Jumaat, 31 Mac 2017

Cabar Guru Letak Jawatan

MENTERI PELAJARAN CABAR GURU LETAK JAWATAN

Bukan main marah Menteri Pelajaran, DS Mahdzir Khalid terhadap para guru yang menyokong parti pembangkang. Para guru digesa letak jawatan jika asyik menyokong pembangkang. Beliau membuat cabaran tersebut selepas berucap dalam satu majlis bersama guru di Kuala Terengganu, 5 hari lepas. 

Cabaran seumpama ini bukanlah perkara baru. Isu lama, dendangan sejak 40 tahun dulu. Dari menteri, dan paling lantang pegawai pelajaran negeri dan daerah. Lebih lantang pengurusan sekolah. Apa yang disuarakan Pak Menteri itu, sekadar mengulang lagu lama. Gesaan dan cabaran begini, lebih lantang di kala UMNO khasnya, BN khasnya, berdepan masalah. 

Satu kelaziman guru selaku penjawat awam aktif dalam kerja-kerja parti politik atau menjadi aktivis parti, sama ada parti kerajaan atau parti pembangkang. Menjadi mangsa ialah guru yang menyokong parti pembangkang. Dalam tahun 1960an, guru-guru Melayu yang menyokong Parti Rakyat dan Pas menjadi mangsa pertukaran buang daerah, malah dibuang negeri. 

Bila BN menguasai Kelantan dalam tahun 1978, kerja pentadbir sekolah dibantu oleh tukang kebun ialah melapor dan menyenaraikan guru-guru yang tidak menyokong UMNO, sebagai calon guru yang akan ditukarkan ke kawasan yang jauh dari kampung halaman, sama ada kawasan pedalaman atau pulau. Di setengah sekolah, kuasa tukang kebun cukup berkesan, boleh mengatur bentuk deraan ke atas guru pro-pembangkang. Antara deraan ialah menafikan peluang dan hak kenaikan pangkat. Wak Long jadi raja ini memegang jawatan penting dalam UMNO peringkat bahagian. Ada tukang kebun sekolah, menghabis masa di luar sekolah mengurus dan melobi mendapat kontrak binaan, tender kantin dan kerja-kerja membersih kawasan sekolah. 

Selepas UMNO diharamkan dalam tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Parti Semangat 46, guru-guru Melayu menyokong Semangat 46 mulai merasai deraan dan keperitan  tindakan bekas parti lama mereka. Ada guru dari Johor  ditukar serta merta ke Grik.  Bermulalah betapa getirnya menukar parti, bagi penjawat awam, dari menyokong parti kerajaan ke parti pembangkang. 

Pertukaran guru Melayu yang paling ganas ialah selepas kekalahan teruk UMNO di Kelantan dalam PRU 1990, seramai 12 guru penyokong Pas dan Semangat 46, ditukar dari Kelantan ke Sabah. Pertukaran guru paling jauh dalam sejarah. Tempoh 1988 hingga 1990, tempoh yang memperlihatkan pertukaran guru secara besar-besaran ke kawasan pedalaman di Kelantan, kesannya simpati rakyat menghukum UMNO/BN baham tanah, kalah semua kerusi Parlimen dan negeri. Ribuan fail dari Kota Darulnaim, dibakar di Pantai Cinta Berahi, malam pengistiharan keputusan pilihan raya. 

Pak Menteri cabar guru yang menyokong pembangkang letak jawatan. Wajar jika guru yang abaikan tugas dan tanggungjawab, dengan menghabiskan masa untuk aktiviti luar profesyen, meninggalkan anak murid terabai tanpa guru. Semasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)  2003-2008, penentang kuat pelaksaan ialah guru penyokong kuat UMNO. Mereka mensabotaj dan ponteng kelas dan kursus pengajaran dan pembelajaran, mereka tidak bersungguh dan mengambil inisiatif memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris. Mereka kebal dan tak makan saman, ada political backing. Yang jadi mangsa murid-murid. Prestasi rendah dalam peperiksaan awam ada kaitan dengan sikap guru gagal kuasa bahasa Inggeris yang merencatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Tak ada apa-apa tindakan: cabaran letak jawatan tak kedengaran dari Pak Menteri atau kementerian atau jabatan pelajaran negeri atau pengurusan sekolah. 

PPSMI adalah dasar kerajaan menerusi kementerian. Adalah satu kesalahan, seseorang penjawat awam menentang dasar kerajaan. Guru selaku jentera eksekutif adalah pelaksana dasar yang dibikin oleh lagislatif. Memang patutpun penentang dasar kerajaan dalam bentuk tidak melaksanakan dasar tersebut, dikenakan tindakan tatatertib atau disaran meletak jawatan. Pentadbir sekolah sendiri dalam usaha kementerian memantapkan PPSMI dengan menyesorkan berbagai langkah membantu pentadbir dan guru menguasai penggunaan bahasa Inggersi, tidak proaktif. Bila ditetapkan hari tertentu sebagai " English speaking day", pentadbir penyokong kuat UMNO mengabaikan program, dengan mengurus penyampaian maklumat atau mesyuarat dalam bahasa ibunda. 

Cabaran letak jawatan guru yang terlibat aktif dalam politik dengan mengabaikan tugasan asasi wajar diterima demi memertabatkan mutu pendidikan dan tawaran perkhidmatan untuk rakyat. Cabaran ini sepatutnya tidak terhad dan khusus untuk penyokong pembangkang sahaja, seharusnya tindakan secara telus, adil dan bertanggungjawab tanpa pilihan bulu, puak, perkauman dan fahaman politik. Janganlah menjadikan sokongan kepada UMNO sebagai benteng perlindungan bagi guru-guru yang tidak berminat dengan tugasan di bilik darjah untuk mencari rezeki. Janganlah Pak Menteri, pegawai pendidikan daerah atau negeri setaraf dengan tukang kebun yang berkuasa menentukan nasib guru. 
 

Sabtu, 25 Mac 2017

Bila PRU14

BILAKAH AGAKNYA PRU14

Salah satu elemen menarik dalam memerhati senario demokrasi berparlimen ala Malaysia ialah strategi menyembunyikan tarikh pilihan raya oleh parti pemerintah menerusi alatan eksekutif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Clue utama ialah setelah cukup tempoh 3 tahun yang dikira bermula dari tarikh mesyuarat pertama sesebuah badan perundangan. Sebenarnya tiada sebarang tempoh, sesebuah dewan perundangan sama ada Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat boleh dibubarkan untuk diadakan satu pilihan raya untuk memilih keanggotaan baru. Cukup usia 3 tahun diambil panduan kerana untuk memenuhi syarat pencen penuh bagi seseorang anggota badan perundangan. 

Perlembagaan Persekutuan menyebut dalam Perkara 55 (3), Dewan Rakyat hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu ia adalah terbubar. Perkara 55 (4) menyebut apabila Dewan Rakyat bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia dibubar. Mesyuarat pertama Dewan Rakyat semasa ialah 25 Jun 2013. Ertinya, Dewan Rakyat sekarang akan terbubar pada 24 Jun 2018. 

Jarang berlaku Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bila hampir atau genap tempoh lima tahun, kecuali Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 (2013) dan PRU3 (1969). Tempoh dewan perundangan paling singkat ialah DUN Sabah ke 5, bila PRN Sabah ke 5, diadakan pada 20 hingga 21 April 1985, tak sampai satu tahun, DUN dibubarkan dan PRN baru diadakan pada 4 hingga 5 Mei 1986. Ketidakstabilan politik dalam negeri Sabah, dengan acaman keselamatan yang dihadapi kerajaan baru Sabah di bawah pimpinan PBS mengambil keputusan nekad menyerahkan kepada rakyat untuk mandat baru. 

Spekulasi awal PRU14, menjangkakan sekitar bulan November tahun lepas. Alasan utama ialah selepas bajet yang dijangka menjanjikan janji manis pilihan raya. Andaian November tahun lepas, disokong kepada pendaftaran berganda pendaftaran pemilih semasa  tempoh pendaftaran berakhir 30 September 2016 atau suku ketiga 2016. Pendaftaran pemilih baru dan pendaftaran pindah alamat yang dipamerkan menerusi Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku 3 2016, dengan angka 500,000 orang, di mana kebiasaannya setiap RDPT tidak melepasi angka 100,000. Pendaftaran dalam tempoh berkenaan sempat diwartakan dalam daftar induk pemilih untuk digunakan seandainya PRU diadakan 2 bulan kemudian, selepas pameran, bantahan dan prosiding. 

Apabila SPR mewartakan pameran syor persempadanan kawasan pilihan raya 15 September hingga 14 Oktober 2016, meredakan telahan dan ramalan tarikh PRU dalam tempoh terdekat. Mana mungkin satu pilihan raya umum perlu diadakan menjelang berakhirnya tahun 2016. Dalam konteks demokrasi kepilihanraya amalan Malaysia, persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah teknikal pengurusan eksekutif sebagai strategi parti pemerintah mengekal kuasa. Ruang yang diizinkan oleh perundangan menerusi iaitu Perkara 113 Fasal 2 (i) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan SPR untuk menjalankan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya (constituency) dari masa ke semasa, ditambah dengan Perkara 113 Fasal 2 (ii)  memberikan tempoh lat masa antara satu kajian semula ini tidak kurang dari lapan tahun. 

Kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya yang melibatkan tambahan bahagian pilihan raya ialah dalam tahun 2003, di mana ianya digunakan untuk PRU11 (PRU 2004) yang memberikan kejayaan cemerlang kepada BN. Justeru itu, sepatutnya kajian boleh diadakan dalam tahun 2011 dan boleh digunakan untuk PRU13. Lantaran kejutan yang diterima BN dalam PRU12, ianya tidak dilakukan, di samping kecenderungan sokongan kepada BN dalam PRU13 diramalkan tidak menguntungkan BN.  Syor persempadanan yang dilakukan dalam tahun lepas, sekadar mengubah persempadanan tanpa tambahan bahagian pilihan raya atau kerusi badan perundangan bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan berlaku tambahan bahagian pilihan raya atau kerusi untuk DUN Sabah. 

Syor persempadanan semasa yang dipamerkan untuk semakan dan bantahan selama sebulan tahun lepas, di mana 3 pihak berhak membuat bahtahan: i. kerajaan negeri, ii. pihak berkuasa tempatan (PBT), iii. kumpulan 100 orang pemilih.  SPR telah menjalankan siasat tempatan sepanjang bulan Disember 2016, semua negeri terlibat. Sekarang, bermula 8 Mac hingga 7 April 2017, SPR sedang mempamerkan Ulangkaji Sempadan Bahagian Pilihan Raya Pameran ke 2. Pameran ini untuk tujuan semakan dan bantahan semula. Sebagaimana pameran pertama tahun lepas, mengambil masa untuk menyiapkan  siasatan tempat, yang dijangka dalam bulan Jun 2017. 

Selesai siasatan tempatan, SPR akan diajukan syor persempadanan yang sudah disemak semula kepada PM, untuk persetujuan. Lepas itu, akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk kelulusan simple majoriti, tidak perlu sokongan majoriti dua pertiga kerana tidak melibatkan tambahan kerusi yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Sidang Dewan Rakyat terdekat selepas bulan Jun ialah Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke 13; 14 hingga 22 Ogos 2017. Sekiranya sempat dibawa ke Dewan Rakyat kemudian ke Dewan Negara, paling cepat Dewan Rakyat boleh dibubarkan awal September 2017 dan PRU14 akan diadakan dengan tempoh paling pendek 2 atau 3 minggu. Maksudnya paling cepat PRU14 ialah dalam bulan September 2017, di atas perkiraan SPR hendak menggunakan persempadanan baru yang dirangka atas telunjuk BN, UMNO khususnya. Lebih tepat tanyalah pemimpinnya, mungkin sudah dapat ilham.







 

 
 
 

 

 

Rabu, 22 Mac 2017

Pas Terima RM90 juta

KEPIMPINAN PAS  MAKAN DEDAK RM90 JUTA

Menarik juga di tengah-tengah episod saling tuduh menuduh parti-parti politik terima sumbangan, diselitkan dengan Pas, sebuah parti misikin, terima sumbangan dana RM90 juta dari UMNO. UMNO yang masih belum berjaya menghapuskan dan melenyapkan mainan di kotak minda orang ramai dengan duit derma RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi Presiden, DAP dengan dakwaan menerima sumbangan dari ejen Israel tanpa tindakan drastik dari SPRM. 

Lebih menarik lagi, diperkuatkan dengan dakwaan dari bekas kepimpinan Pas yang melompat parti, ada bukti dalam akaun sebuah bank tempatan, Affin Bank, sejumlah wang berkenaan dimasukkan untuk tujuan dana untuk Pas. Cetusan Pas terima dana RM90 juta diterbitkan oleh akhbar Sarawak Report, yang berpengkalan di London. Kepimpinan Pas menafikan terima dana sejumlah itu di tengah-tengah kekalutan UMNO berdepan dengan berbagai krisis keyakinan kepimpinan. Sebagai meneruskan talian hayat, UMNO dipersepsikan amat memerlukan sokongan dari Pas, mewakili suara Melayu dan Islam. Usaha Pas menerusi usul RUU 355, diambil kesempatan oleh UMNO mengetengahkan niat murni dengan kesungguhan memberi kerjasama agar usul ini menjadi realiti.  

Pas yang disingkirkan dari gabungan pembangkang Pakatan Rakyat, mulai didekati UMNO yang telah merasai kuasanya semakin terhakis sebagaimana dipamerkan oleh PRU13, peratus sokongan semakin menurun. Pas dan UMNO digambarkan sebagai saling perlu memerlui demi survival masa depan. Di kesempatan inilah diperhebatkan dakwaan Pas memakan dedak UMNO. 

Namun demikian, Pas dalam perbelanjaan yang terhad, hinggakan untuk membayar saguhati Hari Raya kepada petugas penerbitan Harakah, terpaksa kutip derma dari kepimpinan parti pada tahun lepas. Lazimnya, Harakah tiada masalah memberi saguhati kepada pekerjanya, tetapi selepas didakwa terima dedak RM90 juta, tenat untuk berbelanja. Pelik juga. Potongan 20% daripada elaun setiap Ahli Parlimen Pas disumbangkan terus ke Pejabat Agung Pas, tidak diagihkan ke Perhubungan Pas Negeri dan Pas Kawasan, selepas PRU13. Jawapan Bendahari Pas Pusat semasa Muktamar Pas Pusat, di Batu Pahat, 2014, kerana Pas Pusat menanggung banyak hutang perbelanjaan PRU13. Adakah kesempitan kewangan dialami Pas, dengan rela hari UMNO menyediakan dana RM90 juta untuk membantu Pas, dengan harapan setelah meninggalkan Pakatan Rakyat, akan berganding dengan UMNO dalam PRU14. 

Mungkinkah RM90 juta tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi pemimpin parti sebagaimana RM2.6 billion ke dalam akaun Presiden UMNO, demi menyelamatkan nama baik parti kerana yang menerima adalah peribadi pemimpin, pengorbanan pemimpin parti sangguh tanggung risiko atas nama peribadi, demi menyelamatkan nama baik parti. Rumah Presiden Pas masih rumah kayu di pinggir masjid sejak puluhan tahun, tidaklah sampai isteri Presiden parti mampu memiliki cincin berharga jutaan ringgit. 

Kepimpinan Pas menafikan terimaan dana berkenaan, telah dicabar oleh pemimpin parti serpihan Pas menyaman Sarawak Report jika tak betul. Kos menyaman Sarawak Report bukanlah satu angka yang kecil, dalam sempitan kewangan, Pas sudah pun mengambil langkah awal menyaman dengan menyerahkan pihak guaman di London.  Dalam kaedah hukum, agama menggariskan membawa bukti yang kukuh sebelum mendakwa seseorang atau mana-mana pihak melakukan jenayah. Kaedah mempersepsikan dakwaan tanpa membawa bukti, sebuah gambaran sikap yang penuh prajudis dan berniat jahat.

SPRM dalam jawapannya yang diberi kepada Parlimen melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Paul Low, ketika menjawab soalan dari Hanipa Maidin (Sepang), minggu lepas,  menjelaskan tiada sebarang bukti dakwaan Pas menerima dana RM90 juta. Jawatankuasa Menilai Maklumat SPRM mendapati: i. maklumat yang diterima tidak jelas, ii. tiada unsur yang membolehkan siatan dibuat terhadap Pas, iii. jelas, terang dan nyata bahawa siasatan tidak pun dapat dibuat kerana ianya dakwaan yang tiada ada bukti.    

Isnin, 20 Mac 2017

Najib bantu Kelantan

NAJIB BANTU KELANTAN MENJELANG PRU14

Menarik juga antara ucapan DS Perdana Menteri dalam lawatan ke Kelantan minggu lepas menegaskan komitmen kerajaan Persekutuan khususnya Barisan Nasional (BN) membantu Kelantan. Sempena lawatanya, beliau merasmikan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di Kota Bharu, umum pembinaan sebuah hospital daerah di Jelawat dan laluan keretapi laju Pantai Timur. Paling menarik intisari penegasan beliau; beliau lebih banyak bantu rakyat Kelantan dan akan terus membantu tidak seperti pemimpin terdahulu. Beliau menyebut pemimpin  sebelumnya banyak mendera rakyat Kelantan. 

Hendak bantu rakyat Kelantan itu satu niat murni, peningkatan usaha membantu rakyat Kelantan dalam bentuk termaktub dalam Perlembagaan, Kelantan sebagai sebuah negeri dalam sistem federalisme, tidak perlu diungkit. Ianya adalah satu tanggungjawab dan tugasan sebagai pemerintah sebuah kerajaan Persekutuan.

Membina sistem keretapi laju sebagai jalan penyelesaiaan sistem pengangkutuan dan perhubungan, dengan mengabaikan keperluan semasa sistem pengangkutan darat antara Gua Musang ke Kota Bharu yang sentiasa terbantut setiap musim perayaan, meninggalkan yang fardhu menumpu ke perkara sunat. Mengapa kerajaan Persekutuan tidak membantu atau mengambil alih pembinaan lebuh raya yang diusahakan oleh kerajaan negeri untuk melicinkan perjalanan antara Machang-Kuala Krai. Tugas membina jalan raya adalah tugas kerajaan Persekutuan bukan tugas kerajaan negeri dalam sebuah pentadbiran federalisasi. Kerajaan Persekutuan sedang membina jalan baru atau lebuh raya bermula dari Pasir Hor ke Kadok. Sepatutnya kerajaan Persekutuan mendahulukan pembinaan jalan ini terus ke Gua Musang secepat mungkin sebelum memberi tender kepada syarikat dari Republik Rakyat Tiongkok membina sistem keretapi laju dari Gombak ke Pengkalan Kubor. 

Tunggu dan lihat apakah bentuk bantuan mendatang untuk rakyat Kelantan terutama menjelang PRU14 dalam suasana UMNO dibelenggu tanda perpecahan membawa kepada kemunculan parti PPBM. Usaha bersungguh dari kenyatan pemimpin utama UMNO akhir-akhir ini, UMNO serius mendekati Pas. Belum nampak reaksi dari penyokong Pas, sejauhmana penerimaan penyokong akar umbi Pas dengan pendekatan terkini UMNO. 

Dulu, kini dan mungkin selamanya, UMNO tidak dapat memisahkan antara politik dengan pentadbiran, politik kepartian dengan tanggungjawab legislatif, kuasa legislatif dengan birokrasi. UMNO adalah kerajaan, kerajaan adalah UMNO. UMNO sengaja menafikan pengasingan kuasa antara legislatif dengan eksekutif. Bantuan kerajaan Persekutuan ke Kelantan, bukan tanggungjawab pentadbiran, tetapi diabsahkan sebagai sumbangan dan jasa UMNO kepada rakyat Kelantan. Berbekalkan kematangan politik, rakyat Kelantan yang membantu Pas membentuk kerajaan lebih 20 tahun, tidak mudah melenting dengan usaha UMNO terkini.

Jika sebelum ini, beberapa projek dalam kawasan pihak berkuasa tempatan memberi masalah kepada rakyat selaku pengguna. Kemudahan prasarana disediakan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tanpa pengetahuan PBT sekadar menyediakan projek untuk memberi rezeki kontraktor pilihan JPP atau UMNO Bahagian, bukan menyediakan kemudahan untuk keselesaan rakyat. Penyediakan sistem longkang yang tidak ikut spekulasi, sistem saliran yang menambahkan masalah takungan air, sekadar beberapa contoh perbelanjaan duit rakyat yang tidak berbaloi dan membazir.

Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Kelantan mula mengeluarkan minyak sejak tahun 2004, dan laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 billion. dalam tahun 2009, kerajaan Kelantan menuntut kerajaan Persekutuan menerusi Petronas sebanyak RM1 billion. Jika kerajaan Persekutuan lebih banyak membantu Kelantan berbagai pemimpin terdahulu memanglah patut lantaran sumbangan dari bumi Kelantan khususnya hasil petroleum tersebut. Pemimpin dulu menafikan hak Kelantan perolehi hasil petroleum, apakah sekadar pemeberian wang ihsan menerusi istrumen UMNO iaitu JPP, serta MAIK, untuk diagihkan kepada rakyat Kelantan, adalah satu perubahan. Rakyat Kelantan diwakili oleh kerajaan yang dipilih rakyat, JPP bukan mewakili rakyat Kelantan tetapi kepentingan UMNO menggunakan kemudahan birokrasi dan eksekutif. 
 

Jika dimaksudkan membantu Kelantan yang sinonim dengan membantu Pas dengan anggota kerajaan mengambil alih membawa usul RUU 355, sebagai usul kerajaan. Usul RUU 355 yang dibawa sebagai usul persendirian Ahli Parlimen Marang bukanlah usul untuk memartabatkan perundangan syariah di Kelantan, tetapi keseluruhan sistem mahkamah berkenaan. Usaha dan kesanggupan UMNO dalam isu usul RUU 355, harus dilihat dari sudut kepentingan agama dan jemaah bukan mencari keuntungan dan kelebihan politik.