai Dewan Negara (Senate). Seseorang ADUN yang hendak dilantik sebagai anggota pentadbir atau kabinet Persekutuan menerusi perlantikan sebagai senator perlu letak jawatan sebagai ADUN. PRK Balingian, terpaksa diadakan pada 9 hingga 11.06.1977, bila ADUN berkenaan, Salleh Jafaruddin, letak jawatan untuk diangkat sebagai senator untuk membolehkannya dilantik sebagai seorang Timbalan Menteri Persekutuan. 

Justeru beberapa pindaan yang boleh mengelakkan berlakunya PRK, amatlah wajar satu pindaan dalam peraturan dan pengurusan perjalanan pilihan raya di negara kita untuk mengurangkan politiking dengan menghadkan PRK. PRK hanya perlu dalam keadaan tertentu, terutamanya yang boleh mengganggu sesebuah kerajaan. Kiranya dengan berlaku kekosongan dalam dewan legislatif boleh menggugat kerajaan, contohnya kerajaan dibentuk dengan majoriti mudah. Kiranya berlaku sebarang kekosongan  dalam DUN Kedah, Perak, Melaka dan Sabah, kekosongan perlu disegerakan menerusi PRK. Kekosongan kerusi wakil rakyat di negeri-negeri parti pemerintah menguasai suara majoriti besar terutama memiliki dua pertiga majoriti, tidak perlu PRK. Kekosongan kerana kematian atau lain-lain sebab, boleh diuruskan seorang petugas lantikan kerajaan negeri sebagaimana amalan perlantikan Penyelaras DUN atau seumpamanya.

















Jumaat, 19 Oktober 2018

Wakil Rakyat Perlu Banyak Membaca

WAKIL RAKYAT PERLU PERSIAPAN RAPI SEBELUM BERHUJJAH DI DEWAN

Perbahasan YB Batu Kawan, P. Kasthuriraani, di Dewan Rakyat, semalam yang banyak menerima kritikan bukan sekadar menjejaskan kredibiliti seorang anggota badan perundangan, malah boleh merosakkan imej badan tersebut. Perbahasan beliau yang boleh ditonton menerusi kemudahan secara langsung atau rakaman dalam you tube memberikan kekeliruan fakta. Fakta yang dihujjahkan menggambarkan kecetekan ilmu dan kedangkalan  maklumat. Amat jelas YB Batu Kawan, tidak mendapat maksud yang tepat mengenai Syiah dan Wahabi.

Perbahasan di Dewan Rakyat sepatutnya lebih bersifat akademik dan perpaksikan protokol rasmi, harus dipisahkan dengan ucapan bersifat umum di medan lain. Justeru ahli Dewan Rakyat adalah ahli politik, pemisahan antara institusi rasmi dan eksklusif dengan medan awam yang terbuka harus diraikan. 

Dewan Rakyat atau Parlimen adalah badan legislatif tertinggi yang mengambil tanggungjawab membentuk undang-undang dengan membahas dan meluluskan rang undang-undang  serta pembentukan dasar negara. Seseorang ahli dewan selaku pembuat dasar negara seharusnya mempunyai ilmu serta persiapan yang secukup untuk berbahas dan membuat cadangan serta teguran. 

Dewan Rakyat bukan sekadar medan mempertontonkan kehebatan retorik dalam mempertahankan dasar kerajaan, mempertahankan dan menyuarakan kehendak rakyat serta membetulkan perjalanan jentera pemerintah demi kesejahteraan rakyat dan negara. Justeru itu, pelengkap utama persiapan seseorang ahli ialah sumber yang banyak, lengkap dan tepat, semuanya menerusi pembacaan atau homeworks yang teratur. 

Penulis amat tertarikh dengan homeworks Fan Yew Teng (DAP-Kampar) bila membaca handsard Dewan Rakyat dalam tahun 1970an. Perbahasan beliau cukup details dengan sumber rujukan yang established dan berwibawa. Fan seorang yang cukup rajin membaca dan membuat rujukan. Lantaran itu bila membaca handsard ucapan beliau, menampakkan kehebatan institusi Dewan Rakyat itu. Sekadar membaca handsard saja sudah dapat meletakkan kehebatan beliau sebagai seorang ahli legislatif, walaupun masa itu belum ada siaran langsung atau rakaman audio.

Zulkiflee Mohamad (Pas-Bachok), Mohd Asri Haji Muda (Pas-Pasir Puteh), Tan Chee Khoon (SF-Batu), Fadzil Noor (Pas-Pendang) adalah pembahas dengan butiran bernas semasa mereka menduduki Dewan Rakyat, dahulu.  Mereka boleh berhujjah dan berbahas berjam-jam di dewan, dengan fakta-fakta yang menarik dan membina. 

Wakil rakyat Parlimen memain peranan lebih besar sebagai legislator berbanding wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN). Wakil rakyat Parlimen menentukan hala tuju negara, sementara wakil rakyat DUN dengan bidang yang terbatas lebih kepada kerja-kerja personal touch dengan rakyat. Rakyat memerlukan wakil rakyat untuk bantuan kebajikan dan keselesaan hidup. Apa yang yang orang ramai perlukan ialah penambaikan kemudahan asas, bantuan kewangan dan kecemasan. Semuanya berkait dengan wakil rakyat DUN.



 

 


Ahad, 14 Oktober 2018

PRK Port Dickson 8

PAPARAN TABURAN PENGUNDIAN MENGIKUT RAS

Kejayaan yang disifatkan cemerlang menerusi ulasan media oleh calon Pakatan Harapan (PH) menerusi DS Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson dengan mencapai 31,106 undi atau 71.32% undi sah, secara keseluruhannya adalah satu gambaran sokongan besar pengundi Port Dickson. Berasaskan kepada peratusan keluar mengundi sekadar 58.25%, yang jauh lebih rendah berbanding 83% dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), kejayaan besar dengan peningkatan majoriti kepada 23,650 undi berbanding 17,710 undi dalam PRU14, ukuran kejayaan PH dalam PRK P132 masih boleh dipersoalkan.

Faktor pemulauan yang dianjurkan oleh UMNO dan rakan komponen BN telah membantu pencapaian PH. Jika UMNO tidak memulaukan PRK ini, saiz kejayaan PH tidaklah sehebat itu. 

Berdasarkan peratusan keluar mengundi di 5 bahagian pilihan raya negeri atau kerusi DUN yang berlainan komposisi taburan pengundi mengikut kaum, sokongan kepada PH lebih bergantung kepada kawasan bukan Melayu. Di bahagian pilihan raya negeri N30 Lukut, yang mempunyai 79% pengundi bukan Melayu, dari jumlah 10,025 undi sah, PH mengaut 8,342 undi atau 83.21%. Jumlah yang besar diperolehi PH di Lukut, hasil peratusan keluar mengundi yang paling tinggi di antara lima kerusi DUN, iaitu 68%. Dalam PRU14, calon DAP mewakili PH memungut 11,449 undi atau 77% undi, di waktu 84% pengundi keluar mengundi.

Di N29 Chuah, yang mempunyai  79% pengundi bukan Melayu, juga menyumbangkan peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu 55%. Di Chuah, PH memperolehi 5,364 undi dari jumlah 6,680 undi sah atau 80.30%. Dalam PRU14, peratus keluar mengundi di N29 ialah 85%, di mana calon PKR perolehi 6,661 undi atau 65.8%.

Kawasan majoriti Melayu iaitu N31 Bagan Pinang (71.33% pengundi Melayu) dan N32 Linggi (59.74% Melayu), di mana peratusan keluar mengundi yang rendah: 40.6% dan 49.7%. Di Bagan Pinang, PH memungut 3,849 undi atau 59.68% dari jumlah 6,449 undi sah, sementara di Linggi, PH perolehi 4,815 undi dari jumlah undi sah sebanyak 7,764 iaitu 62.02%.

Di kawasan campuran, N33 Seri Tanjung, yang berpolakan taburan seimbang antara tiga suku kaum utama, dengan pengundi Melayunya sebanyak 34.69%, peratusan undi awam yang dibolot oleh PH setara dengan saiz taburan mengikut kaum. Di Seri Tanjung, PH memperolehi peratusan undi yang lebih rendah dari kawasan majoriti bukan Melayu dan lebih tinggi dari kawasan majoriti Melayu. Undi PH di Seri Tanjung, 76.08% dari jumlah undi sah, 6,118 daripada jumlah 8,042 undi.  

Dari enam calon lain yang ikut serta dalam PRK P132, cuma dua orang calon saja yang mampu menarik sokongan pengundi; calon Pas dan calon bebas TS Mohd Isa Abdul Samad. Di kawasan majoriti bukan Melayu iaitu Chuah dan Lukut, sokongan begitu terhad sekali. Pas memperolehi cuma 9.18% dari jumlah undi sah di Chuah dan 8.92% di Lukut. Sementara TS Isa mengumpul 8.38% dari jumlah undi sah di Chuah, sementara di Lukut, hanya perolehi 5.73% sahaja.

Di kawasan campuran, Seri Tanjung, Pas perolehi 13.06% atau 1,050 undi, sementara TS Isa hanya mampu mengumoul 622 undi atau 7.73% dari jumlah undi sah. Dalam PRU14, Pas memperolehi 1,061 undi di Seri Tanjung, dengan peratus keluar mengundi 83%. Undi Pas di kawasan campuran tidak banyak berubah, sedangkan peratus keluar mengundi dalam PRK hanya 47%.

Di kawasan majoriti Melayu; Bagan Pinang dan Linggi, dipaparkan undi Pas dan calon bebas TS Isa, jauh lebih tinggi berbanding undi mereka di kawasan  bukan Melayu dan campuran. Pas memungut 24.58% undi sah di Bagan Pinang dan 18.60% di Linggi. TS Isa memperolehi 14.39% undi sah di Bagan Pinang dan 17.81% di Linggi. 

Kecenderungan pungutan undi yang dicapai oleh tiga calon utama; PH, Pas dan TS Isa, menjurus kepada sokongan terhad dan tertumpu di mana faktor sokongan mengikut kaum mencorakkan pungutan undi setiap calon.  Perolehan secara kasar data-data di atas menjelaskan medan utama dapatan undi setiap parti. PH menguasai undi di kawasan bukan Melayu dibantu oleh peratusan keluar mengundi yang tinggi di kawasan berkenaan, menjadi penyumbangkan utama perolehan 31,106 undi atau 71.32% undi popular. Sungguhpun PH menguasai peratusan undi mengatasi calon lain di kawasan majoriti Melayu, lantaran peratusan keluar mengundi yang rendah di kawasan berkenaan, sumbangan suara dari kawasan majoriti Melayu ketinggalan berbanding sokongan dari kawasan bukan Melayu.

Peratusan undi kepada Pas di kawasan majoriti Melayu mengatasi perolehan undi di kawasan bukan Melayu, lantaran peratusan keluar mengundi yang rendah, tidak dapat membantu Pas meningkatkan undi atau peratusan undi yang lebih tinggi. Faktor sama dialami oleh calon bebas, TS Isa yang mendakwa penyertaan beliau dalam PRK ini sebagai mengisi vacuum bikinan UMNO yang memboikot PRK. 

Perolehan undi PH bergantung dan bertumpu ke kawasan majoriti bukan Melayu sementara Pas dan TS Isa menaruh sokongan pengundi Melayu. Tindakan UMNO yang memenangi kerusi N31 Bagan Pinang dan N32 Linggi  dalam PRU14 memboikot PRK memberi kesan besar kepada kedua-dua calon berkenaan. Pas yang bertanding lantaran ketidaksediaan UMNO/BN ikut serta dalam PRK P132, di mana asalnya persetujuan tidak rasmi Pas memberi ruang kepada UMNO/BN untuk bertanding, terkesan dengan langkah pemboikotan UMNO yang secara langsung tidak keluar mengundi. PRK P132, sebuah kawasan campuran dengan pengundi Melayu hanya 40%, menyukarkan Pas atau TS Isa mengaut undi yang tinggi apabila cuma 40% pengundi di kawasan majoriti Melayu di Bagan Pinang keluar mengundi. 










 

 


Sabtu, 13 Oktober 2018

PRK Port Dickson 7

SYABAS DS ANWAR, SYABAS PAS

Pilihan Raya Kecil P132 Port Dickson mencetuskan satu kelainan berbanding dengan 3 PRK pasca PRU14. Ada anjakan sikap pengundi walaupun peratusan keluar mengundi di bawah sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi melepasi angka separuh. 

Peratusan keluar mengundi yang lebih rendah, 58.25% berbanding 83.0% semasa PRU14, secara langsung akan mengurangkan undi yang diperolehi oleh calon. Undi calon Pakatan Harapan (PH) DS Anwar Ibrahim, hanya 31,016 undi berbanding pencapaian 36,225 undi dalam PRU14. Undi PH berkurangan sebanyak 5,209 undi atau penurunan 14.38%. 

Jumlah undi sah hasil dari pengundi yang keluar mengundi dalam PRK berkurangan sebanyak 17,245 atau 29.09% dari 61,334 undi dalam PRU14 kepada 43,489 undi. Oleh kerana penurunan undi calon PH lebih kecil berbanding penurunan peratusan keluar mengundi antara PRU14 dengan PRK, tidak menjejaskan majoriti undi kemenangan serta peratusan undi sah, malah memberikan majoriti dan peratusan undi yang lebih tinggi. Dalam PRK, calon PH berjaya mengaut 71.32% dari jumlah undi sah, berbanding 59.06% dalam PRU14, membolehkan DS Anwar menang dengan majoriti lebih besar, 23,560 undi atau 54.17% berbanding 17,710 undi atau 28.87%.

PH telah memperlihatkan kejayaan meningkatkan undi apabila berjaya  meningkatkan undi meskipun peratusan keluar mengundi yang rendah. Kejayaan ini di 7 daerah mengundi majoriti Melayu: Jimah Baru (90% Melayu), Sunggala (57%), Kampung Bagan Pinang (90%), Si Rusa (87.4%), Teluk Kemang (74.8%), Kampung Sungai Raya (92.7%), Bandar Baru Sunggala (69%). Prestasi ini membantu calon PH berjaya mengumpul peratusan undi yang lebih besar berbanding PRU14. 

Di baki 27 daerah mengundi, PH berjaya perolehi peratusan undi yang tinggi tetapi oleh kerana peratus keluar mengundi yang rendah, menjumlahkan penurunan pungutan undi berbanding PRU14. 

Di samping itu, prestasi yang dipamirkan oleh calon Pas, juga berhak diberi sanjungan. Dalam PRU14, Pas hanya memungut 6,594 undi atau 10.75% undi, secara langsung gagal mempertahankan wang deposit pilihan raya. Dalam PRK, calon Pas berjaya menambah 862 undi atau pertambahan 13.07% kepada 7,456 undi atau 17.14% undi sah serta berjaya pertahan wang deposit, di kala peratusan keluar mengundi yang semakin kecil. 

Prestasi Pas bolehlah dipuji lantaran ramalan awal, Pas akan hilang wang pertaruhan sekali lagi, di kawasan campuran ini. Sungguhpun latar belakang penglibatan Pas di kawasan ini yang agak terbatas, kejayaan  memungut 17.41% undi di kawasan yang mempunyai hampir 60% pengundi bukan Melayu, menggambarkan boleh diterima pengundi  kawasan campuran.

Calon bebas yang dijangka akan mendapat perhatian pemilih, TS Mohd Isa Abdul Samad, bekas Menteri Besar dan Naib Presiden UMNO, yang dijangka mendapat sokongan penyokong dan ahli UMNO, hanya perolehi 4,230 undi atau 9.73% undi dan hilang wang deposit. Penyertaan TS Isa, dapat memujuk sebahagian pengundi UMNO, di mana parti membuat keputusan memulaukan PRK ini. Empat  calon bebas yang lain sekadar memeriahkan medan dengan perolehan undi yang terlalu kecil, masing-masing perolehi di bawah 1%. Mohd Saiful Bukhari, yang ikut bertanding untuk mengganggu aura calon PH, menduduki tempat tercorot, sekadar memungut 82 undi atau 0.19% undi sahaja.

Usaha UMNO dan komponen BN memboikot PRK P132 memberikan kesan kepada penurunan jumlah keluar mengundi, yang membezakan lebih 17,000 pengundi, setara dengan jumlah undi BN dalam PRU14; 18,515 undi. Pemboikotan ini sedikit sebanyak membantu PH dan Pas membaiki imej. Pemboikotan UMNO membantu calon PH mencipta majoriti kemenangan yang lebih besar. Ekoran ketiadaan calon BN, memberi ruang kepada sebahagian pengundi memihak kepada Pas. Hasil pencapaian PRK P132 syabas diucapkan untuk DS Anwar Ibrahim dan calon Pas.


 

Khamis, 11 Oktober 2018

PRK Port Dickson 6

POKOKNYA BERAPA PERATUS KELUAR MENGUNDI

Kempen hari-hari terakhir PRK P132 memperlihatkan semua pihak memberi perhatian kepada angka peratusan keluar mengundi pada hari pembuangan undi, Sabtu 13/10/2018. Calon Pakatan Harapan yang bertanding atas pakej bakal Perdana Menteri diperhatikan umum diharap mendapat sokongan mutlak. Kemenangan besar PH (yang menggunakan logo PKR) dengan majoriti 17,710 di kala lebih 83% pengundi keluar mengundi, dalam PRU14, adalah garisan  sasaran kerja jentera PH dala PRK P132. 

Tumpuan jentera pasukan kempen DS Anwar Ibrahim sudah pastinya berfokus kepada jumlah pengundi yang keluar mengundi seoptimun mungkin. Penekanan khusus kepada pengundi dalam bahagian pilihan raya P132 yang berada ada di luar kawasan sama ada di luar Negeri Sembilan atau di luar daerah Port Dickson, yang direkodkan melebihi 11,000 pengundi. Kemudahan mengundi hari cuti hujung minggu memudahkan pengundi berkenaan pulang mengundi di daerah mengundi masing-masing. Jumlah 15% pengundi yang merupakan pengundi luar cukup penting bagi semua parti atau calon yang bertanding lantaran ianya memberi berbagai kesan. Bagi calon PH, ianya memberi kesan keupayaan sasaran PH untuk menang bergaya, paling minima dapat pertahan saiz kemenangan. Bagi calon lain pencabar, kemampuan membolot undi sebanyak mungkin.

Tugasan SPR dalam setiap kali PRK ialah mensasarkan satu angka peratusan keluar mengundi yang tinggi. Setelah 3 kali PRK selepas PRU14, peratusan keluar mengundi yang rendah, iaitu di bawah 50%. Elemen ini menggambarkan wakil rakyat yang dipilih diputuskan oleh kumpulan minoriti, kerana majoriti atau lebih separuh pengundi mengabaikan penglibatan. 

Kemenangan selesa PH dalam PRU14 di 3 bahagian pilihan raya negeri Selangor, meletakkan majoriti pengundi berpandangan keputusan di 3 PRK tidak mengubah kuasa pemerintah negeri serta tidak terfikir PH akan hilang kerusi selamat. Dibimbangi pengundi di P132 mengambil sikap yang sama sebagaimana pengundi dalam PRK Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia.  peratusan keluar mengundi yang tinggi

Kegagalan calon PH mencapai majoriti undi yang menyakinkan serta kegagalan SPR dalam misi menarik jumlah keluar mengundi yang tinggi, secara langsung menjejaskan imej PH selaku pemerintah dan SPR di bawah pengurusan baru. 

Calon Pas yang hilang wang pertaruhan dalam PRU14 juga berdepan dengan kesukaran memperbaiki imej dan prestasi seandainya kesungguhan dan kesediaan pengundi keluar mengundi dengan peratusan yang tinggi. Harapannya, UMNO dan rakan-rakan dalam BN yang memboikot PRK P132, memberi peluang penyokongnya menunaikan dan menghormati hak-hak demokrasi. Berilah peluang kepada penyokong dan ahli BN meraikan tugasan individu setiap warganegara, hak dan kewajipan walaupun pada dasarnya parti mengambil keputusan memulaukan PRK ini. 

Kepada semua pengundi di P132, selamat menunaikan hak individu dalam sistem demokrasi, selamat mengundi.



 

 


Ahad, 7 Oktober 2018

PRK Port Dickson 5

DEMI DEMOKRASI PAS BERTANDING

Pas ikut serta dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson sebagai memenuhi wadah sebuah organisasi bersifat nasional. Penyertaan Pas dalam PRK ini sekali imbas memperlihatkan cubaan Pas untuk melarikan diri daripada tanggapan penglibatan Pas hanya terbatas kepada ruang yang terhad. Penampilan Pas dalam PRK di kawasan campuran yang mempamirkan realiti kemajmukan masyarakat sebagai usaha mendekati realiti keperluan politik semasa.

Sebelum Pas terlibat dalam pakatan pembangkang sama ada Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat, prestasi Pas yang terkebelakang di negeri-negeri bahagian selatan Semenanjung atau Tanah Melayu. Jika ada mana-mana calon Pas berjaya mempertahankan deposit, sudah dikira satu kejayaan lantaran fenomena Pas hilang deposit adalah lumrah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. 

Bila Pas bersendirian dalam PRU14, prestasi Pas kembali sebagaimana era sebelum wujud kerjasama Pas dengan parti-parti pembangkang utama. Dalam PRU14, calon Pas hilang wang pertaruhan dalam saingan tiga penjuru di P132 Port Dickson. Pas hanya mampu meraih 6,594 undi atau 10.75% dari jumlah undi sah, untuk menyelamatkan wang deposit memerlukan tidak kurang12.5% undi sah. Berbanding 59.06% dikumpulkan oleh calon PH dan 30.19% oleh calon MIC/UMNO. 

Bahagian pilihan raya P132 mempunyai 4 bahagian pilihan raya negeri atau kerusi DUN, di mana kawasan paling ramai pengundi Melayu, Bagan Pinang mempunyai 71.33% pengundi Melayu. Semasa Pas bekerjasama dalam pakatan pembangkang, Pas diperuntukan kerusi Bagan Pinang, di mana undi Pas mewakili pakatan pembangkang antara 20.81% hingga 30.92% dalam PRU11 (2004), PRU12 (2008) dan PRU13 (2013), dalam saingan dua penjuru menentang calon UMNO/BN. Dalam PRU14, Pas tidak meletakkan calon di Bagan Pinang, membolehkan calon PKR berdepan dengan calon BN dalam saingan dua penjuru, yang memberikan calon PKR mampu beri tentangan sengit dengan perolehan 42.17%, dengan majoriti kemenangan kepada BN dengan majoriti yang mengecut. 

Dalam PRU14, Pas hanya bertanding di kerusi Linggi dalam saingan 3 penjuru bersama calon UMNO/BN dan calon PKR. Linggi, tradisinya pembangkang mengagihkan kepada PKR. Sungguhpun UMNO/BN masih kekal di Linggi, tetapi perolehan undi yang semakin kecil, dengan meraih 48.53% undi sahaja berbanding 43.55% undi kepada PKR. BN menang dengan majoriti 661 undi berbanding majoriti besar 3,200 undi dalam PRU13. Dalam PRU14, Pas hanya perolehi 992 undi atau 7.93% sahaja. 


Berdasarkan kepada pengalaman dan penglibatan yang terhad dalam 4 PRU di atas, sejauhmanakah keupayaan Pas meningkatkan pencapaian dalam PRK ini. Menyedari keperluan dan tuntutan politik merentasi perkauman serta garisan geopolitik, Pas memerlukan lebih banyak pendedahan. Pendedahan serta kemunculan dalam kawasan campuran walaupun menempuh keperitan dalam melaksanakan tuntutan demokrasi menjadi asas gerakerja masa depan. Apabila Pas bersendirian, tidak lagi berikat dalam pakatan atau kerjasama politik dengan parti baik, seolah-olah Pas bermula semula.  

Berlainan dengan parti politik lain, penglibatan dalam politik kepilihanrayaan demi satu matlamat: kuasa. Perjuangan Pas berasaskan 3 matlamat asas: kuasa, tarbiyaah dan dakwah. Kejayaan Pas bukan semata-mata diukur kepada pencapaian kuantiti; berapa undi yang berjaya dipungut. Peluang menyampaikan mesej dakwah serta mesej pendidikan ukhrawi dan duniawi, dapat disentuhi menerusi pergerakan jentera parti dalam PRK. Kesempatan bertemu mata atau bersua secara langsung dengan pengundi menerusi kempen dari rumah ke rumah mendekatkan mesej keperluan dan keberadaan Pas dalam politik demokrasi. Tambahan pula, pemboikotan UMNO dalam PRK P132 serta  penolakan rakyat ke atas UMNO dan BN dalam PRU14, ruang mendekati pengundi dipenuhi oleh Pas.




Khamis, 4 Oktober 2018

PRK Port Dickson 4

  CABARAN CALON PAKATAN HARAPAN

Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson yang akan menyaksikan persaingan 7 penjuru melibatkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili Pakatan Harapan (PH), DS Anwar Ibrahim, yang mempertahankan kerusi PH dimenangi dalam PRU14 bersama calon Pas dan 5 orang calon bebas, memiliki ciri kelainan berbanding dengan 3 PRK pasca PRU14. PRK P132 beragenda besar untuk memberi laluan kepada bakal Presiden PKR menyertai Parlimen dalam rangka kerajaan baru PH memerlukan tenaga Anwar Ibrahim membantu pemerintah. 

Rekod penyertaan Anwar dalam politik tanah air bermula kejayaan merampas kerusi PAS iaitu Parlimen Permatang Pauh dalam PRU 1982, satu kawasan atau bahagian pilihan raya majoriti pengundi Melayu.  Permatang Pauh sudah sinonim dengan nama Anwar, beberapa kali memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh, hilang kelayakan bertanding dan memenangi semula kerusi ini, kemudian hilang kelayakan kali kedua lantaran hukuman penjara. 

Kali ini ruang disediakan untuk Anwar kembali ke Parlimen menerusi kawasan campuran. Kawasan P132 mempunyai seramai 42.66% pengundi Melayu, Cina 32.51%, India 21.40% dan lain-lain kaum 3.46%. Mempertaruhkan Anwar di kawasan campuran dalam rangka mempersiapkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke 8, menepati matlamat meletakkan calon PM  mewakili semua kaum. Satu mekanisme politik masa depan berasaskan perpaduan kaum berbeza dengan semua Perdana Menteri Malaysia adalah mewakili kawasan majoriti Melayu, kubu kuat UMNO: Kuala Kedah, Pekan, Sri Gading, Kubang Pasu, Kepala Batas dan Langkawi. 

Sebagai calon yang diberi laluan istimewa dan digambarkan bakal peneraju kerajaan, Anwar bersama PH akan berdepan dengan beberapa cabaran untuk menjadikan kemenangan bergaya di P132. 

Cabaran utama ialah kuantiti dan kualiti kemenangan. Jika PH boleh menang dengan majoriti 17,710 undi atau 28.87% dalam persaingan 3 penjuru dalam PRU14, calon yang ditonjolkan sebagai bakal PM, pastinya dengan angka yang lebih besar.  Anwar perlu menang lebih besar dari kemenangan calon PH dalam PRU14, untuk menonjolkan kewibawaan dan kelebihan yang ada pada calon PM masa depan. Tambahan pula, yang lebih dihighlightkan PRK ini untuk membolehkan laluan Anwar ke tampuk kerusi PM. 

Cabaran kedua ialah kemampuan PRK P132 dapat menarik peratusan keluar mengundi yang tinggi sebagai gambaran sokongan besar penglibatan khalayak pengundi dalam memilih seorang bakal PM. Dalam 3 PRK terakhir: Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia menyaksikan peratusan keluar mengundi yang terlalu rendah, bawah 50%. Lantaran pencapaian cemerlang PH dalam PRU14 dengan majoriti besar, memungkinkan pengundi kurang peduli dengan proses demokrasi yang tidak menjejaskan pengukuhan kerajaan PH di negeri Selangor. Ketiga-tiga PRK tersebut hanya mempunyai dua matlamat: di pihak kerajaan untuk mengisi dan mempertahankan kerusi, sementara di pihak pembangkang untuk mengukur sejauhmana penilaian prestasi kerajaan dan peranan pembangkang. 

Lebih 80% keluar mengundi di P132 dalam PRU14, setara dengan peratusan nasional, sejauhmanakah kemampuan penonjolan Anwar sebagai  bakal PM dapat menarik peratusan keluar mengundi yang tinggi. Peratusan keluar mengundi yang kecil yang relatifnya pungutan undi dan majoriti kemenangan yang lebih rendah daripada pencapaian calon PH dalam PRU14. Kealpaan jentera pilihan raya PH dalam PRK ini berusaha mempastikan angka keluar mengundi yang tinggi, sedikit sebanyak akan merencatkan harapan penonjolan calon PM. 

Cabaran ketiga kepada Anwar ialah keupayaan menguasai atau menarik pengundi Melayu menyokong PH, apabila calon-calon PKR sebelum ini tewas di kerusi majoriti Melayu atau daerah mengundi majoriti Melayu.

Bahagian pilihan raya Parlimen Port Dickson (dulunya Teluk Kemang) mempunyai 5 bahagian pilihan raya negeri: Chuah, Lukut, Bagan Pinang, Linggi dan Seri Tanjung (dulunya Port Dickson) yang menggambarkan penguasaan kerusi negeri berkaitan dengan komposisi kaum. Sokongan kepada parti atau pakatan parti mudah dibaca berasaskan taburan pemilih mengikut kaum, bermula PRU 12 (PRU 2008). 

Chuah dan Lukut adalah kawasan majoriti pengundi Cina yang menguasai 55% jumlah pengundi. Chuah dimenangi calon PKR, sementara Lukut menjadi kubu DAP, dalam 3 PRU terakhir. Seri Tanjung, kawasan campuran, dengan taburan pengundi hampir sama ramai bagi etnik Melayu, Cina dan India. Seri Tanjung dikuasai oleh PKR menerusi calon India, sejak PRU12. BN meletakkan calon MCA di Chuah dan Lukut dan calon MIC di Seri Tanjung dalam tempoh 4 PRU terakhir. Dalam PRU 11 (PRU 2004), BN menguasai semua kerusi berkenaan dengan perolehan lebih 60% undi popular. 

Bagan Pinang dan Linggi adalah kawasan majoriti Melayu dengan 71% di Bagan Pinang dan 60% di Linggi, yang menyaksikan BN menerusi calon UMNO menguasai kerusi-kerusi ini sejak sekian lama. Sejauhmanakah kemampuan Anwar mengaut undi Melayu lantaran pemboikotan BN yang dikepalai UMNO. Adakah  undi Melayu ikut memboikot PRK P132 yang boleh mengurangkan peratusan keluar mengundi serta peratusan sokongan pengundi Melayu kepada calon PH.
 

Rabu, 26 September 2018

PRK Port Dickson 3

PAS BERTANDING UMNO BOIKOT

Menjelang hari penamaan calon PRK P132 Port Dickson, sungguhpun PRK ini dianggap kurang mencabar lantaran langkah pemboikotan UMNO mewakili BN, tindakan beberapa parti politik dan individu yang menunjukkan minat melibatkan diri, agak menarik juga. Langkah UMNO yang telah diserahkan peruntukan oleh BN, untuk mengambil alih kerusi tradisi MIC, sengaja memperlihatkan langkah tidak menghormati hasrat asas demokrasi. Sebagai parti yang mengepalai kerajaan lebih 60 tahun, sengaja mengabaikan tuntutan demokrasi. Jika hendak dipersalahkan PRK P132 sengaja dirancang untuk memenuhi agenda Pakatan Harapan menyediakan tapak untuk Presiden PKR dalam institusi kuasa, BN juga pernah mengatur dua PRK serentak pada 25/09/1997 bagi kerusi Parlimen P089 Kuala Selangor dan kerusi negeri N10 Permatang, untuk membolehkan Dato' Abu Hassan Omar menjawat jawatan Menteri Besar Selangor. PRK P132 tiada beza dengan PRK P089, 21 tahun dulu. 

Pas yang awalnya memberi pandangan yang pasif dengan memberi laluan kepada UMNO mewakili pembangkang, lanyaran langkah boikot UMNO, Pas ambil keputusan bertanding dengan mengemukakan pesara tentera, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, Yang Dipertua Pas Kawasan Tenggara. Parti Rakyat Malaysia (PRM) telah mencalonkan Ahmad Kamarudin, pemimpin PRM dari Kapar. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Ketua UMNO Bahagian Port Dickson dan bekas MB Negeri Sembilan, sudah buat pengumuman akan bertanding sebagai calon bebas. Bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Kumar yang bercadang hendak bertanding sebagai calon bebas telah pun membatalkan hasrat. Seorang aktivis sosial, Stevie Chan Keng Leong, nyatakan hasrat bertanding sebagai calon bebas.

Sejauhmanakah kemampuan Pas untuk mencabar kekuatan PH, dengan hanya mampu  mengaut 6,594 undi atau hanya 10.58% dari jumlah undi sah dan hilang wang pertaruhan dalam PRU14 lepas. Jika dalam PRK Seri Setia lalu, Pas mampu memberi saingan sengit kepada PH dengan kerjasama UMNO,  tapi kali ini UMNO/BN sudah pun istiharkan pemboikotan.  

Dalam PRU14, calon MIC/BN memperolehi 18,515 undi atau 29.72% undi sah. Pemboikotan oleh BN dalam PRK nanti bermaksud bukan sekadar BN tidak menggerakkan jentera membantu mana-mana calon, tetapi memulaukan secara keseluruhannya iaitu tidak akan keluar mengundi. Seandainya keseluruhan undi yang diperolehi oleh calon BN dalam PRU14 adalah dari ahli dan penyokong komponen BN, jika merekapulaukan PRK P132 ini, bermakna seramai 18,515 orang atau 24% dari jumlah pengundi 75,770 yang layak mengundi dalam PRK P132 tidak akan keluar mengundi. Jika dalam PRU14, jumlah 18,515 pemilih ini menjumlahkan 82.81% keluar mengundi, dan secara logiknya jumlah yang akan keluar mengundi tidak akan melebihi 75%. 

Jumlah yang akan keluar mengundi dengan angka yang semakin kurang berbanding PRU14, boleh mengganggu usaha Pas untuk menambah undi, supaya kehilangan wang pertaruhan tidak akan berulang. Calon PH memperolehi 36,225 undi atau 58.16% undi sah dalam PRU14, yang sudah pasti dengan calon gagah dan popular akan berusaha mempastikan sekurang-kurangnya mengekalkan peratusan undi popular. Calon-calon yang lain akan berebut bakian undi yang memungkinkan taburannya tidak mampu mengugat peratusan undi parti yang mempertahankan kerusi.


 

Selasa, 25 September 2018

PRK Port Dickson 2

APA PERLUNYA PEMBANGKANG BERTANDING

Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson yang akan diadakan pada 13/10/2018, sekiranya berlaku pertandingan akan ditentukan oleh proses penamaan calon pada 29/09/18 ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah merangka perbelanjaan pengurusan sebanyak RM3.6 juta diperlukan untuk PRK P132 untuk kelengkapan logistik dan tenaga petugas. Di pihak parti atau calon yang bertanding, masing-masing memerlukan perbelanjaan yang besar juga untuk kerja-kerja jentera kempen termasuk kelengkapan dan petugas pembantu. 

PRK yang dirancangkan khusus untuk persiapan DS Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri ke 8. Harapan yang cukup tinggi dan berstrategik bagi Pakatan Harapan mempastikan bakal pengganti Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, diagendakan  secara teratur. Agendanya Anwar perlu berada dalam Parlimen dalam tempoh tertentu dan munasabah, sebelum berlalu pertukaran penjawat kerusi berkenaan. 

Kerusi P132 secara tradisinya bagi BN adalah peruntukan untuk MIC. Dalam tempoh 14 kali PRU, BN atau dulunya Perikatan, meletakkan wakil MIC, bermula dengan T. Mahima Singh dalam PRU1 (PRU 1959).  Dalam 14 kali PRU, BN/Perikatan menang 10 kali dan kalah 4 kali: PRU 1969 kepada DAP, PRU 2008, 2013 dan 2018 kepada PKR, di kawasan campuran dengan rekod terkini 42.60% Melayu, 32.1% Cina, 21.40% India dan 3.49% lain-lain dengan jumlah 75,770 pemilih. 

MIC awal-awal lagi sudah menyerahkan kepada UMNO untuk meletakkan calon dalam PRK. Lantaran itu, bekas Setiausaha Agung MIC, S. Kumar telah mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas, sebagai satu protes di atas penyerahan kerusi peruntukan MIC kepada UMNO. 

Pas yang sedang mengadakan kerjasama dengan UMNO, sudah memberi laluan kepada UMNO, walaupun meletakkan calon dalam PRU14 di P132. Kenyataan awal Timbalan Presiden Pas bahawa PRK N132 membuang masa dan membazirkan wang rakyat. Namun demikian, UMNO secara rasmi telahpun mengumumkan UMNO bersama BN akan memboikot PRK P132. 

Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang tidak terlibat dalam mana-mana pilihan raya di bahagian pilihan raya Parlimen atau mana-mana bahagian pilihan raya negeri dalam kawasan Port Dickson atau Teluk Kemang dalam tempoh 40 tahun terakhir, telah mengesahkan akan menyertai PRK P132. 

Berdasarkan maklumat awal, PRK P132 sekadar menyaksikan persaingan antara calon PKR mewakili Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim akan ditentang oleh calon-calon bebas atau parti kecil. Sebagai meraikan hak demokrasi, PRK P132 tetap akan berlaku, menafikan saranan membiarkan Anwar Ibrahim menang percuma demi menyelamatkan duit awam. Pemerintah boleh menjimatkan wang orangramai demi melunaskan agenda "self centric", untuk memenuhi keperluan awam yang lain, jika semua pihak khususnya parti pembangkang mengambil tanggungjawab menyelamatkan dana awam. 

Apabila UMNO parti pembangkang terbesar di Parlimen yang diharapkan dapat menyaingi wakil parti pemerintah telah pun mengmabil keputusan memulaukan PRK ini, berkemungkinan parti pembangkang dominan yang lain akan mengambil tempat UMNO. Apakah Pas akan membuat keputusan baru ekoran tindakan UMNO mewakili BN. Terletak di tangan Pas, sama ada mengelakkan pembazirkan dana awam atau merealisasikan tanggungjawab sebagai pembangkang berkesan pasca PRU14.
 

Khamis, 20 September 2018

Umur Pemilih

KEWAJARAN MENURUNKAN HAD KELAYAKAN UMUR PENDAFTARAN PEMILIH

Kabinet Persekutuan telah mengambil keputusan meletakkan had umur kelayakan sebagai pemilih diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun. Keputusan dan hasrat kerajaan pimpinan Pakatan Harapan menurunkan umur kelayakan menjadi pemilih sekali imbas bukanlah sebagai memenuhi janji pilihan raya sebagai menghargai kecenderungan pengundian dalam beberapa PRU terakhir. Kecenderungannya undi di kalangan pengundi muda ke arah perubahan secara drastik berbanding kecenderungan pengundian golongan pertengahan umur dan warga emas yang lebih mempertahan status quo atau berpuashati dengan apa yang sedia ada.

Sebagai sebuah pemerintah yang masih di peringkat awal, baharu melepasi 100 hari pertama, keputusan menurunkan umur kelayakan pemilih, tindakan ini seharusnya diberi perhatian lantaran penyesuaian dengan amalan negara-negara demokrasi yang lain. 

Dalam tempoh 50 tahun terakhir, sebahagian besar negara yang mengamalkan demokrasi kepilihanrayaan telah pun menurunkan umur pemilih. Amalan ini bermula di Britain yang telah menurunkan had umur 21 tahun kepada 18 tahun bermula dalam tahun 1969.  Ianya diikuti oleh beberapa negara Eropah Barat dan Amerika Utara, dalam tempoh 1970-1974. Ianya dikuti oleh negara-negara Amerika Latin, Afrika dan Asia. Paling akhir ianya dilaksanakan di Jepun  dalam tahun 2016. 

Hari ini dikenalpasti umur 21 tahun sebagai kelayakan mengundi diamalkan di Malaysia, Singapura, Kuwait, Lebanon, Oman, Cameroun, Samoa dan Tonga. Negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, sudah lama menurunkan hak umur pemilih.

Umur 18 tahun adalah had umur diambilkira dalam urusan pentadbiran di negara; kelayakan mengambil lesen memandu, kelayakan pengambilan tenaga kerja sektor awam dan swasta, kelayakan mendirikan rumah tangga. 

Urusan menurunkan had umur kelayakan pemilih memerlukan kepada pindaan peruntukan dalam perlembagaan. Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan: warganegara yag mencapai umur 21 tahun dan bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan adalah berhak mengundi dalam bahagian pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, hendaklah dipinda dengan kelulusan suara majoriti dua pertiga keahlian Dewan Rakyat sebelum di bawa ke Dewan Negara. 

Di Dewan Rakyat, bilangan penyokong kerajaan hanyalah 124 orang: 113 Pakatan Harapan, 8 Warisan dan 3 Bebas mesra PH berbanding 98 pembangkang. Untuk dapat dua pertiga sokongan memerlukan 138 undi atau sekurang-kurangnya 14 undi dari blok pembangkang. Sementara di Dewan Negara bilangan anggota pembangkang lebih ramai berbanding dengan ahli mewakili Pakatan Harapan. 

Usaha untuk menurunkan umur kelayakan sebagai pemilih dalam amalam demokrasi di negara kita supaya seragam dengan amalam kebanyakan negara hari ini memerlukan kesungguhan, keiltizaman dan keikhlasan semua ahli legislatif yang dipilih oleh negara wujudnya keadilan dan kesamarataan nilai-nilai universal diamalkan dalam masyarakat kita. Semoga penurunan umur ini meletakkan taraf setiap warganegara menyamai nili-nilai bersama yang dinikmati oleh rakan sebaya di negara lain. Di samping itu, meletakkan tahap kematangan warga kita setanding dengan warga negara lain yang sebaya dalam politik dan pembuat keputusan.
 

 

Rabu, 19 September 2018

PRK Port Dickson 1

MEMBELANJAKAN PERBEANJAAN AWAM UNTUK SEBUAH AGENDA TERANCANG

Pada hari Rabu, 12/09/2018 lepas, Ahli Parlimen P132 Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, secara rasmi meletakkan jawatan. Perletakan jawatan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini sebagai memberi jawapan kepada hebahan dan spekulasi pengosongan sebuah kerusi Parlimen di kalangan wakil rakyat PKR. Ekoran DS Anwar Ibrahim, bakal memegang jawatan Presiden PKR secara rasmi November nanti, sekurang-kurangnya 3 Ahli Parlimen PKR disebut-sebut sanggup menawarkan diri untuk mengosong kerusi untuk memberi laluan dan jalan pendek bakal Presiden PKR menganggotai Parlimen. Nama Ahli Parlimen Port Dickson tidak termasuk dalam senarai awal.

Urusan menyediakan laluan kepada bakal Presiden PKR menganggotai Parlimen, dengan apa cara sekali pun, adalah urusan dalaman parti berkenaan. Apa cara sekali pun, cepat atau mudah, adalah hak parti menyelesaikan atau menyusun strategi parti, sebagai komponen utama yang membentuk kerajaan Pakatan Harapan. 

Persoalannya ialah ia melibatkan kepentingan awam. Untuk menyelesaikan urusan dalaman parti terpaksalah menggunakan dana awam, hasil sumbangan pembayar cukai. Sungguhpun diizinkan oleh sistem amalan demokrasi pilihanraya yang kita amalkan, sedikit sebanyak nilai-nilai moral sepatutnya menjadi salah satu unsur memurnikan keadilan sosial menerusi tuntutan demokrasi. Janganlah menggadai maruah untuk mencapai cita-cita demi politik menghalalkan cara mengikut ajaran Machiavelli. 

Suruhanjaya Pilihan Raya, dalam tempoh mengurus pilihan raya bermula pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur 1952, melakukan beberapa pindaan dalam akta pilihanraya untuk penambahbaikan pengurusan dan perjalanan pilihanraya. Pengalaman dari beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) terutamanya melibatkan tokoh-tokoh parti politik tertentu menguji pengaruh meletak jawatan wakil rakyat untuk diadakan PRK. PRK dijadikan sebagai penanda aras kekuatan, ancaman dan kesan pengaruh seseorang tokoh. 

Krisis kepimpinan dalam kerajaan negeri Sabah yang dipimpin USNO di akhir tahun 1975, membawa kepada pemecatan menteri kanan kerajaan negeri, Datuk Harris Mohd Salleh (Menteri Kewangan Negeri). Kumpulan pro Harris menubuhkan sebuah parti, Barisan Rakyat Jelata Sabah (Berjaya). Harris letak jawatan ADUN untuk membolehkan PRK diadakan. ADUN Kuala Kinabatangan, Datuk Salleh Sulong juga ikut sama letak jawatan. Untuk menguji pengaruh parti baru, Harris bertanding dalam PRK Labuan dan rakannya tidak mempertahankan Kuala Kinabatangan, diletakkan muka baru. PRK Labuan dan Kuala Kinabatangan pada 8 hingga 10/12/1975, memberi kemenangan kepada calon USNO menewaskan calon-calon Berjaya, dengan majoriti besar. Gambaran awalnya, kerajaan negeri pimpinan USNO di bawah Tun Datu Mustapha Datu Harun masih mendapat sokongan kuat rakyat Sabah, menafikan kemunculan parti serpihan yang mendapat restu dari kerajaan Persekutuan. 

Petunjuk dari PRK Labuan dan Kuala Kinabatangan, rakyat masih bersama USNO, menyakinkan kerajaan Sabah membubarkan DUN untuk dipanggil satu Pilihan Raya Negeri (PRN) demi sebuah mandat baru. PRN Sabah dalam bulan April 1976, menyaksikan kejatuhan kerajaan USNO, yang bmandat baru kepada parti Berjaya pimpinan Donald Stephents-Harris Salleh. 

Krisis dalam kepimpinan kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Berjaya di bawah Harris Salleh dalam tahun 1984 membawa kepada pemecatan pemimpin kanan Berjaya, Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri. Dalam peraturan yang diamalkan oleh parti Berjaya; seseorang calon yang diangkat sebagai calon perlu menandatangan surat perletakan jawatan sebagai wakil rakyat (kiranya terpilih) tanpa tarikh dan disimpan oleh pengurusan parti. Parti akan meletakkan tarikh apabila seseorang wakil rakyat yang diputuskan oleh parti perlu meletak jawatan dan serentak diserahkan kepada Yang Dipertua DUN untuk mengistiharkan kekosongan kerusi wakil rakyat berkenaan. 

Melalui peruntukan dan peraturan parti, Pairin Kitingan diistiharkan meletak jawatan ADUN Tambunan. Kekosongan kerusi Tambunan, membolehkan SPR menetapkan satu PRK diadakan pada 29/12/1984. Pairin Kitingan bertanding sebagai calon bebas menentang calon Berjaya yang bertanding atas tiket BN. Pairin berjaya dalam menguji pengaruh dan kekuatan bila berjaya merampas kerusi asalnya dengan majoriti yang besar. Langkah seterusnya, Pairin menubuhkan Parti Sabah Bersatu (PBS) setelah kejayaan memenangi kerusi Tambunan. Tak sampai enam bulan sebelum pengaruh Pairin dan PBS berkembang, Harris Salleh membubarkan DUN untuk mendapat mandat baru. PRN Sabah, pertengahan tahun 1985, menyaksikan kejatuhan kerajaan Berjaya/BN Sabah, setelah parti baru, PBS berjaya menguasai kerajaan negeri.

Krisis kepimpinan UMNO ekoran pemilihan kepimpinan UMNO 1987 yang membawa kepada pengharaman UMNO dan tertubuh UMNO (Baru) memberanikan Datuk Shahrir Abdul Samad, Menteri Kebajikan Masyarakat, meletakkan jawatan Ahli Parlimen Johor Bahru. Shahrir mengosongkan kerusi Parlimen Johor Bahru untuk mengajak UMNO (Baru)  menguji pengaruh dalam satu PRK. Shahrir yang bertanding sebagai calon bebas berjaya mengalahkan calon UMNO/BN dengan majoriti besar. Kemenangan calon bebas di negeri kubu UMNO paling kuat ini, sedikit sebanyak mempengaruhi tahap sokongan kepada UMNO (Baru). Keputusan PRU 1990, sokongan kepada BN di negeri-negeri Melayu terjejas dan BN hilang kuasa di negeri Kelantan. 

Selepas PRU 1990, satu pindaan perjalanan pilihan raya telah dipinda iaitu seseorang yang meletak jawatan sebagai wakil rakyat tidak dibolehkan bertanding dalam mana-mana bahagian pilihan raya dalam tempoh lima tahun. Pindaan ini sebagai satu tindakan menyekat seseorang wakil rakyat bertanding semula dalam PRK. Rasional pindaan ini ialah tidak menggalakan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat mempermainkan mandat yang diberi di samping dana atau harta wang dibazirkan untuk kepentingan individu menerusi bila sesuatu PRK diadakan. 

Wajarkah satu PRK diadakan yang melibatkan kos menggunakan duit pembayar cukai semata-mata untuk memenuhi satu agenda politik. PRK Kajang pada awal 2014 sengaja diadakan untuk satu agenda menukar ketua kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, SPR membelanjakan lebih RM1 juta untuk belanja pengurusan. Kesudahannya, kemelut jawatan MB Selangor diselesaikan tanpa dipengaruhi hasil PRK Kajang.

PRK P132 Port Dickson terpaksa diadakan lantaran rasminya sudah diistiharkan oleh SPR. Cuma, PRK seumpama ini wajar dipertimbangkan untuk masa depan berasaskan kepada dua perkara utama; memberi keadilan kepada pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab dan memberikan mandat kepada orang yang dipilih untuk berkhidmat dalam tempoh sepenuhnya, dan membelanjakan sumbangan setiap pembayar cukai secekap dan penuh tanggungjawab. Setiap mandat yang diberi dan dana wang dibelanjakan, tidak dipersiakan dan dibazirkan. Tambahan pula, rakyat baru selesai menunaikan hak mereka, empat bulan lepas. Walaupun diizinkan oleh Perlembagaan dan Peraturan Pilihan Raya, menghormati hak pengundi dan hak pembayar cukai seharusnya diutamakan dan dihormati.










 

Sabtu, 15 September 2018

Beza Balakong dengan Seri Setia

PRK BALAKONG DAN SERI SETIA MEMPAMIRKAN PERBEZAAN TANGGAPAN POLITIK MENGIKUT KAUM

PRK N29 Balakong tempoh hari memberikan ruang kepada kedua-dua pihak yang bertanding mendakwa masing-masing ada peningkatan prestasi. Sungguhpun berlaku peningkatan peratusan undi kepada calon Pakatan Harapan dan MCA berbanding PRU14, peratusan keluar mengundi yang paling rendah dalam sejarah pilihan raya di Malaysia iaitu 43%, sebenarnya tidak memberi gambaran yang sebenar dan rangkuman sepenuhnya. 

Balakong adalah kubu DAP, walaupun calon DAP bertanding menggunakan simbol berbagai simbol namun, pengundi Balakong yang mewakili masyarakat Cina bandar, memberikan kemenangan dengan majoriti besar kepada calon DAP, sejak Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 2008). Dalam PRU14, DAP bertanding dengan lambang PKR, dalam PRK, buat pertama kali guna lambang Pakatan Harapan. Sama ada menggunakan lambang DAP atau lambang lain, tidak memberi masalah kepada penyokong atau pengundi Balakong, sebuah bahagian pilihan raya negeri bersifat bandar. Dalam PRU11 (PRU 2004) di kala BN mencapai kejayaan yang gemilang tetapi di Balakong, calon DAP cuma tewas majoriti kecil kepada calon MCA/BN. 

MCA buat pertama kalinya menggunakan lambang sendiri dalam pilihan raya di Malaysia, tetapi di Balakong, lambang atau simbol parti tidak menjadi masalah, berdasarkan hasil PRK Balakong. 

MCA mendapat respons yang positif hasil pencapaiannya dalam PRK, bila kalah teruk, hingga hilang deposit dalam PRU14, dalam tempoh 4 bulan BN menerusi MCA berjaya mengembalikan momentun, bila calonnya tidak hilang deposit dalam PRK.  Pencapaian calon MCA dengan 3,975 undi atau 15.00% adalah lebih baik berbanding PRU14, di samping dapat mengurangkan majoriti kemenangan calon DAP dari 35,538 undi kepada 18,533 undi. Tetapi hakikat sebenarnya majoriti kemenangan kepada calon DAP telah meningkat dari 65.89% kepada 69.98%.

Berbeza dengan PRK Seri Setia yang memperlihatkan kemerosotan peratusan undi atau sokongan kepada Pakatan Harapan, di Balakong berlaku peningkatan sokongan, yang secara langsung mencerminkan perbezaan sokongan kepada Pakatan Harapan yang memerintah antara kawasan majoriti Melayu dengan kawasan majoriti Cina, walaupun kedua-duanya bersifat penempatan perbandaran. 

Di Balakong, calon DAP mewakili PH, berjaya mengaut 22,508 undi atau 84.99% undi sah, di kala 43% keluar mengundi, berbanding perolehan 41,768 undi atau 77.52% undi, dengan 87% keluar mengundi dalam PRU14. Perbandingan pencapaian calon DAP mewakili PH di Balakong dalam dua pilihan raya dalam tempoh empat bulan, mencerminkan sokongan kepada PH di kalangan orang Cina masih tebal, walaupun hanya separuh dari pengundi yang keluar mengundi dalam PRU keluar mengundi sekali lagi untuk mempertahankan kubu kuat PH.  

Sementara di Seri Setia,  kemerosotan sokongan kepada calon PH amat ketara, bila PH yang menang dengan majoriti 19,372 undi semasa PRU14, mempertahankan kerusi dalam PRK dengan hanya majoriti 4,027 undi. Oleh kerana peratusan keluar mengundi yang amat jauh berbeza, perbandingan yang lebih berwibawa ialah melihat kepada peratusan majoriti undi kemenangan kepada PH, 44.11% dalam PRU14, dan cuma 17.19% dalam PRK. 

PRK Balakong dan Seri Setia yang mencatatkan peratusan keluar mengundi yang paling rendah dalam sejarah pilihan raya di negara kita memberikan satu kesimpulan: Balakong mewakili suara orang Cina yang terus memberikan sokongan kepada PH, Seri Setia mewakili suara orang Melayu yang mulai meminggirkan PH. Rasa tidak puas hati pengundi Melayu berhubung tindakan dan dasar kerajaan PH dalam tempoh jangka pendek diluahkan menerusi peti undi.

Selasa, 11 September 2018

PRK Seri Setia

PRK SERI SETIA MENGUTIP POST-MORTEM PRU14

Pilihan Raya Kecil N32 Seri Setia pada 8/9/18 lepas yang merupakan PRK kedua selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) berserentak dengan  PRK N27 Balakong. Sebelum ini, PRK bagi N49 Sungai Kandis telah diadakan pada 8/8/18. Ketiga-tiga PRK ini melibatkan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor. Ketiga-tiga PRK ini, secara tidak langsung berkaitan respons atau kesan jangka pendek pemerhatian masyarakat pengundi terhadap dasar kerajaan yang baru dibentuk selesai PRU14. 

Agenda utama selepas PRU14, antaranya; jatuhnya sebuah kerajaan yang berkuasa lebih 60 tahun, perubahan-perubahan drastik awal kerajaan baru, dasar-dasar atau tindakan pentadbiran beberapa amalan kerajaan lama, isu-isu yang bersangkutan dengan sentimen kaum dan keagamaan. 

Ketiga-tiga PRK tersebut melibatkan tiga bahagian pilihan raya negeri atau kerusi di negeri Selangor yang telah diterajui oleh Pakatan Harapan (lanjutan dari Pakatan Rakyat), berkebetulan ketiga-tiga kerusi tersebut sudah menjadi kubu Pakatan dan menang dengan majoriti yang terlalu besar. Ketiga-ketiga kerusi berkenaan adalah kerusi selamat Pakatan atau kawasan hitam bagi pembangkang. Justeru itu, pemerhatian khusus bukanlah sama ada parti pemerintah mampu pertahan kerusi atau menang.

Dalam PRK Seri Setia, wujudnya persepakatan atau kerjasama parti-parti pembangkang dalam meletakkan calon, supaya tidak berlaku perpechan undi di kalangan mereka. Sungguhpun Pas bukan sebuah parti yang berpengaruh berdasarkan kepada pencapaian undi calonnya dalam PRU14, dalam saingan 4 penjuru. Calon Pas hanya memperolehi 4,563 undi atau 10.39% dari jumlah undi sah. Pungutan undi Pas ini, mengagalkannya untuk pertahan deposit pilihan raya. 

Bahagian pilihan raya N32 Seri Setia hanya diwujudkan hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 dan mula digunakan dalam PRU11 (PRU 2004). Calon Pas diberi ruang bertanding menentang calon UMNO/BN dalam PRU11, sebagaimana sebelumnya iaitu bahagian bahagian pilihan raya ini adalah dalam bahagian pilihan raya negeri Taman Medan, yang menyaksikan Pas melawan UMNO/BN.

Dalam PRU11, BN menang dengan majoriti besar di Seri Setia untuk mengalahkan calon Pas. Menerusi persefahaman dalam Pakatan Rakyat, Seri Setia diperuntukkan kepada PKR dalam PRU12. Kejayaan PKR memenangi kerusi Seri Setia dalam PRU12, membolehkan PKR diberi peluang mempertahankannya dalam PRU13.

Dalam PRU14, PKR berjaya mempertahankan Seri Setia dengan majoriti yang besar, walaupun Pas bersendirian, ikut serta dalam saingan 4 penjuru. Calon PKR memperlehi 29,250 undi atau 66.61% dari jumlah undi sah, calon UMNO/BN pungut 9,878 undi atau 22.97%, Pas dengan 4,563 undi (10.39%) dan calon bebas 217 undi. 

Perkara menarik dalam suasana politik pasca- PRU14, parti-parti pembangkang membentuk persefahaman meletakkan caln tunggal menentang calon kerajaan, Pakatan Harapan. Pencapaian calon Pas tidaklah lebih baik dari calon UMNO dalam beberapa PRU lepas, tetapi ruang ini kali ini diberikan kepada Pas untuk memikul tanggungjawab menghidupkan saingan ala sistem dua parti. Untuk memikul tanggungjawab berat bertembung dengan calon PKR mewakili Pakatan Harapan yang berbekalkan majoriti besar, 19,372 undi, Pas meletakkan Dr Halimah Ali, bekas ahli Exco Selangor. Calon Pas diletakkan harapan dapat menambahkan suara pembangkang di DUN Selangor, yang didominasi oleh perwakilan Pakatan Harapan. 

Dua unsur yang menarik perhatian dari PRK Seri Setia ialah: peratus keluar mengundi yang rendah, dan pengurangan peratusan undi menyokong kerajaan PH di kawasan majoriti Melayu. Trend pengundian dan pencapaian calon yang bertanding secara relatifnya menggambarkan tindakan dan pendirian politik pengundi Melayu bandar. Peratus keluar mengundi hanya 44.1%  berbanding 84% dalam PRU14, secara langsung menggambarkan hasrat besar rakyat atau masyarakat massa pengundi ialah pilihan raya untuk membentuk kerajaan dan hasrat telah tercapai memberi kemenangan besar PH di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya. Lebih separuh lagi pengundi di Seri Setia, jika boleh dikatakan mewakili rakyat seluruh negara, sudah berpuashati dengan hasil PRU14. 

Kekurangan undi sokongan kepada calon rasmi kerajaan PH, di mana hanya memungut 13,725 undi  atau 58.59% undi sah berbanding 66.61% dalam PRU14, atau kurangan 7% dalam tempoh 4 bulan. Jika angka 7% ini berkekalan setiap 4 bulan menjelang PRU15, apakah yang dapat diramalkan untuk masa depan kerajaan PH. Undi yang dikumpul oleh calon Pas sebanyak 9,698 undi atau 41.40% mewakili pembangkang termasuk penyokong setia BN, adalah satu petunjuk kemampuan persepakatan pembangkang menjadi kuasa pencabar kepada PH pasca-PRU14. Angka 41.40% ini agak berkesan berbanding 33.38% jumlah undi pembangkang dalam PRU14. 

Impaks awal dari PRK Seri Setia ialah isu-isu serta beberapa keputusan yang dibuat oleh kerajaan PH dalam jangka masa pendek ini sudah menzahirkan pengurangan sokongan. Nasib baik Seri Setia, kerusi yang dimenangi dengan majoriti besar dalam PRU14, perubahan 7% sokongan masih mampu memberi kemenangan mutlak kepada kerajaan PH, tetapi sebaliknya PRK Seri Setia adalah satu kemenangan moral kepada pasukan pembangkang. Paparan-paparan di atas mencerminkan apakah sikap, pendirian dan tanggapan masyarakat atau pengundi Melayu bandar sebagai satu dapatan tabiat politik.







 

Ahad, 9 September 2018

Tabung Haji

PERKHIDMATAN TABUNG HAJI SEWAJARNYA BERHAK DIBERI PENGHARGAAN YANG TERTINGGI

Pengelaman mengerjakan ibadat haji buat kali kedua menerusi perkhidmatan Tabung Haji, mengajak penulis mencari dan menilai prestasi perkhidmatan yang ditawarkan. Perbandingan dengan perkhidmatan Tabung Haji yang penulis ikut serta sebagai jemaah haji kali pertama 31 tahun dahulu, sedikit sebanyak merungkaikan apa yang diterbenam di minda yang menempatkan Tabung Haji sebuah agensi kerajaan yang bermasalah.

Institusi Tabung Haji disasarkan dengan urus tadbir kewangan yang bermasalah yang menjadi sebahagian sumbangan kepada kegagalan Barisan Nasional mempertahankan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Bila Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan pusat, dirombak dan disusun semula keanggotaan eksekutif dan pengurusan Tabung Haji. Manifestasi ini memberi kesan imej Tabung Haji itu sendiri secara keseluruhannya. 

Sebaliknya, perkhidmatan yang ditawarkan oleh Tabung Haji sebenarnya tidak perlu dipersoalkan dan mata kredit yang cukup tinggi sepatutnya diletakkan kepadanya. Tidak terjumpa sebarang kecacatan atau saranan penambahbaikan yang boleh  ditujukan kepada Tabung Haji. Sebabnya, memang perkhidmatan Tabung Haji dalam pengurusan haji amatlah cemerlang dan berkesan. 

Perkhidmatan kursus pra haji selama 17 minggu, diikuti dengan kursus intensif peringkat daerah dan kursus perdana peringkat negeri, memang amat berkesan dan cukup banyak membantu jemaah haji menyempurnakan ibadat rukun Islam kelima ini dengan sebaik mungkin. Pengisian kursus dan pendedahan ibadat haji bukan sekadar kerja-kerja ibadat haji secara teori serta amali sekali, tetapi juga mencangkupi kesihatan dan bimbingan kaunseling. 

Perkhidmatan Tabung Haji bermula masa berlepas di tanah air, penginapan dan bimbingan berterusan secara berkala di tanah suci, perkhidmatan bantuan dalam bentuk kesihatan, kemudahan urusan pengeluaran wang berserta petugas dan pembantu petugas yang senang dihubungi. 

Berbanding dengan perkhidmatan yang disediakan untuk jemaah semasa mengerjakan haji kali pertama dahulu, amat jauh berbeza. Tidak keterlaluan kalau dikatakan Tabung Haji telah melakukan 30 kali ganda penambahbaikan dalam tempoh 30 tahun. Apa lagi, dengan pemberian subsidi RM12500.00 untuk setiap jemaah yang tidak pernah dikecapi bagi mereka yang meunaikan fardhu haji 30 tahun dulu. 

Sungguhpun penempatan jemaah haji Malaysia di Makkah, dalam jarak yang mencabar berbanding dengan jemaah haji 30 tahun dulu. Penulis sendiri ditempatkan di sebuah hotel berjarak 850 meter dari Masjidil Haram, di Misfalah. Tiada apa-apa masalah. bagi penulis  di usia warga emas untuk berulang-alik ke Masjidil Haram. Masih mampu menunaikan solat lima waktu, berulang-alik tiga kali sehari. Hadir ke Masjidil Haram di waktu Asar dan pulang selesai Isyak. Dalam demikian, berbanding jemaah negara lain yang ditempatkan dalam jarak yang lebih jauh, bolehlah dianggap jarak penginapan jemaah Malaysia adalah sederhana. 

Masa tunai haji 30 tahun lalu, penulis diperingatkan kerja haji adalah satu cabaran dan perjuangan, dengan serba kekurangan yang mampu ditawarkan oleh Tabung Haji. Seharusnya syukur ke hadrat Ilahi, ke atas semua urusan perkhidmatan Tabung Haji tahun ini. 

Semoga di bawah pengurusan baru di bawah kerajaan baru, diharapkan Tabung Haji akan dapat mengekalkan prestasi perkhidmatan untuk tahun-tahun akan datang. Tahniah dan terima kasih kepada organisasi Tabung Haji dan semua petugas di dalam negeri dan semasa di tanah suci. Syabas.  

Alhamdulillah jumpa kembali

ALHAMDULILLAH BERJUMPA KEMBALI

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu lillah taala, mengizinkan saya meneruskan catatan dalam ruangan ini selepas berehat lebih dua bulan, atas urusan menunaikan ibadat haji. Dilanjutkan usia, dianugerahkan kesihatan dan dikembalikan jasad ke tanah air tempat tumpah darah, Insya Allah, saya cuba merancakkan dunia percambahan maklumat dan idea.