Rabu, 9 April 2014

Satu kaum satu undi

CADANGAN SHAHIDAN DEMI MENYUBURKAN POLITIK PERKAUMAN

Cadangan DS Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  yang menimbulkan kekecohan dalam persidangan Dewan Rakyat, pada 31/03/2014 lalu; mencadangkan agar sistem pilihan raya ditukar kepada satu kaum satu undi, menampakkan kegelisahan pihak berkuasa Kerajaan Persekutuan hari ini, dengan trend sokongan menurun kepada parti pemerintahan, sejak 2 Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. 

 Saranan beliau agak menarik juga bila beliau berhujah model yang diterima pakai hari ini; satu orang satu undi, adalah tidak adil kerana wakil yang dipilih mewakili sesuatu kawasan yang mempunyai latar belakang yang berbeza: taraf ekonomi, kepadatan penduduk, sistem perhubungan dan pengangkutan. 

Beliau mencadangkan perlaksanaan satu kaum satu undi, di mana orang Melayu yang memiliki 67 peratus akan dapat 67 kerusi, orang Cina dengan 23 peratus dapat 23 kerusi dan India dengan 7 peratus akan dapat 7 kerusi. Ini akan memberi keadilan kepada semua kaum diwakili secara adil sebagai perwakilan di dewan legislatif. Keyakinan beliau, kaedah ini akan mengelakkan perebutan kerusi.

Cadangan DS Shahidan Kassim ini mengambil model amalan demokrasi pilihan raya di Singapura, di samping perwakilan satu kawasan diwakili seorang wakil rakyat, tetapi setengah kawasan diwakili lebih satu orang bergantung kepada saiz pengundi. Kawasan diwakili lebih seorang wakil rakyat ini diimplementasikan menerusi General  Representatives Constituency(GRC). Satu GRC yang diwakili empat orang wakil rakyat; 1 kuota diperuntukan untuk calon Melayu, 1 India, maka mana-mana parti bertanding perlu kemukakan sekurang-kurangnya seorang calon Melayu, dan seorang calon India. Dalam satu GRC, jika parti A mendapat undi tertinggi, maka keempat-empat calon parti tersebut diistiharkan sebagai wakil rakyat bagi kawasan berkenaan. 

Sistem amalan kita menerusi "first past the post", mentafsirkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 116(2): satu kawasan pilihan raya diwakili oleh seorang wakil rakyat. Seseorang calon diistiharkan menang sekiranya mendapat undi tertinggi, walaupun bukan mewakili majoriti pengundi yang membuang undi. Calon yang mendapat undi tertinggi walaupun peratusasn undinya kecil, biasanya berlaku bila melibatkan persaingan banyak penjuru. Pengalaman PRU1 (PRU 1959) serta pilihan raya kerajaan tempatan, sebelum ianya dimansuhkan dalam tahun 1966. 

Jika ikut pengiraan cadangan DS Shahidan ini, akan mengurangkan suara orang Melayu di Parlimen. Jumlah pengundi Melayu di Semenanjung ialah 59.18% dari jumlah pemilih dalam PRU13, jika satu kaum satu undi, kerusi untuk perwakilan Melayu ialah 98 kerusi dari jumlah 166 kerusi Parlimen di Semenanjung. Dalam PRU13, dengan satu orang satu undi, jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung yang dimenangi oleh calon-calon Melayu ialah 113: UMNO (74), Pas (21), PKR (16) dan DAP (2). Kalau ikut saranan Shahidan, suara orang Melayu akan berkurangan sebanyak 15 orang mewakili Semenanjung di Parlimen. 

Saranan DS Shahidan, walaupun bukan satu usul, tidak lain cuma untuk mempertahankan sistem agihan kerusi atas garisan perkauman yang diamalkan BN: dulu, kini dan selamanya. Di Semenanjung, UMNO, MCA, MIC dan Gerakan diperturunkan di kawasan pilihan raya bersandarkan faktor perkauman, kecuali PPP yang menurunkan calon-calon berbangsa Melayu, Cina dan India., melambangkan sebuah parti merentasi sempadan rasisme dan kepuakan etnik. 

Dengan erti lain, saranan beliau semata-mata mempastikan kepimpinan yang ada diteruskan menerajui pemerintahan dengan menggunakan formula agihan kerusi atas semangat BN. Dalam PRU13, di Semenanjung, UMNO diperuntukan 108 kerusi tetapi bertanding di 107, MCA bertanding 37 kerusi Parlimen, berbanding 40 dalam PRU11 dan PRU12 ( 2 diberi kepada UMNO: Kuantan dan Gelang Patah), MIC 7 kerusi, Gerakan 11 kerusi, kurang satu (kerusi Gerik dipulangkan kepada UMNO), PPP diberi satu kerusi: Kepong, dalam PRU11 dan PRU12 ialah Taiping). Sementara di Sarawak: PBB yang mewakili Bumiputra 14 kerusi,   SUPP diberi 7 kerusi, di mana 6 adalah kawasan majoriti Cina, sementara SPDP dan PRS mewakili Bumiputra non-Muslim di 10 kawasan. Di Sabah, UMNO diberi 13 kerusi Bumiputra bersama UPKO (5) dan PBRS (1), sementara PBS dan LDP berkongsi 6 kawasan majoriti Cina dan Bumiputra non-Muslim. Sistem satu kaum satu undi akan mewujudkan keanggotaan Parlimen mewakili kuota kaum bukan lagi persaingan antara parti secara terbuka di semua kawasan.

Hasil dari 2 PRU terakhir yang menzahirkan 2 perbezaan asas antara BN dengan pakatan pembangkang menerusi gabungan Pakatan Rakyat. Di Semenanjung, BN mewakili kelompok pengundi desa dan berasaskan kaum. Sokongan kepada BN adalah dari kelompok Melayu di mana dari 86 kerusi dimenangi BN, 74 menerusi calon UMNO yang mewakili kawasan majoriti Melayu, 12 kerusi lain dimenangi menerusi MCA, MIC dan Gerakan, menerusi kawasan campuran di mana pengundi Melayu adalah kelompok terbesar. 

Berbeza dengan DAP, PKR dan Pas, ketiga-tiga parti mendapat sokongan merata bukan terbatas kepada kelompok kaum dan  sosio-geografis. Calon Melayu DAP diterima di kawasan majoriti pengundi Cina (73.0%): Bukit Bendera dengan majoriti 32,000 mengalahkan calon Cina Gerakan. Pengundi Raub yang tradisinya diwakili oleh ahli MCA, dalam PRU13, diwakili calon Melayu DAP. Calon Pas yang bertanding di kawasan campuran Kota Raja, 29.5% pengundinya adalah India, menang dengan majoriti besar 29,000 undi mengalahkan calon MIC untuk kali kedua. Calon Cina PKR menang di Alor Star, yang memiliki 61.0% pengundi Melayu yang diwakili oleh wakil MCA sejak tahun 1959.  

Ikut formula beliau, dengan 31% pengundi di Semenanjung adalah kaum Cina, bermakna perwakilan Cina di Parlimen layak perolehi 52 kerusi. Dalam PRU13, 14 ahli Parlimen berbangsa India terpilih iaitu MIC (4), PKR (4) dan DAP (6). BN yang mencalonkan kaum India seramai 9 orang menerusi parti perkauman MIC, 3 dari Gerakan dan seorang dari PPP, tidak dapat menandingi pakatan pembangkang. Masyarakat memilih wakil kaum India dari pembangkang berbanding BN, memperlihatkan politik berasaskan kaum menerima hakisan pengaruh dan penyingkiran fanatisme perkauman.

Ikut idea DS Shahidan, perwakilan di Parlimen mewakili Semenanjung, kiranya 166 kerusi dikekalkan ialah: 98 Melayu, 52 Cina, 15 India dan seorang mewakili kaum lain. Cadangan beliau tersebut mengubah sistem pilihan raya kepada proportional representatives atau undi popular, yang menjurus kepada pengurangan kuasa politik Melayu dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan. Hakikinya, cadangan satu kaum satu undi, semata-mata untuk mengimbangi kuasa berbagai kaum berasaskan bilangan penduduk.

Satu kaum satu undi, akan menjejaskan kerajaan negeri yang dikuasai BN dalam PRU13, Johor, Perak dan Negeri Sembilan. Di Johor, menerusi satu kaum satu undi, dengan orang Melayu memiliki 54% dari jumlah pemilih, sepatutnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Melayu, berbanding keputusan PRU13, seramai 35 ADUN Melayu terpilih: UMNO (31) dan Pas (4). Pengundi Cina yang menguasai 39% pengundi sepatutnya dapat 22 kerusi DUN, berbanding pencapaian sebenar PRU13, 18 kerusi dimenangi menerusi calon Cina: MCA(3), Gerakan (1), PKR (1) dan DAP (13).

Di Negeri Sembilan, satu kaum satu undi memberikan 19 ADUN Melayu berasaskan pengundi Melayu adalahj 53%, berbanding keputusan PRU13, seramai 23 ADUN Melayu terpilih: UMNO (22) dan PKR (1). Sementara 47% pengundi adalah bukan Melayu, melayakkan memiliki 17 ADUN, berbanding PRU13 melahirkan 14 ADUN bukan Melayu.

Di Perak, dengan peratusan pengundi Melayu 49%, orang Melayu layak diberikan 29 kerusi DUN dari jumlah 59 kerusi. Sebaliknya dalam PRU13 menerusi perwakilan berkawasan, seramai 36 orang calon Melayu memenangi kerusi DUN: UMNO (30), Pas (5) dan PKR (1). Baki 30 kerusi akan menjadi milik bukan Melayu menerusi satu kaum satu undi, bila 51% pengundi terdiri dari bukan Melayu, berbanding pencapaian PRU13, 23 sahaja ADUN bukan Melayu: MCA (1), PKR (4) dan DAP (18). 

Di Pulau Pinang, pengundi Melayu cuma 35% sahaja dan sepatutnya dapat 14 ADUN, ikut cadangan DS Shahidan. Sementara dalam PRU13, melahirkan 16 ADUN Melayu: UMNO (10), PKR (5) dan Pas (1) dari jumlah 40 kerusi DUN. Ini bermakna, orang bukan Melayu akan memiliki 26 ADUN berbanding 24 ADUN sekarang.

Lantaran pengundi Melayu adalah separuh dari jumlah pengundi di negeri Selangor, kaedah satu kaum satu undi memberikan 28 kerusi DUN untuk orang Melayu. Dalam PRU13, seramai 37 ADUN Melayu terpilih: UMNO (12), Pas (15), PKR (10), dari keseluruhan 56 ADUN. Bagi orang bukan Melayu, 19 ADUN dipilih menerusi PRU13, akan meningkat kepada 28 orang menerusi satu kaum satu undi.

Kesimpulanya dari jumlah atau dengan kata lain: penguasaan politik Melayu kerana berkurangnya peruntukan kerusi dewan legislatif sama ada DUN atau Parlimen untuk orang Melayu. Itulah logik matematik. Saranan satu kaum satu undi bolehkan ditafsirkan sebagai jawapan kepada:

1. Cubaan menggantikan sistem perwakilan berkawasan kepada perwakilan proportional kerana pembentukan persempadanan kawasan pilihan raya tidak menguntungkan BN berpandukan kemerosotan sokongannya dalam 2 PRU terakhir.

2. Usaha menghapuskan pemilihan berasaskan parti politik dalam pilihan raya di mana parti-parti perkauman: UMNO, MIC, MCA, semakin dijauhi pengundi alaf baru dan parti-parti yang tidak terikat dengan kaum tertentu, semakin diterima rakyat. Oleh itu, calon-calon akan bertanding di dalam kelompok kaum. Contohnya, 20 kerusi diperuntukan untuk kaum Cina dalam DUN Selangor, maka calon-calon Cina akan bertanding sesama mereka untuk merebut kerusi berkenaan. Calon-calon Melayu akan bertanding di kalangan mereka untuk merebut sejumlah kerusi yang dikhaskan untuk kaum mereka. 

3. Kelewatan kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan raya yang sepatutnya bermula 2011, iaitu 8 tahun selepas persempadanan terakhir (2003) menjelaskan hakikat sebenar mengapa sistem pilihan raya perlu dikaji semula demi mempertahankan kuasa yang ada.

4. Menerima hakikat bahawa perpaduan kaum, keadilan dan kesamarataan adalah tuntutan asas kemanusiaan. Realiti politik baru yang berasaskan kepada kemurnian demokrasi, bukan menggunakan demokrasi untuk mengekalkan kuasa. Realiti perubahan kuasa, hilang kuasa dan akur kepada kehendak majoriti, adalah antara tuntutan universal sebelum digelar "gila kuasa". 

 

 

 

Ahad, 30 Mac 2014

PRK Balingian: prestasi BN merosot

PRK BALINGIAN: KEMENANGAN BN TAK SEHEBAT MANA

Pilihan Raya Kecil bagi kerusi negeri Sarawak, N51, Balingian, kelmarin yang memberikan kemenangan kepada calon BN, Yussibnosh Bulo, menampilkan kelainan berbanding 3 PRK terakhir di Semenanjung. Sungguhpun calon BN menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding kemenangan Ketua Menteri Sarawak, DP Abdul Taib Mahmud di kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, dalam situasi berbeza tidak menampakkan sebuah kemenangan bergaya.

Dalam PRK kelmarin, calon BN memperolehi 8,194 undi atau 86.46% dari jumlah undi sah, berbanding undi Taib Mahmud dalam PRN 2011 iaitu 6,210 undi atau 76.32%. Calon BN, Yussibnosh menang dengan majoriti 6,911 undi lebih besar berbanding majoriti Taib Mahmud, sebanyak 5,154 undi sahaja. 

Undi Yussibnosh agak cemerlang dengan undi ketua kerajaan yang mempertahankan kerusi, situasi dan politik Sarawak 2011 agak berbeza dengan situasi semasa, di mana isu kronisme, agihan kekayaan dan rasuah yang disinonimkan dengan Ketua Menteri masa itu. Isu berkenaan menjadi antara faktor kemerosotan pencapaian BN di bawah kepimpinan Taib Mahmud berbanding dengan PRN 2006. 

Di kerusi yang sama, dalam PRN 2006, Taib Mahmud memperolehi 6,393 undi atau 90.55% undi sah, merosot kepada 76.32% sahaja dalam PRN 2011. Faktor kemerosotan undi Taib juga dipengaruhi oleh cabaran Datuk Salleh Jafaruddin, bekas Timbalan Menteri Pelajaran Persekutuan, yang bertanding sebagai calon bebas. Perolehan undi sebanyak 1,056 atau 12.98% oleh Salleh Jafaruddin merencatkan reputasi seorang ketua sebuah kerajaan, yang lebih dikenali kubu BN paling ampuh dan kukuh. 

Sungguhpun calon BN dalam PRK mengatasi undinya serta majoriti dalam PRN tiga tahun lalu, tidaklah bermakna pencapaian BN meningkat dan lebih baik. Dalam PRN 2011, BN menang kerusi ini dengan majoriti 5,154 atau 84.93%, berbanding majoriti 6,911 atau 72.92%. Perbandingan yang tepat dan rasional harus dilihat dari sudut angka berbentuk peratusan. Peningkatan jumlah pemilih serta peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi, dalam PRN 2011: 70.2%, PRK: 72.33%, memberikan kejayaan calon BN menambah undi dan majoriti kemenangan.

Lantaran itu, peratusan kemenangan atau peratusan majoriti dalam PRK kelmarin oleh BN, menggambarkan peningkatan berlaku kepada pencabar, iaitu prestasi calon PKR. Dalam PRN 2011, undi pencabar terdekat ialah 1,056 atau 12.98%, itu undi calon bebas, kali ini undi cabaran ialah 1,283 yang dipungut oleh calon PKR iaitu 13.57%. Peningkatan undi serta peratusan undi calon lawan ini, memberikan calon BN yang menang dalam PRK kelmarin mengalami kemerosotan peratusan majoriti dari 97.88% (PRN 2006), turun ke 84.93%(PRN 2011) kepada 72.92%.  Kemenangan dengan angka majoriti lebih besar dalam PRK kelmarin, tidaklah boleh dibanggakan sangat memandangkan kemerosotan peratusan majoriti kemenangan dalam 3 pilihan raya bagi kerusi Balingan ini. 

Kerusi Balingan yang mengandungi 13,366 pemilih, di mana 7,705 atau 57.65% adalah pemilih Melayu dan Melanau, 28.99% pengundi Iban, secara tradisinya BN memperuntukan kerusi ini kepada Parti Bumiputera Bersatu untuk kuota Islam. Tapi dalam PRK kelmarin diperturunkan seorang Melanau Kristian. Apakah perubahan dari fraksi Islam kepada Kristian mengubah tahap sokongan kepada BN, pungutan undi yang lebih besar. Secara kasarnya memang prestasi BN meningkat, tetapi memberi 2 impaks utama; 1. reputasi buruk penyandang kerusi berkenaan dalam PRN lepas, seorang ketua kerajaan, 2. latar belakang agama calon memberi kesan corak pengundian.

PKR yang mencabar BN dalam 3 siri pilihan raya untuk kerusi ini menampakkan peningkatan. Dalam PRN 2006, calonnya Ibrahim Bayau (Melanau) perolehi 667 undi sahaja atau 9.44% dari jumlah undi sah. Suriati Abdullah yang diturunkan oleh PKR dalam PRN 2011 memperolehi 871 undi atau 10.70% dan dalam PRK, Abdul Jalil Bujang (Melanau) memungut 1,283 undi atau 13.54% undi. Peningkatan undi serta peratusan undi sah oleh PKR, mengecilkan peratusan perbezaan undi atau peratusan majoriti kemenangan BN, dalam ketiga-tiga siri pilihan raya tersebut. 

Kemenangan besar BN yang digambarkan oleh media arus perdana sebenarnya sebuah kesimpulan yang tidak bermakna, jika diteliti serta diperhalusi dengan mengambil kira peratusan majoriti, yang memberi perbandingan yang lebih tepat dan dinamik. Kemenangan besar BN juga tidak boleh dibanggakan apabila undi calon PKR dapat menafikan kempen BN untuk menghilangkan deposit calon PKR.

Ahad, 23 Mac 2014

PRK Kajang 5: status quo

PRK KAJANG: SUKARNYA MENGUBAH STATUS QUO

Keputusan Pilihan Raya Kecil Kajang hari ini, mengukuhkan tanggapan pemilih sukar membuat perubahan atau mengubah keputusan yang mereka buat dalam Pilihan Raya Umum tahun lepas. Kecenderungan pemilih di Malaysia, tidak mengubah keputusan yang mereka putuskan dalam jangka masa pendek. Dengan lain perkataan, mereka tidak gemar mengubah status quo.

Calon PKR, DS Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya mempertahankan kerusi milikan PKR dengan majoriti 5,379 undi, berbanding calon PKR dalam PRU13 tahun lepas yang menang dengan majoriti 6,824 undi. Media elektronik; TV1, TV3, Astro Awani, dan portal berita: Malaysiakini, Free Malaysia Today dan Malaysian Insider, memperbesarkan penurunan majoriti kemenangan calon PKR, sebanyak 1,445. Memanglah pencapaian calon PKR dalam PRK ini, sedikit merosot iaitu dari majoriti 6,824 atau 20.21% kepada 5,379 atau 19.14%. 

DS Dr Wan Azizah memperolehi 16,741 undi atau 59.57% dari jumlah undi sah, berbanding pungutan undi PKR dalam PRU13; 19,571 undi atau 57.98% undi. Sementara lawannya, DP Chew Mei Fun perolehi 11,362 undi atau 40.42% undi sah, sementara pencapaian calon BN dalam PRU13; 12,747 undi atau 37.77% undi sah. Penurunan undi kedua-dua calon ini, harus dilihat kepada jumlah dan peratusan keluar mengundi. Dalam PRU13, seramai 34,290 pemilih atau 88.40% keluar mengundi, sedangkan dalam PRK hari ini, cuma 28,314 orang atau 72.01% sahaja. Dari segi jumlah keluar ini merosot sebanyak 5,976 orang atau penurunan 17.42%. 

Angka-angka perbandingan ini menyimpulkan kegagalan sasaran PKR untuk memperolehi sekurang-kurangnya 7,000 undi majoriti dan 10,000 undi majoriti untuk menghilangkan wang cagaran calon BN. Sebaliknya, calon BN yang bertanding sebagai calon pembangkang memperlihatkan gambaran sasaran: 1. untuk mengurangkan majoriti kemenangan calon PKR, 2. menarik pengundi Cina menyokong MCA yang mewakili suara orang Cina atas sifatnya pembangkang di negeri Selangor. 

Namun demikian antara perkara yang harus menjadi petuntuk dari PRK ini ialah terdapatnya perubahan dari sudut pola pengundian yang berpaksi kepada kaum. Dalam PRU13, PKR mendapat sokongan 45% pengundi Melayu dan pengundi Melayu menjadi majoriti di 7 daerah mengundi. BN menang di daerah mengundi; Sungai Sikamat, Sungai Kantan, Taman Delima dan Batu 10 Cheras, sementara PKR menang di Saujana Impian, Taman Mesra dan Kantan Permai. Undi PKR meningkat PRK ini di 4 daerah mengundi yang kalah dalam PRU13. 

PKR menang 45 undi di Sungai Sikamat, dalam PRU13, kalah 238 undi; di Taman Delima menang 3 undi (kalah 123 undi dalam PRU13), di Sungai Kantan kalah 225 undi berbanding kalah 420 undi tahun lepas, di Batu 10 Cheras, kalah 151 undi (kalah 157 undi tahun lepas). 

Sementara calon BN yang diwakili MCA, berjaya menambah peratusan sokongan pengundi Cina. Dalam PRU13, 16% undi kaum Cina di Kajang memihak kepada BN, meningkat 9% kepada 25% kali ini, sungguhpun semua 6 daerah mengundi majoriti Cina  dan 3 daerah mengundi campuran, di mana PKR masih menguasai sokongan. 

Sama sebagaimana PRU13, dilaporkan bahawa pengundi di saluran 5, 6 dan 7, saluran pengundi bawah umur 40 tahun, masih dikuasai PKR. Menyimpulkan bahawa, trend pengundi muda menolak BN terus berlanjutan, yang sudah mungkin menjadi ancaman besar kepada masa depan BN selaku peneraju kerajaan Persekutuan atau kerajaan 47 peratus.

PRK ini sama sebagaimana PRK yang pernah dilalui, peratusan pengundian memain peranan penting. Kejayaan PKR mempertahankan kerusi dengan majoriti besar dibantu oleh peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding PRU lepas. Dalam mana-mana PRK, BN banyak dibantu jentera sokongan rasmi dan tak rasmi, mempastikan ramai yang keluar mengundi. Tambahan pula kekuatan gerakerja pilihan raya hasil pertolongan jentera dari merata tempat.

BN hampir berjaya merampas kerusi Manek Urai dalam PRK pada 14/07/2009, setalah berjaya mengurangkan majoriti kemenangan Pas dalam PRU12, 1200 undi kepada 65 undi sahaja, bila 87.37% pemilih keluar membuang undi. PRK Galas (04/11/2010) di mana BN berjaya merampas kerusi ini dengan majoriti besar,1,190 undi, bila 83.15% keluar mengundi. Begitulah dengan PRK lain di mana BN berjaya merampas kerusi yang disandang oleh parti lawan; Pengkalan Pasir (08/12/2006) dengan 83.01% keluar mengundi, Semerak (11/08/1997) keluar mengundi 82.41% Bukit Payong (21/04/1992) 84.67% dan Pendang (18/07/2002) 86.04 peratus.

Sebaliknya BN gagal pertahan kerusi dalam PRK bila peratusan keluar mengundi rendah. BN hilang kerusi dalam PRK Lunas (29/11/2000) bila 77.57% keluar mengundi, Sibu (16/05/2010) 69.33%, Arau (04/07/1998) 70.27% keluar mengundi, Kuala Terengganu (17/01/2009) 79.76%.

PRK Kajang hari ini juga mendedahkan ulasan berat sebelah dari kalangan ahli akademik yang sepatutnya memberikan pandangan berasaskan kenyataan yang adil demi menghormati dan meraikan ilmu. Sebaik saja DP Chew diumumkan calon BN, akhbar Sinar Harian (28/02/2014) memetik pandangan seorang saintis politik dari UKM menyebut DP Chew boleh menang. Seorang ahli strategik dari UTM menjangka undi BN akan melonjak tinggi. Perpecahan akan berlaku dalam PKR yang akan menjejaskan harapan PKR, komen ahli akademik USM. 

Keputusan PRK Kajang hari ini menjawab segala tohmahan serta pandangan akademik yang berat sebelah dan memihak, di mana kejayaan calon PKR menang dengan majoriti besar. Prestasi calon PKR walaupun majoriti serta pungutan undi menurun, tidak seharusnya dipingirkan faktor peratusan keluar mengundi yang merosot. 

Kegagalan tugasan SPR mengajak pengundi menunaikan tanggungjawab dengan sasaran peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus, turut membantu kegagalan calon PKR mempertahankan angka pungutan yang dicapai dalam PRU13. Seandainya, peratusan keluar mengundi tinggi sebagaimana dalam PRU13, kemungkinan besar calon PKR menang majoriti melebihi 6,000 undi.  

Peratus penurunan keluar mengundi yang rendah berbanding PRU13 harus dirasionalkan dengan desakan dan tuntutan keperluan mengundi. Sebarang keputusan PRK Kajang tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, berbanding dengan isu besar dalam PRU13: Pakatan Rakyat dengan " Menuju Putrajaya" dan BN dengan "Sayangi Selangorku".  Isu induk PRK hari ini, adalah referendum massa, bagi Pakatan Rakyat adalah ekoran isu-isu semasa khususnya polemik isu perundangan, sementara BN untuk mengesan penerimaan masyarakat terhadap MCA selepas prestasi buruk PRU13. 







Rabu, 19 Mac 2014

PRK Kajang 4: media sokong pembangkang

PRK KAJANG: TUGAS MEDIA BERKEMPEN UNTUK PEMBANGKANG

Kehilangan pesawat MAS MH370 yang sudah memasuki hari ke 12 hari ini mendominasi berita media utama, media arus perdana seperti Utusan Melayu, Berita Harian, TV1 dan TV3. Pendominasian ini meletakkan paparan berita Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang sebagai bahan berita kecil serta kurang liputan. 

Biasanya dalam mana-mana pilihan raya di negara kita, sejak sekian lama, media arus perdana memain peranan berat sebelah membantu parti-parti yang menganggotai kerajaan, sama ada kerajaan negeri atau Persekutuan.  Namun demikian, peranan media massa arus perdana berperanan membantu kempen calon Barisan Nasional masih lagi berfungsi. Bezanya, dalam PRK Kajang yang melibatkan sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri, di bawah sebuah kerajaan yang diperintah oleh gabungan Pakatan Rakyat. Peranan media ialah membantu calon pembangkang, DP Chew Mei Fun, yang berdepan dengan calon mewakili kerajaan yang memerintah negeri, DS Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding atas lambang PKR.

Dalam dua PRK terawal selepas PRU13: Kuala Besut dan Sungai Limau, terus terang peranan media arus perdana berkempen memilih wakil rakyat parti yang menguasai kerajaan negeri, atau dengan kata lain "wakil rakyat penyokong kerajaan" (backbencher). Lakonan berbeza dipersembahkan oleh media berkenaan dalam PRK Kajang.

Kendatipun, Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada rakyat Malaysia untuk bersuara dan mengeluar pendapat termasuk kebebasan akhbar, tetapi dalam musim PRK Kajang, media massa utama mengubah haluan. Lumrah membantu calon "kerajaan" bertukar ke calon "pembangkang".

Khalayak awam dihidangkan perlunya rakyat memilih seorang anggota pembangkang untuk mewakili mereka dalam DUN Selangor yang dikuasai oleh "kerajaan pembangkang" PKR-DAP-Pas. Rakyat selaku pemilih PRK Kajang, masyarakat pembaca dan penonton media arus perdana dimanipulasikan, perlunya memilih seorang wakil rakyat yang akan menduduki kerusi pembangkang dalam sebuah "kerajaan pembangkang". 

Ikut logik media arus perdana di negara kita, keanggotaan Dewan Undangan Negeri Selangor masakini terdiri dari dua komponen: ADUN mewakili "kerajaan pembangkang" terdiri dari anggota PKR, DAP dan Pas,  dan ADUN pembangkang iaitu wakil rakyat BN. Media berkenaan mengajak pengundi berilah peluang seorang anggota MCA menduduki kerusi pembangkang dalam DUN Selangor, di mana masa ini, semuanya anggota UMNO. Temanya, "undilah pembangkang".

Jika semua bahan berita termuat dalam media arus perdana ini, boleh dijadikan bahan rujukan semua pihak, termasuk pelajar di mana-mana peringkat, terbentuk fahaman salah dan songsang yang boleh menyesatkan dan salah tanggapan. Sepatutnya anak bangsa didedah, dididik dan dilontarkan dengan kemuliaan ilmu demi mempertajamkan minda tanpa menafikan hak orang lain. Bila kumpulan yang bertentangan dengan pemegang sahama media perdana, yang menguasai kerajaan, mereka diistilahkan "kerajaan pembangkang". Kerajaan adalah hak mutlak kumpulan mereka sahaja, orang lain adalah pembangkang: dulu, kini dan selamanya. Apa pula maksud undilah pembangkang dalam PRK Kajang?

Selasa, 18 Mac 2014

PRK Kajang 3: Sebuah keunikan

PRK KAJANG: SEBUAH GAMBARAN REALITI POLITIK BARU

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang akan berlangsung pada 23/03/14 nanti memiliki keunikan tersendiri. Sungguhpun ramalan awal membayangkan, di samping calon Parti Keadilan Nasional (PKR) yang mempertahankan kerusi dan Barisan Nasional, pembangkang utama di Selangor, beberapa personaliti popular berhasrat ikut serta, tetapi selesai penamaan calon pada 11/03/14, dua calon dari parti utama yang bertanding. Seandainya satu atau dua nama yang sudah established itu ikut serta, PRK Kajang ini lebih meriah dan menarik lagi. Apa pun, tanpa mereka, PRK ini memiliki keistimewaan sendiri.

PKR yang mempertahankan kerusi, mempertaruhkan Presidennya, DS Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk hadapi cabaran BN menerusi Naib Preiden MCA, DP Chew Mei Fun. Kedua-duanya adalah pemimpin saf hadapan dalam wadah politik masing-masing.

 Seramai 38,965 orang pemilih; 48% Melayu, 41% Cina dan 10% India, bersedia menunaikan tanggungjawab membuat pilihan.  Mereka diletakkan dalam 16 daerah mengundi, dalam kawasan pengundi campuran dengan penempatan kota sifatnya. 7 daerah mengundi dengan majoriti Melayu; Sungai Sekamat, Saujana Impian, Taman Mesra, Sungai Kantan, Taman Delima, Kantan Permai dan Batu 10 Cheras. Di tujuh daerah mengundi ini: 3 penempatan pinggir bandar dan 4 taman perumahan, 5 dikuasai PKR dan 2 memihak kepada BN dalam PRU13 lalu.

6 daerah mengundi bandar dan bermajoriti Cina; Kajang, Sungai Chua 1, Sungai Chua 2, Sungai Chua 3, Sungai Chua 4 dan Sungai Chua 5. Semua daerah mengundi ini dikuasai PKR. Kesemua 3 daerah mengundi campuran dikuasai oleh PKR; Taman Kajang, Bandar Kajang dan Taman Kota Cheras. Keseluruhannya PKR kuasai 14 daerah mengundi berbanding 2 kepada BN dalam PRU lepas.

Sungguhpun senario gambaran corak pengundian di kawasan Kajang, yang mewakili kawasan pengundi campuran, dalam PRU tahun lepas, perubahan dari segi calon merupakan antara keistimewaan PRK kali ini. Faktor calon yang meletakkan PRK Kajang dalam lingkupan "exclusive" berbanding PRU lepas lantaran kedua-dua calon; 1. Pemimpin kanan parti, 2. Keturunan berbeza, 3. Wanita.

Pertembungan pemimpin kanan parti yang melibatkan calon berbeza keturunan belum pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di negara kita. Dalam PRU3 (PRU 1969), Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Fatimah Hashim, berjaya mempertahankan kerusi parlimennya, Jitra-Padang Terap, setelah dicabar oleh Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Ustazah Siti Fatimah @ Salmah Sheikh Hussien, dengan majoriti undi yang jauh berkurangan berbanding dengan kemenangan beliau dalam PRU2. UMNO hilang 3 kerusi parlimen dalam PRU3 di Kedah, dan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, cuma menang dengan majoriti 3,000 undi sahaja berbanding 12,000 dalam PRU2, untuk mengalahkan calon Pas.

Presiden Pas, Dato' Mohd Asri Muda, setelah Pas hilang kerajaan di Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 1978, bertandang ke Kedah, dewasa itu kekuatan Pas lebih bermaya berbanding sebelah Pantai Timur. Beliau mencabar Menteri Besar Kedah, Dato' Syed Ahmad Shahabuddin, di kerusi Parlimen Padang Terap dalam PRU5 (PRU 1978). Syed Ahmad yang meninggalkan kerusi negeri, menang dengan majoriti 2,000 undi. 

Dalam PRU6 (PRU 1982), Tan Sri Lee San Choon, Presiden MCA menentang Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin di kubu DAP, Parlimen Seremban. Tindakan San Choon di kala krisis kepimpinan dalam MCA, demi mengembalikan keyakinan masyarakat Cina. San Choon berjaya merampas kerusi dan menumpaskan tokoh Cina dengan majoriti 845 undi. Walaupun majoriti kecil, impaksnya cukup besar demi survival parti komponen BN yang mewakili kaum Cina.

Tetapi, dalam PRK Parlimen Seremban pada 19/11/1983, setelah San Choon mengosongkan kerusi berkenaan dan bersara dari politik, Man Hin berjaya memperolehi kerusinya. Beliau mengalahkan Ketua Wanita MCA Negeri Sembilan, Rosie Teh Lau Ming dengan majoriti besar, 6,393 undi.

Dalam PRU8 (PRU 1990), Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang mengembara ke Pulau Pinang dengan projek Tanjongnya, menetang Ketua Menteri Pulau Pinang dan Presiden Parti Gerakan, TS Dr Lim Chong Eu, di kerusi Padang Kota. Saingan sengit memberi kelebihan kepada Kit Siang dengan majoriti 760 undi, bermulanya penamatan riwayat politik Chong Eu. 

PRK Kajang dari sudut calonnya, amat berbeza dengan kes Jitra-Padang Terap (1969), kes Seremban (1982) kes Seremban (1983) dan kes Padang Kota (1990). Kes Jitra-Padang Terap, berlatar belakangkan kawasan luar bandar dan calon dari kaum yang sama. Sementara kes Seremban (1982) dan kes Padang Kota (1990), kawasan bandar, dan calon-calon yang bertanding adalah parti yang mewakili kaum Cina dengan calonnya kepimpinan utama parti, yang lebih bersifat pertandingan hidup mati.

Kes Seremban (1983) pula, tidak mencerminkan perlawanan berimbang atas kapasiti kepimpinan pada tahap berbeza yang secara langsung menghasilkan keputusan pilihan yang tidak mengejutkan, berbanding kes Seremban (1982) dan kes Padang Kota.

Tambahan pula, dalam PRU13 lalu, di kerusi Kajang, kedua-dua MCA dan PKR meletakkan calon Cina, di mana kedua-duanya bukan pemimpin bertaraf bintang. Dalam PRK Kajang ini, sungguhpun, PKR dan MCA kemukakan calon berimbang dan bertaraf kepimpinan nasional serta kedua-duanya wanita, tidak sama dengan kes Jitra-Padang Terap. Justeru itu, keunikan PRK Kajang dari sudut calon, mencipta satu nilai sejarah dalam pengalaman dan amalan demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia.

PRK Kajang yang mementaskan pertarungan dua tokoh utama nasional mewakili parti-parti dalam gabungan BN dan Pakatan Rakyat, akan menyaksikan keberanian politik, yang amat berbeza dengan beberapa paparan di atas. Paparan di atas adalah di kawasan majoriti Melayu atau majoriti bukan Melayu. Di Kajang, mereka bersaing di kawasan campuran, di mana akan menyaksikan sejauh mana penjelmaan realiti piolitik baru yang meminggirkan nilai perkauman. Politik baru yang mengutamakan ketelusan, keadilan sosial, kesamarataan dan hak asasi manusia, membentuk harapan baru mewarnai nilai sejagat.

Siapa saja yang memenangi PRK ini mencerminkan sebuah realiti politik baru, di mana politik berasaskan perkauman semakin dipinggirkan. Andainya Dr Wan Azizah yang menang dengan majoriti besar sebagaimana dicapai calon PKR berbangsa Cina dalam PRU13, memperlihatkan undi yang dipungut beliau adalah undi mewakili berbagai kaum di kawasan campuran, di mana pengundi Melayu cuma 48 peratus sahaja, tak sampai separuh. Jika  Mei Fun yang menang, menggambarkan pergantungan kepada undi Melayu mematikan polarisasi perkauman.

Dalam PRU13, culaannya menyaksikan calon PKR yang menang dengan majoriti 6,000 undi justeru menguasai 45% undi Melayu, 65% undi Cina dan 55% undi India. Apakah pola ragam pengundian yang tersasar dari landasan perkauman sebagaimana ditunjukkan pengundi Kajang dalam PRU13 itu akan kekal atau sebaliknya, akan memberikan tafsiran masa depan politik tanah air.



 


 

Khamis, 6 Mac 2014

PRK Kajang 2: faktor kaum & jantina

PRK KAJANG: FAKTOR KAUM DAN JANTINA CALON

Menjelang Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13), satu kumpulan pressure group berselindung di sebalik sebuah NGO, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengumumkan akan meletakkan calon Melayu/Islam di mana-mana kawasan yang ditandingi calon Pakatan Rakyat bukan Melayu/Islam. Kawasan tumpuan ialah kawasan campuran, di mana pengundi Melayu antara 45 hingga 60 peratus. Dengan lain perkataan, pengundi Melayu adalah kelompok etnik terbesar di kawasan berkenaan. 

ISMA sebagai sebuah badan bukan parti politik yang nyata pro-UMNO, memilih menggunakan lambang  Berjasa, untuk melayakkan menyertai PRU13. Berjasa, sebuah parti, yang tenggelam timbul, selepas keluar BN di akhir 1980an, tiba-tiba jadi sebutan dalam tempoh singkat. 

Calon-calon ISMA yang bertanding atas platform Berjasa, memilih 8 kerusi Parlimen dan 3 kerusi negeri. Semua kawasan tersebut adalah pertandingan antara calon-calon bukan Melayu dari BN (MCA, Gerakan dan MIC) dan calon PKR dan DAP. ISMA mengajak pengundi membuat pilihan berasaskan etnik dan agama. 

Prestasi calon-calon ISMA mempamirkan satu elemen baru dalam politik tanah air, di mana angka pengundi memilih calon berasaskan suku kaum dan agama, bukan kecil. Pemecahan undi dipelopori agenda ISMA memberi kesan kepada calon atau parti tertentu. Secara tersirat, agenda ISMA memberi ruang pengundi memilih calon Melayu/Islam, setelah undi bukan Melayu akan berpecah kepada calon-calon BN dan Pakatan Rakyat. Di samping itu, agenda yang lebih utama ialah mengajak pengundi Melayu yang menolak calon BN dan berpendirian "asal bukan BN" tidak mengundi calon Pakatan Rakyat bukan Melayu.

Pencapaian yang ditunjukkan oleh calon-calon ISMA, walaupun bertanding secara terhad dan kecil bilangannya, jauh lebih baik berbanding dengan parti-parti kecil seperti KITA, Parti Cinta Malaysia dan calon-calon bebas. ISMA telah berjaya mencipta wadah baru; pihak ketiga atau middle group dalam politik kepilihanrayaan yang sedang menuju ke sistem dua parti.

Di Parlimen Alor Star, calon ISMA yang menggunakan logo Berjasa memperolehi 3,530 undi, berbanding majoriti undi diperolehi calon bukan Melayu PKR untuk merampas kerusi MCA ini dengan 1,873 undi, di kawasan yang mempunyai 61.6 peratus pengundi Melayu. Secara langsung, penyertaan ISMA, merugikan BN.

Di kerusi negeri, Derga (Kedah), calon DAP juga bukan Melayu merampas kerusi Gerakan yang diwakili oleh juga bukan Melayu, setelah calon ISMA perolehi 2,061 undi, berbanding calon DAP menang dengan majoriti 1,156 undi. Pengundi Melayu di Derga adalah seramai 56.85 peratus. 

Di Parlimen Camerons Highlands, sebuah kuat BN,  hampir dimenangi calon Pakatan Rakyat. Calon MIC mewakili BN, cuma menang dengan majoriti 462 undi sahaja, berbanding 3,117 undi dalam PRU12 (PRU 2008). Pakatan diwakili oleh calon DAP dalam PRU13. Calon ISMA perolehi 912 undi, di kawasan 34.17 peratus pengundi Melayu. Jika pengundi Melayu tinggi sebagaimana Alor Star, kemungkinan BN hilang kerusi tradisi ini. 

Di Kajang dalam PRU lepas, calon PKR berjaya mengatasi calon MCA dengan majoriti 6,824 undi dalam persaingan 6 penjuru bersama calon ISMA dan 3 calon bebas. Calon Berjasa yang mewakili ISMA memungut 1,014 undi, berbanding 19,571 (PKR) dan 12,747 (BN yang menurunkan calon MCA). 

Sungguhpun undi calon ISMA kecil berbanding majoriti undi kemenangan, tetapi secara langsung membantu meluaskan jurang kekalahan calon BN di kawasan campuran dengan pengundi Melayu 48.5 peratus, 41 peratus Cina dan 10 peratus India. 

Dalam persaingan calon-calon Cina: PKR dan MCA dalam PRU lepas serta penyertaan ISMA untuk menafikan sokongan Melayu kepada calon Pakatan bukan Melayu, telah meningkatkan kekalahan BN serta lompang perbezaan undi berbanding PRU12. Hakikat di sini, batasan perkauman serta propaganda rasis yang dimainkan oleh BN khususnya UMNO, gagal menarik pengundi. 

Sungguhpun hari penamaan hampir tiba, tidak kedengaran suara ISMA, sebagaimana menjelang PRU tempoh hari. Apakah perkembangan semasa yang memungkinkan Pakatan Rakyat akan menurunkan calon Melayu, ISMA membuatkan ISMA menyepi dan tidak menaruh minat. Ataupun, penglibatan ISMA dalam pilihan raya tidak menguntungkan UMNO dan BN, sebagaimana pengalaman dalam PRU lepas. 

Keputusan PRU lepas bagi kerusi N25 Kajang, yang melibatkan 16 daerah mengundi: 7 majoriti pengundi Melayu, 6 majoriti Cina dan 3 campuran,  PKR mengatasi BN di 14 daerah mengundi. 2 daerah mengundi yang dikuasai BN ialah, kawasan majoriti pengundi Melayu. Manifestasi PRU bagi DUN Kajang ialah kegagalan UMNO/BN dengan agenda kempen serta propaganda rasis, sebagaimana dihebahkan menerusi media arus perdana, sungguhpun 48 peratus pengundi adalah orang Melayu/Islam. 

Tambahan pula jika dibandingkan jumlah perolehan undi seluruh kawasan dalam Parlimen Hulu Langat yang merangkumi kerusi DUN; Kajang, Semenyih dan Dusun Tua. Pas menang kerusi Parlimen Hulu Langat dan DUN Dusun Tua, UMNO menang di Semenyih, dan PKR di Kajang. Dusun Tua dan Semenyih, kawasan majoriti Melayu. Calon Pas bagi kerusi Parlimen perolehi 64,127 undi berbanding jumlah undi 3 calon DUN(Pas dan PKR); 55,503 undi. Calon UMNO/BN bagi kerusi Parlimen ialah 46,860 undi, jumlah undi 3 calon DUN BN; 48,759 undi.   

Seramai 1,899 yang mengundi BN di kerusi DUN tetapi tidak mengundi calon wanita BN di kerusi Parlimen. Jika dilihat berasaskan kaum, kedua-dua calon BN dan Pakatan di semua kerusi adalah dari kaum yang sama, kawasan majoriti Melayu, calon BN Melayu, calon dari gabungan Pakatan pun Melayu, begitu juga di kawasan campuran, kedua-dua calon BN dan wakil Pakatan, adalah Cina. Faktor perubahan undi BN tidak mencerminkan asas perkauman menjadi antara faktor penentuan sikap pengundi membuat keputusan.

Faktor jantina mungkin menjadi faktor perubahan perubahan undi BN, memandangkan jumlah undi yang dipungut calon wanita yang bertanding di kerusi Parlimen berkurangan jumlah terkumpul semua undi calon BN di kerusi DUN. Faktor ini melebarkan kekalahan calon BN di kerusi Parlimen dengan 17,267 undi, berbanding kekalahan BN 4,071 undi di kerusi Dusun Tua, 6,824 undi di Kajang dan menang dengan majoriti 2,757 undi di Semenyih. Tanpa menghitung undi-undi yang diperolehi oleh calon PSM di Semenyih serta calon Berjasa (ISMA) dan calon-calon Bebas di Kajang, sepatutnya BN di kerusi Parlimen cuma kalah di sekitar 8,000 undi sahaja. Ini menggambarkan semua pengundi yang mengundi calon-calon PSM (berbangsa India), Berjasa (ISMA) dan Bebas di kerusi DUN, mengundi calon Pas, calon lelaki di Parlimen. 

Jurang yang jauh antara majoriti kekalahan BN di kerusi Parlimen dengan kerusi-kerusi DUN, tidaklah melibatkan faktor undi rosak. Pengundi yang mengundi calon BN di kerusi DUN tidak merosakkan kertas undi di kerusi Parlimen, tetapi mengundi calon Pas. Undi rosak bagi kerusi Parlimen Hulu Langat cuma 1,335 sahaja atau 1.2 peratus, sementara undi rosak bagi kerusi DUN Kajang adalah 1.6 peratus sahaja atau 541 kertas undi. 

Kesimpulan dari trend pengundian dalam PRU13 lepas memaparkan 2 faktor menarik:

i. Penyertaan calon ISMA yang bertujuan memastikan pengundi Melayu/Islam tidak mengundi calon bukan Melayu dari Pakatan Rakyat, membantu mengurangkan undi BN'

ii. Simpatisan kepada wanita kurang berkesan untuk menarik undi.

Dengan bayangan PKR tidak lagi meletakkan calon Cina dalam PRK nanti, dan akan mencalonkan DS Anwar Ibrahim, sementara BN pula mengekalkan calon Cina dengan meletakkan calon wanita, DP Chew Mei Fun, sudah barang tentu senario amat berbeza dengan pencapaian PRU13. 

Namun begitu, trend pengundian tahun lepas, menampakkan meletakkan calon Melayu akan memberi advantage untuk menarik pengundi ISMA dan faktor calon wanita tidaklah satu nilai tambah, jika diukur kepada pungutan undi calon Parlimen BN. Apakah faktor ketokohan calon, di mana kedua-duanya pemimpin saf depan dalam parti masing-masing akan menenggelamkan kecenderungan pengundian dalam PRU tahun lepas.

 

 

 

 


 

 


Jumaat, 28 Februari 2014

PRK Kajang 1: agenda MCA

MENJELANG PENAMAAN CALON PRK KAJANG: AGENDA UNTUK MCA

Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi N25 Kajang ekoran perletakan jawatan ADUN berkenaan, Lee Chin Cheh dari PKR, bulan lepas. Perletakan jawatan tersebut membuka laluan untuk satu PRK, yang akan diadakan pada 23/03/2014, kiranya berlaku pertandingan ekoran penamaan calon pada 11/03/2014.

Perletakan jawatan ini menghasilkan berbagai tafsiran dan ulasan berbagai pihak, yang menjurus kepada tidak meraikan pilihan rakyat yang belum pun cukup setahun. Terlalu awal bagi seorang wakil rakyat, mengembalikan mandat kepada rakyat dalam tempoh 8 bulan. Namun begitu, tindakan beliau lebih bermoral berbanding dengan rakan-rakannya di Sabah yang melompat parti beberapa bulan selepas dipilih rakyat.

Sunggpuhpun hasrat perletakan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada tokoh lain memasuki DUN, hasil dari tindakan, aktiviti dan penampilan memperlihatkan PKR berhasrat memberi ruang kepada Ketua Umumnya, DS Anwar Ibrahim. Apakah tujuan kemasukan DS Anwar ke dalam DUN, khalayak umum belum dapat kepastian, sama ada untuk membantu kerajaan Pakatan Rakyat yang sedia ada, atau mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Apa pun, sistem demokrasi kepilihanrayaan amalan kita mengizinkan tindakan mengosongkan kerusi untuk memberi ruang pengundi memilih seorang ADUN baru, tanpa menunggu tempoh dewan lagislatif berakhir.

Sebaliknya, BN telah pun secara rasmi mengumumkan calonnya, dengan mengekalkan status quo, kerusi Kajang adalah peruntukan untuk MCA. DP Chew Mei Fun, Naib Presiden MCA adalah pilihan parti. Hasil pengumuman Mei Fun, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bekas Ketua Wanita MCA Pusat, dapatlah dipaparkan 4 perkara untuk jadi perhatian;

1. Media masa mula melancarkan kempen sebelum hari penamaan calon dengan mengingatkan pengundi Kajang memilih rakyat Selangor sebagai wakil rakyat mereka. Perlu dingatkan Anwar dan Mei Fun, dilahir, dibesar dan menerima pendidikan dasar di Pulau Pinang. Kedua-dua anak Pulau Pinang. Bezanya Mei Fun pernah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

2. Justeru sudah dibayangi calon PKR adalah  Anwar Ibrahim, pemimpin utama PKR, sepatutnya MCA menurunkan calon "five stars", Presiden parti. Kepimpinan politik Cina biasa mengamalkan politik berani mati seperti pertembungan Presiden MCA dengan Pengerusi DAP dalam PRU 1982 dan Setiausaha Agung DAP mencabar Presiden Gerakan dalam PRU 1990. Mungkin Presiden MCA, DS Liow Tiang Lai, tidak beralamat tetap dalam negeri Selangor dan Mei Fun, pemimpin MCA paling kanan tinggal di Selangor. Ini lantaran, seseorang calon yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya negeri (DUN) mesti beralamat dalam negeri berkenaan. Tempoh yang panjang antara tarikh kekosongan dengan hari mengundi, seolah-olah menyediakan ruang secukupnya parti yang bakal bertanding mengambil tindakan untuk memenuhi peraturan pilihan raya termasuk alamat tempat tinggal bakal calon.

3. Faktor Mei Fun sebagai calon wanita seolah-olah mengkambinghitamkan beliau demi survival sebuah parti politik yang alami prestasi buruk dalam PRU lepas. Satu cubaan kurang berani meletakkan wanita untuk menentang seorang tokoh besar. Apakah pencalonan Mei Fun, sebagai ulangan pilihan raya kecil parlimen Seremban 1983, di mana MCA tidak yakin akan pertahan kerusi, meletakkan calon wanita menentang Pengerusi dan pengasas DAP, Dr Chen Man Hin. Apakah pencalonan Mei Fun sebuah lakonan semula episod 30 tahun lalu.

Mungkin dari perhitungan politik, rekod Mei Fun dengan prinsip moralnya pada 08/04/2010, meletakkan semua jawatan dalam kerajaan dan politik, mengotakan janjinya hasil pemilihan DS Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA, diambil kira dalam pertarungan Kajang kali ini. Kecekalan dan aspirasi pragmatisme politik Mei Fun menjadi sandaran dalam saingan "all stars" nanti.

Namun begitu, jawatan Mei Fun sebagai mantan timbalan menteri tidak harus diraikan seistimewanya. Ini lantaran, jawatan menerusi senatorship, tidak memberikan harga mahal di pasaran politik. Sewajarnya lantikan orang politik ke jawatan pentadbiran  perlu atas nama "elected representative", kecuali mereka yang diangkat dari bidang lain. 

Mampukah simpatisan sebagai calon wanita, dan berkorban demi prinsip, menarik sokongan untuk Mei Fun, setelah undi BN menerusi MCA, merosot peratusannya dalam dua PRU terakhir.

4. Mesyuarat Agung Khas MCA pada 23/02/2014 lepas, mengambil keputusan suara majoriti, parti kembali menyertai kerajaan di semua peringkat. Satu keputusan tanpa menempuhi gelombang, seolah-olah menarik balik tindakan yang tidak menguntungkan. Samalah tindakan sama diambil setelah kemerosotan prestasi MCA dalam PRU 1969. Tindakan yang tidak sensasi, bagi sebuah parti yang tunjangnya kapitalisme. Asas penubuhannya, himpunan kaum pemodal, menerusi Dewan Perniagaan Cina. Mana tahan ujian dan lasak, kalau asas perjuangan demi perut dan poket. Justeru itu, apakah nasib MCA, seandainya pengundi masih menolak MCA dalam PRK Kajang.

Keputusan MCA mengambil harga yang mahal dan risiko tinggi mengadakan EGM untuk dapatkan mandat berlembut, menyertai semula kerajaan setelah merajuk, sebelum PRK Kajang, seolah PRK Kajang satu episod terancang dari MCA, demi masa depannya, bukan PKR yang merangka pentas.

Dalam PRU 2008, calon PKR, Lee Kim Sin merampas kerusi MCA ini dengan majoriti 3,268 undi mengalahkan calon MCA, bila beliau perolehi 13,220 undi atau 57.04 peratus dari jumlaj undi sah. Calon MCA, Law Loe Long cuma dapat 9,952 undi atau 42.94 peratus. 

Sementara dalam PRU 2013, calon PKR, Lee Chin Cheh, memungut 19,571 undi atau 57.98 peratus, untuk mengalahkan 5 calon lain dengan majoriti meningkat, 6,824 undi. Calon MCA yang mewakili BN, hanya perolehi 37.77 peratus undi sahaja.

PRK Kajang sebenarnya untuk menilai peranan, imej dan keterlibatan  MCA menerusi BN. Mengutarakan Mei Fun dalam persaingan "all stars"  bersama DS Anwar Ibrahim, dan kemungkinan Dato' Zaid Ibrahim (Pengasas & Presiden parti KITA) dan Dato' S. Nallakaruppan (Pengasas & Presiden, Malaysian United Indians Party), menjadikan PRK ini satu catatan isitmewa dalam diari demokrasi kepilihanrayaan tanah air kita. Keempat-empat "Dato'" ini asalnya sama-sama berkubang dan bergelumang dalam lopak BN satu masa dulu.


 


 







Sabtu, 22 Februari 2014

Kassim Ahmad

KASSIM AHMAD DENGAN ANTI HADITHNYA

Cetusan kontroversi Dr Kassim Ahmad hasil sebuah wacana ilmu minggu lepas; mengaitkan istilah serta konsep ulamak dengan struktur kelas dalam kepadrian serta kepimpinan geraja dan aurat rambut wanita. Kassim, bukan sahaja satu watak yang mencipta nama sebagai pemikir tamadun, juga pengkritik sastera dan tokoh politik satu masa dahulu.

Peringkat awalnya sebagai sasterawan. Hasil penanya yang popular, puisi  "Sidang Roh" dan "Kemarau Di Lembah", yang popular dalam tahun 1960an. Kritikan sosial menerusi lontaran dalam bentuk hasil sastera mempertontonkan aliran pemikirannya dianggap sebagai anti-establishment, immoral dan non-protocol. 

Aliran pembawaannya mendekati perjuangan menegakkan keadilan dan kemanusiaan menerusi Partai Rakyat Malaya (kemudiannya ditukar kepada Partai Sosialis Rakyat Malaya). Mengambil alih kepimpinan parti dalam tahun 1967, bersama Datuk Kampo Radjo (bekas ADUN UMNO) bila pengasasnya Ahmad Boestamam meninggalkan parti, lantaran asakan darah baru dalam parti,

Apabila Pas menyertai penubuhan Barisan Nasional dalam tahun 1974, meninggalkan 'vaccum' pembangkang Melayu mewakili suara masyarakat desa, PSRM mengisi ruang ini. Dalam Pilihan Raya Umum 1974, PSRM menjadi pencabar BN, kecuali Kelantan. Di Kelantan, BN ditentang oleh gabungan calon-calon bebas yang dikenali "Barisan Bebas Bersatu". Calon-calon bebas yang terdiri dari penyokong Pas yang tidak setuju penyertaan Pas dalam BN, bertanding atas satu platform yang sama. Mereka menggunakan lambang yang sama; lambang bas. 

Di Terengganu, BN ditentang calon-calon PSRM, satu lawan satu di semua kerusi sama ada kerusi DUN atau Parlimen, kecuali beberapa kawasan melibatkan sama calon-calon bebas. Pemimpin-pemimpin utama PSRM; Datuk Kampo Radjo, Kassim Ahmad, Satar Haji Dahan dan Siti Noor Hamid Tuah bertandang ke Terengganu dan bertanding. 

Ayat akhir di rangkap terakhir sajak Kassim "Sidang Roh";  dan Tuhan sudah mati., menjadi senjata utama oleh pihak BN dalam kempennya  dengan ditumpukan kepada masyarakat luar bandar Terengganu. Mempersoalkan akidah dan kepercayaan agama Kassim selaku pemimpin PSRM. Media arus perdana, sudah pun main peranan membantu BN sejak tahun 1970an lagi. Rangkap "dan Tuhan sudah mati", amat popular dalam kempen PRU 1974. Pertarungan yang paling sengit dalam PRU 1974 ialah Terengganu. Serangan ke atas PSRM difokuskan kepada Kassim dan sajaknya.

Tahun 1976, perebutan kuasa dalam UMNO selepas kematian Tun Razak, memperlihatkan tindakan balas dendam ke atas musuh-musuh politik kepimpinan baru pasca Tun Razak. Pada 03/11/1976, 2 orang Timbalan Menteri dari UMNO, Dato' Abdullah Ahmad dan Dato' Abdullah Abdul Majid ditahan di bawah ISA. 4 orang pemimpin politik dari parti lain dikambinghitamkan dan ditahan bersama: Lim Kean Sen (MCA), Chin Heng Kai dan Chan Kok Chit (DAP) dan Kassim Ahmad (PSRM).  Sebelumnya, 22/06/1976, wartawan A.Samad Ismail dan Samani Mohd Amin ditahan di bawah ISA. Berikutnya, seorang ADUN Sarawak dari SUPP, Anthony Teo juga diISAkan. 

Dalam bulan Mei 1977, kedua-dua Abdullah buat pengakuan di kaca tv;  terlibat dengan kegiatan subversif. Ahli MCA mengaku tapi tidak mahu buat pengakuan menerusi tv. Ahli DAP dan Kassim tidak mengaku. Selepas buat pengakuan, pada 21/05/1977, kedua-dua Abdullah dipecat dari UMNO. Mereka terus ditahan.

Selepas dibebaskan dalam tahun 1981, Kassim meninggalkan PSRM dan menyertai UMNO, dalam tahun 1984. Penyertaan Kassim ke dalam UMNO diterima, sebagai satu agenda mengimbangi kemasukan Anwar Ibrahim, beberapa hari menjelang PRU 1982. Dalam perhimpunan agung UMNO 1984, Anwar memenangi kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan dilantik menteri penuh. Penerapan nilai-nilai Islam sedang berjalan, didokongi pula oleh young bloods yang dibawa bersama Anwar, yang sudah menjadi satu ancaman baru dalam kepimpinan UMNO. 

Semasa dalam UMNO, Kassim melontarkan anti-hadithnya. Justeru beliau sudah berada di dalam UMNO, beliau terlindung dan terpelihara. Secara langsung tidaklah dilihat sebagai satu bentuk ancaman. Ianya disimpulkan sebagai percambahan ilmu untuk dikongsi. Kemuraman doktrin sosialisme universal banyak membantu Kassim menukar pengkalan baru menerusi parti Islam nombor tiga terbesar dalam dunia (idea mantan Setiausaha Agung UMNO, TS Sanusi Junid).

Ruang dan peluang yang digunakan oleh Kassim menerusi platform siasah, yang merupakan tunjang parti pemerintah, adalah satu elemen popular dan tidak dicabar. Secara langsung mewakili suara dan budaya khalayak pendokongnya. Apakah bila Kassim berada dalam wadah baru, bersama kelompok penguasa, terampun dosa mengungkap "dan Tuhan sudah mati", walaupun ianya sebuah nukilan kreatif yang ditafsirkan mengikut kepentingan yang berbeza.

 

Sabtu, 15 Februari 2014

Ulasan buku: Pas & Pilihanraya

ULASAN BUKU: PAS & PILIHANRAYA

Terima kasih buat Sdr Mohd Hasbie Muda yang menghadiahkan saya buku terbarunya; Pas & Pilihanraya. Usaha beliau menghasilkan sebuah analisa pencapaian Pas dalam demokrasi pilihan raya, bermula pilihan raya pertama 1955 hingga kini, bolehlah dibanggakan.

Buku setebal 163 halaman termasuk rujukan dan lampiran ini yang dipersembahkan dalam bentuk analisis fakta memerlukan pandangan pembaca secara ikhlas demi kesuburan ilmu. 

Dalam Bab 1, Sdr Hasbie memperkenalkan Pas, dari sudut sejarah, kepimpinan dan penyertaan politik kepilihanrayaan. Olahannya yang mudah difahami amat sesuai untuk tatapan masyarakat awam, menjadikannya sebuah hasil karya dalam linkungan bacaan umum, tidak diberatkan kepada liputan akademik. 

Bab 2 merumuskan pencapaian Pas di peringkat parlimen, sementara Bab 3 difokuskan kepada pencapaian di peringkat negeri. Suka saya menurunkan beberapa kesilapan fakta dalam kedua-dua bab ini, yang boleh menjejaskan kemurnian ilmu serta tanggapan khalayak pembaca yang mencintai percambahan idea.

Di halam 17, beliau mengaitkan Ahmad Boestamam dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Sejarah mencatatkan Ahmad Boestamam adalah Ketua Umum Partai Rakyat Malaya semenjak penubuhan dalam tahun 1955. Bila beliau keluar tahanan ISA, 1967, setelah ditahan semenjak 1964, beliau keluar parti kerana pertentangan pendapat dengan young turks dalam parti dan digantikan oleh Kassim Ahmad. Partai Rakyat di bawah kepimpinan Kassim mengubah ideologi parti kepada sosialisme saintifik, asas penubuhannya oleh Boestamam adalah ideologi marhaenisme. Boestaman ke luar negara melanjutkan pelajaran dan pulang dalam tahun 1969 menubuhkan Partai Marhaen Malaysia. Kassim keluar PSRM, kemudian sertai UMNO, diambilalih oleh Dr Syed Husin Ali, dalam tahun 1984. Dalam tahun 1990, perkataan "sosialisme" digugurkan dari nama parti dan kembali sebagai Partai Rakyat, dan perkataan "Malaya" ditukar kepada "Malaysia", 

Kemenangan cemerlang Perikatan serta kemerosotan Pas dan parti pembangkang lain dalam PRU 1964, di samping faktor penahanan pemimpin pembangkang, faktor lompat parti di kalangan wakil rakyat Pas, yang menjatuhkan kerajaan Pas Terengganu (1961) memberi kesan sokongan dalam PRU berkenaan, di samping keluar parti pemimpin tertinggi parti, Setiausaha Agung Pas dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Othman Abdullah. Tahanan ISA ke atas Yang Dipertua (YDP), Dr Burhanuddin Mohd Noor (Ahli Parlimen Besut), Naib YDP, Raja Abu Hanifah (Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu), Ustaz Nik Abdullah Arshad (ADUN Kota Bharu Pantai), Saufi Idris (ADUN Kota Bharu Timur) dan Tuanguru Haji Hassan (ADUN Tendong), membantu menjejaskan prestasi Pas. Faktor yang paling dominan, saya kira adalah faktor mandat kepada kerajaan Perikatan yang mengetuai kerajaan baru dibentuk; Malaysia, dan faktor keselamatan negara ekoran ancaman konfrantasi. Kedua-dua faktor terakhir ini, lebih memihak kepada Perikatan.

Ulasan mengenai prestasi Pas dalam PRU 1969, faktor persefahaman pilihan raya untuk mengelakkan perpecahan undi di kalangan parti pembangkang sebagaimana dua PRU sebelumnya, hanya beri impaks di luar Kelantan. Kes lompat parti di kalangan ADUN dan cubaan undi tak percaya, 1968, sedikit sebanyak ada kesan sokongan kepada Pas. Secara langsung menunjukkan krisis dalaman di Kelantan.

Di muka surat 29,  SNAP hanya menang 9 kerusi parlimen dalam PRU 1974, bukan 13 kerusi. 

Sdr Hasbie menganalis hasil pencapaian Pas dalam PRU 1986 di halaman 35 hingga 37, yang merumuskan pencapaian terburuk Pas dalam sejarah demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia. Secara peribadi, saya melihat berdasarkan pemerhatian sebelum dan semasa PRU berkenaan dijangkakan prestasi Pas akan lebih baik berbanding PRU 1982. Kerjasama pilihan raya Pas dengan parti-parti kecil yang tidak berpengaruh, kegagalan menarik undi Cina, walaupun dari segi undi popular Pas bertambah baik tetapi gagal menambah kerusi. Kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya, 1983, yang digunapakai dalam PRU ini memberi kesan yang besar kepada Barisan Nasional.

Sdr Hasbie melihat kejayaan cemerlang hasil kerjasama Pas dengan Parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam PRU 1990, hanya di Pantai Timur sahaja. Undi APU menerusi Pas atau Semangat 46, terutama di sebelah utara; Kedah, Perlis dan Perak, tidak memberangsangkan, malah di setengah kawasan undi calon Pas dan calon Semangat 46, lebih rendah berbanding perolehan calon Pas yang bertanding di kawasan sama dalam PRU 1986. 

Di halaman 39, dalam PRU 1995, Semangat 46 hanya menang 6 kerusi parlimen sahaja bukan 8 kerusi, bila gagal pertahan kerusi Kuala Terengganu dan Peringat (dulunya Kok Lanas).

Halaman 40 hingga 41 mengetengahkan kejayaan besar Pas dalam PRU 1999, menerusi kerjasama dalam Barisan Alternatif, dengan faktor utama; ayungan tinggi pengundi Melayu dari BN ke Pas dan Parti Keadilan Nasional (KeADILan). Sebaliknya, undi Cina bersama BN, dan menyaksikan pencapaian DAP paling rendah, kesan kerajaan Persekutuan memenuhi beberapa tuntutan komuniti Cina. Kerajaan BN terdesak  melayani tuntutan kaum itu menerusi MCA, di atas sokongan masyarakat Cina kepada BN, setelah pengundi Melayu menolak BN untuk membantu menubuhkan sebuah kerajaan di Kelantan (1990). 

Sdr Hasbie tidak mengambil faktor persempadanan kawasan pilihan raya 2003 yang menfokus kepada mewujudkan lebih banyak kawasan campuran, kerana pengalaman PRU 1990, PRU 1995 dan PRU 1999, menyaksikan BN tidak boleh lagi bergantung kepada pengundi Melayu dan luar bandar, sunggupun UMNO itu kampungan sifatnya. Justeru pengundi Melayu kembali ke pangkuan BN, sementara pengundi bukan Melayu mengekalkan sokongan, memberikan kemenangan besar kepada BN dan Pas hilang banyak kerusi dan sebuah kerajaan negeri. PRU 2008, bentuk persempadanan kawasan pilihan raya 2003, memberi kesan buruk kepada BN bila pengundi bukan Melayu berubah angin.

Di halaman 59, dalam PRU 1986, calon Pas yang menang di kerusi Langgar ialah Sheikh Muhammad Abdullah, menewaskan Cikgu Saad Yasin, mewakili BN. Saad adalah ADUN kawasan berkenaan yang menang menerusi tiket Pas dalam PRU 1982. Beliau dikenakan tindakan tatatertib dan dipecat dari Pas, dan kemudian masuk UMNO.

Analisis beliau mengenai pencapaian Pas di Terengganu, di halaman 67 hingga 70 mencatat 3 kesilapan maklumat. ADUN Batu Buruk 1969-1974 ialah Ismail Mat Daud, bukan Mat Yasin Daud.

Dalam PRU 1990, Pas menang 8 kerusi, bukan 7. Sdr Hasbie tidak menyebut kemenangan Pas di kerusi Bukit Payong menerusi Ustaz Baharuddin Mohamad. Baharuddin menjadi ADUN untuk tempoh 1 tahun 5 bulan kerana terlibat dengan petisyen pilihan raya yang membawa kepada pilihan raya kecil pada 21.04.1992. Beliau kalah dalam PRK dengan 389 undi kepada calon BN, yang ditewaskannya dengan 17 undi dalam PRU 1990.

Dalam PRU 1995, Pas cuma pertahan 4 kerusi; Wakaf Mempelam, Manir, Batu Buruk dan Rhu Rendang, dan hilang 4 kerusi: Bandar, Jerteh, Jabi dan Bukit Payong. Berjaya tambah 3 kerusi; Tepoh, Telok Pasu dan Alor Limbat. Dalam PRU 1995, Pas menang 7 kerusi negeri bukan 5 sebagaimana catatan Sdr Hasbie. Kerusi Alor Limbat yang dimenangi menerusi Yahya Ali, tidak tersenarai.

Di halaman 74, salah satu kerusi yang dimenangi Pas dalam PRU 1974 menerusi BN ialah Lubok Merbau bukan Gunong Kerbau, oleh Mohamed Junid (adik ipar Dato' Mohd Asri).

Di muka surat 77, calon Pas yang memeangi kerusi Tahan dalam PRU 1999 ialah Abdul Malik Yusoff, bukan Abdul Halim Yunan. Arwah Abdul Malik adalah mantan Setiausaha Pas Pahang.

Lampiran yang disertakan di muka surat 120 - 145, lebih elok disertakan sepenuhnya calon-calon Pas yang menang dalam pilihan raya parlimen dan negeri 1955-2013. Ketiadaan senarai bagi negeri Kelantan dan Terengganu bagi beberapa PRU, tidak melengkapkan buku untuk dijadikan sebuah bahan rujukan bagi pengulas, penggemar dan pemerhati politik. Di samping itu beberapa kesilapan fakta yang boleh memberikan reputasi yang negatif, contohnya Dato' Asri dicatatkan menang dengan majoriti 1,405 undi di kerusi parlimen Pasir Puteh dalam PRU 1959, yang sebetulnya 5,654 undi. Tiada calon parlimen Pas menang kurang dari 3,000 undi di Kelantan, masa itu.   

Cikgu Hashim Gera menang kerusi parlimen Parit dengan majoriti 505 undi, untuk mengalahkan Setiausaha Agung UMNO, Dato' Hussien Mohd Nordin. Sungguhpun Cikgu Hashim, kemudiannya dikenakan tindakan tatatertib dan dipecat dari Pas, kejayaannya tersebut perlu dihormati.

Syabas di atas kesungguhan dan komitmen Sdr Hasbie mengusahakan penerbitan ini, demi memeriahkan dunia ilmu yang memerlukan kepada ketepatan fakta, butiran yang bertanggungjawab dan kupasan yang adil. Semoga buku ini boleh dijadikan bahan rujukan yang amat berguna untuk semua pihak.