Isnin, 12 Disember 2016

Kebencian UMNO kepada Pas

KEBENCIAN UMNO KEPADA PAS MEMBERI MANFAAT KEPADA DAP

Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya atas nama menjalankan kuasa eksekutif, yang sebenarnya kerja-kerja tidak langsung legislatif menguasai eksekutif, lebih bersifat penekanan kepada usaha memihak kepada arahan parti pemerintah. Manakah tidak, dalam kajian persempadanan semula bahagian pilihan raya 2003, tidak menambahkan kerusi Parlimen di negeri-negeri Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu, kecuali tambahan dua kerusi DUN di Kelantan. Kesan jelas ialah peralihan sokongan yang begitu tinggi di kawasan Melayu dari Barisan Nasional kepada Pas atau KeADILan dalam pilihan raya umum 1999. Tindakan persempadanan ini adalah lebih merupakan satu tindakan "deraan" kerana ada cubaan meninggalkan BN. 

Kesan dari persempadanan semula kawasan yang lebih tumpuan kepada mengwujudkan lebih banyak kawasan campuran, kerana BN serik dalam penggantungan undi kepada kawasan majoriti Melayu, yang diamalkan sejak pembentukan BN, 1974. BN mengharapkan pergantungan berimbangan kepada pemilih Melayu dan bukan Melayu, khususnya di negeri-negeri Tanah Melayu (Semenanjung). Pendekatan ini memberikan kejayaan cemerlang kepada BN dalam PRU11 (PRU 2004), bila persempadanan baru digunakan. Sebaliknya dalam PRU12 (PRU 2008), BN terima padah, bila kepergantungan tersebut bertukar arah, memberikan pengalaman pahit buat BN, beberapa kerajaan negeri gagal dipertahankan dan gagal dapat suara majoriti dua pertiga di Parlimen.

Jumlah pemilih dari daftar pemilih induk (DPI) Suku 2, 2016, daftar rasmi keluaran SPR terakhir diwartakan, di negeri-negeri Tanah Melayu berjumlah 11,354,243 orang (Notis Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya, SPR, 15/09/2016). Dibahagi jumlah pemilih dengan 165 bahagian pilihan raya Persekutuan puratanya 68,813 pemilih setiap kerusi Parlimen.  

Angka purata jumlah pemilih bagi setiap kawasan pilihan raya Parlimen; 68,813 adalah secara keseluruhan tanpa memisahkan kawasan bandar dan luar bandar. Perbezaan ketara dari segi keluasan kawasan, bentuk fizikal muka bumi dan kemudahan asas, menjadi asas dalam pembentukan sesebuah kawasan pilihan raya di Malaysia. Perbezaan saiz pemilih dan keluasan kawasan membentuk perbezaan ketara jumlah pemilih sesebuah kawasan pilihan raya. Wajaran desa-bandar menjadi asas penentuan perbezaan saiz pemilih dan keluasan kawasan.

Panduan kasar meletakkan wajaran desa-bandar ialah perbezaan angka 20% dari purata.  Kawasan bersifat luar bandar dengan perbezaan 20% ini memberikan purata pemilihnya ialah 55,000; pengurangan 20% dari purata nasional. Sementara kawasan bandar yang lebih kecil keluasan kawasan, kepadatan penduduk yang lebih tinggi serta kemudahan asas yang lebih lengkap, ialah tambahan 20% kepada purata nasional iaitu 82,500. 

Berdasarkan saiz pemilih semasa (DPI  Suku 2, 2016), Terengganu dengan 669,546 pemilih da 8 bahagian pilihan raya Persekutuan, jika purata pemilih bagi kawasan luar bandar 55,000 orang, Terengganu sepatutnya mendapat 12 bahagian pilihan raya Persekutuan. Kedah, seramai 1,044,444 pemilih dengan 15 bahagian pilihan raya Persekutuan kini, sepatutnya mempunyai 18 bahagian atau kawasan Parlimen. Kelantan, yang mempunyai 940,591 pemilih dengan 14 kawasan Parlimen sekarang, sepatutnya memiliki 17 bahagian pilihan raya Parlimen. Atas perkiraan ini, ulasan pasca persempadanan semula 2003 menyebut kawasan majoriti Melayu iaitu negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu, sepatutnya ditambah 10 kawasan Parlimen baru.

Mengambil kira purata 82,500 pemilih bagi kawasan bandar, sepatutnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan bilangan pemilih seramai 788,413 semasa yang diwakili oleh 11 kerusi Parlimen, sepatutnya hanya 9 kerusi sahaja. Pulau Pinang, 867,748 pemilih dengan 13 kerusi Parlimen, sepatutnya layak mendapat 10 kerusi sahaja. 

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu (101,875 pemilih), Marang (90,157 pemilih), Kuala Nerus (75,945) dan Hulu Terengganu (70,956) disempadankan semula, layak diperuntukkan tambahan 2 kerusi baru untuk Parlimen jika wajaran saiz pengundi luar bandar diambil kira. Dalam PRU13, Pas menang Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus, sementara Hulu Terengganu, juga pernah dimenangi Pas.  Kawasan Parlimen Dungun (82,492) dan Kemaman (98,352) memiliki jumlah pemilih terlalu besar sebagai kawasan luar bandar, yang sepatutnya boleh dibentuk satu kawasan baru, mengambil sebahagian Dungun dan sebahagian Kemaman. Kawasan Parlimen Dungun, beberapa kali dimenangi Pas sejak PRU pertama selepas merdeka.

Kawasan Parlimen Tumpat (101,318 pemilih), dan Pasir Mas (65,993) boleh dibentuk satu kawasan baru bahagian pilihan raya Parlimen. Tumpat dan Pasir Mas dimenangi Pas sejak sekian lama. Kawasan Parlimen Ketereh, mengikut sempadan disyorkan SPR dalam kajian sedang berlangsung, 56,322 pemilih. Sesuai sebagai kawasan luar bandar, menepati wajaran saiz purata pemilih kawasan luar bandar. Kawasan Parlimen berjiran, Bachok (83,139 pemilih) dan Pasir Puteh (78,280) yang mempunyai kemudahan asas dan bentuk geografi yang sama sepatutnya dibentuk sebuah kawasan Parlimen baru, agar saiz pengundi seimbang dan setara dengan Ketereh, sekitar 50,000 pemilih setiap kawasan. Bachok dan Pasir Puteh dimenangi Pas dalam PRU13. 

Situasi sama boleh disetarakan saiz pemilih mengikut wajaran kawasan di Kedah. Parlimen Baling, sebuah kawasan luar bandar, yang sering bertukar tangan Pas dan BN, mempunyai 94,809 pemilih. Mengambil sebahagian dari kawasan Parlimen Padang Serai, boleh wujudkan satu kawasan baru. Begitu juga, Kuala Kedah, sebuah kawasan luar bandar dengan 91,478 pemilih, dengan sedikit perpindahan pengundi dari Parlimen Jerai, boleh bentuk satu kawasan baru. Kuala Kedah dan Jerai, pernah dimenangi Pas. 

Berbanding beberapa kerusi dimenangi DAP, kawasan Parlimen bandar yang mana bilangan pemilihnya lebih kecil berbanding kawasan luar bandar yang menjadi saingan Pas-UMNO. Kerusi Parlimen Tanjung, Bukit Bendera dan Jelutong yang merupakan kubu kuat DAP, tetapi pengundinya antara 50,000 hingga 70,000 sahaja, boleh disempadankan semula menjadi 2 kerusi sahaja. Kerusi Parlimen Bagan dan Batu Kawan lebih kecil saiz pemilihnya berbanding Baling atau Tumpat, sepatutnya Bagan, Batu Kawan dan Bukit Mertajam, kawasan berjiran, hanya layak dibentuk 2 kawasan Parlimen sahaja. Ketiga-tiga kerusi Parlimen ini milik DAP. 

Kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun ini, buat pertama kalinya tiada pertambahan kawasan atau kerusi baru. Menanglah, untuk menambah kawasan baru atau  tambahan kerusi memerlukan sokongan dua pertiga kerana ianya melibatkan pindaan Perlembagaan. SPR sepatutnya susun semula dengan menambah bilangan kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana saiz pengundi yang besar bagi setengah kawasan yang tak selaras dengan wajaran luar bandar dan mengurangkan atau memansuhkan beberapa kerusi kawasan bandar yang bilangan pengundinya tidak sepadan dengan wajaran kawasan bandar. 

Menambah 10 kerusi baru di Kelantan, Terengganu dan Kedah, adalah menambah kerusi majoriti Melayu, serentak dengan itu mengurangkan 10 kerusi tak sepadan dengan wajaran kawasan bandar  di Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Persempadanan semula ini secara langsung memberi ruang kepada parti luar bandar khasnya Pas dan mengurangkan peluang parti bandar khususnya DAP. Tetapi persempadanan kali ini lebih kepada pindahan kecil dalam sesuatu kawasan atau constituency untuk memberi keselesaan kepada parti pemerintah khususnya UMNO untuk PRU akan datang. Nampak sangat kerja buat UMNO menerusi jentera eksekutif, SPR, menyekat peluang Pas menandingi UMNO, yang secara langsung tidak mengganggu kawasan yang dikuasai DAP.

Kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Great Britain dalam tahun 2010, tidak melibatkan pertambahan kerusi yang secara langsung tidak perlu meminda Perlembangaan. Apa yang dilaksanakan ialah membentuk kerusi baru dan memansuhkan  beberapa kerusi sedia ada, demi menyelaras setaraan saiz pengundi antara bahagian pilihan raya (constituency).  

 
  

Jumaat, 9 Disember 2016

UMNO bantu DAP

UMNO PATUT DIPERSALAHKAN MENJADIKAN DAP LEBIH BERKUASA

Antara isu utama tarikan  perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu lepas ialah keakuran DAP sebagai cabaran utama UMNO. Bersemangat perwakilan mengecam pihak-pihak yang bersongkol dengan DAP, terutamanya orang Melayu. Kesimpulannya, PAU dijadikan medan amaran dan ancaman pengaruh DAP yang boleh menjadi alternatif kepada UMNO, menguasai politik negara. 

Sebagai parti kedua terbesar di Parlimen, wajar DAP menjadi alternatif kepada UMNO, pilihan kepada pemilih menentukan kerajaan masa depan. Perwakilan PAU mempersalahkan semua pihak, sama ada orang Melayu atau bukan Melayu, seandainya kuasa pemerintahan beralih dari tangan UMNO. Takut sungguh UMNO kepada DAP, dengan gambaran Melayu lawan Cina. Begitu dramatik sekali lakonan rasis dapat disaksikan menerusi PUA tahun ini. 

Sama ada DAP akan melebarkan pengaruh dan terus menjadi parti dominan, terletak di tangan UMNO. UMNO sebagai parti tulang belakang kerajaan Persekutuan memainkan peranan parti menguasai kerajaan, legislatif menguasai eksekutif. Pencabulan kuasa legislatif ke atas kuasa eksekutif sudah lama berjalan, demi memperkukuhkan parti mempertahankan kuasa. Dah jadi kelaziman, keputusan eksekutif mesti restu dari parti pemerintah.  Kenaikan pangkat, pertukaran tempat bertugas, pengisian jawatan tertentu, perlantikan dan sempamanya dalam jentera kerajaan dicampurtangan oleh parti pemerintah yang dikepalai UMNO. 

Tugasan menyusun atur syor persempadanan kawasan pilihan raya, walaupun kerja eksekutif, tetapi atas arahan dalam bentuk nasihat dari parti berbagai peringkat. Sungguhpun kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan raya satu tugasan routine Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh tertentu, tetapi tugasan ini secara langsung menentukan kuasa pemerintahan. Berkaitan dengan itu, tugasan SPR ini, dilihat lebih cenderung mempastikan parti yang berkuasa mengekalkan kuasa menguasai kerajaan dalam pilihan raya umum, jika dilihat kepada rekod dan kesan setiap kali berlaku persempadanan semula memberi manfaat yang memihak kepada parti yang berkuasa. 

Oleh itu, kejayaan DAP menguasai bahagian besar kerusi dalam kawasan tertentu, berkaitan secara langsung dengan tindakan UMNO. Seolah-olah UMNO membantu DAP menjadi parti dominan selepas UMNO, secara langsung mempastikan parti-parti Melayu tidak mampu menandingi UMNO. Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Tumpat atau kerusi Parlimen Tumpat yang dimenangi Pas sejak 6 Pilihan Raya Umum (PRU), mempunyai seramai 101,318 pemilih mengikut rang daftar pemilih induk (DPI) yang disahkan sehingga 30 September 2016. DPI ini adalah yang yang terbaru diwartakan. Sementara Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Tanjong yang dimenangi DAP sekian lama, hanya mempunyai 50,324 pemilih. Kalau ikut wajaran perbandingan dengan Parlimen Tanjong, Parlimen Tumpat sepatutnya dipecahkan kepada dua bahagian pilihan raya Parlimen, yang boleh memberikan Pas, satu kerusi tambahan untuk Parlimen, dengan kemenangan majoriti besar, lebih 10,000 undi dalam PRU13. 

Kerusi Parlimen Bukit Bendera dengan 71,767 pemilih (DPI terbaru), Parlimen Tanjong (50,324 pemilih) dan Jelutong (72,772 pemilih), kawasan berjiran dan merupakan kubu tradisi DAP, yang memberikan 3 kerusi Parlimen untuk DAP, yang sepatutnya boleh digabungkan menjadi dua bahagian pilihan raya Persekutuan sahaja, untuk dua kerusi bagi DAP. 

Perbandingan antara kerusi Parlimen Tumpat dengan lebih 100,000 pemilih, sebuah kawasan luar bandar, dengan Tanjong, Bukit Bendera atau Jelutong, kawasan bandar, adalah jelas memperlihatkan kelebihan kerusi untuk DAP mengatasi Pas, adalah angkara UMNO yang berselindung di sebalik tugasan SPR. 

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu (101,875 pemilih) dan Marang (90,157 pemilih) yang dimenangi Pas, kawasan campuran bandar, pinggir bandar dan luar bandar, jauh lebih tinggi bilangan pemilihnya berbanding dengan kerusi bandar yang dimenangi DAP. Kepong (70,576 pemilih dimenangi DAP) dan Batu (77,760 pemilih dimenangi PKR), sepatutnya boleh digabungkan menjadi satu bahagian pilihan raya saja, jika dibanding kewajaran bandingan jumlah pemilih Kuala Terengganu (bandar dan pinggir bandar) dan Marang (campuran pinggir bandar dan luar  bandar). 

Tiadanya penambahan kerusi luar bandar dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya, menjadikan kerusi Parlimen luar bandar yang menjadi saingan sengit UMNO dan Pas mempunyai bilangan pemilih lebih tinggi berbanding kerusi Parlimen bandar yang memberikan lalulan mudah kepada DAP. 

Tiadanya pertambahan kerusi atau bahagian pilihan raya dalam persempadanan tahun 2003 dan tahun ini, di negeri-negeri majoriti penduduk Melayu dan bersifat luar bandar; Kelantan, Terengganu dan Kedah, memaparkan sekatan peluang suara Melayu dalam Parlimen. Oleh kerana UMNO lebih mengutamakan survival politiknya dalam menyaingi Pas, sebagai mewakili suara Melayu, membiarkan kawasan majoriti Melayu dipinggirkan kerana UMNO lebih mengutamakan kawasan campuran dan bandar, yang bukan saingan UMNO. 

Kerusi Parlimen yang dimenangi Pas atau saingan sengit UMNO-Pas selain Kuala Terengganu, Tumpat dan Marang, Pokok Sena (78,998 pemilih), Kuala Kedah (91,478 pemilih), Pendang (70,697 pemilih), Jerai (74,078 pemilih), Baling (94,809 pemilih), Kuala Krai (72,772 pemilih), Bachok (83,139 pemilih), Pasir Puteh (78,280 pemilih) dan Kota Bharu (83,975 pemilih), lebih besar pemilihnya berbanding kerusi yang dimenangi DAP. Kerusi Parlimen Batu Kawan (59,144 pemilih), Bagan (69,389 pemilih), Kampar (66,579 pemilih), Teluk Intan (61,753 pemilih) dan Raub (53,698 pemilih). Semua data pemilih adalah berdasarkan DPI Suku 2, 2016 yang digunakan dalam syor persempadanan bahagian pilihan raya sekarang. 

Sepatutnya bahagian pilihan raya di kawasan  bandar  lebih besar bilangan pemilih berbanding dengan kawasan luar bandar. Agak jelas tak usah mempersalahkan pengundi yang memilih DAP di kawasan bandar dan pinggir bandar menjadikan DAP parti dominan kedua terbesar di Parlimen. UMNO sebagai tulang belakang penguasa di Putrajaya harus mempersalahkan diri sendiri mengapa tidak memperbanyakkan kerusi Parlimen di atas prinsip rural-urban waitage (wajaran desa-bandar) dalam mempertimbangkan pembentukan sesuatu kawasan pilihan raya.