Sabtu, 9 Mei 2020

Kerajaan Perpaduan

KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL SEBAGAI ASAS KERAJAAN PERPADUAN

Pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggantikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24/02/2020, lebih menampakkan asas kepada sebuah kerajaan perpaduan (unity government). Kerajaan baru yang dibentuk yang dimandatkan kepada TS Muhyiddin Mohd Yassin adalah sebuah pakatan atau kerjasama Anggota Dewan Rakyat yang berjaya membentuk satu kumpulan majoriti mudah 112 ahli dari jumlah 222 ahli, terdiri daripada 39 ADR UMNO, 2 MCA, 1 MIC, 18 Pas, 18 Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta seorang ADR masing-masing dari PBS, PBRS dan STAR, bersama 31 ADR dari PPBM (termasuk 11 ADR PKR). Hasil persepakatan di peringkat Persekutuan, turut mengubah pentadbiran kerajaan negeri, turut tumbang kerajaan PH di negeri Johor, Melaka dan Perak.  

Pembentukan kerajaan Perikatan (1957-1969), kerajaan Barisan Nasional (1974-2008) dan kerajaan PH (2008-2020), hasil dari perjanjian rasmi antara parti-parti yang terlibat. Perikatan hasil perjanjian antara UMNO, MCA dan MIC membentuk kerajaan sebelum Merdeka dalam tahun 1955. Konsep pembentukan kerajaan pelbagai parti diperluaskan menerusi penubuhan BN melibatkan gabungan Perikatan (UMNO, MCA, MIC) bersama; Gerakan, Pas, PPP, PBB, SUPP, USNO dan SCA. Menjelang PRU14, DAP, PKR, PPBM dan Amanah membentuk pakatan bersama menggunakan satu lambang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan PH. 

Pembentukan kerajaan Perikatan Nasional  terbentuk dalam tempoh pendek, di kala negara tidak berkerajaan. Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri interim yang tiada kuasa untuk membentuk kerajaan, merancang menubuhkan kerajaan perpaduan iaitu kerajaan dianggotai semua parti politik yang ada perwakilan di Dewan Rakyat. UMNO dan Pas memberi syarat tanpa penglibatan wakil DAP dan Tun Mahathir pula tidak akan melibatkan UMNO. Sebaliknya DS Muhyiddin Yassin berjaya mendapat persetujuan dari seramai 112 ADR dan menyakini Istana Negara menguasai sokongan majoriti ADR. 

Idea penubuhan kerajaan perpaduan lebih awal dikemukakan oleh Presiden Pas, DS TG Abdul Hadi Awang, selepas PRU12 (PRU 2008). PRU12 yang menghasilkan satu anjakan paradigma politik Malaysia di mana memperlihatkan keseimbangan kekuatan antara kerajaan dengan pembangkang. Kehilangan kuasa 4 buah negeri kepada pembangkang, memberi satu bentuk politik masa depan Malaysia, dengan kedudukan pengaruh dan sokongan sama rata 50:50 antara kerajaan dengan pembangkang yang bergabung tenaga dalam pemuafakatan Pakatan Rakyat (PR). Di atas keseimbangan pengaruh dan kekuatan antara BN sebagai kerajaan dan PR ditunjangi pembangkang utama: PKR, DAP dan Presiden Pas menyarankan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan melibatkan semua parti yang ada perwakilan di Dewan Rakyat. Kerajaan perpaduan atau unity government dicadangkan kerajaan tanpa pembangkang. Rasionale cadangan tersebut lantaran perwakilan pilihan rakyat yang agak sembang di Dewan Rakyat berada bersama dalam sebuah kerajaan mewakili semua rakyat.

Saranan Presiden Pas membuka ruang pandangan berbagai pihak termasuk dari dalaman Pas sendiri. Paling tenat, Pas dituduh cuba membantu UMNO/BN walaupun masih kekal menguasai kerajaan Persekutuan tetapi dengan pengurangan sokongan rakyat. Ditambah pula, cadangan keterlibatan Pas menjadi penasihat kepada kerajaan.  Saranan ini tidak diperlanjutkan setelah pihak parti Pas sendiri tidak memberikan respons yang positif.

Asas yang dibina oleh B.J.Habibie, Presiden Republik Indonesia yang ketiga, yang menerima peralihan kuasa dalam tahun 1998 membentuk sebuah negara demokrasi hasil sebuah kerajaan yang asasnya militer di bawah General Suharto selama 35 tahun. Setelah mengambil alih pemerintahan Republik Indonesia dalam tahun 1965, pentadbiran regim militer Suharto memperkenalkan Order Baru untuk membangunkan Indonesia ke arah pembaharuan pentadbiran bermula tahun 1971. Suharto menjadikan satu gabungan organisasi NGO; Golongan Karya (Golkar) untuk memudahkan menggerakkan jentera pentadbirannya. Amnya Golkar lebih memperlihatkan sebuah badan yang dikuasai oleh pentadbiran militer. Di bawah Order Baru, pilihan raya umum yang disebut sebagai Pemilihan Umum (Pemilu) untuk memilih perwakilan badan legislatif diadakan dalam tahun 1971. 

Dalam Pemilu 1971, Golkar mendaftar sebagai sebuah parti telah memenangi 62.82% undi untuk Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), dan amalan perwakilan berkadar (proportinate representatives) diberi 236 kerusi dari jumlah 360 kerusi DPR. Partai Nahdatul Ulama yang mengaut 18.68 undi diberi 58 kerusi, Parti Nasional Indonesia (PNI) mendapat 20 kerusi, Partai Muslimin Indonesia dapat 24 kerusi, baki 18 kerusi diperuntukan kepada beberapa parti lain. Golkar menguasai kerajaan dengan 3 komponen; Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI), birokrat dan Utusan Golongan. Wakil Nahdatul Ulama, Idhan Chalid dilantik mengetuai DRP (speaker). Dalam zaman Order Baru (1971-1997), sebanyak 6 kali Pemilu diadakan iaitu setiap lima tahun, di mana dikuasa oleh Golkar dengan peratusan undi antara 63 hingga 74 peratus. Pada tahun 1973, Suharto telah mengharamkan semua parti politik dan dikelompokkan kepada dua parti iaitu Partai Demokrasi Indonesia (PDI) dan Partai Persatuan Pembangunan (PPP). Semua organisasi berideologi Islam dalam PPP dan organisasi lain dalam PDI. 

Apabila ledakan politik reformasi Indonesia tahun 1998, memaksa Suharto melepaskan jawatan, dan Naib Presiden Habibie, dari Golkar faksi birokrat mengambil alih kuasa. Habibie mengambil pendekatan membentuk kuasa menerusi kerajaan perpaduan dengan penyertai pelbagai golongan dalam kabinet dan menguarangkan peranan ABRI sebagai zaman Suharto. Kerajaan perpaduan tajaan Habibie membuka ruang penubuhan berbagai partai dengan ideologi berbeza, secara langsung melabarkan ruang demokrasi. Walaupun belum cukup 5 tahun untuk memanggil Pemilu, Habibie mengadakan Pemilu dalam tahun 1999, untuk mendapat mandat baru. Hasil Pemilu DPR 1999, menghasilkan dominasi Golkar dalam politik Indonesia turn mendadak. Golkar hanya mendapat 22.74% undi dan peruntukan 120 kerusi dari jumlah 462 kerusi penuh DPR. Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) perolehi 33.74% undi dan layak 153 kerusi, Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) dapat 12.61% undi dan diberi 51 kerusi, PPP perolehi 10.21% undi dan layak 58 kerusi. Anggota badan legislatif nasional dan daerah memilih pemimpin PKB, Abdul Rahman Wahid sebagai Presiden Indonesia ke empat. 

Kerajaan perpaduan model Indonesia memberikan kuasa kepada perwakilan rakyat, di mana semua pihak diberi hak menduduki kuasa eksekutif, menjalanan tugasan kabinet mentadbir negara. Secara tidak langsung, tiada pembangkang dalam badan legislatif.

Idea pembentukan sebuah kerajaan perpaduan saranan Tun Dr Mahathir selepas tumbang kerajaan PH berpijak kepada penyertaann pelbagai parti serta kabinet dibentuk bukan berasas kepada parti tetapi lebih fokus kepada individu. Si A daripada parti A dilantik dalam kabinet bukan mewakili partinya tetapi atas kapasiti kebolehan dan pengalaman individu. Saranan Tun Mahathir menepati hasrat rakyat memilih wakil mereka menduduki badan legislatif yang secara langsung memberi komitmen membentuk kerajaan tanpa ada pembangkang. Tetapi pelan kerajaan perpaduan Tun Mahathir tanpa penglibatkan UMNO, sedangkan perwakilan UMNO antara perwakilan terbesar di Dewan Rakyat. Pas pula melatakkan syarat tanpa penyertaan DAP. Kegagalan Tun Mahathir mengemukakan perwakilan yang berpihak kepadanya menghalang.

Kejayaan TS Muhyiddin mengumpul sokongan secara blok dari beberapa buah parti serta individu berjaya membentuk satu kumpulan majoriti mudah membentuk kerajaan. Pembentukan kerajaan tidak berasaskan persetujuan bersama atas satu manifesto dalam PRU14, yang menampakkan penyertaan tanpa ikatan manifesto, ideologi dan halatuju politik parti, semata-mata menyelamatkan krisis politik dalam parti yang memerintah. Kerajaan yang dibina oleh TS Muhyiddin adalah bentuk asas pembinaan kerajaan perpaduan di negara kita, apa parti-parti yang berlawanan antara satu sama lain dalam PRU kemudian membentuk kerajaan demi kestabilan politik negara. Lebih utama ialah mengelakkan pembubaran Dewan Rakyat yang akan memaksa rakyat turut mengundi sedangkan usia Dewan Rakyat baru hendak masuk separuh penggal. Parti-parti politik yang baru selesai serang menyerang antara satu sama lain boleh lupakan perbalahan dan pertentangan boleh cari pemuafakatan bersama untuk negara.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan