Sabtu, 20 Jun 2020

PRK Chini 1

CABARAN PRK CHINI DALAM PENAMBAHBAIKAN PENGURUSAN PILIHAN RAYA 

Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri N23 Chini yang akan diadakan pada 04/07/2020 untuk mengisi kekosongan kerusi lantaran kematian ADUN berkenaan. Justeru PRK ini berlangsung dalam kerangka kawalan pergerakan pandemik Covid-19 meletakkan satu dimensi baru dalam amalan demokrasi kepilihanrayaan dalam konteks negara kita. Hari penamaan calon hari ini (20/06/2020), berlangsung dalam suasana sepi, tenang dan bersahaja, jauh sekali kemeriahan dengan khalayak yang ramai. Latar belakang kerusi N23 Chini pun, sudah menunjukkan awal-awal lagi, PRK ini jauh berbeza dengan PRK sebelum ini, sama ada di zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), atau zaman Pakatan Harapan (PH). 

Dalam PRU14, calon BN DS Abu Bakar Harun  menang dengan mengumpul undi 10,027 atau 60.78% dari jumlah undi sah keseluruhan, calon Pas, Ustaz Mohd Fadhil Noor, perolehi 5,405 undi atau 32.76%, sementara calon PKR, Muhammad Razali Ithnain hanya memungut 1,065 undi iaitu 6.45% undi popular serta hilang wang pertaruhan. Pemuafakatan politik di peringkat nasional antara UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional, sekiranya mantap sampai ke akar umbi, lebih 90 peratus pengundi Chini sudah pun berada dalam tangan BN, apabila undi BN dan Pas digabungkan. PH sebagai gabungan pembangkang utama, sepatutnya tidak mengelak untuk ikut sama dalam PRK ini, kerana pemain utama politik nasional hari ini ialah Perikatan Nasional (PN) dan PH. Justeru sokongan besar kepada kedua-dua parti dari PN dalam PRU14, memencilkan hasrat PH. 

Sungguhpun PKR ketinggalan jauh di belakang dalam PRU14, di kawasan tradisinya kubu kuat UMNO, tetapi perlu diingat PKR pernah memenangi kerusi Chini dalam PRU 1999. Justeru itu, tidak sewajarnya PKR melupakan kerusi Chini walaupun berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya selepas PRU 1999.

Krisis memuncak dalam PH menentukan calon PM ke 9 mengkesampingkan agenda PRK Chini. Tumpuan PH dihalakan kepada usaha tarik papan pencalonan DS Anwar dan Tun Dr Mahathir yang tak berkesudahan. Tindakan bijak kepimpinan PH khususnya PKR yang telah diberikan kuota kerusi N23 mewakili PH dalam PRU14, tidak ikut serta dalam PRK, lantaran agenda yang lebih besar sedang dihadapi oleh PH hari ini.  

BN menurunkan anak generasi kedua Felda Chini, Mohd Sharim Md Zain, ditentang oleh dua orang calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli. PRK pertama di bawah kerajaan PN ini menyaksikan sejauh mana kemantapan kerjasama parti-parti pendokong PN. Pencalonan Mohd Sharim disokong oleh calon Pas dalam PRU14 yang mengiringi calon BN menyerahkan borang pencalonan. Tengku Datuk Zainul Hisham adalah Timbalan Ketua PPBM (Bersatu) Bahagian Pekan, yang secara otomatik tergugur sebagai ahli kerana bertanding menentang calon rasmi PN. Apa pun, sejauh mana kemampuan calon bebas mampu menyelamatkan wang pertaruhan dan mengurangkan peratusan undi calon PN berbanding gabungan undi BN-Pas dalam PRU14. 

Penyertaan calon-calon bebas yang dijangka tidak memberi saingan kepada calon BN mewakili pemerintah hari ini, namun dapat dijadikan petunjuk mengukur sokongan kepada kerajaan baru. Penyertaan calon-calon bebas dapat mengelakkan calon kerajaan menang tidak bertanding yang tidak relevan situasi semasa di mana kerajaan PN didakwa kerajaan pintu belakang, bukan mandat rakyat. 

Walaupun pergerakan aktiviti terbatas di bawah kawalan pandemik Covid-19, kebenaran berhimpun tidak melebihi 250 orang serta kebenaran gerakan kempen rumah ke rumah, PRK Chini mampu mengutip data dan maklumat untuk penambahbaikan pengurusan pilihan raya. PRK Chini akan memberi respons kepada cadangan-cadangan berbagai pihak untuk penambahbaikan antaranya; tempoh penamaan calon dipanjangkan, tiada perakan mengiringi calon pada hari penamaan calon, kempen calon menggunakan media sosial demi mengurangkan persemukaan calon dengan pemilih.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan