Sabtu, 23 Februari 2019

PRK Semenyih 1

PRK SEMENYIH DIRAMALKAN SENGIT

Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih yang akan berlangsung pada 02/03/2019 yang merupakan PRK ke empat melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Negeri Selangor yang dipertahankan oleh Pakatan Harapan dengan kemenangan bergaya dengan kemenangan besar 51 kerusi dari jumlah 56 kerusi diuji lagi sejauhmana kekuatan pengaruh PH. Semenyih, sama seperti Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia, mempertontonkan kemenangan besar calon PH, mengenepikan cabaran Barisan Nasional (BN) dan Pas. 

Lantaran kemenangan besar dalam PRU14, ketidakcaknaan pengundi dalam 3 siri PRK lepas, apabila peratusan mengundi yang rendah, di bawah 50%, tidak dapat menggambarkan senario sebenar kecenderungan pengundi. Sebaliknya, PRK Semenyih dijangka tidak mengulangi situasi sejuk dan tenang yang memberikan hasil keputusan yang tidak memeranjtkan atau di luar jangkaan. Senario selepas 8 bulan pasca PRU14 menjanjikan jangkaan sikap dan kecenderungan baru pengundi Malaysia yang akan diwakili oleh pengundi Semenyih sebagai gambaran amnya pandangan rakyat secara keseluruhannya. Justeru itu, PRK Semenyih tidaklah seharusnya dilihat atau diletakkan sebaris saperti 3 PRK berkenaan yang diwakili oleh calon PKR dan DAP, tetapi PH yang diwakili calon PPBM atau Bersatu memiliki suasana berbeza. 

Empat orang telah mencalonkan diri masing-masing untuk PRK ini; Muhammad Aiman bin Zainali dari Bersatu mewakili PH yang mempertahankan kerusi, Zakaria bin Haji Hanafi, dari UMNO sebagai calon BN, Nik Aziz Afiq bin Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon bebas, Huan Chee Heng. 

Dalam PRU14, calon PH daripada Bersatu, Bakhtiar Mohd Noor memperolehi 23,428 undi atau 50.76% dari jumlah undi sah, untuk membolehkannya memenangi kerusi ini dengan kelebihan 8,964 undi.  Calon BN dari UMNO, Johan Abdul Aziz yang mempertahankan kerusi hanya perolehi 14,464 undi atau 31.34% undi, calon Pas perolehi 6,966 undi atau 15.09% undi, sementara calon PSM hanya memungut 1,293 undi atau 2.80% dan hilang wang pertaruhan. 

Bekas ADUN  Semenyih, Johan Abdul Aziz gagal pertahan kerusi dalam PRU14 setelah kemerosotan undinya sebanyak 3,458 undi berbanding pencapaiannya dalam PRU13. Beliau memenangi kerusi Semenyih setelah perolehi 17,922 undi atau 48.89% undi berbanding pencabar terdekat iaitu calon PKR yang perolehi 13,165 undi atau 35.91% dari jumlah undi sah. Kejayaan beliau mempertahankan kerusi ini dengan majoriti yang lebih besar berbanding dengan pencapaiannya dalam PRU12, setelah berlaku perpecahan undi pakatan pembangkang. 

Dalam PRU12, calon PSM yang bertanding atas tiket PKR, S. Arutchelvan perolehi 10,448 undi atau 47.44% undi tewas 1,140 undi kepada calon BN setelah calon BN mengaut 11,588 undi atau 52.58% undi. Sebaliknya dalam PRU13, calon PSM tersebut bertanding atas tiket PSM dalam saingan tiga penjuru dan mampu menarik 5,568 undi atau 15.18%. 

Prestasi dalam tiga PRU terakhir yang melibatkan kerusi Semenyih memberikan persembahan berbeza parti-parti yang bertanding yang menjadikan PRK N24 lebih dinamik dalam kecenderungan gelagat pengundi. Sungguhpun BN memenangi PRU12 dan PRU13, tetapi analisis menunjukkan pola pencapaian BN yang merosot secara berterusan. Tugas berat kepada penyertaan BN dalam PRK ini adalah sejauhmana keupayaan BN menyekat aliran kemerosotan ini berlanjutan. Jika aliran kemerosotan berkenaan berlaku semasa BN berada di kedudukan pembangkang dalam kerajaan negeri, apakah keberadaan BN sekarang setelah kehilangan kuasa kerajaan Persekutuan, mampu memberikan peranan baru BN memulihkan imej. 

PRK N24 bagi BN adalah medan ujian baru dari roh perubahan kecenderungan politik dari PRK Cameron Highlands. Sejauhmanakah BN menerusi calonnya Zakaria Haji Hanafi berjaya merebut peluang dari kelemahan dan kelembaban pencapaian kerajaan PH hari ini, untuk meletakkan BN sebagai kuasa pencabar yang digeruni pasca PRU14. Khalayak umum menghalakan tumpuan memerhati gerakkerja pasukan kempen BN di kala usia pemerintahan PH yang sudah 9 bulan masih terumbang ambing meletakkan kerja-kerja demi kesejahteraan rakyat. 

Dalam PRK Cameron Highlands, undi yang diraih Pas dalam PRU14 keseluruhannya memihak ke BN, dalam PRK N24, apakah pendekatan sama digunakan lantaran 6,966 undi Pas dalam PRU tahun lepas, boleh memberikan impaks besar keputusan PRK ini. Sempadan yang memisahkan antara BN dan Pas nampaknya semakin dirobohkan, menjadikan PRK ini amat mendebarkan sekurang-kurangnya dua kem yang berada PH dan BN. 

Jika dalam PRK Cameron Highlands, di kawasan pengundi Melayu hanya 33%, pengundi yang menyokong Pas dalam PRU14 yang mengaut 14.77% undi menjadi faktor utama membantu BN, tidak mustahil kategori pengundi yang sama di Semenyih yang memiliki 69.2% pengundi Melayu,  iaitu sebanyak 15.09% dari jumlah undi sah, menjadi faktor berulang. Perbezaan demografi, taburan etnik, sosio-geografis dan aktiviti ekonomi antara Cameron Highlands dan Semenyih, yang boleh menyekat berulangnya kebangkitan semangat dan kerjasama politik pengundi Melayu.  

Perhatian utama kepada prestasi PH dalam PRK N24 ialah keupayaan PH mengulang kejayaan besar dengan majoriti 8,964 undi dalam PRU14. Muhammad Aiman Zainali yang dipertanggungjawabkan menggalas harapan parti, khususnya Bersatu, berdepan dengan tugas berat mempertahankan kejayaan besar bapa mertuanya dalam PRU tahun lepas. Kemelut yang kedengaran dalam hubungan intra-party dalam PH membebani calon  PH mempertahankan pencapaian. 

Komposisi etnik yang membentuk pemilih Semenyih; Melayu seramai 36,857 orang atau 69.2%, Cina dengan 8,939 pemilih atau 16.8%, India seramai 7,062 orang atau 13.3% dan seramai 399 pengundi lain-lain kaum atau 0.2%, menjumlahkan 54,482 pengundi. Dalam PRK Cameron Highlands, keputusan undi lebih berpolakan etnik secara umumnya, dengan BN mendapat sokongan dari pengundi Melayu dan Orang Asli yang merangkumi 55% pemilih sementara PH disokongan pemilih Cina dan India di mana pemilih Cina dan India membentuk 45% dari jumlah pemilih. Disokongan peratusan keluar mengundi di kalangan pengundi Cina dan India yang lebih rendah berbanding PRU14, di beberapa daerah mengundi dalam kawasan Tanah Rata, membolehkan BN menang lebih besar, dari majoriti 597 undi ke lebih 3,000 undi. Oleh kerana Semenyih adalah kawasan majoriti Melayu, faktor penentuan kemenangan banyak bergantung kepada keputusan dan kecenderungan pemilihan pengundi Melayu. Dalam PRU14, daerah mengundi di kawasan bandar memihak kepada calon PH, sementara daerah mengundi kampung tradisional dikuasai oleh BN. 

Pengaruh calon bebas, Uncle Kentang, seorang aktivis sosial yang dikenali ramai yang masih belum diuji perlu diberi perhatian juga, kerana beliau calon tunggal bukan Melayu. Perolehan undi yang besar kepada calon bebas akan menjejaskan peluang calon PH. Sama ada Uncle Kentang mempunyai dominant factor walaupun persaingan sebenar adalah antara PH yang mempertahankan kerusi dengan BN pencabar terkuat selepas PRU14. 

Sungguhpun PSM menurunkan muka baru, dijangka tidak menjadi faktor yang membebankan. Prestasi PSM menerusi tokohnya, Arul dalam tiga PRU yang semakin merosot, menjadikan PSM bukanlah satu cabaran. Langkah PSM menukar calon dengan harapan PSM dapat memperbaiki prestasi terletak kepada keberkesanan kempen dan peribadi Nik Aziz Afiq merealisasikan inspirasi sosialisme yang sudah lama bertapak di Semenyih dalam persaingan PH pertahan status dan BN merebut peluang. 

Hari pembuangan undi berbaki satu minggu lagi. Apapun prestasi dan hasil PRK N24 bergantung kepada kerja-kerja akhir jentera setip parti dan calon dalam tempoh berbaki ini. Apa saja perkembangan yang berlaku dalam tempoh satu minggu ini akan sedikit sebanyak mengubah keputusan.







 

Ahad, 17 Februari 2019

Kerjasama BN-Pas 2

KERJASAMA BN-PAS SEBAGAI SATU AMARAN KEPADA KERAJAAN NEGERI KEDAH, PERAK, NEGERI SEMBILAN DAN MELAKA

Dalam paparan blog penulis minggu lepas digambarkan pemerintahan Pakatan Harapan dalam keadaan goyah seandainya kerjasama gabungan BN khususnya UMNO bersama Pas yang mula menampakkan hasil dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands semakin mantap dan kukuh. Impaks dari kerjasama BN dan Pas tersebut bukan sahaja memberi ancaman kepada PH yang menguasai kerajaan Persekutuan tetapi lebih besar ancamannya ke atas pemerintahan PH yang menguasai kerajaan negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka. 

Kesulitan PH membentuk kerajaan negeri Kedah selepas PRU14 akan membentuk harapan yang tipis untuk mempertahankan kemenangan dalam PRU15. PH yang memenangi 18 kerusi  gagal perolehi majoriti mudah membentuk kerajaan negeri bila baki 18 kerusi milikan BN (3 kerusi) dan Pas (15 kerusi). Kemelut penubuhan kerajaan Kedah selesai setelah 3 ADUN BN/UMNO bersetuju menyokong PH membentuk pemerintahan. Beberapa bulan kemudian, ADUN BN dari Guar Chempedak bersama PH apabila menyertai PPBM. 

Seandainya BN bersama Pas, undi gabungan BN-Pas mengatasi undi PH di 11 kerusi DUN, yang akan meletakkan PH bertahan dengan 7 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Undi gabungan BN-Pas dalam PRU14 mengatasi undi PH yang memenangi 11 kerusi: Kulim, Alor Mengkudu, Bukit Kayu Hitam, Kota Siputeh, Pengkalan Kundor, Bukit Selambau, Anak Bukit, Ayer Hangat, Gurun, Kubang Rotan dan Kuah. 

Di kerusi Kulim, undi PH: 13,070, BN: 9,275, Pas: 9,080, dengan gabungan undi BN-Pas berjumlah 18,355, mengatasi undi PH sebanyak 5,285 undi.  Bagi kerusi Alor Mengkudu, PH: 8,840 undi, BN: 6,434, Pas: 6,964, menjumlahkan 13,398 undi untuk gabungan BN-Pas, meninggalkan undi PH: 4,558 undi.  Sementara di kerusi Bukit Kayu Hitam, gabungan undi BN-Pas mengatasi undi PH sebanyak 4,375 undi, apabila BN perolehi 8,874 undi, Pas: 6,528 undi dan PH: 11,027 undi. Di kerusi Kota Siputeh, undi PH: 7,265, BN: 5,795, Pas: 5,798, yang menjumlahkan 11,593 undi jika dicantumkan undi BN dan Pas, dengan 4,328 undi meninggalkan undi PH. Di Pengkalan Kundor, undi PH: 11,578, BN: 6,524, Pas: 9,088, dengan gabungan undi BN-Pas berjumlah 15,612 undi, iaitu 4,034 undi atasi undi PH. Bagi kerusi Bukit Selambau, satu kawasan campuran dengan gabungan undi BN-Pas atasi undi PH dengan 3,814 undi, apabila gabungan undi 21, 387 iaitu dari BN: 9,449 dan Pas: 11,934 berbanding undi PH: 17,573. 

Di 11 kawasan atau kerusi DUN berkenaan memperlihatkan kerusi tradisi yang menjadi perebutan antara BN dan Pas, telah memberi laluan PH memenangi kerusi berkenaan hasil perpecahan undi yang memberikan undi yang setara antara 3 parti. Persaingan 3 penjuru di negeri Kedah telah memberi laluan mudah kepada PH. Di 11 kerusi berkenaan, undi BN lebih besar berbanding undi Pas di 6 kerusi, sementara undi Pas mengatasi undi BN di 5 kerusi. Jika kerjasama BN-Pas menjadi realiti, BN yang memenangi 3 kerusi dalam PRU14 akan bertambah 6 kerusi, sementara Pas akan menambahkan 5 kerusi. Ini akan membentuk kedudukan; PH: 7 kerusi, BN: 9 kerusi, Pas: 20 kerusi, yang akan memudahkan Pas menguasai kerajaan negeri Kedah. 

Dari segi undi popular, PH mengaut 343,519 undi dari jumlah undi sah 940,374 undi atau 36.53%, bakinya 33.73% milikan Pas, dan 29.64% oleh BN. Sungguhpun PH berjaya perolehi 50% kerusi DUN tetapi hanya disokong oleh 1/3 pengundi sahaja. Kerajaan PH yang tidak mendapat sokongan suara majoriti rakyat menggambarkan sebuah kerajaan yang dibina atas sokongan minoriti rakyat.
 
Dewan Undangan Negeri Perak akan berubah kedudukan, andainya berlaku kerjasama pilihan raya antara BN dan Pas. Hasil PRU14, PH menguasai 29 kerusi, BN: 27 kerusi, Pas: 3 kerusi, akan berubah apabila dianalisis jumlah undi gabungan undi BN dan Pas berbanding perolehan undi PH. 10 kerusi yang dimenangi PH menunjukkan gabungan undi BN-Pas mengatasi undi PH. Sungguhpun BN yang bertandingan di semua 59 kerusi DUN bersama PH, 5 calon BN hilang wang pertaruhan, sementara 3 calon Pas hilang wang pertaruhan dan hanya meletakkan 44 calon sahaja, kedudukan PH yang menguasai kerajaan negeri Perak dalam situasi tidak stabil. 

Gabungan undi BN dan Pas di 10 kerusi DUN: Manjoi, Titi Serong, Pasir Panjang, Hulu Kinta, Kemunting, Kuala Kurau, Behrang, Chenderiang, Sungai Rapat, Tebing Tinggi, mengatasi undi calon PH yang memenangi kerusi berkenaan. 

Di kerusi Manjoi, undi PH: 20,052 undi, ketinggalan sebanyak 7,298 undi kiranya undi BN dan Pas digabungkan yang berjumlah 27,350 undi (BN: 16,520, Pas: 10,830).  Di Titi Serong, PH memperolehi 7,600 undi, BN: 7,460, Pas: 6,993, yang menjumlahkan gabungan undi BN dan Pas sebanyak 14,453 undi, iaitu 6,853 undi atasi undi PH. Sementara di kerusi Pasir Panjang, undi PH sebanyak 14,123 undi, dipintas oleh gabungan undi BN dan Pas sebanyak 6,576 undi, apabila dicampurkan undi BN: 12,904 dan Pas: 7,795 berjumlah 20,619 undi. Dalam PRU12 dan PRU13, ketiga-tiga kerusi ini menjadi saingan sengit UMNO dan Pas, masing-masing pernah memenangi kerusi-kerusi berkenaan. 

Di kerusi Hulu Kinta, gabungan undi BN dan Pas berjumlah 21,478 undi mengatasi undi PH sebanyak 3,712 undi. Di kerusi ini PH perolehi 17,766 undi, BN: 14,053, Pas: 7,425. Di Kemunting, undi diperolehi PH: 9,898, BN: 8,118, Pas: 5,276, gabungan undi BN dan Pas: 13,394 mengatasi undi PH: 3,496. Di Kuala Kurau, PH: 8,655, BN: 6,012, Pas: 5,997 undi, jumlah undi gabungan BN-Pas: 12,009 undi iaitu 3,354 undi mengatasi undi PH. 

Jumlah 10 kerusi dimenangi PH dengan undi yang lebih rendah berbanding campuran undi BN dan Pas, akan menghilangkan 10 kerusi PH dari jumlah asal catatan dalam PRU14 iaitu 29 kerusi. Kerusi PH akan hanya tinggal 19 kerusi sahaja, sebaliknya kerusi BN akan bertambah dari 27 kepada 37 kerusi dalam DUN Perak. Pas tidak alami perubahan, kekal dengan 3 kerusi. 

Dalam PRU14, PH yang memperolehi 29 kerusi dari jumlah 59 kerusi DUN, mengumpulkan sokongan 595,219 undi atau 50.07% dari jumlah 1,188,701 undi sah peringkat Bahagian Pilihan Raya Negeri seluruh Perak. BN perolehi 33.29% undi, sementara Pas, 16.38%. Ketidakseimbangan taburan pengundi mengikut Bahagian Pilihan Raya Negeri meletakkan seandainya kerusi tinggal 19 kerusi tetapi ianya mendapat sokongan separuh pengundi. 

Kerajaan PH yang menguasai pentadbiran negeri Melaka setelah berjaya mengatasi BN dengan kelebihan 2 kerusi, untuk menumpaskan kerajaan pimpinan BN dalam PRU14, berdepan dengan risiko kehilangan kuasa apabila BN dan Pas mengadakan kerjasama pilihan raya. Dalam PRU14, PH memenangi 15 kerusi dan BN sebanyak 13 kerusi, sementara Pas gagal memenangi sebarang kerusi. Pas yang hanya bertanding di 24 kerusi dari jumlah 28 kerusi DUN, seramai 10 orang calonnya hilang wang pertaruhan. 

PH menang selesa di 9 kerusi DUN: Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir, Ayer Keroh, Bukit Katil, Paya Rumput, Rambia, Machap, Pengklan Batu, bila peranan Pas tidak berpengaruh. Pas tidak bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu: Kota Laksamana, Kesidang dan Bandar Hilir. Semua calon Pas hilang wang pertaruhan di 6 kerusi yang lain. Kiranya wujud kerjasama BN dan Pas, ianya tidak menjejaskan sokongan pengundi kepada PH. 

Di 6 kerusi yang dimenangi PH, memperlihatkan jumlah undi gabungan BN dan Pas mengatasi undi PH. Kerusi berkenaan: Duyong, Durian Tunggal, Bemban, Merlimau, Gadek, Telok Mas. Di 6 kerusi ini, Pas mempunyai sedikit pengaruh apabila semua calonnya tidak hilang wang pertaruhan, memperolehi undi di antara 12.5% hingga 19.9%. Contohnya di kerusi Telok Mas, satu kawasan dalam bandaraya Melaka,  undi gabungan BN (6,406 undi) dan Pas (3,164 undi) berjumlah 9,570 undi mengatasi undi PH sebanyak 1,879 undi, di mana undi PH: 7,694. 

Apabila 6 kerusi yang dimenangi PH lebih rendah berbanding undi gabungan BN dan Pas, yang boleh menyebabkan PH akan berkurangan dari 15 kerusi kepada 9 kerusi sahaja dalam DUN Melaka. Sebaliknya, BN akan meningkatkan dari 13 kepada 19 kerusi untuk merampas balik penguasaan kerajaan negeri. 

Kerajaan Negeri Sembilan yang dirampas oleh PH dalam PRU14 akan tergugat dengan kerjasama BN dan Pas. Penguasaan PH dengan 20 kerusi dalam DUN Negeri Sembilan tidaklah sekuat mana setelah BN sebagai pembangkang memiliki 16 kerusi. PH menang selesa di 18 kerusi, lantaran pengaruh dan kekuatan Pas sebagai pihak ketiga yang kurang mencabar. Pas bertanding di 27 kawasan dari jumlah 36 kerusi DUN dan hilang wang pertaruhan di 23 kerusi. Walaubagaimana pun, pemuafakatan antara BN dengan Pas mampu menggugat kestabilan pemerintahan PH. 

Di kerusi Lenggeng, PH memperolehi 7,456 undi, BN: 6,470 undi, Pas: 1,612 undi. Gabungan undi BN dan Pas menjumlahkan undi sebanyak 8,082, iaitu 626 undi mengatasi undi PH. Sementara bagi kerusi Labu, undi PH sebanyak 6,712, adalah lebih rendah jika undi BN: 5,830 dan Pas: 2,093 digabungkan. Gabungan undi BN-Pas sebanyak 7,923 undi mengatasi undi PH sebanyak 1,211 undi. Kedua-dua kerusi dimenangi PH ini berada dalam kawasan bandaraya Seremban. 

Kerjasama BN dan Pas akan mengurangkan kerusi PH daripada 20 kerusi kepada 18 kerusi sebaliknya menmbahkan kerusi BN dari 16 kepada 18 kerusi. Kedudukan kerusi seimbang antara PH dan BN akan mewujudkan badan legislatif tergantung yang akan membawa kepada krisis keyakinan dan krisis perundangan. Keadaan ini tidak sama dengan apa yang berlaku di Kedah, Perak dan Sabah selesai PRU14, kerana selain PH atau Parti Warisan dan BN, ada ADUN dari parti lain yang menjadi "king maker" yang boleh menyelamatkan keadaan kegagalan mana-mana parti membentuk kerajaan. 

Kiranya kerjasama BN dan Pas lebih mantap dan berterusan menjelang PRU14, bukan sahaja mengancam kedudukan PH sebagai parti pemerintah, malah akan mengubah senario beberapa negeri. BN akan kukuh di Pahang dan Perlis serta berpeluang mengambil alih Perak dan Melaka. Pas akan selesa di Kelantan dan Terengganu serta berpotensi menguasai Kedah. Negeri Sembilan menjadi rebutan antara PH dan BN. Persaingan dua penjuru yang memberi ruang kepada BN dan Pas meningkatkan prestasi dalam politik demokrasi  masa depan Malaysia.







 

Isnin, 11 Februari 2019

Kerjasama BN-Pas 1

ANCAMAN KERJASAMA BARISAN NASIONAL- PAS  KEPADA POLITIK SEMASA

Kerjasama  antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas sebagai persefahaman politik pembangkang diambil kesempatan bermula pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Peluang ini diisi kesan persaingan 3 penjuru dalam PRU14 yang memperlihatkan kehilangan kuasa BN lantaran perpecahan undi masyarakat Melayu khususnya. 

Dalam PRU12 dan PRU13, lantaran umumnya wujud saingan dua penjuru antara BN yang mempertahankan pemerintahan dengan pakatan pembangkang yang menyepakatan PKR, Pas dan DAP. Sungguhpun BN masih bertahan dengan tanda-tanda akan kehilangan kuasa, perebutan undi Melayu, kelompok utama masyarakat pemilih nasional, lebih memihak kepada BN. Sebaliknya dalam PRU14, perpecahan undi Melayu banyak membantu pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH). Kawasan majoriti pengundi bukan Melayu/Islam lebih mudah ditawan oleh PH, kawasan majoriti besar Melayu/Islam memilih BN atau Pas, sementara rebutan di kawasan campuran atau majoriti kecil pengundi Melayu membuka ruang kemenangan PH. 

Keputusan 5 PRK; 3 kerusi DUN Selangor dan 2 kerusi Parlimen mempamerkan kerjasama antara BN dan Pas demi mewujudkan saingan 2 penjuru menterjemahkan perubahan drastik hasil pengundian atau kecenderungan pemilih berbanding saingan 3 penjuru melibatkan BN, PH dan Pas dalam PRU14. 

Detik bermula dalam PRK Sungai Kandis (08/08/2018), Pas yang mendapat 7,573 undi atau 17.54% undi tidak mengganggu usaha BN menentang PH secara satu lawan satu. Hasilnya PH yang menang dengan majoriti 12,480 undi dalam PRU14 dalam saingan 3 penjuru, hanya menang dengan majoriti 5,842 undi sahaja. Lantaran peratusan keluar mengundi yang rendah dalam PRK iaitu 49.36% berbanding 86% dalam PRU14, undi calon PH telah merosot sebanyak 48.21% berbanding cuma 16.78% untuk BN. 

Dalam PRK Seri Setia (08/09/2018), Pas yang hanya memperolehi 10.39% undi dan hilang deposit diberi laluan oleh BN untuk mewakili pembangkang, sedangkan BN perolehi 22.50% undi dalam PRU14. Calon PH menang dengan majoriti 19,372 undi dalam PRU14, hanya menang dengan 4,027 undi sahaja dalam PRK. Pas telah berjaya menambahkah sekali ganda undi dengan perolehi 41.40% undi dalam PRK, berbanding undi PH merosot dari 66.62% dalam PRU14 kepada 58.60% sahaja. Undi PH memanglah merosot lantaran peratusan keluar mengundi yang rendah dalam PRK iaitu 44.09% berbanding 84.0% dalam PRU14. Justeru itu, peratusan undi yang diperolehi sewajarnya diambil perkiraan menentukan prestasi. 

Kejayaan BN meningkatkan undi serta majoriti dalam PRK Cameron Highlands mengukuhkan persepsi kerjasama pilihan raya BN dengan Pas memberikan impaks besar dalam iklim demokrasi kepilihanraya semasa.

Bahagian pilihan raya Persekutuan atau kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia mempunyai 165 kawasan pilihan raya. Dari kawasan yang mempunyai peratusan pengundi Melayu melebihi 90% iaitu 28 kawasan, PH hanya menang di 2 kawasan sahaja iaitu Jerlun (91.10% Melayu) dan Langkawi (90.70% Melayu). 11 kawasan dimenangi BN dan 15 kawasan dimenangi Pas.  

Di kerusi Jerlun yang dimenangi PH bila perolehi 18,695 undi atau 42.55%, sedangkan undi Pas adalah 12,829 undi atau 29.20% dan BN perolehi 12,413 undi atau 28.25%. Bila digabungkan undi Pas dan BN menjumlahkan 25,242 undi mengatasi undi PH dengan kelebihan 6,547 undi. 

Sebanyak 21 kawasan adalah pengundi Melayu dalam lingkungan 80 hingga 89%, di mana PH menang 3 kerusi, 15 oleh BN dan 3 kerusi Pas. 3 kerusi yang dimenangi PH: Kubang Pasu (84.0% Melayu), Kangar (82.04%) dan Pokok Sena (80.50%).  Undi PH di Kubang Pasu adalah 29,984 undi, sementara BN 16,925 undi dan Pas 13,375 undi. Gabungan undi BN dan Pas berjumlah 30,350 undi, mengatasi undi PH sebanyak 366 undi. 

PH menang di Kangar apabila memperolehi 20,909 undi untuk mengatasi undi BN: 15,306 dan Pas: 8465. Jika dicampurkan undi BN dan Pas, menjumlahkan 23,771 undi, iaitu 2,862 undi meninggalkan PH. Di kerusi Parlimen Pokok Sena, calon PH menang besar hasil perpecahan undi pembangkang, bila PH perolehi 28,959 undi, berbanding Pas yang mendapat 23,401 undi, sementara BN dengan 18,390 undi. Gabungan undi Pas dan BN sebanyak 41,791 undi jauh meninggalkan PH dengan 12,832 undi. 

49 kawasan pilihan raya Parlimen memiliki peratusan pengundi Melayu antara 60 hingga 79%, di mana 30 kerusi dimenangi PH dan 19 kerusi milik BN, Pas tidak memenangi sebarang kerusi dalam kelompok ini. 18 dari jumlah 30 kerusi tersebut, dimenangi oleh PH dengan pungutan undi kurang 50%, yang membuka ruang ancaman kiranya BN dan Pas bekerjasama untuk membolehkan saingan satu lawan satu. 25 kerusi tersebut ialah;

1. Kerusi Parlimen Kuala Kedah (78.00% pengundi Melayu), PH memungut 36,624 undi, BN perolehi 19,400 undi, Pas 23,143 undi yang menghasilkan 42,543 undi kiranya digabungkan undi BN dan Pas iaitu meninggalkan PH dengan 5,919 undi.  

2. Kuala Pilah (76.90% Melayu); PH: 18,045 undi, BN: 17,845 undi , Pas: 4347 undi. Gabungan undi BN-Pas: 22,192 undi, mengatasi undi PH dengan 4,147 undi.

3. Lumut (72.05% Melayu); PH: 21,955, BN: 21,555, Pas: 10,135. Gabungan undi BN-Pas: 31,690, atasi undi PH: 9,735.

4. Titiwangsa (70.48% Melayu); PH: 23,840, BN: 19,701, Pas: 6845. Gabungan undi BN-Pas: 26,546, atasi undi PH: 2,706.

5. Tangga Batu (69.78% Melayu); PH: 32,420, BN: 27,761, Pas: 8,961. Gabungan undi BN-Pas: 36,722, atasi undi PH: 4,302.

6. Parit Buntar (69.35% Melayu); PH: 16,675, BN: 13,655, Pas: 12,312. Gabungan undi BN-Pas: 25,967, atasi undi PH: 9.214.

7. Kulim Bandar Baru (68.90% Melayu); PH: 23,159, BN: 18,299, Pas: 12,885. Gabungan undi BN-Pas: 31,184, atasi undi PH: 8,025.

8. Sungai Besar (68.71% Melayu); PH: 17,850, BN: 16,636, Pas: 7,220. Gabungan undi BN-Pas: 23,856, atasi undi PH: 6,506.

9. Kuala Selangor (67.60% Melayu); PH: 29,842, BN: 21,344, Pas: 8,535. Gabungan undi BN-Pas: 29,879, atasi undi PH: 37.

10. Temerloh (67.07% Melayu); PH: 23,998, BN: 22,094, Pas: 14,734. Gabungan undi BN-Pas: 36,828, atasi undi PH: 12,830.

11. Indera Mahkota (66.79% Melayu); PH: 28,578, BN: 17,628, Pas: 17,515. Gabungan undi BN-Pas: 35,143, atasi undi PH: 6,565.

12. Kuantan (66.52% Melayu); PH: 22,807, BN: 13,667, Pas: 14,696. Gabungan undi BN-Pas: 28,363, atasi undi PH: 5,556.

13.Merbok (66.50% Melayu); PH: 30,902, BN: 20,830, Pas: 19,618. Gabungan undi BN-Pas: 40,448, atas undi PH: 9,546.

14. Tambun (66.32% Melayu); PH: 38,661, BN: 23,341, Pas: 14,948. Gabungan undi BN-Pas: 48,249, atasi undi PH: 9.628.

15. Sri Gading (65.21% Melayu); PH: 21,511, BN: 18,223, Pas: 4,548. Gabungan undi BN-Pas: 22,771, atasi undi PH: 1,260.

16. Tampin (62.69% Melayu); PH: 22,435, BN: 21,433, Pas: 4,598. Gabungan undi BN-Pas: 26,031, atasi undi PH: 3,596.

17. Sungai Petani (61.00% Melayu); PH: 45,532, BN: 23,963, Pas: 22,760. Gabungan undi BN-Pas: 46,723, atasi undi PH: 1,191.

18. Hulu Selangor (60.39% Melayu); PH: 40,783, BN: 27,392, Pas: 16,620. Gabungan undi BN-Pas: 44,012, atasi undi PH: 3,229.

Kawasan campuran iaitu pengundi Melayu di antara 40% hingga 59% berjumlah 37 kerusi Parlimen, di mana 34 kerusi dimenangi PH, sementara baki 3 kerusi dikuasai BN.  7 dari kerusi dimenangi PH, bila PH hanya menguasai kurang 50% undi. Kerusi-kerusi ini membuka ruang kepada ancaman dari BN dan Pas, bila mereka berkerjasama untuk mengelakkan pertembungan. Kerusi berkenaan ialah;

1. Padang Serai (58.40% Melayu); PH: 31,724, BN: 15,449, Pas: 22,911. Gabungan undi BN-Pas: 38,360, atasi undi PH: 6,636.

2. Kuala Langat (57.26% Melayu); PH: 43,239, BN: 26,127, Pas: 18,731. Gabungan undi BN-Pas: 44,858, atasi undi PH: 1,619. 

3. Tanjong Malim (55.56% Melayu); PH: 24,672, BN: 19,314, Pas: 10,311. Gabungan undi BN-Pas: 29,625, atasi undi PH: 4,953.

4. Kapar (54.50% Melayu); PH: 47,731, BN: 26,412, Pas: 31,425. Gabungan undi BN-Pas: 57,837, atasi undi PH: 10,106. 

5. Tanjong Piai (53.88% Melayu); PH: 21,255, BN: 20,731, Pas: 2,962. Gabungan undi BN-Pas: 23,693, atasi undi PH: 2,438.

6. Raub (52.23% Melayu); PH: 20,659, BN: 17,500, Pas: 7,866. Gabungan undi BN-Pas: 25,366, atasi undi PH: 4,707.

7. Bentong (46.63% Melayu); PH: 25,716, BN: 23,684, Pas: 5,706. Gabungan undi BN-Pas: 29,390, atasi undi PH: 3,674.

Bagi kawasan majoriti bukan Melayu iaitu sebanyak 30 kerusi, di mana pengundi bukan Melayu merangkumi lebih 60% dari jumlah pemilih, BN hanya menang di Cameron Highlands (66.40% bukan Melayu) sahaja, baki 29 kerusi atau 96.7% milikan PH. Jika faktor Cameron Highlands sebagaimana pengalaman PRK 26/01/2019 dijadikan sebagai asas kecenderungan pemilihan pengundi pasca PRU14, gabungan sokongan BN dan Pas akan memberi ancaman besar kepada PH mempertahankan pemerintahan dalam PRU15 kelak. 

Dalam PRU14, pencapaian PH peringkat kerusi Parlimen di Semenanjung ialah 97 kerusi (termasuk kerusi Parlimen Batu yang dimenangi melalui calon bebas), BN perolehi 50 kerusi dan Pas 18 kerusi. Lantaran keupayaan gabungan BN-Pas mengatasi kekuatan sokongan PH di 29 kawasan di atas, berasaskan faktor Cameron Highlands, PH akan kehilangan 29 kerusi secara mudah yang akan mengurangkan kekuatan PH kepada 68 kerusi. Sebaliknya 23 kerusi PH akan beralih kepada BN dan 6 kerusi kepada Pas. Ini akan mengukuhkan gabungan BN-Pas kepada 97 kerusi. Andaian mudah ini atas rasional, jika kawasan majoriti bukan Melayu boleh membina kejutan, berbanding kawasan majoriti Melayu yang lebih memihak kepada BN dan Pas dalam PRU14.

Seandainya gabungan BN-Pas menguasai 97 kerusi atau 58.78% kerusi di Semenanjung, akan mengulangi penguasaan 97 kerusi Semenanjung oleh PH, yang berjaya membentuk pemerintahan, setelah mendapat sokongan dari perwakilan Sabah dan Sarawak. Realiti memperolehi sokongan 14 kerusi dari Sabah dan Sarawak untuk perolehi majoriti mudah 111 kerusi di Parlimen, tidak mustahil. Kerusi Parlimen Putatan sudah memperlihatkan gabungan undi BN-Pas mengatasi undi PH dalam PRU14, PH yang diwakili PKR perolehi 14,106 undi, BN: 11,767, Pas: 2,434, yag menjumlahkan gabungan undi BN-Pas: 14,201.

Di samping itu, jumlah undi PH menunjukkan perbezaan yang kecil mengatasi gabungan undi BN-Pas, di 6 kerusi, di mana bezanya kurang 2 peratus. Kerusi PH tersebut; Lembah Pantai (beza 321 undi atau 0.48%), Sungai Siput (beza 413 undi/1.00%), Simpang Renggam (beza 492 undi/1.37%), Alor Gajah (beza 845 undi/1.46%), Alor Setar (beza 1,019 undi/1.59%), dan Permatang Pauh (beza 1,240 undi/1.78%). Kerusi-kerusi ini akan menjadi kerusi yang terumbang ambing terdedah kepada ayungan undi berasaskan perkembangan pasca PRU14 ke PRU15. 

Isu-isu pasca PRU14 yang gagal ditangani pemerintahan pimpinan PH akan mempercepatkan momentun semangat kerjasama pilihan raya BN dan Pas yang mula dirintis dalam beberapa PRK, pastinya menggugat kuasa PH. Momentun ini akan memudahkan strategi bersama BN-Pas meredakan arus sokongan rakyat kepada pemerintahan PH serta merealisasikan persaingan satu lawan satu dalam PRK dan PRU15.














 

Rabu, 30 Januari 2019

PRK Cameron Highlands 4

APAKAH ISU PERKAUMAN DAN JANJI TAK TERTUNAI MERANAPKAN PAKATAN HARAPAN

Ulasan hasil Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands tempoh hari kedua-dua parti yang bertanding telah memperlihatkan kontradiksi kecenderungan hujah. Kepimpinan dan penyokong Barisan Nasional (BN) melihat kepada kekuatan jentera di samping isu semasa sebagai faktor utama membantunya memperbaiki prestasi berbanding pencapaian semasa Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lapan bulan yang lalu. Isu semasa yang difokuskan ialah kegagalan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) menunai janji pilihan raya.

Sebaliknya PH mempersalahkan jentera BN menggunakan isu perkauman yang telah mengurangkan sokongan kepada PH. Untuk counter attack serangan BN, PH hanya bertahan dengan mengikar semula isu dalam PRU14, yang bertumpu kepada amalan-amalan tak bermoral pemerintahan dan pentadbiran di bawah BN. Lantaran keberkesanan isu yang mengendurkan sokongan kepada BN dalam PRU14, isu-isu yang dibangkitkan dulu gagal mematahkan isu kegagalan menunai janji pilihan raya. 

PH yang mengekalkan calon DAP untuk mencabar kerusi yang dipertahankan oleh BN, agak ketinggalakan berbanding BN yang dengan beraninya mengorbakan kerusi tradisi MIC, untuk menonjolkan seorang keturunan Orang Asli merintis laluan menduduki kerusi Dewan Rakyat. Menerokai laluan Orang Asli pertama ke Parlimen memperlihatkan keterbukaan BN serta mengiktiraf peranan dan hak etnik berkenaan sebagai kelompok minoriti. 

PRK P078 merekodkan peratusan keluar mengundi yang tertinggi selepas PRU14. 68.79 peratus dari jumlah pemilih 32,008 telah menunai hak mereka. Sungguhpun angka ini berkurangan berbanding peratusan keluar mengundi sebanyak  75.86% yang dicatat dalam PRU14, peratusan keluar mengundi dalam PRK ini mempunyai pengaruh yang dominan kepada pencapaian parti-parti yang bertanding. 4 PRK selepas PRU14 yang diadakan sebelum ini berlangsung di kerusi yang dimenangi oleh calon PH dalam PRU14 dengan majoriti besar. PRK Sungai Kandis hanya mencatat 49.36% keluar mengundi, PRK Balakong dengan 42.93% dan catatan di PRK Seri Setia, 44.09%. Oleh kerana kemenangan besar calon PH di negeri kubu kuat PH, memungkinkan tumpuan pengundi adalah rendah, kerana sebarang keputusan tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri. 

PRK Port Dickson lebih istimewa kerana dua faktor: ujian kekuatan calon PH yang ditonjolkan sebagai bakal Perdana Menteri dan tindakan pemulauan oleh BN. Kerja keras jentera PH untuk memberikan pencapaian cemerlang bakal PM tidak mampu mengekalkan undi yang diperolehi dalam PRU14. Peratus keluar mengundi yang rendah hanya 58.25% berbanding 83.0% dalam PRU14 telah mengurangkan undi PH sebanyak 5,209 undi atau 14.38%. Pemulauan BN dalam PRK Port Dickson, membantu calon PH, DS Anwar Ibrahim menang dengan majoriti lebih besar kepada 23,650 undi berbanding 17,710 undi dalam PRU14. Kemenangan dengan majoriti undi lebih besar, calon PH bolehlah disifatkan lantaran perlawanan dengan calon-calon under par.

Dalam kes PRK P078,  undi kepada BN bukanlah bergantung kepada faktor peralihan undi Pas tetapi juga dibantu oleh peratusan keluar mengundi yang tinggi di daerah mengundi yang dikuasai oleh BN dalam PRU14. Peratusan keluar mengundi di bahagian pilihan negeri Jelai, yang majoriti pengundinya Melayu dan Orang Asli, puratanya 70 peratus. Di daerah mengundi Pos Sinderut, mencatat 78.69% keluar mengundi, di Pos Lenjang, seramai 71.59%, sekadar contoh. Di bahagian pilihan raya negeri Jelai yang mengandungi 12 daerah mengundi dengan 98% pengundi Melayu dan Orang Asli, BN mengatasi PH dengan 5,734 undi. Dalam PRU14, BN menang dengan majoriti 3,507 undi.

Di bahagian pilihan raya negeri Tanah Rata, kubu kuat PH, dengan 72% pengundi Cina dan India, undi PH mengatasi undi BN dengan 2,496 undi, sedangkan dalam PRU14, calon PH menang dengan majoriti 3,589 undi. Peratusan keluar mengundi yang rendah dengan purata 50% di 17 daerah mengundi telah menjejaskan usaha PH mempertahankan undi yang diperolehi dalam PRU14.  Di samping itu, dilaporkan peratusan keluar mengundi yang rendah di kalangan pengundi muda. 

Peningkatan undi BN di bahagian pilihan raya negeri atau DUN Jelai yang majoriti pengundinya Melayu dan Orang Asli serta kemerosotan undi PH di DUN Tanah Rata yang  mempunyai majoriti pengundi Cina dan India telah memberikan kemenangan lebih besar kepada calon BN. Justeru pola pengundian berasaskan kaum di kawasan campuran ini, lantaran peratusan keluar mengundi yang tinggi di kalangan pengundi Melayu dan Orang Asli berbanding sikap keluar mengundi pengundi Cina dan India yang majoritinya menyokong PH memudahkan orang awam merumuskan kecenderungan politik Malaysia.

Sabtu, 26 Januari 2019

PRK Cameron Highlands 3

KEPUTUSAN YANG TIDAK MENGEJUTKAN

Keputusan Pilihan Raya Kecil P078 Cameron Highlands memang sudah diduga. Justeru kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) menerusi calon MIC dalam PRU13 dan PRU14 mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) yang diwakili oleh DAP, membuka ruang kepada mana-mana parti sama ada BN atau PH untuk mencapai kemenangan. Kedua-dua parti; BN dan PH berpeluang untuk menang di atas kelebihan dan kekuatan masing-masing. 

Dalam PRU14, BN memperolehi 10,307 undi atau 42.44% dari jumlah undi sah, sementara PH perolehi 9,710 undi (39.99%) dalam saingan lima penjuru. Jumlah undi kepada calon Pas, 3,587 undi atau 14.77%, tidak harus dipandang enteng kerana boleh menjadi penentu kemenangan mana-mana parti. Penulis telah menyebut bahawa faktor sokongan Pas merupakan salah satu faktor dominan yang akan mencorakkan hasil keputusan PRK P078, empat hari lepas menerusi blog: cikguzain.blogspot.com.  

Kesungguhan jentera Pas yang dikepalai oleh pimpinan tertinggi turun membantu BN, memberikan kemenangan dengan majoriti selesa kepada BN dalam PRK P078 hari ini. Hasil dapatan kajian Ilham Center kepada 400 responden iaitu penyokong Pas, penyokong Pas berkecenderungan tinggi mengundi BN berbanding sikap tidak keluar mengundi dan mengundi calon lain. Justeru itu, ramalan awal banyak pihak meletakkan BN mampu mengekalkan kerusi berkenaan.  

Tindakan BN meletakkan calon dari etnik Orang Asli, seorang pegawai tinggi perkhidmatan awam, dengan mengorbankan kerusi MIC tanpa sertai mana-mana parti komponen, mendapat respons tinggi dari masyarakat pengundi berkenaan. Justeru PH yang mendapat undi yang tinggi di daerah mengundi majoriti Cina dan India, gagal mendapat sokongan di lokaliti Orang Asli. 

Keupayaan BN memperolehi 12,038 undi atau 56.18% iaitu peningkatan sebanyak 1,731 undi atau 16.79% di kala peratusan keluar mengundi yang berkurangan dari 75.86% dalam PRU14 kepada 68.79% dalam PRK hari ini, merupakan peingkatan prestasi. Perolehan 56.18% berbanding 42.44% dalam PRU14, memperlihatkan satu kejayaan yang memberangkang di kala BN bertanding sebagai parti pembangkang berbanding sebagai pemerintah semasa PRU14. 

Sungguhpun PH merosot undinya kepada 8,800 undi atau kehilangan 910 undi atau pengurangan 9.37%, harus dipandang serius. PH sebagai pemerintah tidak seharusnya alami kemerosotan sokongan tambahan mendapat sokongan penuh memperturunkan semua pimpinan utama keempat-empat parti. PH tidak seharusnya melihat kepada kekalahan, tetapi kepada kemerosotan sokongan di kala usia pemerintahan masih baru. 

Penulis ikuti gerakkerja kempen kedua-dua parti menerusi media sosial sepanjang tempoh berkempen 12 tahun yang menjarakkan BN berada di hadapan. BN dengan calon muka baru, dengan ketengahkan isu-isu semasa pentadbiran kerajaan PH berbanding PH yang kemukakan calon kitar semula dengan mengfokuskan kepada isu yang dibangkitkan semasa PRU14. 

Antara isu semasa menarik dibangkitkan oleh BN; pemberian sumbangan kepada sekolah persendirian Cina menggunakan dana awam, perlantikan beberapa jawatan utama kepada bukan Melayu, janji-janji dalam manifesto semasa PRU14 yang masih belum tertunai. Sebaliknya PH mengulangi episod lama urus tadbir pemerintahan BN termasuk isu 1MDB, amalan kleptokrasi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Episod jentera PH masih menggunakan kemudahan kerajaan dan agihan wang dan hamper masih berlaku. Walaubagaimana pun, pujian harus diberikan kepada SPR di bawah pengurusan baru yang berjaya mengekang salah guna kemudahan awam, yang menjadi kelaziman sebelum ini. 

Kejayaan Ramli Mohd Nor memenangi PRK P078 dengan majoriti meningkat, 3,238 undi atau 15.11% bolehlah disifatkan kecaknaan dan keinginan politik atau political will yang tinggi di kalangan masyarakat etnik Orang Asli menghantar wakilnya menerusi peti undi, walaupun sebagai seorang anggota pembangkang di Parlimen. Sebelum ini, masyarakat peribumi ini hanya diwakili menerusi lantikan parti pemerintah sebagai ahli Dewan Negara atau senator. Faktor ini bermulanya pengiftirafan peranan etnik ini dalam politik nasional. Kelebihan ini memihak kepada calon BN. Kelompok yang merangkumi 22% pengundi Cameron Highlands ini menjadi asas pertimbangan BN.

Kelebihan memihak kepada BN dalam PRK P078 ialah tindakan BN memilih seorang calon beragama Islam yang tradisinya kerusi P078 sebagai kawasan campuran diperuntukan kepada calon bukan Islam. Kumpulan 14.77% yang mengundi Pas dalam PRU14, tidak mungkin membantu BN andainya BN meletakkan calon bukan Islam.



 

 

Selasa, 22 Januari 2019

PRK Cameron Highlands 2

sambungan 

PERSAINGAN SEIMBANG

Persaingan tradisi antara Barisan Nasional dengan DAP sejak lebih 40 tahun terus mewarnai politik Cameron Highlands. Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands akan merencanakan persaingan perebutan kuasa dan pengaruh. BN selaku petahan kerusi dan mewakili kerajaan negeri, dengan DAP memain peranan mewakili kerajaan Persekutuan akan cuba memecahkan penguasaan BN di kerusi berkenaan. 

Sungguhpun persaingan PRK P078 melibatkan 4 calon; Ramli Mohd Noor (BN), M. Manogaran (DAP) dan dua calon bebas, Salehuddin Abd Talib dan Wong Seng Yee, tetapi lebih kepada saingan utama antara calon BN dan calon DAP. Calon BN dilihat sebagai faktor utama lantaran mempertatankan tradisi kemenangan calon BN dalam 14 PRU. Calon DAP, mewakili parti pemerintah Persekutuan dan kalah dengan majoriti kecil dalam dua PRU terakhir di P078. 

PRK P078 menjadi perhatian dalam mencari dimensi politik tanah air hari ini, jauh berbeza dengan 4 PRK pasca PRU14 sebelum ini. PRK Sungai Kandis, PRK Seri Setia, PRK Balakong dan PRK Port Dickson, berlangsung di kawasan yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti besar dalam PRU14. Keempat-empat kerusi berkenaan: Sungai Kandis (dulunya Seri Muda), Seri Setia, Balakong dan Port Dickson (dulunya Teluk Kemang) dimenangi Pakatan Harapan (dulunya Pakatan Rakyat) sejak PRU12 (PRU 2008). Ketiga-tiga kerusi DUN tersebut mendokong kekuatan kerajaan negeri sejak 2008. Pakatan Harapan berjaya mempertahankan semua kerusi berkenaan walaupun gagal menepati sasaran mengekalkan majoriti dan undi, sementara parti lawan khususnya UMNO di Sungai Kandis serta Pas di Seri Setia dan Port Dickson berjaya meningkatkan undi serta mengurangkan majoriti kemenangan Pakatan Harapan. 

Dalam PRK P078, BN di samping mempertahankan kerusi, juga mempertahankan imej sebuah kerajaan negeri. Setelah BN hilang tujuh kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan, keperluan mengekalkan prestasi BN di negeri Pahang menjadi keutamaan. Pakatan Harapan yang diwakili DAP sepatutnya menang kerusi P078 ini untuk membuktikan sokongan berbagai etnik dan wilayah sebuah pemerintahan Persekutuan. Keupayaan PH menarik undi sokongan yang majoritinya orang Melayu dan Orang Asli dalam bahagian pilihanraya Jelai mampu mengukuhkan sebuah kerajaan baru. Fokus utama BN dan PH ini mendebarkan semua pihak menunggu kecenderungan pengundi PRK P078 kelak.

Setakat ini, calon-calon bebas lebih tumpu kepada isu tempatan bersandarkan latar belakang peribadi calon. Salehuddin selaku penghuni Felda Sungai Koyan mempertonjolkan isu nasib peneroka, kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli yang tidak terbela sementara Wong seorang petani berjanji akan membawa masalah industri petani tanah tinggi serta prasarana pemasaran. Kedua-dua calon bebas memiliki kelayakan akademik peringkat ijazah kedua dalam profesyen masing-masing, dengan kemampuan jentera pilihan raya yang terhad dalam satu kawasan yang luar bandar yang luas dengan lebih 32,000 pengundi. 

Bukanlah satu kejutan seandainya keputusan PRK ini akan mengekalkan kemenangan kepada BN atau keupayaan DAP merampas kerusi, kerana kebarangkalian tersebut adalah tinggi. BN bermampuan mempertahankan kerusi yang dikuasai secara tradisi di mana dalam tempoh 14 kali PRU; UMNO, MCA dan MIC, masing-masing pernah mewakili kawasan ini di Parlimen. Dalam PRU14, MyPPP, anggota komponen BN meminta agihan kerusi ini, tetapi BN memutuskan mengekalkan diperuntukkan kepada MIC. Di peringkat DUN, parti Gerakan pernah mewakili kawasan ini. 

Kali ini, BN mempertaruhkan calon yang tidak menjadi ahli mana-mana parti atau calon langsung, memperlihatkan kesungguhan dan keterbukaan BN dalam mengadaptasi dengan keperluan politik baru, politik pasca kekalahan BN. Justeru itu, BN meletakkan Ramli Mohd Noor, warga Orang Asli yang menggambarkan kehebatan karier dan pendidikan, mengambilkira keperluan tempatan. Keperluan meraikan Orang Asli, salah satu komponen penting pengundi di P078, mewakili 22% pengundi. Sekiranya Ramli menang, merupakan Orang Asli pertama menduduki kerusi Parlimen.

Walaupun BN kini berada dalam blok pembangkang, tetapi masih menguasai kerajaan negeri, oleh itu peri pentingnya BN perlu mencapai kemenangan untuk maruah dan moral kerajaan negeri. Lantaran kekalahan teruk BN dalam PRU14, kemenangan mempertahankan kerusi di kawasan campuran yang mengandungi perlbagai kaum dan sektor sosio-ekonomi, untuk meletakkan BN terus berada di landasan yang releven dengan senario baru politik Malaysia. Tiga kelompok utama: Melayu, Cina, Orang Asli, masing-masing menjadi penentu hala tuju politik masa mendatang. 

Faktor Pas juga harus diambil perkiraan dalam percaturan antara BN dan PH. Calon Pas dalam PRU14 tempohari berjaya menarik 3,587 undi. Sungguhpun Pas mengambil keputusan menyokong BN, malah jentera Pas turut membantu BN, tiada jaminan undi tersebut keseluruhannya akan memihak kepada BN kali ini. Dalam PRU14, Pas menentang BN dan PH, tentang kepada BN lantaran kedudukan Bn selaku pemerintah pada masa itu. Berapa banyakkah sokongan tersebut kepada BN. Seandainya bahagian besar penyokong Pas dulu akan bersama BN kali ini, peluang BN mempertahankan lebih cerah. Apakah penguasaan Pas masih kekal di daerah mengundi Felda Sungai Koyan 1, Kampung Keledek dan Kota Raja. Sejauhmanakah kesan kepada pengundi Pas, apabila kepimpinan Pas turun membantu jentera BN. Sejauhmana kekuatan jentera PH dari PKR, Bersatu dan Amanah berjaya memecahkan undi di 3 daerah mengundi yang dimenangi Pas tersebut, mampu membantu calon PH dari DAP. 

Selain faktor Pas sebagai penentu kemenangan mana-mana calon, nasib calon akan ditentukan oleh pengundi Orang Asli yang tradisinya menyokong calon dari parti pemerintah. Justeru parti pemerintah sudah bertukar, apakah pengundi di Pos Terisu, Pos Lemoi dan Pos Mensun dari bahagian pilihan raya Tanah Rata, dan Pos Titum, Pos Lonjung, Pos Betau, Pos Sinderut dari bahagian pilihan raya Jelai, masih lagi setia dengan BN atau akan berubah angin, apabila BN meletakkan calon dari etnik Orang Asli. 

Sebelum PRU14, penempatan Felda disifatkan sebagai talian hayat kepada BN selaku parti pemerintah. Undi dari daerah mengundi penempatan masyarakat Felda; Sungai Koyan 2 dan Sungai Koyan 3 memberikan undi yang besar kepada BN. Selain ancaman faktor parti pemerintah, kemunculan calon bebas dari penempatan Felda, sedikit sebanyak boleh mengganggu pengaruh BN. 

PRK P078 menentukan nasib BN dan PH. Mampukan BN yang kehilangan kuasa pemerintahan pertahan kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil. Berjayakan PH selaku parti pemerintah baru yang tewas dengan majoriti tipis merampas kerusi P078, sebagaimana kejayaan Mazlan Awang, calon BN yang kalah tipis kepada calon Pas dalam PRU8 (PRU 1990) berjaya mencabar keputusan pilihan raya di mahkamah dan memenangi PRK Bukit Payong (21/04/1992).,

PH sudah pastinya selesa dengan sokongan padu masyarakat Cina dan India yang memberikan kemenangan besar PH menerusi calon DAP menguasai kerusi DUN Tanah Rata, keberhasilan fokus kepada daerah mengundi dan lokaliti Orang Asli dan menarik penyokong Pas, pastinya PRK P078 adalah sengit. Kesimpulannya dua faktor utama yang akan menentukan pihak mana yang akan berjaya menakluki kerusi P078: pengundi Pas dan masyarakat Orang Asli. Undi Pas sebanyak 3,500 undi amat penting bagi kerusi marginal dan etnik Orang Asli dengan kewibawaan calon seketurunan.


 





 

Selasa, 15 Januari 2019

PRK Cameron Highlands 1

KEUNIKAN BAHAGIAN PILIHAN RAYA PARLIMEN CAMERON HIGHLANDS

Pilihan Raya Kecil bahagian pilihan raya Persekutuan P078 Cameron Highlands pada 26/01/2019 memiliki keunikan tersendiri berdasarkan kepada pola etnik dan latar belakang perkembangan dan perubahan sosio-politiknya. Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi P078 yang terpaksa dipanggil lantaran pengisytiharan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), C. Sivarajah dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, di atas salahlaku mempengaruhi pemilih. 

Buat pertama kali dalam sejarah, calon yang dibatalkan kemenangan oleh mahkamah, hilang kelayakan bertanding serta hilang hilang kelayakan sebagai pengundi untuk tempoh lima tahun. Justeru itu, BN yang mempertahankan kerusi menerusi calon dari MIC, tidak meletakkan calon MIC. 

Beberapa petisyen pilihanraya yang berjaya membatalkan keputusan PRU, PRK diadakan yang menyaksikan calon yang dibatalkan kemenangan bertanding semula. Sama seperti kes Cameron Highlands, petisyen dipohon oleh pihak yang tewas dalam PRU dengan majoriti kecil, yang memungkinkan keputusan PRK akan berubah atau membuka peluang pihak yang kalah bertarung semula. Di P078 Cameron Highlands, calon yang mencabar, calon DAP tewas dengan 597 undi atau   peratus 2.45. PRK Tanjong Puteri (05/03/1988), diadakan ekoran petisyen calon PSRM yang kalah 350 undi dalam PRU 1966. Dalam PRK Tanjong Puteri, kedua-dua calon bertanding semula, calon BN hanya menang dengan majoriti 31 undi sahaja. PRK Bukit Payong (21/04/1992) pula setelah calon BN yang kalah 16 undi dalam PRU 1990 berjaya ketepikan kemenangan calon Pas. Dalam PRK Bukit Payong, calon BN yang bertanding semula berjaya merampas kerusi ini dengan majoriti lebih besar, 389 undi. 

Bahagian pilihan raya Persekutuan atau kerusi Parlimen P078 Cameron Highlands adalah satu kawasan baru yang diwujudkan hasil persempadanan kawasan pilihan raya, 2003. Bahagian pilihan raya Persekutuan ini mengandungi 2 bahagian pilihan raya negeri: Tanah Rata dan Jelai.  Tanah Rata adakah kawasan campuran dengan pengundi Cina menjadi kumpulan utama, 48.12% bersama India (23.94%). Jelai dikuasai oleh pengundi Melayu (64.34%) dan Orang Asli (33.5%). 

Persempadanan kawasan pilihan raya untuk Parlimen pertama dilaksanakan selepas merdeka, dalam tahun 1958, yang membentuk kawasan Parlimen Lipis yang terkandung kerusi negeri; Jelai, Kuala Lipis, Tanjong Besar dan Jerantut, sementara kawasan Parlimen Raub terdiri dari; Cameron Highlands, Dong , Bandar Raub dan Tras. Bahagian pilihan raya berkenaan digunakan untuk 3 PRU: 1959, 1964 dan 1969. 

Persempadanan semula kawasan pilihan raya pertama berlangsung dalam tahun 1973. 12 kawasan Parlimen baru dibentuk, salah satunya ialah Parlimen Jerantut. Pembentukan kawasan Parlimen Jerantut telah merombak persempadanan dan bahagian pilihan raya dalam kawasan Parlimen Lipis dan Raub. Kawasan atau kerusi DUN Jerantut dan sebahagian daerah mengundi dalam Tanjong Besar dipindahkan untuk membentuk kawasan Parlimen Jerantut. Untuk mengimbangi taburan pemilih, kerusi Cameron Highlands dipindahkan dari Raub ke Lipis. Hasil persempadanan 1973 menjadikan kawasan Parlimen Lipis dikandungi oleh 4 kerusi DUN: Jelai, Tanah Rata (nama baru bagi Cameron Highlands), Bukit Betong, Bandar Lipis, Benta (sebahagian dari kerusi lama Tanjong Besar). Bukit Betong dan Bandar Lipis adalah pecahan dari kerusi asal; Kuala Lipis. Parlimen Raub terdiri dari 3 kerusi DUN; Dong, Bandar Raub dan Batu Talam. Persempadanan ini digunakan untuk 3 PRU: 1974, 1978 dan 1982. 

Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun 1983, kerusi DUN Benta dipindahkan dari Parlimen LIpis ke Parlimen Raub. Hasil persempadanan 1983, Parlimen Lipis terdiri dari 4 kerusi DUN; Tanah Rata, Jelai, Bukit Betong dan Ceka (nama baru Bandar Lipis), sementara Parlimen Raub dengan 4 kerusi DUN; Benta, Batu Talam, Tras, Dong. Persempadanan ini digunakan dalam 2 PRU: 1986, 1990. 

Persempadanan semula kawasan pilihan raya berlangsung dalam tahun 1993 hanya melibatkan pertukaran nama kerusi DUN Bukit Betong kepada Padang Tengku, sementara DUN Tanah Rata kembali ke nama asal, Cameron Highlands. Parlimen Lipis dikandungi oleh DUN: Cameron Highlands, Jelai, Padang Tengku dan Ceka. Persempadanan ini digunakan untuk 2 kali PRU: 1995 dan 1999. 

Prestasi BN yang merosot kesan dalam PRU 1999 dari Reformasi yang banyak mengubah sokongan pengundi Melayu kepada parti pemerintah memaksa persempadanan semula kawasan pilihan raya pasca PRU 1999 lebih berfokus kepada pengwujudan kawasan campuran. Dalam PRU 1999, kecuali Cameron Highland (kawasan majoriti bukan Melayu), BN hanya menang dengan majoriti kecil di ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Lipis: Jelai, Padang Tengku dan Ceka. Tempias dari strategi mewujud lebih banyak kawasan campuran, maka terbentuk kawasan baru, Parlimen Cameron Highlands, hasil gabungan dua DUN dari Parlimen Lipis: Cameron Highlands (majoriti bukan Melayu) dan Jelai (kawasan peneroka Melayu FELDA dan penempatan Orang Asli). Sementara DUN Benta dipindahkan kembali ke Parlimen Lipis bersama Padang Tengku dan Ceka. 

Demografi dan geopolitik yang berbeza antara DUN Jelai dan DUN Tanah Rata menjadikan keunikan Parlimen Cameron Highlands. Kekuatan sokongan dan pengaruh parti berbeza di kedua-dua DUN tersebut, cukup menarik untuk membaca, mengupas dan merumus kecenderungan sokongan pengundi serta mengukur kekuatan sokongan sesuatu parti politik. Kerusi Parlimen Lipis sejak merdeka, bermula dengan PRU pertama, tradisinya merupakan kubu kuat Perikatan, kemudiannya BN. Perubahan iklim politik tanah air bermula PRU 2008, secara perlahan merobek kubu BN di sebelah barat Pahang. Kewujudan kawasan Parlimen Cameron Highlands yang memisahkan sebelah barat Lipis, membuka ruang mengurangkan pengaruh dan penguasaan BN.

Kerusi DUN Tanah Rata sejak awal lagi terpisah dari gelombang politik negeri Pahang sebagai kubu kuat Perikatan (kemudiannya BN). Dalam PRU pertama, 1959, DUN Tanah Rata adalah kerusi tunggal Perikatan tewas. Kerusi ini dimenangi oleh calon bebas, Yong Hong Chong. 

Dalam PRU 1964, Perikatan menang semua kerusi DUN dan Parlimen di Pahang. Kerusi Tanah Rata dimenangi menerusi calon MCA, Chong Ket Nee.

Dalam PRU 1969, kerusi ini dimenangi calon pembangkang, dari parti Gerakan, Wong Lok Hooi. Bila Gerakan sertai BN, wakil rakyat berkenaan mempertahankan kerusi ini sebagai calon BN, bila BN sapu bersih semua kerusi di Pahang dalam PRU 1974. 

Dalam PRU 1978, BN mengagihkan kerusi ini kepada MIC. Calon BN, M. Sanggaralingam menang dengan majoriti kecil dan mengekalkan kedudukan dalam PRU 1982, dengan majoriti semakin kecil. Beliau hanya menang dengan majoriti 38 undi sahaja. Bermula PRU 1982, pencabar utama kepada calon BN ialah DAP. 

Dalam PRU 1986, BN telah membuat beberapa perubahan dari segi agihan kerusi kepada parti-parti komponen. DUN Tanah Rata diberikan kepada MCA, sementara kerusi Parlimen Lipis dikurniakan kepada MCA, yang asalnya ditandingi UMNO sejak PRU pertama. Peruntukan Parlimen Lipis kepada MCA, hanya untuk PRU 1986 dan 1990. 

Bermula PRU 1986, kerusi Tanah Rata diberikan kepada MCA. Kepimpinan MCA Pusat, Chan Kong Choy menang besar dalam PRU tersebut. Dalam PRU 1990, bila Chan Kong Choy bertanding di Parlimen Lipis, kerusi Tanah Rata ditandingi oleh Law Kee Long, dan Law mengekalkan kerusi ini dalam PRU 1995 dan 1999 tanpa masalah. 

Kerusi Parlimen Cameron Highlands yang baru diwujudkan, bermula dengan PRU 2004. BN memperuntukkan kerusi campuran ini kepada MIC. S.K. Devasamy memenangi PRU 2004 dengan mudah dan mempertahankannya dalam PRU 2008 dengan majoriti yang menurun. Dalam PRU 2004, BN menang dengan majoriti 6,260 undi, menurun kepada 3,112 dalam PRU 2008. Bagi kerusi DUN Tanah Rata, calon BN, Choong Ching Yan menang dengan majoriti 3,903 undi dalam PRu 2004, sementara Chai Kok Lim yang mempertahankan kerusi BN ini hanya menang dengan majoriti 575 undi sahaja dalam PRU 2008. BN ditentang oleh calon DAP bagi kerusi Parlimen dan DUN Tanah Rata dalam kedua-dua PRU.

Sementara kerusi DUN Jelai, BN mempertaruhkan calon UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail dalam PRU 2004 dan PRU 2008. Calon BN menang dengan majoriti 2,178 undi dalam PRU 2004 dan meningkat ke 2,621undi dalam PRU 2008, untuk mengatasi calon Pas. 

Dalam PRU 2013, BN menurunkan Presiden MIC, G. Palanivel dan memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam saingan 5 penjuru. Persaingan sebenar adalah BN dan DAP. Calon BN, Palanivel mengatasi calon DAP, M. Manogaran dengan majoriti kecil, 462 undi. Dalam PRU 2018, BN masih menang menerusi C. Sivarajah dengan majoriti 597 untuk mengatasi calon DAP, M. Manogaran.

Kemenangan majoriti kecil BN dalam PRU 2008, diambil peluang oleh DAP menurunkan tokoh DAP Pahang, Leong Ngah Ngah di kerusi DUN Tanah Rata, dalam PRU 2013. DAP menang dengan majoriti besar, 3,144 undi. DAP menerusi calonnya Chiong Yoke Kong dalam PRU 2018 dengan majoriti lebih besar, 3,589 undi. 

Di kerusi DUN Jelai, Wan Rosdy Wan Ismail mempertahankan kerusinya dalam PRU 2013 dengan majoriti meningkat, 3,182 undi, mengatasi calon Pas. Prestasi BN terus dilonjakkan dalam PRU 2018, apabila Wan Rosdy menang dengan majoriti lebih besar, 3,507 untuk menumpaskan calon Pas dan PKR. 

Pencapaian kedua-dua parti yang bertanding dalam PRK P078 Cameron Highlands, yang mempunyai kelebihan masing-masing sebagaimana paparan latar belakang senario lampau, akan memberikan satu tarikan untuk diperhati, diikuti dan dianalisis menjelang hari pembuangan undi pada 26/01/2019 nanti. 

bersambung



Isnin, 7 Januari 2019

Habuan Ketua Bahagian

HABUAN UNTUK KETUA BAHAGIAN - INIKAH MALAYSIA BARU

Saranan Naib Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman semasa sesi penggulungan Perhimpunan Tahunan PPBM minggu lepas, mendapat respons pro dan kontra di kalangan anggota dan penyokong kerajaan. Cadangan beliau, agar ketua bahagian dan kepimpinan parti diberi kemudahan untuk mendapat ganjaran demi menampung perbelanjaan pengurusan parti. 

Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang merupakan saluran penyelarasan peruntukan pembangunan kerajaan Persekutuan di negeri-negeri yang diperintah parti pembangkang, zaman kerajaan Barisan Nasional tempoh hari, dikekalkan. Diharap, menerusi JPP, ketua bahagian parti parti pemerintah diberikan kuasa dan tugasan eksekutif dalam agihan peruntukan perbelanjaan kerajaan Persekutuan di kawasan atau bahagian masing-masing. Pemberian kontrak dan projek disalurkan oleh JPP melalui ketua bahagian, sebagaimana amalan pemerintahan BN dulu.

Hujah beliau, tanpa bantuan kewangan secara tidak langsung dari pemerintah, sukar untuk menggerakkan jentera parti. Mekanisme urus tadbir dengan bantuan agensi kerajaan Persekutuan, akan membantu memperkukuhkan parti dalam mempertahankan kerajaan. 

Penyokong parti Bersatu yang tidak puas dan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) menganggap saranan pimpinan Bersatu ini sebagai tidak menghargai harapan dan hasrat rakyat mengundi PH dalam PRU14. Rakyat sudah bosan dan jemu dengan isu kontrak dan projek, yang menyebabkan rakyat mengalih undi kepada PH. Harapan pengundi;  rasuah dan nepotisme serta dasar kepuakan dapat dihapuskan dengan roh pemerintahan baru yang menjanjikan sebuah pemerintahan yang telus, adil dan kesaksamaan. 

Sementara penyokong parti Bersatu yang bersorak dengan ucapan penggulungan TS Rashid, mengharapkan amalan penganugerahan projek dan kontrak akan dapat membantu kekuatan parti. Mereka menyambut baik alasan bodohlah kalau ruang yang disediakan oleh pemerintah tidak diambil peluang. Perjuangan menerusi wadah politik dengan falsafah politik cari makan, akan membingungkan pengundi yang ingin melihat perubahan dinamik menerusi peti undi. 

Rasionaliti dari saranan TS Rashid bolehlah dibaca bahawa Bersatu, sebuah parti kecil dalam PH berasaskan kepada perwakilan legislatif dan serpihan dari parti dominan iaitu UMNO memerlukan tongkat. Di samping itu, dari sudut pendekatan pragmatik, setiap ruang dan peluang yang ada perlu direbut. Tambahan pula, Bersatu perlu memperkuatan organisisasi untuk berada setanding dengan rakan-rakan yang lebih establish dalam PH.

Apakah budaya projek dan kontrak dalam BN akan dijelmakan dalam PH, lebih-lebih lagi dalam parti Bersatu, yang akan membina gagasan baru; BN 2.0. Mungkinkah PH akan bernafas dalam wadah baru BN 2.0, mengembalikan semangat materialistik kerajaan yang telah digulingkan dalam PRU14.   

Politik projek mungkin jijik bagi pendokong DAP, PKR atau Amanah yang sudah lama menjadi pembangkang, dengan pembinaan jentera parti hasil pengorbanan dan political will untuk sebuah pemerintahan yang bersih dan mengutamakan intergiriti dan tatakelola.  Saranan TS Rashid bolehlah diambil sebagai satu cetusan pemikiran dan pendekatan baru di kalangan kepimpinan dan penyokong PH dalam menjalankan tanggungjawab sebuah pemerintah. Apakah pertukaran dari BN ke PH sekadar menukar watak dan petugas sahaja sedangkan roh, semangat, spiritual, impian dan hati nurani kekal, saling tak tumpah. Naluri kepada kebendaan dan peluang tanpa sebarang perubahan. Khalayak awam sedang menonton dengan penuh minat apakah yang hendak  dibawa oleh "Malaysia Baru" demi menjarakkan dengan  pemerintahan kleptokrasi tempoh hari.