Selasa, 5 Jun 2012

Dilema birokrat

DILEMA PENJAWAT AWAM MENJELANG PRU13

Hujung minggu lepas, media mainstream melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk  Seri Ahmad Said, buat cabaran mana-mana anggota perkhidmatan awam yang menyokong parti-parti pembangkang supaya letak jawatan. Sebuah akhbar menyiarkan berita "letak jawatan jika sertai pembangkang".

Sebagai orang politik dan berkerjayakan politik, ada logiknya DS Ahmad berpendangan demikian atas kepentingan politiknya. Segala pandangan, tindakan dan persepsi orang politik, berlandaskan perhitungan politik. Sama ada berbentuk deraan, ugutan, tohmahan, pujukan dan sebagainya, merupakan teknik dan kaedah untuk mencapai tujuan dan impian. Umumnya lebih kepada survival politik, yang kian mencabar. Cabaran yang amat ketara ledakan tsunami politik 2008.

Approach orang politik, walaupun aliran dan pegangan ideologi yang sama, tidak semestinya sama. Cara pengurusan dan pendekatan pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin Pas di Kelantan (1990-kini), Terengganu (1999-2004), Perak (2008/2009) dan Kedah (2008-kini), memiliki kelainan tersendiri dalam hubungan antara kuasa legislatif dan birokrasi atau kuasa eksekutif. Kelainan ini lebih dipengaruhi nilai-nilai sosio-budaya serta budaya politik tempatan. Walau bagaimanapun pengalaman dari berbagai urus tadbir dan tataurus berkenaan, satu rujukan berguna demi penambahbaikan pengurusan pentadbiran di masa hadapan.

Pengalaman negeri-negeri lain di bawah UMNO, oleh kerana terlalu lama, 54 tahun dan sudah menjadi kebiasaan. Sebarang penambahbaikan urus tadbir birokrasi yang lebih menekankan unsur dalaman, unsur keimanan, yang meletakkan ciri-ciri: kejujuran, ketelusan, berhemah, jimat cermat serta ubudiyyah, tidak menampakkan perubahan yang ketara, pada ukuran masyarakat massa. 

Bila kerajaan bertukar tangan dari UMNO atau BN ke parti lain, sudah tentu penambahbaikan berlaku, kerana pertukaran kerajaan berasaskan kepada kehendak rakyat kepada perubahan khususnya dari segi intergriti, ketelusan dan kecekapan, serta sokongan unsur-unsur: ubudiyyah, mas'uliyyah dan itqan. Pembangunan berbentuk fizikal yang dibangunkan sejak 54 tahun, tak dapat dinafikan. Satu kecemerlangan di bawah urus tadbir kerajaan BN.

Kejayaan kerajaan Pulau Pinang mengurangkan hutang negeri dalam tempoh terdekat. Rekod pengurusan kewangan negeri Kedah pun diakui Audit Negara. Perbelanjaan berhemah kerajaan Kelantan. Kejayaan kerajaan Selangor berjaya meningkatkan rizab negeri, berbanding kerajaan dulu. Sungguhpun dengan sumber kewangan terhad serta bidang kuasa terhad dalam pembangunan fizikal, kerajaan-kerajaan negeri yang bertukar tangan lebih menampakkan kejayaan menambahbaikkan tadbir urus perkhidmatan awam, yang menjadi idaman dan hasrat rakyat yang sensitif kepada intergriti, setelah pembangunan fizikal dibangun dengan cemerlang oleh kerajaan Persekutuan.

100 perubahan yang dilakukan kerajaan Kelantan, dalam tempoh 20 tahun mentadbir Kelantan berasaskan kepada ubudiyyah, mas'uliyyah dan itqan, memenuhi tuntutan realiti politik semasa yang menginginkan ketelusan, anti-rasuah, perbelanjaan berhemah dan paling penting menghubungkan manusia dengan dunia akan datang, dunia selepas mati. Hubungan ini yang mengikat manusia mewujudkan intergriti dalam pentadbiran dan pengurusan manusia dan harta.

Memetik peringatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin: "Zaman mewah BN seperti dahulu sudah berlalu. Jika pembangkang melakukan kebaikan dan rakyat menyokong mereka, itu adalah masalah bagi kita." (Sinar Harian, Isnin 4 Jun 2012, muka depan).  

Ingatan TS Muhyiddin bukan sekadar satu reverse psychology, apabila membuat perbandingan Himpunan 1 Juta Belia di Putrajaya dengan Himpunan 100 000 Hijau di Alor Star. Nak naik semangat balik penyokong UMNO/BN. Di samping jumlah kehadiran kedua-dua program berkenaan, fokus utama wajar dilihat dari segi pengisian. Kedua-dua elemen: pengisian dan kehadiran, menjadi hujah pengundi atas pagar dan pengundi muda, paling penting "first time voters".

Di samping untuk melegakan persiapan Pakatan Rakyat, untuk memudahkan kerja buat BN, peringatan TS Muhyiddin itu, harus dilihat arahan memperkemaskan persiapan jentera parti dan melipatgandakan usaha jentera pilihan raya BN menjelang PRU13. Kerja-kerja parti yang bergantung kepada bantuan kewangan parti serta tajaan dan sumbangan pihak tertentu, akan membantut jentera parti dan kekalahan moral kepada parti-parti pembangkang yang aktif dengan kerja sukarela, pengorbanan tenaga dan wang ringgit penyokong.

Ulasan Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia mengenai Himpunan 100,000 Hijau ke Putrajaya, menggambarkan penglibatan anak-anak muda, yang akan menjadikan cabaran getir kepada BN mempertahankan kuasa dalam PRU13. Di segenap pelusuk himpunan berkenaan didominasi oleh golongan yang mewakili 40 peratus pengundi dalam senarai Daftar Pemilik Induk 2011.  

Sergahan DS Ahmad Said, bukan perkara baru dalam politik BN. Sudah lali. Kenyataan tersebut lebih popular di peringkat pengurusan kelas pertengahan dan perkhidmatan sokongan dalam perkhidmatan awam, baik Persekutuan atau kerajaan negeri yang dikuasai BN. Kuasa eksekutif cuma ditugaskan untuk menjalankan dasar yang diputuskan oleh kuasa legislatif. Tiada klausa " atas budi bicara atau ikut tafsiran birokrasi" dalam Perlembagaan Persekutuan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, semua negeri di Malaysia. Kuasa mentafsir adalah bidang kuasa judicial, bukan budi bicara eksekutif.

Bila kerajaan bertukar tangan, birokrasi dipertenggungjawab menjalankan keputusan serta dasar yang diluluskan oleh kuasa perundangan, pihak yang membentuk kerajaan, tanpa prejudis. Mana mungkin seorang birokrat ingkar arahan kerajaan negeri atau sabotaj dasar kerajaan. Memang tepat, anggota perkhidmatan awam tidak boleh membangkang dasar dan arahan atau pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mewakili kerajaan yang diberi mandat.

Contohnya: dalam bidang pendidikan, dasar kerajaan ialah mata pelajaran sains dan matematik hendaklah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Kalau ada guru atau pentadbir sekolah, ingkar tak guna bahasa Inggeris, maka ianya sudah dianggap sebagai menentang dasar kerajaan. Menentang dasar kerajaan ertinya membangkang dasar kerajaan. Logiknya,  bolehlah disifatkan guru atau pengetua berkenaan adalah penjawat awam yang menentang kerajaan. Bukan menyokong kerajaan, dah jadi pembangkang. Patut letak jawatan. Sebab ianya dasar kerajaan. Kerajaan Persekutuan membelanjaan peruntukan RM2 billion sejak dasar itu diperkenalkan dalam tahun 2003.  Bukan satu saranan dalam bentuk penambahbaikan mutu perkhidmatan awam.
Oleh kerana suasana yang tidak menjamin BN akan menang mudah dengan bergaya, sebagaimana PRU sebelum 2008, mungkin di atas kegelabahan menjelang PRU13, kenyataan 2 tokoh: seorang TPM dan seorang MB, adalah antara beberapa episod menarik mengisi senario menunggu tibanya musim pilihan raya. Episod ini menggambarkan serba kemungkinan.

Yang melalui jalan sukar sekarang ialah penjawat awam. Selama 54 tahun, penjawat awam, kalau nak senang naik pangkat dan duduk selesa, kena sokong mana-mana parti BN secara terbuka. Mudah nak cari makan. Senario semasa tidak menjanjikan demikian. Kemungkinan kerajaan Persekutuan bertukar tangan bukanlah satu perkara yang mustahil. Sebagai birokrat harus berkecuali, bila pemerintah baru ambil alih kuasa, tidak timbul krisis keyakinan dalam hubungan legislatif-eksekutif.

Hari ini, seorang penjawat awam jadi ketua cawangan  atau apa saja jawatan atau penyokong tegar, apa jadi jikalau kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN sekarang jatuh. Sangguhkah seorang Guru Besar letak jawatan, seorang Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah letak jawatan, atau seorang Pegawai Daerah letak jawatan. Kalau hari ini, seorang ketua jabatan boleh cabar kakitangannya yang berlainan fahaman politik supaya letak jawatan, lepas PRU13, sangguhkah ketua jabatan berkenaan letak jawatan kerana tidak rela beri khidmat kepada kerajaan baru. Atau akan berlaku, lompat parti beramai-ramai selepas PRU13.

Oleh kerana jangkaan satu gelombang baru akan mewarnai PRU13, di mana PRU12 adalah pra-perubahan, menggusarkan para birokrat. Paling selesa, ikut peraturan, kakitangan tidak boleh memihak atau menunjukkan kecenderungan kepada mana-mana parti yang mengambil bahagian dalam proses pilihan raya di negara kita. Tidak boleh terbabit menyalahgunaan kemudahan awam untuk kepentingan pihak tertentu, yang memungkinkan timbul tanggapan negatif dan kecurigaan "berkecuali" walaupun kategori tertentu dalam perkhidmatan awam dizinkan mengambil bahagian aktif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan