Ahad, 8 November 2026
Peringatan Kepada Petugas Pilihanraya
Sabtu, 7 November 2026
PRN Melaka 3
PRN MELAKA MEMBUKA RUANG PAKATAN HARAPAN MEMBINA KEYAKINAN MENJELANG PRU16
Pilihan Raya Negeri Melaka ke 16 (PRN Melaka 16) yang akan berlangsung pada 14/11/2026 nanti, bagi Pakatan Harapan bukanlah merampas balik kuasa yang hilang yang pernah dikuasainya dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) atau PRU 2018, hakikinya misi utama membina imej setelah kegagalan dalam tiga PRN dalam tempoh setahun. Kegagalan bersiri bagi parti yang menguasai kerajaan pusat, amat mencalar imej dan potensi, lantaran agenda yang besar sedang menunggu; PRU16 serta pilihan raya beberapa negeri-negeri. Imbas PRU14, PH berjaya menguasai kerajaan Persekutuan, serta kerajaan negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Sabah bersama Parti Warisan, menghambat keluar minda dan misi BN: dulu, kini, selamanya. Mengekalkankan hanya Perlis dan Pahang dalam dakapan BN, sementara Kelantan dan Terengganu dirangkul oleh Pas.
Kekalahan besar calon-calon PH dalam PRN Sabah 17, tahun lepas, berpijak di atas alasan gelombang penolakan parti-parti Malaya atau parti nasional mencerminkan kehendak dan aspirasi pengundi Sabah mutakhir. Walau bagaimanapun, sebagai parti yang menjadi sebahagian anggota kerajaan dalam pentadbiran negeri, beberapa orang ADUN PH dipertanggungjawabkan menganggotai barisan menteri dan pembantu menteri, prestasi yang ditunjukkan oleh calon-calon PH, sedikit mencemarkan imej kerajaan. Peranan mereka menduduki kerusi pentadbiran negeri Sabah sebagai mewakili kerajaan Persekutuan, gagal menterjemahkan kepentingan dan suara rakyat Sabah dalam hubungan negeri-Persekutuan.
Walaupun hanya menang satu kerusi menerusi PKR, dan lebih awal mengistiharkan bersetuju membentuk kerajaan bersama GRS, sebelum SPR istihar keputusan rasmi keputusan pilihanraya. Dalam dua PRN Sabah terdahulu, PRU15 (2018) dan PRN Sabah 16 (2020), PH menang 8 kerusi; 6 DAP dan 2 PKR, di kawasan bandar dan pinggir bandar; Likas, Luyang, Elopura, Tanjong Sepat, Sri Tanjong, Inanam dan Api-Api, rata-ratanya majoriti pengundi Cina. Gagal di semua kerusi disandang, menang satu kerusi pun di Melalap, kawasan luar bandar majoriti Pribumi Bukan Islam, menerusi bekas kepimpinan Pemuda UMNO Negeri. Kehilangan kerusi disandang dalam dua PRN, menang kerusi tunggal, di kawasan berlainan wajah komposisi penghuni, watak demografi dan latar geografis, gagal kemukakan bukti baru PH masih diterima dalam latar lokaliti baru.
Johor sinonimnya kubu kuat UMNO sejak diperkenalkan demokrasi kepilihanrayaan. Dalam beberapa PRU awal, setiap hari penamaan calon, bila diberitakan calon-calon menang tanpa bertanding, dengan negeri Johor lebih mendominasi. Calon-calon UMNO mewakili Perikatan, kemudiannya BN, menang tanpa bertanding lantaran tiada calon lain yang menyerahkan borang pencalonan. Calon BN menang tanpa bertanding di kawasan Johor Tenggara khususnya, sekarang Kota Tinggi dan Pengerang setiap kali pilihanraya, di samping beberapa kawasan di Johor. Kawasan-kawasan tersebut memperlihatkan teras kekuatan UMNO, menyukarkan pembangkang khususnya Pas, sekarang PKR dan Amanah, meletakkan calon yang sentiasa terdedah kepada hilang wang pertaruhan.
Dalam PRU 2018, BN hilang kuasa di Johor bila hanya perolehi 19 kerusi; 17 UMNO, 2 MIC. PH menguasai 36 kerusi dari jumlah 56 kerusi DUN, DAP mengepalai dengan 15 kerusi, bersama 5 kerusi PKR, 9 Amanah dan 7 kerusi Bersatu. Osman Supian dari Bersatu dipilih sebagai ketua kerajaan. Semua 11 kerusi pengundi bukan Melayu menguasai lebih 60% pengundi dibolot oleh calon DAP, di samping itu semua 7 kerusi campuran dengan pengundi Melayu kurang 50%, dimenangi PH menerusi calon-calon DAP dan PKR.
Semasa PRN Johor ke 15 (2022), PH yang bertahan dengan DAP, PKR dan Amanah, setelah Bersatu meninggalkan gabungan, hanya mempu bertahan di 10 kerusi sahaja. Tiga kerusi majoriti Cina; Bekok, Yong Peng dan Paloh tewas kepada calon MCA. Kerusi PH yang dipertahankan adalah melalui 8 DAP, satu PKR dan satu Amanah.
Kemerosotan bersiri pencapaian PH dapat dipertontonkan dalam PRN Johor ke 16 (2026), DAP hilang 2 kerusi: Johor Jaya dan Perling. PKR tewas di Bukit Batu, tapi diganti dengan Wangsa Puteri, kerusi yang gagal dipertahankan oleh MUDA. Amanah pertahankan Simpang Jeram dengan majoriti tipis. Calon-calon PH yang hilang wang pertaruhan meningkat dari 4 orang dalam PRN Johor ke 15, kepada 7 orang dalam PRN Johor terakhir. Semua calon PH yang hilang pertaruhan berlaku di kawasan pengundi Melayu melebihi 80% dari jumlah pengundi kawasan atau kerusi berkenaan. Dicantum faktor kerusi dimenangi dan kehilangan wang pertaruhan meletakkan garisan kemerosotan sokongan PH.
Bahan kes terakhir tercatat dalam PRN Negeri Sembilan ke 16, mengukur lokasi PH dalam carta politik kepilihanrayaan. Kemerosotan berulang, sebagaimana pencapaian dalam PRN Sabah dan PRN Johor. Dalam PRU14, PH berjaya memecahkan tradisi penguasaan BN di Negeri Sembilan, menguasai 21 kerusi menerusi; 12 kerusi oleh DAP, 6 PKR dan 3 Amanah, meninggalkan 15 kerusi kepada BN.
Walaupun PH berjaya mempertahankan penguasaan kerajaan negeri menerusi PRN ke 15, PH kehilangan 4 kerusi kepada 17 kerusi DUN; 11 DAP, 5 PKR dan satu Amanah. Dalam PRN terakhir tiga bulan lepas, kerusi PH dalam DUN hanya tinggal 11 kerusi; 9 DAP dan 2 PKR. Lebih malang, PH hilang kerajaan, Menteri Besar dan Setiausaha Agung DAP gagal menempatkan diri ke DUN. Seorang calon PH, hilang wang pertaruhan.
Kemerosotan undi dan pencapaian parti yang menguasai kerajaan Persekutuan yang merundum secara berturut-turut dalam beberapa pilihan raya negeri, hilang kuasa kerajaan negeri, bilangan calon yang hilang wang pertaruhan meningkat, secara langsung membuka ruang keperluan tenaga dan strategi berganda.
PRN Melaka ke 16, lebih merupakan medan tempur berstrategik bagi PH membina keyakinan menghadapi PRU16 kelak. Apapun kejayaan PH mempertahankan 5 kerusi DUN tidak cukup membina pemulihan dan harapan setelah prestasi dalam graf menurun. Perlu diingat dalam PRU14, PH menguasai 15 kerusi DUN Melaka dan berjaya menumbangkan kerajaan BN yang berkuasa semenjak Merdeka.
Berkebetulan menjelang PRU16, politik kepilihanrayaan negara kita dihidangkan beberapa siri PRN, seolah-olah gelanggang menguji prestasi dan tahap sokongan secara langsung medan ujian parti-parti dan semua golongan berkepentingan. Besar manfaatnya, langkah beberapa kerajaan negeri membubarkan dewan legislatif masing-masing untuk mendapat mandat baru, yang membuka ruang meraikan keharmonian pendidikan demokrasi dan kematangan rakyat membuat pilihan.
Ahad, 1 November 2026
PRN Melaka 2
HARI PENAMAAN CALON PRN MELAKA MENCERMINKAN KEMATANGAN POLITIK KEPILIHANRAYAAN
Sabtu, 17 Oktober 2026
PRN Melaka 1
KEPERLUAN UMNO MENANG BESAR DALAM PRN MELAKA
Barisan Nasional, khususnya UMNO seharusnya meletakkan misi besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke 16; kemenangan besar. Matlamat utama bukan merekodkan kemenangan UMNO dalam PRN tetapi mempastikan rantau selatan tanah Semenanjung sebagai kubu UMNO. Kejayaan di Melaka untuk melengkapkan kejayaan yang sudah dirintis dengan cemerlangnya dalam PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan tempoh hari.
Dalam PRN15 Melaka (2021), Barisan Nasional (BN) telah berjaya membolot 21 kerusi menerusi UMNO (18), MCA (2) dan MIC (1) atau 75% kerusi melebihi suara dua pertiga. BN memungut 122,741 undi atau 38.39% daripada jumlah undi sah yang dikumpul semua calon yang bertanding. Walaupun Pakatan Harapan (PH) memenangi 5 kerusi, tetapi jumlah undi yang diperolehinya; 114,457 undi atau 35.80%. Sementara Perikatan Nasional (PN) yang memperolehi 2 kerusi dan mengumpul 77,721 undi atau 24.31% undi keseluruhan.
BN mencapai kemenangan besar dari sudut jumlah kerusi, tetapi pungutan undinya kurang dari separuh pengundi yang keluar mengundi, sedikit sebanyak memberi gambaran tahap kekuatan sebenarnya. 60 peratus pengundi menolak BN. Saingan 3 penjuru antara BN, PH, PN, memberi lebihan kepada BN. Dalam PRN15, hanya 65.64%, iaitu 325,065 dari keseluruhan pengundi negeri Melaka, 495,195 pengundi keluar membuang undi. Angka keluar mengundi 65.64% dalam satu pilihanraya untuk memilih sebuah kerajaan, reletifnya rendah. Biasanya bawah 70% keluar mengundi, lazimnya dalam pilihanraya kecil (PRK). PRK hanya sekadar untuk memilih seorang wakil rakyat, mengisi satu kekosongan dalam mana-mana dewan legislatif.
Angka keluar mengundi yang lebih serta pertambahan bilangan pengundi yang lebih tinggi dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) 2022 memberikan pencapaian berbeza BN khususnya. Dalam PRU15, jumlah pengundi di Melaka telah meningkat ke 657,324, peningkatan 32.74% kesan dari pendaftaran automatik serta penurunan kelayakan pendaftaran umur pengundi kepada 18 tahun. Dalam saingan 3 penjuru, memberi kesan yang besar kepada sokongan kepada BN. BN hanya perolehi 29.63% undi; dan gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di Melaka, walaupun undinya meningkat ke 152,613 undi, meningkat 29,872 undi atau peningkatan 24.33%, lebih rendah berbanding peningkatan jumlah pengundi.
PH telah meningkatkan undinya sebanyak 74.09% undi dalam PRU15 berbanding PRN15, berjaya memenangi 3 kerusi Parlimen. Sementara PN berjaya meningkatkan undinya sekali ganda; 104.85%, dari 77,731 undi dalam PRN15 kepada 159,238 undi dalam PRU15, dan memenangi 3 kerusi Parlimen. Justeru itu, berdasarkan pengumpulan undi mengikut DUN, dalam PRU15, BN hanya dapat kelebihan di 4 kerusi DUN, PN di 10 kerusi dan PH di 14 kerusi.
Dari jumlah 28 kerusi DUN Melaka; 19 kerusi adalah kawasan majoriti pengundi Melayu. Dalam PRN15, 16 dimenangi BN, 2 PN dan satu kerusi kepada PH. Dalam PRU15, 7 kerusi memiliki lebih 80% pengundi Melayu; PN menguasai undi di Tanjong Bidara, Ayer Limau, Pantai Kundor, Ayer Molek, Serkam dan Sungai Rambai, yang merupakan kerusi dimenangi UMNO dalam PRN15, sementara PN menang di Sungai Udang, dan meneruskan kuasai undi dalam PRU15. Baki 12 kerusi DUN dengan komposisi pengundi Melayu menguasai 60 hingga 80%, satu kerusi milik PH iaitu Bukit Katil dan kekal memilih PH dalam PRU15, Bemban dikuasai PN kekal memilih PN dalam PRU15, 10 kerusi yang lain dimenangi UMNO, tetapi dalam PRU5, BN hanya menguasai undi di Rim, Merlimau, Ayer Molek dan Asahan, selebihnya memberi kelebihan kepada PN.
Berbekalkan hanya menguasai undi di 4 kerusi DUN, berbanding kelebihan undi kepada PN di 10 kerusi DUN, manakala PH menguasai pungutan undi di 14 kerusi DUN membolehkan PN memenangi 3 kerusi Parlimen, PH perolehi 3 kerusi Parlimen, BN gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen dalam PRU15. Belum pernah berlaku, parti yang menguasai kerajaan negeri, gagal hantar wakil rakyatnya ke Parlimen. Inikan pula, BN menguasai lebih 75% kerusi dalam kerajaan negeri, lainlah halnya, kerajaan dibentuk atas pemuafakatan parti-parti lantaran tiada parti yang menguasai simple majority.
Faktor utama kehambaran prestasi BN lantaran perubahan drastik angka daftar pemilih serta peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi. 79.04% keluar mengundi dicatat dalam PRU15 di negeri Melaka, yang secara langsung gambaran mendadak kehendak pengundi semasa. Dengan bahasa mudah, gambaran trend pengundian generasi baru, yang gagal direbut oleh BN.
Sebagai parti dominan di Melaka, UMNO bersama rakan-rakan BNnya, bergerak atas dua misi utama. Pertama; mengekalkan kemenangan PRN15 yang menguasai kuasa mutlak di DUN. Kedua; menolak tanggapan BN ditolak oleh orang Melaka menerusi prestasi dalam PRU15, dengan sifar kerusi. BN dengan tegasnya tidak akan tolak ansur mempertahankan 21 kerusi, dalam kerjasama pilihanraya. Bagaimana gerakerja UMNO khususnya, melenyapkan mimpi ngeri tanpa kerusi dalam PRU15.
Bersandarkan rekod PRU15, masyarakat awam sedang menanti apakah strategi UMNO melengkapkan penguasaan gelombang biru di kawasan selatan, setelah kejayaan PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan. Apakah BN akan bergerak solo, atau membentuk kerjasama dengan parti lain. Dalam PRU15, nasib BN di Melaka walaupun peratusan undi tak jauh bezanya, BN Johor menguasai 30.65% undi menang 9 kerusi Parlimen, di Negeri Sembilan, BN perolehi 32.57% menang 5 kerusi Parlimen, di Melaka dengan 29.63% tanpa sebarang kerusi. Di negeri-negeri di mana BN gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen; BN membolot 25.86% undi di Perlis, 19.46% di Kedah, 26.78% di Kelantan,
Jumaat, 9 Oktober 2026
Kerjasama UMNO-Pas
APAKAH FORMULA AGIHAN KERUSI ANDAINYA KERJASAMA UMNO-PAS UNTUK PRU16
Selepas persefahaman pilihanraya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tempoh hari di antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) yang menampakkaan pembentukan satu gelombang baru dalam politik Malaysia. Sungguhpun ia menonjolkan persepakatan dua gabungan, hakikinya lebih menjurus kepada UMNO dan Pas. Dua ini lebih mendominasi kelompok masing-masing. Asasnya dalam PRN Negeri Sembilan, wujud persefahaman pilihan raya, bagi mengelakkan pertembungan dua kelompok tersebut yang lebih menyerlah memperkukuhkan kuasa Melayu dan Islam.
Asasnya, dalam PRN Negeri Sembilan, persefahaman dibentuk masing-masing parti diberikan hak untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRN Negeri Sembilan terakhir, iaitu PRN 2023. Kerusi yang tidak dimenangi oleh BN dan PN, diagihkan iaitu 17 kerusi milik Pakatan Harapan (PH) dan satu kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PN. BN bertading di 14 kerusi penyandang tambah 11, sementara PN bertanding di 4 kerusi penyandang tambah 7 kerusi. BN dan PN memenangi semua 18 kerusi penyandang serta berjaya merampas 7 kerusi yang disandang PH dan Bersatu.
Suara-suara menuntut supaya kerjasama sebagaimana dalam PRN Negeri Sembilan direalisasikan dalam Pilihan Raya Umum ke 16 atau PRN Melaka yang bakal berlangsung, demi memperkukuhkan kuasa Melayu dalam politik dipertahankan, dengan kata lain menolak dominasi PH yang lebih menonjolkan DAP dengan dogma kesamarataan dan liberalisme. Saranan Timbalan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari, yang menyarankan ujian keikhlasan Pas dalam kerjasama dengan UMNO, mencadangkan dibuktikan dengan satu PRN di negeri Terengganu. Sejauhmanakah keikhlasan Pas berkejasama dengan UMNO di negeri yang UMNO tiada sebarang kerusi sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Dengan lain perkataan, apakah bentuk kerjasama ditaja oleh Pas, adakah Pas sangguh mengorbankan kerusinya diberikan kepada UMNO. Apakah tahap keikhlasan Pas, untuk mengajak UMNO berkongsi kuasa.
Situasi berbeza, Negeri Sembilan dan Terengganu. Formula Negeri Sembilan tidak boleh digunakan di Terengganu secara lateral dan tersurat. Di Terengganu, ego politik harus diketepikan. BN, UMNO khususnya perlu ketepikan ego, kehebatan dan nolstalgia UMNO menguasai politik puluhan tahun. Pernah BN mememerintah Terengganu, tanpa pembangkang. Dalam PRU ke 5 (1978), BN menguasai semua kerusi DUN dan Parlimen, Memang hebat UMNO Terengganu.
Di Terengganu, tiada masalah jika Pas mengekalkan bertanding di semua kerusi yang disandangnya, sebagaimana apa yang diimplementasikan dalam PRN Negeri Sembilan. Di Terengganu ada peruntukan ADUN dilantik. DUN Terengganu boleh melantik 6 orang ADUN dlantik. Dalam sesi lepas (2018-2023), seorang muslimat dilantik mengisi kerusi berkenaan, kerana tiada wakil wanita dalam DUN Terengganu. Dalam sesi semasa, kerusi ADUN dilantik tidak diisi, apabila seorang wanita terpilih dalam PRN 2023. Wakil UMNO boleh ditawarkan dua atau tiga kerusi ADUN dilantik. UMNO kena buang ego, walaupun poster dan bendera biru tidak menghiasi suasana pilihanraya.
Berbalik kepada sejarah kerjasama UMNO-Pas kepada semasa pembentukan gagasan Barisan Nasional yang diterjemahkan menerusi PRU4 (PRU 1974). Agihan kerusi di kalangan anggota BN banyak dibantu pertambahan kerusi pilihanraya hasil kajian persempadanan kawasan pilihanraya tahun 1973. Persempadanan kawasan pilihanraya 1973 telah menambahkan 10 kawasan Parlimen dan 30 kerusi DUN, di negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, juga disebut Malaysia Barat masa itu. Persempadanan semula ini dilakukan di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor, ditumpukan ke kawasan luar bandar.
Pembentukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengubah sempadan negeri Selangor. Sebelum persempadanan semula, jumlah kerusi Parlimen dan DUN Selangor yang digunakan dalam PRU1, PRU2 dan PRU3; 14 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN. Hasil persempadanan semula 1973, 5 kerusi Parlimen; Batu, Setapak, Bungsar, Damansara dan Bukit Bintang, yang membentuk 7 kerusi DUN dikeluarkan dari negeri Selangor dan diletakkan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dalam PRU4, jumlah kerusi Parlimen yang berada dalam negeri Selangor ialah 11 kerusi, yang membentuk 33 kerusi DUN, iaitu pembentukan 2 kawasan Parlimen baru dan 12 kawasan pilihanraya negeri baru.
Di Kedah, kajian persempadanan 1973, menambahkan satu kerusi Parlimen iaitu Langkawi, diberikan kepada UMNO dan dua kerusi DUN baru; Anak Bukit kepada Pas dan Jeniang kepada UMNO dalam PRU4. Dalam PRU3, Perikatan menang 16 kerusi DUN (UMNO;12, MCA;2, Gerakan;2), sementara Pas menang 8 kerusi. Bagi kerusi Parlimen; Perikatan menang 9 kerusi (UMNO;7, MCA;2) dan Pas menang 3 kerusi.
Dalam PRU4, di Kelantan, penambahan 2 kerusi Parlimen dan 6 kerusi DUN. UMNO dapat satu kerusi Parlimen iaitu Machang dan 3 kerusi DUN baru; Pahi, Temangan dan Gual Ipoh, sementara Pas diberikan Parlimen Kuala Krai dan 3 kerusi DUN baru; Jeli, Sungai Rasau dan Guchil. Dalam PRU3, Pas menang 19 kerusi dan Perikatan (UMNO-MCA) menang 11 kerusi.
Di Terengganu, dalam PRU3, Perikatan menang 13 kerusi, sementara Pas menang 11 kerusi. Persempadanan semula 1973, menghasilkan satu kerusi tambahan dan 4 kerusi DUN baru. Semua kerusi kerusi DUN baru diberikan kepada UMNO, di samping satu kerusi Pas iaitu Ladang diberikan kepada UMNO, sebagai ganti Parlimen Ulu Nerus yang baru dibentuk diberikan kepada Pas.
Persempadanan semula di Pulau Pinang, memberikan tambahan satu kerusi Parlimen dan 3 kerusi DUN. Kerusi Parlimen baru; Bukit Mertajam diperuntukan kepada MCA, salah satu kerusi tambahan DUN diberi laluan kepada Pas.
Di Perak, terbentuk satu kerusi Parlimen baru, Padang Rengas, diberikan kepada UMNO. Dalam PRU3, Pas menang satu kerusi DUN, tetapi dalam PRU4, 3 kerusi DUN diperuntukan kepada Pas, walaupun tambahan DUN hanya 2 sahaja. UMNO mengorbankan kerusi Gunong Semanggol dan Lubok Merbau untuk Pas.
Di Pahang, pertambahan 2 kerusi Parlimen; Jerantut dan Maran. Kedua-duanya diperuntukan untuk UMNO. DUN Pahang mendapat pertambahan 8 kerusi baru. Walaupun Pas tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRU3, Pas diberkan satu kerusi baru; Bukit Ibam dalam PRU4. Baki 7 kerusi baru; 6 untuk UMNO dan satu kepada MCA.
Pertambahan 2 kerusi baru untuk Parlimen di Selangor: Tanjong Karang diagihkan kepada UMNO, sementara Petaling kepada MCA. Pas yang tidak menyandang mana-mana kerusi DUN, telah diberikan kerusi baru; Parit Panjang. Baki 11 kerusi baru DUN kepada Perikatan (UMNO, MCA dan MIC).
Di negeri-negeri yang tidak terlibat persempadanan semula; Perlis, Negeri Sembilan, Melaka kecuali Johor, UMNO telah mengorbankan kerusi yang pernah disandangnya untuk memberi laluan kepada Pas.
Dalam PRU3, Perikatan menang 11 kerusi (UMNO; 9, MCA; 2) dan Pas; satu kerusi di Perlis. Dalam PRU4, UMNO memberi laluan Pas bertanding di kerusi sandangannya; Sanglang yang dimenanginya dengan majoriti 5 undi dalam PRU3.
Kerusi asal UMNO dalam DUN Negeri Sembilan, iaitu Pasir Panjang yang telah dimenangi oleh DAP dalam PRU3, telah diberi laluan kepada Pas, yang tidak pernah memenangi sebarang kerusi. Begitu juga, Pas yang tidak pernah menang di Melaka, UMNO mengorbankan kerusi miliknya; Tanjong Minyak untuk membolehkan Pas menghantar wakil dalam DUN Melaka.
Johor, kubu UMNO paling kuat semenjak PRU1, tidak mahu mengorbankan kerusinya untuk membolehkan Pas bertanding mewakili BN dalam PRU4.
Apakah formula yang bakal digunakan andainya kerjasama pilihanraya UMNO-Pas menjelang PRN Melaka yang akan berlangsung bulan depan, yang berlanjutan dalam PRU16, yang mungkin akan berlangsung tahun hadapan. Kerjasama ini, memerlukan keikhlasan demi untuk mencapai matlamat menyekat penguasaan Pakatan Harapan, dalam beberapa siri pilihanraya mendatang.