Ahad, 10 Jun 2012

Allahyarham Cikgu Dzul

AL FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM CIKGU DZUL

Saudara Dzulkifli Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Dzul telah selesai menunaikan tanggungjawabnya sebagai hambaNya di bumi ini, bila dipanggil kembali ke tempat asalnya pada 2 Jun lepas. Beliau meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, akibat pendarahan otak.

Cikgu Dzul adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Ulu Kuantan (sekarang Sungai Lembing). Beliau menjadi ADUN menerusi Pilihan Raya Umum 1969, mewakili Partai Rakyat Malaya (PRM) setelah menewaskan penyandang wakil rakyat kawasan berkenaan dari UMNO, Zainuddin Ahmad.

Bagi penulis, Cikgu Dzul amat istimewa. Beliau, selaku pemimpin pusat PRM dalam tahun 1960an, seorang pemidato dan pengulas dan penyampai isu-isu politik yang cukup hebat serta mempesonakan khalayak audien. Semasa penulis di bangku sekolah menengah, nama beliau cukup terkenal dan sebaris dengan tokoh politik yang hebat berpidato pada masa itu: Dato' Mohd Asri Haji Muda, Prof Zulkifli Mohamad, Ustaz Abu Bakar Hamzah (MP Bachok),  Mustapha Ahmad (MP Tanah Merah). Sekadar beberapa pemidato yang pernah penulis ikuti ceramah mereka.

Cikgu Dzul pernah 2 kali menyampaikan ceramahnya dalam rapat umum Partai Rakyat Malaya di Padang Merdeka, Pasir Puteh semasa penulis di bangku sekolah tingkatan tiga, dan sekali lagi masa penulis tingkatan empat. Beliau turun bersama kepimpinan pusat PRM: Datuk Kampo Radjo Baginda Kayo (Ketua Umum PRM), Kassim Ahmad, Dr Syed Husin Ali, Hasnol Abdul Hadi dan Syed Hamid Ali (pemimpin gerakan pelajar). Masa itu, PRM Kelantan dipimpin oleh Cikgu Wan Ibrahim Mustapha.

Tahun 1960an, salah satu tarikan khalayak yang popular ialah rapat umum, selain majlis dikir barat atau wayang kulit. Rapat umum, masa itu, tak kira anjuran parti politik atau badan bukan-politik, menarik perhatian dan medan utama, ialah padang awam: Padang Merdeka Pasir Puteh (sekarang Padang MDPP).

Penceramah agama dan tokoh agama Indonesia, Prof Dr Hamka, pernah memberikan pidatonya di tempat sama.

Masa penulis di tingkatan lima, masa kempen Pilihan Raya Umum 1969, 2 rapat umum di Padang Merdeka: satu oleh Perikatan (UMNO) dan satu Pas. Masing-masing memperkenalkan calon. Ucapan Dato' Asri cukup memberangkang, isu besar sumpah junjung Quran menafikan Pas terima bantuan asing, untuk dana pilihan raya. Dalam tahun 1969, PRM, tiada ada rapat umum kerana tidak bertanding di Kelantan.

Rapat-rapat umum Pas lebih membawa isu-isu keagamaan dan bangsa, sementara PRM mengetengahkan isu-isu sosio-ekonomik, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Isu-isu yang dibawa kedua-dua parti menerusi pemidato hebat menjadikan medan rapat umum amat popular dewasa itu.

Penulis lebih tertarik pada 2 tokoh iaitu Cikgu Dzul dan Dato' Asri, di samping kesegaran mengolah isu dan gaya penyampaian, kedua-dua tokoh ini amat menarik penggunaan gaya bahasa, yang cukup memikat audien.

Pada malam pengiraan undi PRU 1969, 10 Mei 1969, penulis menunggu keputusan demi keputusan sehingga dinihari 11 Mei. Lewat malam itu, Cikgu Dzul diumumkan menang di Dun Ulu Kuantan. Cukup memilukan dan amat teruja bagi penulis. Cikgu Dzul, antara calon favourite penulis diharap menang. Penulis tiada sentimen kepada mana-mana parti masa itu.

Lepas PRU, perlembagaan digantung, semua dewan perundangan: Dewan Rakyat & Dewan Undangan Negeri. Fungsi wakil rakyat digantung. Tak lama lepas tu, Cikgu Dzul ditahan di bawah ISA.

Cikgu Dzul dibebaskan dalam tahun 1974. Selepas 1974, rapat umum diharamkan. Kehebatan pidato beliau, hilang begitu sahaja. Lepas itu, penulis menonton lakonan beliau dalam filem arahan Jins Samsuddin, Menanti Hari Esok, sekitar 1975.

Kembali aktif dalam PRM, dan bertanding di Parlimen Indera Mahkota dalam PRU 2004, atas nama Parti Keadilan Rakyat (PKR) hasil gabungan PRM dan Parti Keadilan Nasional (KeADILan). Beliau tewas.

Kali terakhir, penulis ikuti ceramah beliau, semasa berceramah bersama DS Anwar Ibrahim dan Dato' Mustapha Ali, ceramah perdana di Kampung Padang Luas, Jerteh, pada 10.4.2007. Masa itu, beliau adalah Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Terengganu.

Al fatihah untuk Cikgu Dzul, semoga Allah akan mencucuri rahmatNya dan ditempatkan rohnya bersama para salihin dan tabiin. Semoga segala perjuangan, pengorbanan dan istiqamah beliau sepanjang berada di alam ini, akan menjadi ikutan dan inspirasi generasi masakini dan seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan