Selasa, 28 April 2015

PRK Rompin 2

MEMPERTAHANKAN STATUS QUO DALAM KEMELUT KRISIS KEYAKINAN

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin bakal diadakan minggu hadapan ditunggu dengan beberapa kemungkinan yang memberikan kesan jangka pendek kepada kedua-dua parti yang bertanding. Kebiasaaannya isu nasional lebih mendominasi isu tempatan dalam PRK, walaupun ianya berfokus kepada satu kawasan atau bahagian pilihan raya. Bacaan awal perletakan calon BN menampakkan menepati telahan PRK Rompin mencerminkan satu episod yang tak boleh dipinggirkan oleh BN selaku penyandang.

Dua isu besar sedia maklum masakini: isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan kritikan serta serangan mantan PM, Tun Dr Mahathir terhadap PM DS Mohd Najib. Kebetulan isu ini sudah berbangkit sebelum kekosongan kerusi P.091 lantaran kematian Ahli Parlimen arwah Datuk Dr Jamaluddin Jarjis. Prestasi BN dalam PRK P.091 akan memberikan satu jawapan kepada dua isu utama nasional tersebut. Sejauhmanakah khalayak pemilih di Rompin menterjemahkan penerimaan GST serta teguran mantan PM, sebagai mewakili kelompok masyarakat luar bandar, atau mungkin mewakili kelompok yang lebih meluas sebagai suara rakyat keseluruhannya.

Apabila BN meletakkan calon yang sudah established dan popular serta tokoh veteran peringkat negeri, malah pernah menduduki Majlis Tertinggi UMNO  untuk berdepan dengan muka baru, seorang Ketua Pemuda Pas Negeri, memperlihatkan peri pentingnya dan kesungguhan UMNO/BN mempertahankan kemenangan serta mengekalkan majoriti besar, di kubu kuatnya. Seolah-olah UMNO/BN khuatir, dengan ledakan peluru GST dan peranan mantan PM, Rompin tidak mampu mencerminkan kubu kuat UMNO dengan mempertahankan kemenangan bergaya sebagaimana 3 PRU terakhir.

Dalam PRU11 (PRU 2004) di kala prestasi cemerlang BN seluruh negara, UMNO/BN menerusi Datuk Jamaluddin memperolehi 19,359 undi atau 65.91% jumlah undi sah, meningkat ke 21,308 undi atau 66.71% undi sah dalam PRU12, dan meningkat ke 30,040 undi atau 66.8% undi sah dalam PRU13. Dalam ketiga-tiga PRU tersebut, BN berjaya pertahankan legenda Parlimen Rompin sebagai kubu kuat UMNO, dengan pencapaian yang sentiasa meningkat. Dalam 3 PRU tersebut, BN berdepan satu lawan satu dengan calon Pas.

Kecermelangan UMNO/BN di Parlimen Rompin diceriakan lagi dengan kemenangan majoriti besar dan konsisten. Dalam PRU11, menang dengan majoriti 9,350 undi atau 31.83%, dalam PRU12 (PRU 2008) kepada 10.679 atau 33.43%, dan di kala pencapaian semakin merosot di seluruh negara dalam PRU13 (PRU 2013), di Rompin, BN masih menang bergaya dengan majoriti 15,114 undi atau 33.61%. 

Seandainya BN gagal mempertahankan prestasi dalam 3 PRU terakhir tersebut, satu alamat atau petanda cemas bukan untuk masa depan BN di Parlimen Rompin, malah di seluruh negara. Dengan latar belakang pemilihnya yang terdiri dari 3 komponen besar penyokong tegar yang membekalkan fixed deposit untuk BN: masyarakat nelayan (di DUN Tioman khususnya), masyarakat Orang Asal dan peneroka Felda (khususnya dari Gugusan Felda Kratong), secara langsung memberikan BN berada di zon selesa. Penurunan undi popular, peratusan undi serta majoriti, walaupun menurunkan tokoh veteran popular, atas desakan akar umbi kononnya, akan mengiyakan pandangan Tun Mahathir, UMNO sedang menuju masa depan yang mencemaskan untuk berdepan PRU14. 

Sungguhpun dalam beberapa PRK sebelum ini, calon BN gagal kemenangan dalam PRU. Dalam PRK Teluk Pasu (DUN Terengganu) 26/06/1989, calon UMNO/BN gagal pertahan kerusi. Dalam PRU 1986, calon UMNO menang dengan majoriti 776 undi atau 12.13%. Dalam PRK berkenaan kerana kematian ADUNnya, BN yang mempertaruhkan calon popular, Kadhi Besar Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahman Mohamad kalah kepada calon Pas, Ustaz Harun Taib dengan majoriti 141 undi atau 1.95%. Kekalahan luar jangka BN, tambahan pula undi BN hanya turun sebanyak 57 undi sahaja, dari 3,587 undi dalam PRU 1986, turun kepada 3,530 undi dalam PRK. Ini lantaran undi Pas meningkat dari 2,811 undi dalam PRU kepada 3,671 undi dalam PRK. Peningkatan undi calon Pas sebanyak 860 undi berbanding pengurangan undi BN, 57 undi, adalah disebabkan peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam PRK, 86.25%, berbanding cuma 77.0% dalam PRU 1986.

Antara sebab kekalahan BN ialah: i. faktor calon elit, tidak mesra pengundi, ii. kerja keras jentera Pas yang baru bergabung dengan parti baru, Semangat 46, mempastikan dan mengenalpasti penyokongnya keluar mengundi, iii. krisis UMNO yang belum reda, ekoran krisis 1987 yang membawa kepada pembatalan parti UMNO.

Satu PRK Parlimen Arau telah diadakan pada 04/07/1998, kerana kematian Ahli Parlimen kawasan berkenaan. BN yang memenangi kerusi berkenaan dalam PRU 1995, dengan majoriti 6,929 undi atau 27.07%, gagal pertahan kerusi bila undinya merosot dari 16,268 undi kepada 11,541 undi, membolehkan calon Pas, Ustaz Hashim Jasin menang dengan majoriti 1,323 undi, setelah memperolehi 12,804 undi, berbanding undi calon Semangat 46 dalam PRU 1995; 9,337 undi. Semasa PRK Parlimen Arau, Semangat 46 telah dibubarkan dan ahlinya memasuki UMNO beramai-ramai. Sepatutnya BN boleh menang mudah dalam PRK tersebut. Faktor calon dan faktor pemecatan DS Anwar Ibrahim menjadi faktor utama kekalahan BN, di kawasan yang UMNO tidak pernah kalah sejak zaman Perikatan dalam PRU pertama, 1959.

Secara tidak langsung faktor nasional memberi sumbangan kepada kemerosotan prestasi UMNO/BN sebagaimana pengalaman PRK Teluk Pasu dan PRK Arau, yang kebetulan berdepan dengan isu nasional yang secara langsung krisis dalaman UMNO dan negara. 

Pengundi Rompin yang rata-ratanya luar bandar sifatnya dengan lebih 80% pengundinya orang Melayu, kebarangkalian membuat keputusan sebagai keputusan sebagaimana pengundi kota dan pinggiran kota adalah rendah. Pengundi Parlimen Seremban memberi kemenangan besar kepada calon DAP dalam PRK 19/11/1983 berbanding kekalahan 845 undi atau 1.85% dalam PRU 1982. Di samping calon DAP dapat meningkat undi, calon MCA mewakili BN, kehilangan lebih 5,000 undi berbanding PRU, setahun sebelum PRK. 

Dalam PRK Parlimen Teluk Intan, 17/05/1997, calon MCA/BN yang menang dengan majoriti 13,968 undi dalam PRU 1995, tewas dalam PRK berkenaan, setelah kehilangan 9,500 undi. Kemerosotan undi calon BN, membolehkan calon DAP menang dengan 2,916 undi, apabila dapat meningkatkan undi sebanyak 7,400 undi dari PRU 1995. Begitu juga dalam PRK kawasan sama pada 31/05/2014, DAP yang menang dengan majoriti 7,313 undi dalam PRU13 gagal pertahan kerusi apabila undinya merosot sebanyak lebih 8,000 undi, sementara BN menerusi calon Gerakan yang hanya dapat tingkat undi sebanyak 71 undi, merampas kerusi Teluk Intan, walaupun dengan majoriti kecil, 238 undi. 

Dua kes Teluk Intan (1997 dan 2014) dan kes Seremban (1983) berlaku tanpa isu besar dalam politik tanah air berbanding kes Teluk Pasu (1989) dan Arau (1998) semasa suasana dipanaskan dengan isu besar peringkat nasional. Perbezaan asasnya, perubahan serta kejutan sikap pengundi di luar bandar berlaku bila digerakkan oleh isu nasional semasa. 

Sejauhmanakah keberkesanan ketidakpuasan rakyat terhadap pelaksanaan GST, disokongan pula dengan senarai 12 kesalahan DS Najib pada pandangan Tun Dr Mahathir, lebih tenat lagi, saranan seorang Ahli Parlimen UMNO, supaya PM membubarkan Parlimen untuk mendapat mandat baru. Seandainya, berlakunya perubahan besar dari sudut pungutan undi kedua-dua calon dalam PRK P.091, secara langsung satu bingkisan referendum sebagai bahan analisis suara rakyat. 

Langkah SPR menetapkan hari mengundi pada hari Selasa, boleh membantut peratusan keluar mengundi. Di Rompin terdapat lebih 5,000 pengundi berada di luar kawasan atau disebut sebagai pengundi luar. Dalam pengalaman PRK seluruh negara, peratusan keluar mengundi yang rendah akan mengancam pencapaian undi BN. 

Sungguhpun Pas pernah memenangi kerusi DUN Bukit Ibam dalam PRK 1974, tidak boleh dijadikan stigma kekuatan Pas di kawasan Parlimen Rompin. Dalam PRK 1974, hasil persempadanan kawasan pilihan raya 1973, kawasan pilihan raya negeri di Pahang telah ditambah sebanyak 8 kawasan baru di samping tambahan 2 kawasan pilihan raya persekutuan. Masa itu, Pas adalah komponen BN, dan diperuntukan satu kerusi DUN. Dari sudut ini, tidaklah boleh dijadikan sebagai asas ancaman kepada UMNO/BN. Bila Pas disingkir dari BN, sejak PRU 1978, Bukit Ibam menjadi kubu kuat UMNO/BN, hinggalah PRU terakhir. 

PRK P.091 lebih merupakan satu cabaran buat BN dalam mempertahankan status kubu kuatnya dalam suasana yang boleh dikatakan sebagai krisis keyakinan kepimpinan bila peranan mantan PM Tun Dr Mahathir disebarluaskan untuk tatapan awam. Bagi Pas yang bertanding di kawasan undi popularnya yang rendah, bawah 35 peratus atau bawah satu pertiga, yang juga digemburkan dengan krisis keyakinan, tidak menguasai faktor pilihan pengundi. Lainlah jika Parlimen Rompin, walaupun majoriti Melayu sebagai pemilih, sama dengan kawasan pilihan raya di negeri-negeri di mana undi Pas adalah melepasi 40 peratus. 





 

Jumaat, 24 April 2015

Persempadanan Sarawak 2

SEMAKAN SEMULA PERSEMPADANAN KAWASAN PILIHAN RAYA SARAWAK

Cadangan persempadanan kawasan pilihanan raya negeri di Sarawak yang menyesyorkan cadangan bagi bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri di Sarawak mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan menerusi Fasal (2) Perkara 113 telah dipamerkan untuk siasatan awam pada 25 Februari hingga 6 Mac 2015. 

Berikutan kajian tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan di bawah Seksyen 7, Bahagian II, Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, untuk mengubah syor-syor yang telah dicadangkan dan menyesyorkan laporan syor-syor baru. Justeru itu, pameran semula sedang berlangsung, dari 30 Mac hingga 29 April 2015. 

Tulisan saya dalam ruangan ini pada 17/01/2015 telah menganalisis cadangan persempadanan bahagian pilihan raya negeri Sarawak yang dipamerkan untuk tatapan awam yang pertama, untuk mendapat pandangan awam. Cadangan semakan semula yang sedang dipamerkan dengan beberapa perubahan nama serta perubahan daerah mengundi, yang asasnya mengekalkan jumlah bilangan bahagian pilihan raya negeri tambahan sebanyak 11, tanpa pertambahan bahagian pilihan raya persekutuan. 

Dalam semakan semula yang sedang berjalan, 11 kawasan pilihan raya negeri tambahan berkenaan diberikan sedikit tukaran nama. 3 tukaran nama; N23 Bukit Semuja (Triboh dalam syor pertama dulu), N63 Bukit Goram (syor awal Selirik), N78 Mulu (syor awal Long Lama). N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serambu, N26 Gedung, N40 Kabong, N57 Tellian, N66 Murum dan N70 Samalaju.

Sementara perubahan nama kawasan pilihan raya kecil disyorkan ditukar dalam semakan pertama dulu dikekalkan; N19 Mambong (dulunya Bengoh), N34 Batang Ai (Batang Air), N41 Kuala Rajang (Belawei) dan N68 Tanjong Batu (Kidurong).

Pengesyoran persempadanan ini adalah berasaskan kepada jumlah pemilih yang diwartakan oleh SPR pada 30/04/2014 iaitu seramai 1,109,134 pemilih.

Sungguhpun tiada pertambahan kawasan pilihan raya persekutuan tetapi 13 kawasan telah disemak semula, di mana tiga kawasan:  P206 Tanjong Manis, P218 Sibuti dan P219 Miri, tidak ditambah bahagian pilihan raya atau kerusi negeri.

P218 Sibuti yang mengadungi 28,634 pemilih kekal dengan 2 bahagian pilihan raya negeri: N71 Bekenu (12,238 pemilih) dan N72 Lambir (16,396 pemilih), di mana Bekenu adalah kawasan majoriti Bumiputera Islam, sementara Lambir kawasan campuran dengan majoriti Bumiputera Islam. P213 Mukah dengan 27,167 pemilih diberi tambahan satu kawasan pilihan raya negeri dengan komposisi: N56 Dalat (10,985 pemilih), N57 Tellian (8,698 pemilih), N58 Balingian (7,484 pemilih). Parlimen Mukah mempunyai lebih 70 peratus pemilih Bumiputera Islam. 

Kawasan pilihan raya Parlimen P216 Hulu Rajang (24,293 pemilih) dan P215 Kapit (27,899 pemilih), masing-masing diberi tambahan satu kawasan pilihan raya negeri. Kawasan pilihan raya persekutuan ini wajar ditambah wakil rakyat DUN kerana melihat kepada faktor geografi dan sistem perhubungan. 

P205 Saratok (28,175 pemilih) asalnya dua kawasan pilihan raya negeri: Kalaka (majoriti Bumiputera Islam) dan Kerian (majoriti Bumiputera Bukan Islam) dipecahkan kepada tiga kawasan pilihan raya negeri: N38 Kalaka (7,324 pemilih), N39 Kerian (11,694) dan N40 Kabong (9,157). Jika pertambahan kerusi di dalam kawasan Parlimen Mukah, Kapit dan Hulu Rajang, berdasarkan komposisi pemilih secara langsung untuk menambahkan kerusi untuk kaum atau kelompok tertentu, berbeza dengan P205 Saratok, kerana kerusi Kerian dimenangi calon PKR dalam Pilihan Raya Negeri 2011. Adakah pertambahan kerusi di P205 untuk menyelamatkan parti komponen BN, berbanding tiada pertambahan untuk P218. 

Kawasan P195 Bandar Kuching, asalnya mengandungi 2 bahagian pilihan raya negeri: Padungan dan Pending, diperluaskan dengan memindahkan Batu Lintang dari P196 Stampin. Sementara P196 Stampin, di samping 2 kawasan bahagian pilihan raya negeri Kota Sentosa dan Batu Lintang, ditambah satu kerusi baru Batu Kitang. Dalam PRN 2011, semua lima kerusi dalam kawasan Bandar Kuching dan Stampin dimenangi oleh calon pembangkang; DAP dan PKR.
Jumlah pemilih dalam persempadanan baru; P196 Bandar Kuching 81,992 orang (3 kerusi DUN) dan P197 Stampin 58,511 orang (3 kerusi DUN).

Memindahkan Batu Lintang ke Parlimen Bandar Kuching untuk mempastikan Parlimen Stampin bukan lagi kubu kuat pembangkang sebagaimana PRU13 atau PRN 2011. Dengan lain perkataan membantu, SUPP anggota komponen BN yang kehilangan banyak kerusi dalam PRN terakhir.

Kawasan pilihan bersifat bandaran dan separa bandar, P217 Bintulu dengan 57,887 yang asalnya 3 kerusi negeri ditambah satu kerusi tambahan. Dalam PRN 2011, kerusi Jepak dan Kemena dimenangi BN, sementara Kidurong dimenangi DAP. Tambahan kawasan pilihan negeri N70 Samalaju, menjadikan P217 mengandungi empat kerusi negeri. 

Umumnya perencanaan, penyusunan dan strategi persempadanan kawasan pilihan raya yang sedang dipamerkan, samalah dengan persempadanan lampau sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak, masih didominasi kepentingan politik kelompok yang menguasai kerajaan. 

Rabu, 22 April 2015

PRK Rompin 1

MENGAPA BN LETAK CALON KITAR SEMULA

Agak menarik juga Pilihan Raya Kecil (PRK)  P091 Rompin bila Barisan Nasional (BN) meletakkan tokoh veteran, Datuk Hassan Ariffin, di kawasan selamat dan kubu kuat sejak berzaman. Datuk Hassan, adalah ADUN empat penggal 1990-2008, pernah memegang jawatan kanan dalam pentadbiran negeri sebagai Timbalan Menteri Besar. Sungguhpun selayaknya sebagai orang nombor dua dalam UMNO Bahagian Rompin mengisi kekosongan kerusi parlimen Rompin, yang dipegang oleh Allahyarham Datuk Jamaluddin Jarjis, ketua bahagian. 

Kebiasaannya kerusi yang tidak selamat atau kawasan kelabu atau hitam, tokoh pilihan dicalonkan sama ada dalam pilihan raya umum (PRU) atau PRK, sebagaimana amalan BN dan parti-parti komponen. Strategi untuk memastikan kerusi berkenaan dapat dipertahan atau kerusi yang tewas dapat dirampas dari tangan parti pembangkang.

Datuk Othman Abdul telah mencipta nama sebagai ahli politik istimewa di Malaysia kerana beliau telah berjaya mencipta dua sejarah memulihkan semangat partinya, UMNO/BN. Othman Abdul adalah Ahli Parlimen Ulu Muda (kemudiannya tukar nama kepada Pendang) bermula dari PRK Ulu Muda (1983) dan memenangi 3 PRU, 1986, 1990 dan 1995. Dalam PRU 1999, BN gagal pertahan kerusi Parlimen Pendang, bila Othman Abdul tidak dicalonkan. Dalam PRK Parlimen Pendang, 18/07/2002, BN berjaya merampas kerusi ini, walaupun dengan majoriti kecil, 283 undi. Calon Pas gagal pertahan kerusi yang dimenangi Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Presiden Pas. 

Bagaimanapun BN gagal pertahan kerusi Pendang dalam PRU 2004, bila BN tidak mengekalkan Othman Abdul. Bagaimanapun, Pas yang memenangi kerusi Parlimen Pendang dalam PRU 2004 dan PRU 2008, tidak mengekalkan Ahli Parlimennya, Datuk Dr Hayati Othman. Sekali lagi, Othman Abdul dipanggil untuk jadi penyelamat, bila dipanggil bertanding di kerusi berkenaan dalam PRU 2013, dan BN berjaya merampas kerusi milikan Pas ini.

Dalam kes TS Mohd Isa Abdul Samad dipanggil untuk pertahankan kerusi Bagan Pinang dalam PRK kerusi berkenaan pada 11/10/2009, di mana kerusi berkenaan adalah kawasan selesa dan kubu kuat BN. Suasana politik pasca PRU12 yang masih dibebani kejutan tsunami politik memerlukan seorang tokoh untuk mengembalikan semangat sokongan kepada BN yang semakin menurun. Tiada apa-apa keperluan untuk TS Isa bertanding di peringkat kerusi negeri sedangkan tiada krisis politik negeri, lainlah untuk kerusi Parlimen, untuk meletakkan TS Isa dipersada politik nasional bersesuaian mantan Naib Presiden UMNO.

Buat politik semasa dalam BN, tiada keperluan untuk perlantikan atau pengisian jawatan untuk memperkukuhkan kerajaan. Berlainan dengan PRK Parlimen Teluk Intan, 31/05/14, ditonjolkan untuk mengisi jawatan kabinet mewakili kaum Tionghua. 

Pengisian kekosongan kerusi Parlimen Rompin tidak sama dengan PRK  Parlimen Kuala Kedah, 20/03/1973, bila Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman meletakkan semua jawatan politik. Dato' Senu Abdul Rahman, Menteri Penerangan yang tewas dalam PRU 1969 diberi ruang untuk meneruskan nafas politik untuk bertanding sebagai calon Perikatan. Sungguhpun Tunku sebagai PM menang dengan majoriti merosot dalam PRU 1969 bila diberi tentangan hebat oleh calon Pas, tetapi dengan penyertaan Pas dalam Kerajaan Campuran Perikatan-Pas bermula 01/01/1973, kerusi parlimen Kuala Kedah, bukanlah kawasan kelabu dan kurang selamat. 

Pengisian kerusi Parlimen Rompin tidaklah sama dengan kes Pendang atau kes Kuala Kedah atau Bagan Pinang. PRK Rompin menunggu jawapan rasionaliti Hassan Arifin dicalonkan untuk berdepan calon muka baru, calon muda dari Pas, Ustaz Nazri Ahmad, di kawasan BN menang besar dalam dua PRU terakhir. Dalam PRU12, BN membolot 66.7%  dan 66.8% undi sah dalam PRU13, mengekalkan majoriti 33% dalam kedua-dua PRU. 

Bacaan awal dari pencalonan Hassan Arifin adalah dari faktor:
pertama - kebimbangan BN dapat mengekalkan prestasi dua PRU terakhir dari isu GST yang masih panas, kedua - kesan kritikan Tun Mahathir ke atas DS Najib. Bagaimanapun tunggulah bagaimana isu utama dimainkan kedua-dua pihak bertanding dalam tempoh 10 hari, bermula hari ini.

Sabtu, 28 Mac 2015

PRK Cempaka 4

PENCAPAIAN PAS DI CEMPAKA TIDAK BANYAK BEZA DENGAN PRU13

Pilihan Raya Kecil N06 Cempaka pada 22/03/2015 berlangsung semasa saya sedang menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci Mekkah. Saya mempunyai sedikit waktu melihat kempen PRK ini, sebelum berangkat. Namun demikian, hasil dari PRK ini memberikan juga sedikit gambaran gelagat dan ragam pemilihan khalayah pemilih.

Sungguhpun calon Pas, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood memperolehi undi besar, 10,899 undi atau 91.79 peratus undi sah, serta majoriti besar 10,002 undi dalam persaingan mudah hadapi 4 calon bebas, hakikinya prestasi Pas sekadar mempertahankan sokongan yang diperolehinya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13. 

Dalam PRU13, Allahyarham Tuanguru Datuk Nik Abdul Aziz (TGNA) perolehi 12,310 undi atau 67.94 peratus undi sah berbanding 5,810 undi atau 32.06 peratus dikumpul oleh calon BN. TGNA menang dengan majoriti 6,500 undi. 

Oleh kerana dua keadaan berbeza dalam dua pilihan raya tersebut, dalam PRU13 pertembungan sengit Pas dengan BN, dan dalam PRK, Pas dapat laluan mudah ditentang calon-calon bebas tak popular, kecuali Mohd Sharif Mahmood, yang pernah pegang jawatan penting parti peringkat pertengahan. Awal kempen, telahpun digambarkan Mohd Sharif calon bebas paling terkedepan. 

Perbandingan perolehan undi serta saiz majoriti calon yang menang tidak menepati perbandingan lateral secara angka. Dalam PRU13, 85.3 peratus pemilih keluar mengundi, berbanding 55.0 peratus dalam PRK 22/03/15. Apabila calon Pas, Ustaz Ahmad Fathan perolehi 10,899 undi dari jumlah 12,039 jumlah yang keluar mengundi, sebenarnya lebih rendah dari angka perolehan undi Pas dalam PRU13, di mana Pas memungut semua jumlah 12,000 kertas undi pertama. Baki 6,000 kertas undi dalam PRU13, adalah untuk BN dan undi rosak.

Bila Pas memungut sebanyak 10,899 undi dan memberikan 1,040 kertas undi kepada calon bebas dan undi rosak memperlihatkan walaupun BN tidak menurunkan calonnya, lebih 1,000 pengundi, tidak menghiraukan keputusan BN tidak mahu terlibat dengan PRK ini. Kiranya, kajian post-mortem Pas menemui dan mengenalpasti 1,200 penyokong Pas tidak keluar mengundi  atas alasan utama: berada di luar kawasan, pencapaian calon Pas dalam PRK ini adalah satu kebanggaan jika dibanding dengan pencapaian dalam PRK Penanti 31/05/2009 dan PRK Parlimen Bukit Glugor 25/05/2014, yang memberikan peratusan undi yang besar kepada calon-calon dari kumpulan Pakatan Rakyat, bila BN tidak ikut serta.

Khamis, 12 Mac 2015

PRK Cempaka 3

BUKAN SEKADAR MEMERIAHKAN AGENDA DEMOKRASI

Pilihan Raya Kecil (PRK) Cempaka yang menyaksikan persaingan lima penjuru hasil penamaan calon kelmarin (10/03/2015) menepati dugaan awal, tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) akan memberi ruang ramai calon bebas. Penyertaan ramai calon bebas menentang calon Pas yang menyandang kerusi, yang membentuk kerajaan negeri, tidaklah bermakna, gambaran suara ketidakpuasan hati sebahagian khalayak rakyat sungguhpun BN tidak bertanding.

Calon Pas, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad, calon paling muda, 42 tahun, pensyarah Institut Dakwah Islamiah Perkim, berkelulusan Masters dalam syariah, ditentang oleh 4 orang calon bebas. Calon-calon bebas; Haji Sharif Mahmood,59, bekas Naib Yang Dipertua Perkasa Negeri Kelantan dan bekas pemimpin UMNO bahagian Gua Musang; Fadzillah Hussin, 55, Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Cik Siti Wan Kembang Malaysia; Izat Bukhari Ismail Bukhari, 48, bekas pensyarah politeknik; Aslah Mamat, 64, pesara perkhidmatan awam. 

Sungguhpun PRK Cempaka, penyandang ditentang oleh calon-calon bebas, tetapi dengan berita bualan awam pada hari penamaan calon, 3 orang bebas tersebut ditaja oleh tokoh-tokoh politik yang popular, bukan sekadar dalam negeri Kelantan, malah peringkat nasional. Secara langsung, calon-calon bebas bersaing mewakili proxy, di mana proxy tersebut adalah adalah bekas pemimpin utama UMNO Kelantan, dua adalah bekas Ahli Majlis Tertinggi dan seorang masih menduduki MT UMNO. 

Jika benarlah telahan ini, PRK Cempaka tidaklah sebagaimana beberapa PRK lepas bila ramai calon bebas bertanding menentang penyandang.  Pastinya, PRK Cempaka medan mencari parameter kepentingan politik proxy yang bersembunyi di sebalik calon bebas. Di situ terselitnya agenda dan perhitungan politik kelompok-kelompok tertentu. Calon-calon bebas yang tajaan penafian oleh UMNO/BN. 

PRK Parlimen Johor Bahru (25/08/1988) yang menyaksikan Datuk Shahrir Abdul Samad, dari Team B pemilihan UMNO 1987 yang menyandang kerusi itu meletakkan jawatan untuk membolehkan satu PRK diadakan. Agenda beliau menerusi PRK, untuk mengukur sejauhmana penolakan rakyat terhadap UMNO, di kubunya sendiri, iaitu Johor. Beliau bertanding sebagai calon bebas dengan lambang kunci berjaya mengalahkan calon UMNO/BN dengan majoriti besar, 12,000 undi lebih. Beliau memperolehi 64.02 peratus undi.

Satu PRK diadakan di kerusi Parit Raja pada 25/10/1988, kerana kematian ADUNnya. Parit Raja adalah kubu kuat UMNO, yang sukar dicerobohi parti lawan. Kerusi ini sentiasa memberi kemenangan tanpa bertanding kepada calon UMNO, dalam beberapa PRU. Populariti serta tuan lambang anak kunci yang mengalahkan calon BN alam PRK Johor Bahru, mengagendakan UMNO menaja ramai calon bebas supaya calon dari Team B yang bertanding atas tiket bebas tidak berpeluang memilih lambang anak kunci, kerana penggunaan lambang calon-calon bebas akan diundi, bila terdapat lebih seorang calon bebas. Ramainya calon bebas akan mengelirukan pengundi, dengan lambang anak kunci bukan lagi digunakan oleh calon bebas utama.

Gambaran lambang anak kunci yang menghantui BN kesan pengundi pola pengundian warga kota di Johor Bahru, dibimbangi mempengaruhi pengundi luar bandar. Parit Raja, satu kawasan luar bandar, kubu kuat ditakuti terpengaruh dengan lambang anak kunci calon bebas PRK Johor Bahru. 

Calon Team B, Hamdan Yahya, bekas Ketua Pemuda Bahagian Sri Gading yang bertanding sebagai calon bebas tidak dapat lambang kunci setelah diundi bersama 5 orang calon bebas yang lain, yang menjadi askar upahan. PRK Parit Raja yang melibatkan 7 penjuru menghasilkan UMNO/BN menerima tentangan sengit di kubu kuatnya yang sentiasa menang tak bertanding. Calon UMNO/BN, Yassin Kumari cuma dapat 51.07% undi sahaja, Hamdan Yahya sebagai calon bebas, perolehi 48.16% undi. BN menang dengan 413 undi sahaja. Sementara semua 5 orang calon bebas upahan perolehi undi, terlalu kecil, semuanya di bawah 0.5 peratus, paling tinggi 70 undi, ada dapat 9 undi. Mengelakkan calon bebas utama, Hamdan Yahya menggunakan lambang anak kunci, sedikit sebanyak beri advantage kepada calon BN.

Dalam PRK Parlimen Ampang Jaya (23/01/1989) sekali lagi takutnya BN kepada lambang anak kunci, terpaksa menaja ramai calon bebas supaya calon dari Team B yang bertanding sebagai calon bebas, terpaksa cabut undi untuk memilih lambang. Seperti PRK Parit Raja, BN ditentang oleh 6 calon bebas. Calon dari Team B, Datuk Harun Idris perolehi 44.9% undi, berbanding calon yang menang, Ong Tee Keat (MCA/BN) yang pungut 56.7%. Serupa PRK Parit Raja, kelima-lima calon bebas tajaan BN, perolehi undi yang amat kecil, di bawah 0.25%. Paling tinggi 104 undi. Ada dapat 22 undi. 

Bilangan calon yang paling tinggi tercatat dalam PRK Dun Bukit Selambau, Kedah (07/04/2009), menyaksikan pertandingan 15 penjuru. Berbeza dengan PRK Ampang Jaya dan Parit Raja, penyertaan calon bebas ramai adalah inspirasi dari kejayaan calon bebas di kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) setahun sebelumnya. PRK Bukit Selambau diadakan kerana perletakan jawatan ADUNnya. Persaingan adalah antara calon PKR dengan BN (MIC). Calon PKR, S. Manukumar menang setelah perolehi 52.23% undi berbanding 42.29% undi perolehan calon BN, S. Ganeson. Undi calon bebas yang paling tinggi ialah 2.1% (528 undi), seorang dapat 257 undi, sementara 11 orang calon perolehi undi di bawah 100. Semua calon bebas bertanding sendiri, tanpa tajaan mana-mana kumpulan.

Sharif Mahmood, ahli UMNO cawangan RKT Kesedar Jeram Tekoh, dalam Bahagian Gua Musang dan Fadzillah Hussin, ahli UMNO cawangan Kepala Batas, Bahagian Tumpat, dipecat serta merta oleh parti. Pemecatan ini berpanduan kepada Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO, bertentangan keputusan parti yang melarang ahli parti mengambil bahagian dalam satu pilihan raya. 

Sementara Aslah Mamat, seorang pemilih dalam daerah mengundi Sungai Petal dalam bahagian pilihan raya negeri Semerak, Pasir Puteh, yang disebut sebagai aktivis Pas dan beliau sendiri mengaku terlibat dalam beberapa pilihan raya, tiada apa-apa tindakan dari Pas. Sepatutnya beliau dikenakan tindakan tatatetib atau dipecat kerana menentang calon pilihan parti. Hasil cari dalam rekod keahlian Pas sama ada dalam Kawasan Pasir Puteh atau Kawasan Pengkalan Chepa, tiada nama beliau dijumpai. Kini beliau tinggal di Kampung Baung, satu daerah mengundi dalam PRK Cempaka.

Seorang lagi calon bebas, Izat Bukhari, diketahu umum bukan calon tajaan mana-mana tokoh, beliau bertanding bersendiri. Beliau pernah bertanding dalam PRU13 di Pengakalan Kubor dan PRK Pengkalan Kubor, tahun lepas, yang menghasil 65 undi dan 38 undi. Berapa undi pula kali ini, tunggulah hari mengundi 22/03/2015 nanti.

Sungguhpun tanpa pernyataan rasmi dari Perkasa, namun penyertaan Sharif Mahmood secara tersirat adalah mewakili NGO berkenaan. Tepatlah tindakan penyertaan ini sebagai medan ujian Perkasa masuk gelanggang muhasabah diri, tanpa keterlibatan rasmi UMNO/BN yang memberi ruang orang nombor satu Perkasa di kerusi Parlimen Pasir Mas dalam PRU13. 

Cempaka adalah bahagian pilihan raya hasil persempadanan semula 1993, yang asalnya bahagian besar bahagian pilihan raya negeri Kemumin. HAMIM, sebuah parti serpihan Pas hasil krisis kepimpinan Pas 1983, memilih medan ujian dengan menyertai PRK Kemumin (1983). Amat malang bagi HAMIM, penyertaan sulong secara solo, memberi cuma 161 undi sahaja. Mampukan Sharif Mahmood membuktikan nasib Perkasa tak serupa HAMIM.

Keistimewaan tersendiri calon-calon bebas bekas aktivis UMNO dan Pas dalam PRK Cempaka, jauh berbeza dengan calon-calon bebas dalam beberapa PRK di atas. Peratusan keluar mengundi yang rendah akan mengecewakan calon-calon bebas. Dalam PRU13, undi Pas dan BN adalah 85.3 peratus dari jumlah pemilih berdaftar, dengan 54% kepada Pas dan 31% dari BN. Jika peratus keluar mengundi, 60 peratus, Pas mengekalkan undinya, maka undi sebanyak 1,200 akan dikongsi oleh 4 calon bebas. Jika peratus keluar mengundi 55 peratus, 4 calon bebas akan berkongsi 200 undi. Jika ini berlaku, undi setiap calon bebas, sebagaimana calon bebas dalam PRK Pengkalan Kubor tahun lepas.





Ahad, 8 Mac 2015

PRK Cempaka 2

TINDAKAN LUAR BIASA BN

Pas yang mempertahankan kerusi N06 Dun Cempaka menamakan Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, 42, Bendahari Pas Kawasan Pengkalan Chepa sebagai calonnya malam ini. Perkasa secara tidak rasmi mengetengahkan Naib Pengerusi Kelantan, Shariff Mahmood, sementara pengerusi sebuah NGO, Fadzillah Hussin, paling awal menyatakan keinginan bertanding. Mereka bersama seorang lagi yang kurang dikenali, akan bertanding sebagai calon bebas dalam PRK Cempaka. BN awal-awal lagi mengumumkan tidak akan meletakkan calon.

Sama ada Pas selaku penyandang akan ditentang calon-calon bebas tajaan BN atau mesra BN,  atau sebaliknya, diharapkan menjanjikan satu PRK yang menarik serta respons dari pengundi. Peratus keluar mengundi yang tinggi amatlah diharapkan apabila ada calon yang secara tidak langsung mewakili UMNO atau BN. Perkasa sebuah NGO yang banyak menyuarakan rasisme dan fanatik perkauman sempit demi mempertahankan UMNO/BN, sewajarnya BN perlu menyokong secara moral atau material. Calon bebas mewakili Perkasa bukan sekadar mencari pengukur popularitinya tetapi secara hakikinya mewarnai kekuatan UMNO/BN di Pengkalan Chepa khususnya pasca kematian Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat,  ADUN Cempaka. 

UMNO/BN memberi alasan menghormati Allahyarham Tok Guru dan mahu beri tumpuan dari sudut perbelanjaan dan tenaga untuk kerja-kerja bantuan pasca banjir. 

Jika rasional menghormati Tok Guru sebenarnya agak luar biasa. Sepatutnya UMNO/BN tidak meletakkan calon menentang Tok Guru dalam beberapa PRU lepas, menghormati Tok Guru sebagai pemimpin sebuah kerajaan negeri. Biarkan Tok Guru menang tak bertanding, untuk membolehkan Tok Guru jelajah seluruh negeri dalam tempoh berkempen PRU dulu, atas sifatnya sebagai pemimpin sebuah kerajaan yang mewakili suara majoriti rakyat. 

Di Great Britain, contoh negara yang mengamalkan demokrasi kepilihanrayaan berasaskan perwakilan ikut kawasan (constituency representatives), masa pemimpin parti Conservative jadi Perdana Menteri, Margaret Thatcher (1979-1990) dan juga zaman Edward Heath (1970-1974), parti Labour memberikan Perdana Menteri menang tak bertanding, untuk membolehkan pemimpin masa yang luas jelajah seluruh negara masa kempen pilihan raya, menjelaskan manifesto partinya. Begitu juga, zaman peminpin parti labour Harold Wilson (1964-1970 & 1974-1976) jadi Perdana Menteri, Conservatives dan parti-parti lain beri penghormatan, membolehkan Perdana Menteri menang tak bertanding.

Di Malaysia yang mengambil sistem pilihan raya model British atau Westminster Abbey, pemimpin kerajaan Persekutuan (Perdana Menteri), atau pemimpin pembangkang (Ketua Pembangkang Parlimen) atau pemimpin kerajaan negeri (Menteri Besar atau Ketua Menteri), dipastikan tidak menang mudah atau menang tak bertanding. Tidak diberi laluan mudah, malah dipertaruhkan calon hebat, untuk mengikat pemimpin berkenaan tidak banyak masa keluar kawasan yang ditandinginya.

Jika PRK Cempaka dijadikan asas moral dengan menghormati seorang pemimpin, elok juga amalan baru dalam demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia ini, dalam pilihan raya akan datang, pemimpin utama sama ada kerajaan atau pembangkang, sama ada pemimpin kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, diberi laluan penghormatan, tidak dicabar oleh mana-mana parti.

Jika unsur atau amalan baru ini berterusan dalam sistem demokrasi kita, tindakan BN tidak bertanding ini harus disanjungi dan dipuji demi menyuburkan toleransi sosio-politik menerusi demokrasi kepilihanrayaan. Tindakan BN tidak bertanding dalam PRK Parlimen Bukit Glugor dan PRK DUN Cempaka, sebagai penghormatan kepada ketokohan dan sumbangan mendiang Karpal Singh dan Allahyarham Tok Guru. 

Harapannya bukanlah niat BN tidak ikut serta dalam kedua-dua PRK berkenaan secara langsung demi imej parti, dibimbangi prestasi pencapaian BN walaupun Karpal dan Tok Guru sudah tiada. 




Selasa, 3 Mac 2015

PRK Cempaka1

BN PATUT BERTANDING DEMI MERAIKAN SUARA RAKYAT

Keputusan BN menerusi pengumuman Presiden UMNO, DS Najib Tun Razak, secara rasmi UMNO/BN tidak akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Cempaka yang akan diadakan pada 22/03/15. Alasan utama diberikan ialah untuk memberikan perhatian kepada kerja-ke4rja bantuan dan pemulihan pasca banjir. 

Bukanlah sesuatu yang luar biasa BN sebagai partai menguasai kerajaan Persekutuan tidak meletakkan calon sama ada dalam PRK atau PRU. Apabila Fan Yew Teng dilucutkan sebagai  Ahli Parlimen dalam tahun 1975, setelah dijatuhkan hukuman mahkamah. Fan antara Ahli Parlimen lantang dan popular dalam tahun 1970an, amat digeruni barisan pemerintah masa itu. BN sudah menjangka kes Fan  tidak sekukuh mana, menyebabkan pada hari penamaan calon PRK Parlimen Menglembu, membiarkan calon DAP, Yeap Ghim Guam ditentang oleh dua calon bebas kurang popular. Sebelum hari pengundian, mahkamah terima rayuan Fan dan membatalkan PRK berkenaan. 

Dalam sejarah politik kepilihanrayaan di Kelantan, pernah BN yang gagal meletakkan calon mengarahkan jenteranya bekerja untuk calon bebas. Dalam PRU 1982, calon Berjasa yang bertanding atas tiket BN, Suffian Awang gagal mencalonkan diri untuk mempertahankan kerusinya, membolehkan calon Pas, Mustapha Ibrahim berdepan dengan calon bebas yang tidak popular. Dengan sokongan kuat jentera BN yang bertanding di kerusi Parlimen, memberikan calon bebas memungut 5,030 undi atau 47.64% undi sah, satu jumlah yang tinggi berbanding mana-mana calon bebas di kawasan luar bandar di Kelantan. Calon Pas yang berjaya merampas kerusi Dun Salor, menang setelah memperolehi 5,528 undi atau 52.35%. Undi UMNO/BN keseluruhannya diberikan kepada calon bebas, melihat kepada undi rosak yang kecil, 186 undi sahaja atau 1.72 peratus dari pembuangan undi, dengan 82.63 peratus keluar mengundi.

 Dalam PRU13, di kawasan Parlimen Pasir Mas, BN tidak letakkan calon untuk memberikan calon bertanding satu lawan satu dengan calon bebas. Calon bebas, Dato' Ibrahim Ali, perolehi 25,384 undi atau 43.16% peratus undi sah, berbanding dengan jumlah undi calon UMNO/BN yang bertanding di kerusi Dun, 25,695 undi atau 43.50% atau hanya 311 pengundi mengundi BN di kerusi Dun dan tidak mengundi calon bebas Parlimen, 58 mengundi calon Pas dan selebihnya merosakkan undi. Undi rosak bagi kerusi Parlimen ialah 1,115 undi atau 1.86%, paling tinggi berbanding kawasan sosio-geografi yang sama di Semenanjung. 

Sungguhpun BN hanya meletakkan calon di salah satu kerusi negeri dan Parlimen dalam mana-mana PRU, ukuran peranan jentera BN hanya dapat dikesan dari dua elemen kerana peratusan keluar mengundi tidak terjejas. Pertama dari sudut jumlah undi  calon bebas atau calon parti politik yang dianggap mesra BN atau disokong secara langsung oleh jentera BN. 

Kedua, undi BN diterjemahkan dalam bentuk undi rosak, bila BN tidak menyokong mana-mana calon. Dalam PRU 1978, calon BN, bekas Exco Selangor dari MCA, ditolak borang pencalonan pada hari penamaan calon di kerusi Dun Kuala Kubu Baru. Calon DAP ditentang satu lawan satu oleh seorang calon bebas. Sungguhpun, BN tidak menyokong calon bebas untuk mengalahkan DAP, peratusan keluar mengundi adalah tinggi, 73.8%, kerana di kerusi Parlimen, calon MCA bertanding, di samping itu, Kuala Kubu Baru adalah kubu tradisi MCA. Calon DAP, Pan Su Peng pungut 3,202 undi atau 83.5% undi, calon bebas cuma dapat 647 undi, tetapi undi rosak adalah 4,955 undi. Undi rosak lebih besar daripada jumlah undi sah. 

Berbeza dengan PRK, perhatian adalah kepada peratusan keluar mengundi, apabila BN selaku parti pemerintah tidak meletakkan calon. 

Salah satu PRK yang menarik untuk analisis ialah PRK Dun Penanti, pada 51/05/2009, diadakan setelah ADUN PKR merangkap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Muhamad Fairus Khairuddin meletak jawatan. Oleh kerana Penanti, salah satu kerusi Dun dalam Parlimen Permatang Pauh, di mana setahun sebelumnya telah diadakan PRK yang memberi kemenangan lebih besar kepada PRK serta kemerosotan undi BN berbanding PRU12, lima bulan sebelumnya. Sedangkan calon BN adalah ADUN mewakili salah satu kerusi dalam bahagian pilihan raya Parlimen ini. Keperitan BN alami setahun lalu bukan sekadar hilang kerajaan negeri, populariti BN semakin luntur sebagaimana dipamirkan menerusi PRK Parlimen Permatang Pauh. 

Dalam PRK Penanti, tidak meletakkan calon dan membiarkan PKR berdepan dengan calon-calon bebas yang tidak popular. Menjadikan PRK ini hambar dan kegagalan mekanisme demokrasi memberi hak kepada rakyat membuat pilihan. Cuma 46.15% sahaja pemilih keluar mengundi, antara pilihan raya yang tidak mendapat sambutan yang pernah dicatat di negara ini, semenjak Merdeka. Sungguhpun calon PKR, Dr Mansor Othman perolehi 86.53 peratus undi sah (6,052 undi) dari jumlah 6,944 undi sah, sementara 3 orang calon bebas hilang wang pertaruhan (494 undi, 392 undi dan 56 undi), tidak menepati mewakili suara majoriti dengan kurang separuh yang keluar mengundi. Peratus keluar mengundi yang rendah menggambarkan tidak turut sertanya penyokong BN dalam proses demokrasi tersebut. Dalam PRU12, calon BN perolehi 5,127 undi dari sejumlah 82.1% undi sah. 

Kegagalan lebih 5,000  pengundi yang mengundi BN dalam PRU12 telah mengurangkan peratusan keluar mengundi. Walaupun menang PKR kekurangan lebih 1,200 undi, kemungkinan undi ini diberikan kepada 3 orang calon bebas. Undi rosak cuma 106 undi sahaja. Keseluruhannya, penyokong BN, tidak keluar mengundi dalam PRK Penanti.

PRK Penanti berbeza sedikit dengan PRK Parlimen Bukit Gelugor pada 25/04/2014, kerana kematian Karpal Singh. Peratus keluar mengundi lebih tinggi walaupun lebih rendah berbanding dengan PRU sebelumnya. Seramai 56.38% pengundi keluar mengundi dalam PRK Bukit Gelugor, walaupun BN tidak meletakkan calon. Sebaliknya, peratusan ini disokong oleh calon-calon mesra BN. Amat jelas liputan khusus diberikan kepada calon Parti Cinta Malaysia (PCM), tambahan pula PCM tidak terikat dan termasuk dalam pakatan pembangkang yang bekerjasama menerusi Pakatan Rakyat; Pas, DAP dan PKR. Dengan cuma 3,583 undi dipungut oleh calon PCM, Dato' Huan Chen Guan, beliau hilang pertaruhan dengan 7.81% undi. Calon DAP, Ramkarpal Singh  memperolehi 89.95% atau 41,242 undi, masih rendah berbanding dengan undi dalam PRU13. 

Tanpa penglibatan BN secara langsung, kebiasaannya akan menurunkan peratusan keluar mengundi. Elemen ini tidak menggambarkan dinamisme dan keluhuran demokrasi untuk menggambarkan golongan majoriti membentuk kerajaan. Sebagai parti utama dan pemegang kuasa kerajaan Persekutuan, seharusnya menjuarai asas-asas ketulenan demokrasi dalam membentuk jatidiri, keadilan dan persamaan hak. Rakyat selaku pengamal demokrasi di peringkat akar rumput perlu dipamerkan dengan kepelbagaian tawaran pilihan. 

Tanpa penyertaian parti besar, seperti BN, seolah menutup ruang suara khalayak masyarakat. Menjelang PRU13 dulu, salah satu peranan SPR ialah mempastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi, begitu juga sasaran SPR dalam setiap PRK. Harapnya pengalaman PRK Penanti dan PRK Parlimen Bukit Gelugor, tidak harus disuburkan demi mempertabatkan demokrasi.


 

Sabtu, 21 Februari 2015

Tok Guru

TOK GURU SEORANG INSAN ISTIMEWA

Hari ini dah 9 hari,  Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyahut panggilan Ilahi. Tok Guru yang dilahirkan pada 12.01.1931 meninggal pada usia 84 tahun. Saya memiliki kenangan dan keistimewaan Tok Guru, sebagai tokoh politik, murabi ummah, insan contoh dan ilmuan. 

Nama beliau mula saya kenali semasa saya di bangku sekolah menengah, Tok Guru memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa) menewaskan calon UMNO/Perikatan, Tengku Nor Asiah Tengku Ahmad. Beliau masa itu dikenali sebagai Ustaz Nik Aziz. Ahli Parlimen berkain pelikat, satu perwatakan humble, simple dan sederhana, adalah antara politikus yang saya minati, masa bangku sekolah. Satu gambaran mewakili rakyat kelas bawahan, memenuhi tuntutan anak muda, yang impikan sebuah kehidupan sederhana dan simple. Di bangku sekolah, kebanyakan novel yang saya baca, menjurus kepada keadilan, kesederhaan dan berlatar belakangkan kampungan, masyarakat bermoral dan anti feudal. 

Saya memberi perhatian kepada Pas, setelah krisis kepimpinan Pas yang membawa kepada keluar parti, Yang Dipertua Agungnya (sekarang Presiden) Dato' Mohd Asri Haji Muda dan penyokongnya, dalam tahun 1983. Di peringkat pusat, Pas berubah kepada kepimpinan ulamak yang diterajui Yusof Abdullah Rawa, sementara Tok Guru dipertanggungjawabkan memimpin Pas Kelantan. 

Pertama kali saya mengenali secara dekat ialah pada majlis solat hajat di tapak markas tarbiyah Pas di Kampung Saring, Pasir Puteh, 1986. Kehadirannya adalah sedikit sahaja, sekitar 30 orang, majlis sebelah petang, jam 2.00 petang. Secara dekat saya mengenali perwatakan, bicaranya dan interaksi sosialnya. Luarannya, dari segi pakaian sudah menampakkan kesederhaan dan merendah diri seorang Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat.

Bermula awal 1989, saya berpindah tempat kerja, dari Pasir Puteh ke Tumpat. Setiap  malam Khamis dan malam Jumaat, hadiri kuliah beliau di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumahnya. Malam Rabu, setiap dua minggu, beliau menyampaian kuliah di Masjid Langgar, Kota Bharu. 

Setiap pagi jumaat, kuliah pagi jumaat beliau di Dewan Dzulkifli, Pejabat Pas Negeri Kelantan, di Jalan Dato' Pati. Pagi Jumaat, saya hadiri 2 kuliah pagi, jam 7.30 hingga 8.30, kuliah Ustaz Muhammad Mustapha (Pengerusi ABIM Negeri Kelantan) di Masjid Muhammadi, kemudian bergegas ke Dewan Dzulkifli, ikuti kuliah Tok Guru, 9.30 hingga 10.30 pagi. Semasa saya menetap di sebuah taman perumahan di Tumpat antara 1989 hingga 1993, hari Jumaat, padat dengan majlis ilmu. Biasanya, lepas solat subuh di sebuah madrasah di Kampung Padang Tembesu, ada majlis membaca Quran, sebelum barangkat ke Masjid Muhammadi dan Dewan Dzulkifli di Kota Bharu. 

Majlis ilmu di Masjid Pulau Melaka, dihadiri peminat ilmu bukan sahaja dari pengunjung dari daerah Kota Bharu dan sekitar malah dari daerah yang lebih jauh seperti dari Pasir Puteh, Tumpat, Pasir Mas, juga peminat dari Machang, dan Tanah Merah. Biasanya selesai majlis, kami akan bersalaman dengan Tok Guru. Kali pertama saya bersalam dengan Tok Guru, Tok Guru yang duduk memandang ke wajah saya, saya amat terasa bangga dan terharu. Saya tertanya mengapa Tok Guru memandang wajah saya semasa bersalam, sedangkan kepada pengunjung lain, Tok Guru tidak beri layanan seistimewa itu. Peristiwa ini, awal tahun 1989. 

Saya sempat berkunjung ke rumah beliau, iaitu sebelum dilantik sebagai Menteri Besar. Sebelum masuk waktu maghrib, saya membantu menemukan seorang mualaf, mohon Tok Guru umumkan kutipan derma untuk membantu saudara baru tersebut yang tinggal sebatang kara dan alami ganggunan saraf. Saudara baru itu, kebetulan tinggal di sebuah sekolah pondok, bersebelahan taman perumahan tempat saya menginap di Cabang Tiga Berangan. Sebuah rumah kampung dengan ruang tamunya, hanya ada sebiji meja dengan enam kerusi. Di situlah Tok Guru melayani tamu. Masa itu, beliau adalah seorang ADUN dan bekas Ahli Parlimen. Saya amat kagum dengan gaya hidup sederhana seorang Pesuruhanjaya Pas Negeri dan seorang YB. 

Dalam ceramah perdana Angkatan Perpaduan Ummah menjelang PIlihan Raya Umum 1990, yang membariskan pemimpin uatama Pas, Semangat 46, Berjasa dan Hamim, di Kampong Dangar, Pasir Mas, pendengar berdiri tak berganjak dalam bendang yang dipenuhi air sedalam satu kaki selepas hujan lebat. Pentas ceramah dibina mengadap ke bendang padi. Masa kutipan derma, saya yang berdiri tepi pentas, jarak 2 atau 3 kaki dengan Tok Guru, Tok Guru selok poket baju Melayu warna hijau muda tanpa melihat berapa jumlah, terus masuk ke dalam sumpit derma. Saya perhatikan agak banyak juga duit itu.  

Tok Guru dilantik sebagai Menteri Besar pada malam diistiharkan keputusan Pilihan Raya Umum 1990. Kuliah pertama beliau di Masjid Pulau Melaka, 3 hari berikutnya, dihadiri jemaah yang lebih ramai, dari sebelumnya. Tok Guru sebut dalam kuliah sulongnya, anakandanya yang sedang belajar di Pakistan mengucapkan tahniah kejayaan Pas dalam PRU tersebut. Anakandanya tidak menyedari bahawa ayahnya dilantik mengetuai kerajaan. 

Selepas dilantik sebagai Menteri Besar pada 22.10.1990, beliau berhenti beri kuliah di Masjid Langgar, sementara majlis ilmu di Dewan Dzulkifli dan Masjid Pulau Melaka diteruskan.

Kehadiran pendengar kuliah selepas dilantik Menteri Besar, semakin ramai di kedua-dua tempat. Salah satu hobi saya ialah membeli keset kuliah beliau. Penjualan keset kuliah serta ceramah beliau dan penceramah lain semakin banyak khususnya di kaki lima Kedai Jaafar Rawas, di Jalan Dato' Pati. Kuliah tafsir beliau  yang bermula dalam tahun 1961, sebelum bangunan Pas Negeri dibina, bila saya ikuti kuliahnya yang bermula dari Surah Al Nas, dalam tahun 1989, baru masuk Surah Ibrahim. Mengikut cerita, kuliah beliau bermula di Masjid Muhammadi, dan dipindahkan ke Dewan Dzul, selepas kekalahan Pas di Kelantan, 1978.

Kuliah di Masjid Pulau Melaka, mengupas fikah sirah, pada malam Khamis. Mengikuti kuliah beliau di samping mengikuti ceramah beliau sama ada secara langsung atau menerusi keset, kemudiannya disc, memberikan ilmu yang menjadi bekalan amalan dan pedoman perjalanan hidup saya. 

Syukur ke hadrat Ilahi, ditempatkan bertugas di kawasan daerah berhampiran Kota Bharu, selama lima tahun dan selepas bersara sebagai penjawat awam, diberi kesempatan berada dalam aktivistime politik, secara tidak langsung, memberikan saya lebih dekat mengenali, dan menimba ilmu dari seorang tokoh pujaan merintasi sempadanan agama, bangsa dan geografis. Paling penting mendekatkan diri untuk kehidupan di dunia akan datang, dunia selepas mati. Terima kasih Tok Guru, didoakan roh Tok Guru ditempatkan di kalangan para suhada dan solehin. Alfatihah.

 

 

Khamis, 12 Februari 2015

Selepas 10 Februari

SELEPAS 10 FEBRUARI

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersalah ke atas DS Anwar Ibrahim, kelmarin memberikan berbagai ulasan, tafsiran dan andaian. Keputusan tersebut meletakkan satu andaian yang tidak menguntungkan atau memberikan kesan positif kedua-dua pihak dominan dalam politik tanah air; kerajaan dan pembangkang.

Meletakkan DS Anwar dalam tahanan untuk tempoh lima tahun, tidak memberikan pulangan baik atau mengubati prestasi kerajaan minoriti 47 peratus yang memerintah Malaysia hari ini. Sepatutnya tanpa peminpin, Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Pas, akan hadapi laluan dan hari-hari hadapan yang serba berliku-liku, tambahan pula kekalutan isu pembentang bil persendirian pelaksaan Hukum Hudud dan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Tanpa DS Anwar sebagai Ketua Pembangkang, diandaikan meredakan kemelut dilema keyakinan kerajaan pimpinan DS Najib. Membaca kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan Datuk A.Kadir Jasin, dapatlah digambarkan kemelut yang berlaku dalam struktur kuasa kerajaan Persekutuan, yang jauh lebih parah dan besar berbanding masalah dihadapi PR. Kejatuhan nilai mata wang, beringinan dengan kejatuhan harga minyak, harga getah dan harga kelapa sawit, akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara serta kemampuan kuasa beli rakyat selaku pengguna.

Kerajaan dibentuk hasil 47 peratus sokongan pengundi, kerajaan yang paling rendah sokongan selepas merdeka, mengharapkan kemelut kepimpinan dan percanggahan dasar dalam pendokong PR, akan mengembalikan keyakinan rakyat menghadapi PRU14. Mampukah hasil keputusan 10 Februari membuka ruang kepada UMNO/BN bergerak dengan penuh yakin mempertahankan kuasa. 

Semuanya bergantung bagaimana keupayaan dan semangat kerjasama PKR, DAP dan Pas mempastikan kerusi Parlimen Permatang Pauh akan dipertahankan dengan jumlah majoriti besar, sebagaimana tindakan pengundi menghukum BN dalam PRU 1999, sebagai reaksi dan simpati kepada DS Anwar, yang dalam tahanan. Setakat mana semangat kerjasama mereka dalam Konvensyen PR 10 Mei nanti. Sungguhpun tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh belum diumumkan,  di samping pilihan raya negeri di Sarawak, akan memberikan kesempatan kepada BN dan PR memperkukuhkan kekuatan dalaman. Penyelesaian kemelut dalam kedua-dua kelompok: BN dan PR, akan banyak memberi faedah kepada rakyat selaku pembayar cukai, di mana perbelanjaan besar  pasca bencana banjir akan memberi keinsafan dan tarbiyah kepada semua pihak. 

Rabu, 28 Januari 2015

Pilihanraya PBT

SENARIO TERSIRAT DARI PILIHAN RAYA KERAJAAN TEMPATAN

Isu pilihan raya kerajaan tempatan adalah satu isu menarik dalam perbincangan semasa demi mematangkan agenda politik tanah air. Lebih menarik lagi,  tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang ingin meneruskan agenda ini walaupun Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak hasrat kerajaan tersebut, pada 14/08/2015 lalu. Perkembangan terakhirnya, menjadi pergeseran hujah  kepimpinan Pakatan Rakyat.

Tulisan saya di ruang ini, 2 tahun lalu; "Kewajaran Pilihan Raya Kerajaan Tempatan" (12/09/2012) dan "Memang Wajar Pilihan Raya Majlis Tempatan" (14/10/2012), lebih berat sebelah mengolah dari sudut pengertian demokrasi sebagai cara bagaimana manusia mengurus kepentingan bersama. Pandangan positif keperluan pilihan raya kerajaan tempatan dari sudut partisipasi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah di peringkat paling bawah menerusi kuasa legislatif. 

Sungguhpun kuasa legislatif dalam pentadbiran kerajaan tempatan masih wujud tetapi asas Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang digunapakai ianya tidak menggambarkan mewakili penduduk dalam kawasan kuatkuasa. Keanggotaan majlis legislatif secara lantikan tidak menggambarkan perwakilan suara pembayar cukai, lebih berbentuk perwakilan mewakili kerajaan negeri. Ruang menyuarakan pendapat agak terbatas, kebertanggungjawaban kepada pembayar cukai kurang serta mutu perkhidmatan yang rendah, menyaksikan kelemahan kaedah pembentukan badan legislatif kerajaan tempatan.

Kini terdapat 148 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara; 3 Dewan Bandaraya, 9 Majlis Bandaraya, 37 Majlis Perbandaran dan 99 Majlis Daerah. 

PBT bertaraf bandraya terdiri dari 3 Dewan Bandaraya; Kuala Lumpur, Kuching Utara dan Kota Kinabalu. Di samping itu, 9 Majlis Bandaraya; Alor Star, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching Selatan dan Miri. Isu kini ialah bagaimana bentuk kerajaan tempatan yang akan didominasi pengurusannya oleh bukan Melayu dan bukan Bumiputera, berbanding pentadbiran dan pengurusan semasa. Cuma ada 4 Majlis Bandaraya di mana pengundi Melayunya adalah majoriti; Alor Star (63% Melayu), Kuala Terengganu (88%), Shah Alam (68%) dan Johor Bahru (51%). Angka pemilih yang mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diambil sebagai gambaran kasar komposisi penduduk selaku pembayar cukai.

Dari jumlah 37 buah Majlis Perbandaran, cuma 11 sahaja mengandungi penduduk yang diwakili peratusan pemilih berdaftar bermajoriti pemilih Melayu. Kangar, Langkawi, Kota Bahru, Dungun, Kemaman dan Kuala Kangsar, mempunyai lebih 80 peratus penduduk Melayu, sementara Kuantan, Kulim, Sungai Petani, Muar dan Ampang Jaya, di sekitar 56 hingga 70 peratus Melayu. 

Dari angka di atas, cuma satu pertiga atau 30 peratus sahaja, PBT bertaraf bandaraya dan perbandaran akan dikepalai oleh wajah Melayu, sekiranya pemilihan langsung pentadbiran PBT menerusi satu pilihan raya peringkat kerajaan tempatan. Bolehlah dibayangkan dengan 70 peratus pentadbiran bandaraya dan perbandaran dikuasai oleh legislator pilihan pembayar cukai, yang jauh berbeza dengan pentadbiran semasa yang dikendalikan oleh anggota perkhidmatan awam dan lantikan kerajaan negeri. Andaian ini lantaran senario pilihan raya di Malaysia, asas keturunan calon adalah ciri utama perletakan calon dan pilihan pengundi. Polarisasi kaum dalam penentuan calon mengikut kawasan pilihan raya adalah sifat utama mengenali politik Malaysia sejak merdeka. 

Bangkangan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia, ada rasionalitinya. Sungguhpun secara umumnya, parti tidak meletakkan syarat keanggotaan berasaskan kaum, kecuali beberapa parti politik, mana-mana parti pun tidak meletakkan calon merentasi sempadan kaum. Kekecualian hanya kawasan campuran, di mana kaum terbesar di sesuatu kawasan pilihan raya memiliki peratusan tidak melebihi 55 peratus. Mana ada kawasan dengan pengundi dari kaum A melebihi 75 peratus, parti meletakkan calon dari kaum B. Perdana Menteri, DS Mohd Najib, selaku pemimpin utama negara, mustahil diletakkan di kawasan Parlimen Segambut (33% pengundi Melayu), di ibu negara. Ataupun sebagai pemimpin negara perlu bertanding di kawasan campuran sebagai mewakili rakyat berbagai kaum seperti Parlimen Kapar, yang mempunyai pengundi paling ramai di Malaysia, 144,000 orang (dalam PRU13) dengan komposisi: Melayu 51.5%, Cina 33.6%, India 14.4%. Cubaan paling berani, cuma Datuk Abdul Ghani Othman di Parlimen Gelang Patah (33% pengundi Melayu) dalam PRU13 lepas.

Sabtu, 17 Januari 2015

Persempadanan Sarawak

PERSEMPADANAN KAWASAN PILIHAN RAYA DI SARAWAK

Cadangan persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak yang sedang dipamerkan bermula 05/01/2015 untuk menambahkan jumlah bahagian pilihan raya negeri atau kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak dari 71 ke 82. Pertambahan 11 kerusi negeri ini adalah angka paling besar berbanding persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak 1985, 1995 dan 2005. 

Kelainannya persempadanan 2015 tidak melibatkan perubahan dan penambahan kawasan pilihan raya Parlimen. Keanehan ini iaitu tanpa penglibatan kerusi Parlimen ada rasionalnya. Perubahan fizikal serta pertumbuhan demografi menuntut perkhidmatan wakil rakyat yang lebih cekap dan komited kepada tugasan. Wakil rakyat mewakili DUN lebih banyak tugasan dengan pengundi, kerana keperluan pengundi lebih banyak di bahu wakil rakyat DUN berbanding wakil rakyat Parlimen. Keperluan kepada kemudahan asas seperti sistem perparitan, jalanraya, bekalan air, pengangkutan awam, serta keperluan kebajikan sosial seperti bantuan persekolahan, bantuan untuk golongan kurang bernasib baik adalah tanggungjawab wakil rakyat DUN. Wakil rakyat Parlimen dipertanggungjawabkan untuk menggubal dasar negara, dasar untuk kebajikan rakyat, dasar untuk kemajuan negara, yang tidak memerlukan mereka mendekati pengundi atau rakyat di medan atau peringkat akar umbi.

Justeru itu, tuntutan menambah bilangan wakil rakyat DUN lebih utama berbanding dengan pertambahan wakil rakyat  Parlimen. Amalan luar biasa dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak 2015, memperlihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil satu rasional untuk membezakan tugasan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat negeri dengan wakil rakyat Parlimen. Lantaran keupayaan pihak yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan tidak berkeyakinan untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan dalam bab mempersempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen, di seluruh negara. Kerajaan BN di peringkat Persekutuan bukan sekadar gagal menguasai dua pertiga kerusi Parlimen sebagai jamin, lebih malang tidak menggambar sebuah kerajaan mewakili suara majoriti sokongan rakyat, bila cuma mampu mengutip 47 peratus undi popular dalam PRU13 lalu.

Analisis setengah pihak yang menyimpulkan persempadanan kawasan pilihan raya ini untuk memperkukuhkan BN mempertahankan kuasa peringkat negeri, di samping mencaturkan mekanisme pembahagian kerusi di kalangan anggota komponennya. Namun begitu, asas persempadanan semula adalah pertumbuhan penduduk tetap menjadi dimensi utama. 11 kerusi yang ditambah adalah di kawasan pilihan raya Parlimen yang memilik kadar pertumbuhan pengundi yang tinggi.

Di kerusi Parlimen P196 Stampin yang alami kadar pertumbuhan pengundi yang tinggi, dalam tempoh PRU12 (2008) hingga PRU13 (2013), pemilih bertambah seramai 26.11%. Dalam tempoh dua tahun, Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011 dengan PRU13, pengundinya bertambah dari 75,758 kepada 84,820 orang. Kawasan yang mengandungi 70.47% pemilihnya berbangsa Cina, terdiri dari 3 kerusi negeri: Batu Lintang (83.4% Cina), Kota Sentosa (69.34% Cina) dan Batu Kawah (54.0% Cina), akan disempadanakan semula menjadi 4 kawasan, tambahan kerusi Batu Kitang. Dalam PRN 2011, semua kerusi di sini dimenangi oleh calon-calon DAP dan PKR. 

Apakah pembentukan satu kerusi baru dalam kawasan P196 Stampin, kawasan bandar dan pinggiran bandar, memberi ruang untuk SUPP, anggota komponen BN dapat bernafas setelah semua calonnya tewas dalam PRN 2011. Berbanding dengan dua kawasan Parlimen iaitu P212 Sibu dan P219 Miri, di mana kadar pertambahan pemilih adalah tinggi dalam tempoh 2008-2013; 27.8% di Miri dan 20.59% di Sibu. Di Sibu, dalam PRN lalu, BN menang dua kerusi; Bawang Assan (SUPP, dengan 57.7% Cina) dan Nangka (PBB, 53.55% Melayu/Melanau), sementara DAP memenangi Pelawan (89.0% Cina). Di Miri,  DAP menang kerusi Piassau (64.0% Cina) dan Pujut (63.8% Cina), sementara BN menang tipis 56 undi di Senadin (50.2% Cina). Perkiraan sudah barang tentu diambil, tambahan kerusi di setiap kawasan-kawasan Parlimen ini tidak memberi keuntungan kepada BN.

Persempadanan semula ini melibatkan 11 bahagian pilihan raya Parlimen, yang mempunyai kadar peningkatan pemilih melebihi 16% dalam tempoh 5 tahun terakhir, kecuali kawasan bandaran P212 Sibu dan P219 Miri. 

3 bahagian pilihan raya Parlimen dicadangkan tambahan kawasan pilihan raya negeri adalah kawasan kubu kuat PPB, komponen terbesar BN dengan majoriti pengundi adalah Melayu/Melanau. P197 Samarahan, memperlihatkan pertambahan 34.03% pemilih. Kawasan pilihan raya semasa; Asajaya (83% Melayu/Melanau) dan Muara Tuang (53% Melayu/Melanau), akan dipecahkan untuk mewujudkan kawasan pilihan raya negeri yang ketiga; Stakan. 

Kawasan Parlimen P200 Batang Sadong (pertambahan 18.35%) dengan dua kerusi negeri; Sadong Jaya (82.4% Melayu/Melanau) dan Simunjan (61.0% Melayu/Melanau) akan berkongsi pemilih dengan kerusi baru, Kabong. Dalam PRU13, jumlah pemilih bagi Parlimen Batang Sadong, cuma 19,876 orang sahaja, lebih kecil berbanding P195 Mas Gading yang tidak terlibat dengan persempadanan ini.

P213 Mukah yang meningkat pengundinya sebanyak 16.19%, dicadangkan sebuah kawasan tambahan; Tellian, menjadikan Parlimen Mukah akan mengandungi 3 bahagian pilihan raya negeri dengan 2 kawasan sedia ada; Dalat (73.9% Melayu/Melanau) dan Balingian (68.3% Melayu/Melanau). Tambahan 3 kerusi DUN di 3 bahagian pilihan raya Parlimen yang tradisinya semua kerusi sama ada DUN atau Parlimen diperuntukan kepada PBB, secara langsung akan perkukuhkan kedudukan PBB. 

Di Sarawak, masyarakat Bidayuh menguasai komposisi penduduk di kawasan barat daya. Kawasan atau wilayah komuniti Bidayuh ini mempunyai 3 kawasan pilihan raya Parlimen; P195 Mas Gading, P198 Mambong dan P199 Serian. Kerusi Parlimen Mas Gading, walaupun peratus peningkatan pemilih 5 tahun terakhir 17.54%, tidak terlibat dengan persempadanan semula kerana jumlah pemilihnya rendah, 25,000 orang sahaja. 

P198 Mambong dicadangkan ditukar nama kepada Puncak Borneo dengan peningkatan pemilih sebanyak 16.47%. Bahagian pilihan raya Parlimen ini mempunyai 2 bahagian negeri iaitu Bengoh (66.34% Bidayuh) dan Tarat (65.74% Bidayuh. Kerusi Bengoh dicadang ditukar kepada nama Mambong. Satu kerusi DUN dicadangkan di bawah Parlimen ini; Serembu. BN memenangi kerusi Bengoh menerusi calon SUPP dan Tarat menerusi calon PBB dalam PRN 2011. 

P199 Serian, kawasan paling tinggi pemilih Bidayuh, meningkat sebanyak 20.99% bilangan pemilihnya, akan tambah satu lagi kerusi DUN. Kini P199 Serian terdiri dari kerusi negeri; Tebedu (91.1% Bidayuh) dan Kedup (75.3% Bidayuh), akan berkongsi pemilih dengan kerusi baru; Triboh. Dalam PRN 2011 dan PRU13, semua kerusi sama ada DUN atau Parlimen, milik BN menerusi calon-calon PBB.

Terdapat 4 kawasan Parlimen majoriti masyarakat Iban yang mempunyai kadar peningkatan pengundi melebihi 16% dalam tempoh antara PRU12 dengan PRU13; P205 Saratok (19.75%), P215 Kapit (27.15%), P216 Hulu Rajang (23.03%) dan P217 Bintulu (19.10%). Semua kawasan ini terlibat dengan persempadanan semula untuk tambahan satu kerusi DUN di setiap kawasan Parlimen. Di 4 kawasan Parlimen ini, terdapat 9 kerusi DUN, di mana BN menang 8 dari jumlah tersebut, dalam PRN 2011.

Di P205 Saratok, 2 kerusi DUN iaitu Kalaka (63.8% Melayu/Melanau) dimenangi calon PBB/BN, sementara Krian (96.2%), calon BN yang diwakili oleh calon SPDP ditewaskan oleh calon PKR. Keseluruhannya 56.68% pemilih Parlimen Saratok adalah Iban. Satu kerusi baru, Kabong, akan diwujudkan. 

P215 Kapit, sebuah kawasan luas pedalaman Sarawak dengan majoriti pengundi Iban, mempunyai dua kerusi DUN; Pelagus (78.18% Iban) dan Katibas (91.31%), akan dipecahkan kepada tiga kerusi dengan cadangan tambahan kerusi; Selirik. Dalam PRN 2011, BN memperuntukkan Pelagus kepada PRS, sementara Katibas diberikan kepada PBB, BN tewas dikubu tradisinya Pelagus kepada calon Bebas. Pembentukan kawasan pilihan raya negeri Selirik, secara langsung menyediakan satu kerusi majoriti mutlak pemilih Iban. Apakah peningkatan pengundi yang tinggi di kawasan Kapit, sebagai satu jawapan mengatasi kekalahan PRN 2011 di Pelagus.

P216 Hulu Rajang, bahagian pilihan raya Parlimen pedalaman yang paling luas tetapi kepadatan penduduk terendah dengan majoriti pengundi terdiri dari pengundi Iban dan Orang Hulu. Kawasan pilihan raya neger, Balleh (99.03% Iban) dan Belaga (89.78% Orang Ulu) akan berkongsi pemilih dengan kawasan pilihan raya baru, Murum. Kedua-dua kerusi Balleh dan Belaga dimenangi BN menerusi calon-calon PRS dalam PRN 2011. Secara political geography, kawasan pedalaman dan majoriti Bumiputera bukan Islam, menjadi fokus PRS.

Di P220 Baram, kawasan campuran etnik Iban dan Orang Ulu, dengan kerusi DUN semasa; Marudi (61.94% Iban) dan Telang Usan (76.03% Orang Ulu), akan ditambah dengan kerusi baru DUN; Long Lama. Dalam PRN 2011, BN menang menerusi calon SPDP di Marudi dan PBB di Telang Usan. 

Keseluruhannya, tambahan 11 kerusi baru DUN Sarawak melibatkan 3 kawasan Melayu/Melanau, 2 kawasan Bidayuh, 1 kawasan Cina, 1 kawasan Iban dan 4 kawasan campuran Bumiputera bukan Islam. Tambahan kerusi tersebut, cuma satu sahaja, iaitu Batu Kitang, yang menjurus kepada keperluan persempadanan lantaran kepesatan pertumbuhan fizikal dan kependudukan. Baki 10 adalah menepati analisis beberapa pihak, persempadanan ini lebih fokus kepada pertambahan kerusi DUN demi survival parti-parti komponen BN, yang dikepalai oleh PBB. Secara tersusun PRN akan menjelang serta prestasi BN dalam PRN yang merosot, selepas PRN 1987, memerlukan strategi konservatif, persempadanan diperlukan untuk hadapi satu pilihan raya.






Sabtu, 3 Januari 2015

Kerajaan Campuran

KEPERLUAN SEBUAH KERAJAAN CAMPURAN NEGERI KELANTAN

Cetusan idea keperluan pembentukan sebuah kerajaan campuran oleh penerbit akhbar Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, minggu lepas, sebuah lontaran idea yang agak menarik sebagai memulakan gerakerja tahun baru 2015. Cadangan agar BN yang diwakili UMNO selaku pembangkang membentuk kerajaan campuran peringkat negeri bersama Pas yang menguasai kerajaan kini, sebagai langkah segera memulihkan kemusnahan infrastruktur serta musibah diterima rakyat dari bencana banjir. 

Sesuatu yang agak sukar dan luar biasa dalam amalan demokrasi, membentuk sebuah kerajaan campuran sebagai menjawab masalah luar jangka yang berat ditanggung oleh sebuah kerajaan negeri. Banjir besar 1967 di kawasan pantai timur Semenanjung, yang menjejaskan kehidupan rakyat, tidak mendorong kepada pembentukan kerajaan campuran di Kelantan. Yang berlaku adalah usaha menggulingkan kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Pas, dengan kemuncaknya dalam tahun 1968. Spekulasi media tempatan, khususnya akhbar Utusan Melayu, lompat parti di kalangan ADUN dan Ahli Parlimen Pas. Ada ADUN Pas diculik dan istihar keluar parti, berakhir dengan kegagalan undi tak dipercaya di Dewan Undangan Negeri, setelah hanya ADUN Bandar Pasir Mas dan ADUN Kota Bharu Timur (sekarang Melor) sahaja tidak bersama Pas. 

Adakah musibah banjir yang lebih besar dari sudut kerugian, kemusnahan dan kesan psikologis, bulan lepas, mengulangi episod rantaian usaha untuk menjatuhkan sebuah kerajaan negeri yang dipilih rakyat. Mungkinkah ulangan pasca banjir 1971  akan diambil kesempatan untuk mengintai ruang menguasai kerajaan Kelantan kini, sebuah kerajaan pilihan rakyat. Pasca banjir 2014, diambil kesempatan menguji kerajaan negeri era pasca Tok Guru, yang belum diuji dengan isu atau agenda besar.

Ekoran dari pandangan Datuk Hussamuddin Yaacub, ada pihak mencadangkan diadakan satu pungutan suara atau referendum, untuk mengambil keputusan massa apakah perlunya sebuah kerajaan campuran di Kelantan. Sudah barang tentu, sewajarnya menjadi tugasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menguruskan sebuah pungutan suara. Bagaimana SPR hendak menguruskan pungutan suara, apabila SPR tidak mampu menguruskan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang, dua tahun lalu. Jika SPR sangguh menguruskan satu pungutan suara di Kelantan, dan menolak mengurus pilihanraya majlis berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang, jelas sangat untuk siapa SPR jaga kepentingan.

Agenda kerajaan campuran di Kelantan bukanlah boleh direalitikan dalam masa pendek, sedangkan menyelesaikan masalah kesan banjir 2014, perlu disegerakan dalam masa singkat. Mengatur perumahan sementara untuk mangsa banjir, membaikpulih infrastruktur asas pendidikan, membaikpulih jalan perhubungan serta  infrastruktur kesihatan, dan tidak kurang penting mengembalikan semangat warga yang trauma dengan musibah, semuanya menuntut tindakan segera dan agenda jangka masa pendek.

Masa terdekat, apa yang rakyat mahu, apa yang khalayak pengguna perlukan dan apa yang ibu bapa inginkan, ialah menyegerakan pemulihan untuk meneruskan kehidupan; anak-anak dapat ke sekolah, urusan mencari rezeki tidak terbantut  dalam menghadapi kerenah ekonomi tahun baru; harga getah jatuh, harga minyak kelapa sawit jatuh, nilai mata wang jatuh, kenaikan harga barangan pengguna.

Untuk melicinkan pelaksanaan usaha pemulihan dalam masa terdekat ialah kembali kepada semangat federalisme. Mengembalikan status dan hak sebuah kerajaan negeri dalam sistem kerajaan Persekutuan. Hak kerajaan negeri yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati demi keluhuran undang-undang. Elemen-elemen "pecah dan perintah" yang dicipta selepas penolakan rakyat Kelantan terhadap BN-UMNO bermula PRU 1990, harus ditalkinkan. Elemen berkenaan seperti menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan, melantik Penyelia Pembangunan Mukim (sekarang Pengerusi JKKKP), melantik Pentadbir Mukim (dulunya Ketua Penyelia Pembangunan Mukim). 

Elemen-elemen di atas seolah-olah tidak mengiktiraf instutusi yang sudah lama wujud dalam pengurusan dan pentadbiran jentera kerajaan dan masyarakat. Kembalikan struktur eksekutif yang sedia wujud sebelum 1990 lebih penting untuk masa terdekat daripada membicarakan pembentukan kerajaan campuran peringkat negeri Kelantan.