Sabtu, 7 November 2026

Peluang PH Bina Keyakinan

 PRN MELAKA MEMBUKA RUANG PAKATAN HARAPAN MEMBINA KEYAKINAN MENJELANG PRU16

Pilihan Raya Negeri Melaka ke 16 (PRN Melaka 16) yang akan berlangsung pada 14/11/2026 nanti, bagi Pakatan Harapan bukanlah merampas balik kuasa yang hilang yang pernah dikuasainya dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) atau PRU 2018, hakikinya misi utama membina imej setelah kegagalan dalam tiga PRN dalam tempoh setahun. Kegagalan bersiri bagi parti yang menguasai kerajaan pusat, amat mencalar imej dan potensi, lantaran agenda yang besar sedang menunggu; PRU16 serta pilihan raya beberapa negeri-negeri. Imbas PRU14, PH berjaya menguasai kerajaan Persekutuan, serta kerajaan negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Sabah bersama Parti Warisan, menghambat keluar minda dan misi BN: dulu, kini, selamanya. Mengekalkankan hanya Perlis dan Pahang dalam dakapan BN, sementara Kelantan dan Terengganu dirangkul oleh Pas. 

Kekalahan besar calon-calon PH dalam PRN Sabah 17, tahun lepas, berpijak di atas alasan gelombang penolakan parti-parti Malaya atau parti nasional mencerminkan kehendak dan aspirasi pengundi Sabah mutakhir. Walau bagaimanapun, sebagai parti yang menjadi sebahagian anggota kerajaan dalam pentadbiran negeri, beberapa orang ADUN PH dipertanggungjawabkan menganggotai barisan menteri dan pembantu menteri, prestasi yang ditunjukkan oleh calon-calon PH, sedikit mencemarkan imej kerajaan. Peranan mereka menduduki kerusi pentadbiran negeri Sabah sebagai mewakili kerajaan Persekutuan, gagal menterjemahkan kepentingan dan suara rakyat Sabah dalam hubungan negeri-Persekutuan. 

Walaupun hanya menang satu kerusi menerusi PKR, dan lebih awal mengistiharkan bersetuju membentuk kerajaan bersama GRS, sebelum SPR istihar keputusan rasmi keputusan pilihanraya. Dalam dua PRN Sabah terdahulu, PRU15 (2018) dan PRN Sabah 16 (2020), PH menang 8 kerusi; 6 DAP dan 2 PKR, di kawasan bandar dan pinggir bandar; Likas, Luyang, Elopura, Tanjong Sepat, Sri Tanjong, Inanam dan Api-Api, rata-ratanya majoriti pengundi Cina.  Gagal di semua kerusi disandang, menang satu kerusi pun di Melalap, kawasan luar bandar majoriti Pribumi Bukan Islam, menerusi  bekas kepimpinan Pemuda UMNO Negeri. Kehilangan kerusi disandang dalam dua PRN, menang kerusi tunggal, di kawasan berlainan wajah komposisi penghuni, watak demografi dan latar geografis, gagal kemukakan bukti baru PH masih diterima dalam latar lokaliti baru. 

Johor sinonimnya kubu kuat UMNO sejak diperkenalkan demokrasi kepilihanrayaan. Dalam beberapa PRU awal, setiap hari penamaan calon, bila diberitakan calon-calon menang tanpa bertanding, dengan negeri Johor lebih mendominasi. Calon-calon UMNO mewakili Perikatan, kemudiannya BN, menang tanpa bertanding lantaran tiada calon lain yang menyerahkan borang pencalonan. Calon BN menang tanpa bertanding di kawasan Johor Tenggara khususnya, sekarang Kota Tinggi dan Pengerang setiap kali pilihanraya, di samping beberapa kawasan di Johor. Kawasan-kawasan tersebut memperlihatkan teras kekuatan UMNO, menyukarkan pembangkang khususnya Pas, sekarang PKR dan Amanah, meletakkan calon yang sentiasa terdedah kepada hilang wang pertaruhan. 

Dalam PRU 2018, BN hilang kuasa di Johor bila hanya perolehi 19 kerusi; 17 UMNO, 2 MIC. PH menguasai 36 kerusi dari jumlah 56 kerusi DUN, DAP mengepalai dengan 15 kerusi, bersama 5 kerusi PKR, 9 Amanah dan 7 kerusi Bersatu. Osman Supian dari Bersatu dipilih sebagai ketua kerajaan. Semua 11 kerusi pengundi bukan Melayu menguasai lebih 60% pengundi dibolot oleh calon DAP, di samping itu semua 7 kerusi campuran dengan pengundi Melayu kurang 50%, dimenangi PH menerusi calon-calon DAP dan PH. 

Semasa PRN Johor ke 15 (2022), PH yang bertahan dengan DAP, PKR dan Amanah, setelah Bersatu meninggalkan gabungan, hanya mempu bertahan di 10 kerusi sahaja. Tiga kerusi majoriti Cina; Bekok, Yong Peng dan Paloh tewas kepada calon MCA. Kerusi PH yang dipertahankan adalah melalui 8 DAP, satu PKR dan satu Amanah. 

Kemerosotan bersiri pencapaian PH dapat dipertontonkan dalam PRN Johor ke 16 (2026), DAP hilang 2 kerusi:  Johor Jaya dan Perling.    PKR tewas di Bukit Batu, tapi diganti dengan Wangsa Puteri, kerusi yang gagal dipertahankan oleh MUDA. Amanah pertahankan Simpang Jeram dengan majoriti tipis. Calon-calon PH yang hilang wang pertaruhan meningkat dari 4 orang dalam PRN Johor ke 15, kepada 7 orang dalam PRN Johor terakhir. Semua calon PH yang hilang pertaruhan berlaku di kawasan pengundi Melayu melebihi 80% dari jumlah pengundi kawasan atau kerusi berkenaan. Dicantum faktor kerusi dimenangi dan kehilangan wang pertaruhan meletakkan garisan kemerosotan sokongan PH. 

Bahan kes terakhir tercatat dalam PRN Negeri Sembilan ke 16, mengukur lokasi PH dalam carta politik kepilihanrayaan. Kemerosotan berulang, sebagaimana pencapaian dalam PRN Sabah dan PRN Johor. Dalam PRU14, PH berjaya memecahkan tradisi penguasaan BN di Negeri Sembilan, menguasai 21 kerusi menerusi; 12 kerusi oleh DAP, 6 PKR dan 3 Amanah, meninggalkan 15 kerusi kepada BN. 

Walaupun PH berjaya mempertahankan penguasaan kerajaan negeri menerusi PRN ke 15, PH kehilangan 4 kerusi kepada 17 kerusi DUN; 11 DAP, 5 PKR dan satu Amanah. Dalam PRN terakhir tiga bulan lepas, kerusi PH dalam DUN hanya tinggal  11 kerusi; 9 DAP dan 2 PKR. Lebih malang, PH hilang kerajaan, Menteri Besar dan Setiausaha Agung DAP gagal  menempatkan diri ke DUN. Seorang calon PH, hilang wang pertaruhan. 

Kemerosotan undi dan pencapaian parti yang menguasai kerajaan Persekutuan yang merundum secara berturut-turut dalam beberapa pilihan raya negeri, hilang kuasa kerajaan negeri, bilangan calon yang hilang wang pertaruhan meningkat, secara langsung membuka ruang keperluan tenaga dan strategi berganda. 

PRN Melaka ke 16, lebih merupakan medan tempur berstrategik bagi PH membina keyakinan menghadapi PRU16 kelak. Apapun kejayaan PH mempertahankan 5 kerusi DUN tidak cukup membina pemulihan dan harapan setelah prestasi dalam graf menurun. Perlu diingat dalam PRU14, PH menguasai 15 kerusi DUN Melaka dan berjaya menumbangkan kerajaan BN yang berkuasa semenjak Merdeka. 

Berkebetulan menjelang PRU16, politik kepilihanrayaan negara kita dihidangkan beberapa siri PRN, seolah-olah gelanggang menguji prestasi dan tahap sokongan secara langsung medan ujian parti-parti dan semua golongan berkepentingan. Besar manfaatnya, langkah beberapa kerajaan negeri membubarkan dewan legislatif masing-masing untuk mendapat mandat baru, yang membuka ruang  meraikan keharmonian pendidikan demokrasi dan kematangan rakyat membuat pilihan. 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan