Jumaat, 9 Oktober 2026

Kerjasama UMNO-Pas

 APAKAH FORMULA AGIHAN KERUSI ANDAINYA KERJASAMA UMNO-PAS UNTUK PRU16

Selepas persefahaman pilihanraya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tempoh hari di antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) yang menampakkaan pembentukan satu gelombang baru dalam politik Malaysia. Sungguhpun ia menonjolkan persepakatan dua gabungan, hakikinya lebih menjurus kepada UMNO dan Pas. Dua ini lebih mendominasi kelompok masing-masing. Asasnya dalam PRN Negeri Sembilan, wujud persefahaman pilihan raya, bagi mengelakkan pertembungan dua kelompok tersebut yang lebih menyerlah memperkukuhkan kuasa Melayu dan Islam. 

Asasnya, dalam PRN Negeri Sembilan, persefahaman dibentuk masing-masing parti diberikan hak untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRN Negeri Sembilan terakhir, iaitu PRN 2023. Kerusi yang tidak dimenangi oleh BN dan PN, diagihkan iaitu 17 kerusi milik Pakatan Harapan (PH) dan satu kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PN. BN bertading di 14 kerusi penyandang tambah 11, sementara PN bertanding di 4 kerusi penyandang tambah 7 kerusi. BN dan PN memenangi semua 18 kerusi penyandang serta berjaya merampas 7 kerusi yang disandang PH dan Bersatu. 

Suara-suara menuntut supaya kerjasama sebagaimana dalam PRN Negeri Sembilan direalisasikan dalam Pilihan Raya Umum ke 16 atau PRN Melaka yang bakal berlangsung, demi memperkukuhkan kuasa Melayu dalam politik dipertahankan, dengan kata lain menolak dominasi PH yang lebih menonjolkan DAP dengan dogma kesamarataan dan liberalisme. Saranan Timbalan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari, yang menyarankan ujian keikhlasan Pas dalam kerjasama dengan UMNO, mencadangkan dibuktikan dengan satu PRN di negeri Terengganu. Sejauhmanakah keikhlasan Pas berkejasama dengan UMNO di negeri yang UMNO tiada sebarang kerusi sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Dengan lain perkataan, apakah bentuk kerjasama ditaja oleh Pas, adakah Pas sangguh mengorbankan kerusinya diberikan kepada UMNO. Apakah tahap keikhlasan Pas, untuk mengajak UMNO berkongsi kuasa. 

Situasi berbeza, Negeri Sembilan dan Terengganu. Formula Negeri Sembilan tidak boleh digunakan di Terengganu secara lateral dan tersurat. Di Terengganu, ego politik harus diketepikan. BN, UMNO khususnya perlu ketepikan ego, kehebatan dan nolstalgia UMNO menguasai politik puluhan tahun. Pernah BN mememerintah Terengganu, tanpa pembangkang. Dalam PRU ke 5 (1978), BN menguasai semua kerusi DUN dan Parlimen, Memang hebat UMNO Terengganu. 

Di Terengganu, tiada masalah jika Pas mengekalkan bertanding di semua kerusi yang disandangnya, sebagaimana apa yang diimplementasikan dalam PRN Negeri Sembilan. Di Terengganu ada peruntukan ADUN dilantik. DUN Terengganu boleh melantik 6 orang ADUN dlantik. Dalam sesi lepas (2018-2023), seorang muslimat dilantik mengisi kerusi berkenaan, kerana tiada wakil wanita dalam DUN Terengganu. Dalam sesi semasa, kerusi ADUN dilantik tidak diisi, apabila seorang wanita terpilih dalam PRN 2023. Wakil UMNO boleh ditawarkan dua atau tiga kerusi ADUN dilantik. UMNO kena buang ego, walaupun poster dan bendera biru tidak menghiasi suasana pilihanraya. 

Berbalik kepada sejarah kerjasama UMNO-Pas kepada semasa pembentukan gagasan Barisan Nasional yang diterjemahkan menerusi PRU4 (PRU 1974). Agihan kerusi di kalangan anggota BN banyak dibantu pertambahan kerusi pilihanraya hasil kajian persempadanan kawasan pilihanraya tahun 1973. Persempadanan kawasan pilihanraya 1973 telah menambahkan 10 kawasan Parlimen dan 30 kerusi DUN, di negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, juga disebut Malaysia Barat masa itu. Persempadanan semula ini dilakukan di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor, ditumpukan ke kawasan luar bandar.

Pembentukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengubah sempadan negeri Selangor. Sebelum persempadanan semula, jumlah kerusi Parlimen dan DUN Selangor yang digunakan dalam PRU1, PRU2 dan PRU3; 14 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN. Hasil persempadanan semula 1973, 5 kerusi Parlimen; Batu, Setapak, Bungsar, Damansara dan Bukit Bintang, yang membentuk 7 kerusi DUN dikeluarkan dari negeri Selangor dan diletakkan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dalam PRU4, jumlah kerusi Parlimen yang berada dalam negeri Selangor ialah 11 kerusi, yang membentuk 33 kerusi DUN, iaitu pembentukan 2 kawasan Parlimen baru dan 12 kawasan pilihanraya negeri baru. 

Di Kedah, kajian persempadanan 1973, menambahkan satu kerusi Parlimen iaitu Langkawi, diberikan kepada UMNO dan dua kerusi DUN baru; Anak Bukit kepada Pas dan Jeniang kepada UMNO dalam PRU4. Dalam PRU3, Perikatan menang 16 kerusi DUN (UMNO;12, MCA;2, Gerakan;2), sementara Pas menang 8 kerusi. Bagi kerusi Parlimen; Perikatan menang 9 kerusi (UMNO;7, MCA;2) dan Pas menang 3 kerusi. 

Dalam PRU4, di Kelantan, penambahan 2 kerusi Parlimen dan 6 kerusi DUN. UMNO dapat satu kerusi Parlimen iaitu Machang dan 3 kerusi DUN baru; Pahi, Temangan dan Gual Ipoh, sementara Pas diberikan Parlimen Kuala Krai dan 3 kerusi DUN baru; Jeli, Sungai Rasau dan Guchil. Dalam PRU3, Pas menang 19 kerusi dan Perikatan (UMNO-MCA) menang 11 kerusi. 

Di Terengganu, dalam PRU3, Perikatan menang 13 kerusi, sementara Pas menang 11 kerusi. Persempadanan semula 1973, menghasilkan satu kerusi tambahan dan 4 kerusi DUN baru. Semua kerusi kerusi DUN baru diberikan kepada UMNO, di samping satu kerusi Pas iaitu Ladang diberikan kepada UMNO, sebagai ganti Parlimen Ulu Nerus yang baru dibentuk diberikan kepada Pas.

Persempadanan semula di Pulau Pinang, memberikan tambahan satu kerusi Parlimen dan 3 kerusi DUN. Kerusi Parlimen baru; Bukit Mertajam diperuntukan kepada MCA, salah satu kerusi tambahan DUN diberi laluan kepada Pas. 

Di Perak, terbentuk satu kerusi Parlimen baru, Padang Rengas, diberikan kepada UMNO. Dalam PRU3, Pas menang satu kerusi DUN, tetapi dalam PRU4, 3 kerusi DUN diperuntukan kepada Pas, walaupun tambahan DUN hanya 2 sahaja. UMNO mengorbankan kerusi Gunong Semanggol dan Lubok Merbau untuk Pas. 

Di Pahang, pertambahan 2 kerusi Parlimen; Jerantut dan Maran. Kedua-duanya diperuntukan untuk UMNO. DUN Pahang mendapat pertambahan 8 kerusi baru. Walaupun Pas tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRU3, Pas diberkan satu kerusi baru; Bukit Ibam dalam PRU4. Baki 7 kerusi baru; 6 untuk UMNO dan satu kepada MCA.

Pertambahan 2 kerusi baru untuk Parlimen di Selangor: Tanjong Karang diagihkan kepada UMNO, sementara Petaling kepada MCA. Pas yang tidak menyandang mana-mana kerusi DUN, telah diberikan kerusi baru; Parit Panjang. Baki 11 kerusi baru DUN kepada Perikatan (UMNO, MCA dan MIC).

Di negeri-negeri yang tidak terlibat persempadanan semula; Perlis, Negeri Sembilan, Melaka kecuali Johor, UMNO telah mengorbankan kerusi yang pernah disandangnya untuk memberi laluan kepada Pas. 

Dalam PRU3, Perikatan menang 11 kerusi (UMNO; 9, MCA; 2) dan Pas; satu kerusi di Perlis. Dalam PRU4, UMNO memberi laluan Pas bertanding di kerusi sandangannya; Sanglang yang dimenanginya dengan majoriti 5 undi dalam PRU3. 

Kerusi asal UMNO dalam DUN Negeri Sembilan, iaitu Pasir Panjang yang telah dimenangi oleh DAP dalam PRU3, telah diberi laluan kepada Pas, yang tidak pernah memenangi sebarang kerusi. Begitu juga, Pas yang tidak pernah menang di Melaka, UMNO mengorbankan kerusi miliknya; Tanjong Minyak untuk membolehkan Pas menghantar wakil dalam DUN Melaka. 

Johor, kubu UMNO paling kuat semenjak PRU1, tidak mahu mengorbankan kerusinya untuk membolehkan Pas bertanding mewakili BN dalam PRU4.

Apakah formula yang bakal digunakan andainya kerjasama pilihanraya UMNO-Pas menjelang PRN Melaka yang akan berlangsung bulan depan, yang berlanjutan dalam PRU16, yang mungkin akan berlangsung tahun hadapan. Kerjasama ini, memerlukan keikhlasan demi untuk mencapai matlamat menyekat penguasaan Pakatan Harapan, dalam beberapa siri pilihanraya mendatang.