Sabtu, 9 Mei 2015

Muhasabah dari Permatang Pauh

PRK PERMATANG PAUH MUHASABAH UNTUK BN DAN PAKATAN RAKYAT

Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh kelmarin bolehlah disifatkan sebagai medan dua kelompok besar gagasan politik; Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, membina kajian masa depan. Kehadiran PRK P.044 ini dalam agenda dan takwin politik serta demokrasi kepilihanrayaan mengikut iklim Malaysia, memberikan beberapa analitikal pembolehubah untuk pengaturan strategi setiap parti. Dengan lain perkataan, memberikan beberapa dapatan baru untuk dimuhasabahkan.

Dari segi peranan dan tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sama seperti PRK Rompin, senggang dua hari, menampakkkan kegagalan SPR. Dalam PRK Permatang Pauh, sasaran 80 peratus keluar mengundi, tidak tercapai bila hanya 73.89% sahaja keluar membuang undi. Bila SPR menetapkan hari mengundi pada pertengahan minggu, memang sudah diduga pengundi yang tinggal di luar kawasan tidak ramai yang akan pulang mengundi. Kegagalan SPR mengadakan hari mengundi serentak semasa cuti panjang hujung minggu baru ini bagi kedua-kedua PRK Permatang Pauh dan Rompin, memberi kesan kepada angka keluar mengundi.

Dalam PRU13, seramai 63,332 orang dari jumlah 71,808 pemilih Parlimen Permatang Pauh, atau 88.19% keluar mengundi. Kelmarin, hanya 53,102 dari 71,890 pemilih atau 73.87% sahaja keluar mengundi, tersasar dari sasaran SPR. Ini bermakna seramai 10,230 pemilih atau penurunan 16.18%, tidak keluar mengundi kali ini yang boleh dibaca dari berbagai sebab, termasuk tidak balik kampung bagi mereka yang disebut sebagai "pengundi luar".

Strategi tersirat SPR membantu prestasi BN meletakkan hari mengundi berasingan dan pertengahan minggu, tidak menjadi di Permatang Pauh, sebagaimana di Rompin.  Kegagalan pengundi luar yang mungkin pada culaan BN, majoritinya tidak menguntungkan BN, menjadi sebab munasabah hari mengundi dielakkan pada hujung minggu supaya "pengundi luar" tidak pulang atas alasan PRK tidaklah sepenting PRU. 

Majoriti undi kemenangan calon PKR, DS Dr Wan Azizah Wan Ismail menurun. Majoritinya ialah 8,841 undi atau 17.07% berbanding 11,721 undi atau 18.78% oleh DS Anwar Ibrahim dalam PRU13. Perolehan undi calon PKR kali ini, 30,504 undi, iaitu penurunan 6,586 undi atau 17.75% daripada pungutan dalam PRU13: 37,090 undi. Di samping itu, undi popular calon PKR dalam PRK adalah 58.01% dari jumlah undi sah, sedikit rendah berbanding pencapaian PRU13; 59.19%. 

Berbanding dengan pencapaian calon BN pula, pungutan undi dalam PRK kelmarin; 21,475 undi atau 41.09% dari jumlah undi sah, penurunan undi 4,783 atau 18.53% dari undi PRU13; 25,369 undi. Pungutan undi BN dalam PRU13 merupakan 40.49% jumlah undi sah. 

Pencapaian kedua-kedua calon PKR dan BN dalam PRK, walaupun sedikit perubahan, tetapi perubahan dengan angka yang kecil, tidak menggambarkan satu keputusan atau pencapaian yang boleh dibanggakan, sekadar mempertahankan status quo PRU13. 

Usaha BN melakukan satu kejutan dan memperbaiki prestasi tidak menampakkan hasil yang jelas, lantaran peratusan keluaran mengundi yang rendah. Kebiasaannya dalam PRK, jika peratusan keluar mengundi yang tinggi, kelebihan adalah memihak kepada BN, terutamanya di kawasan luar bandar. Bila peratus keluar mengundi tinggi, BN berjaya buat kejutan, BN berjaya merampas kerusi Pas dalam PRK; Galas (04/11/2010) 83.15%, Pengkalan Pasir (08/12/2006) 83.01%, Pendang (10/07/2002) 86.04% dan Semerak (11/08/1997) 82.41%. BN berjaya meningkatkan undi serta mengurangkan majoriti kemenangan calon Pas di Manek Urai (17/07/2009) 87.57% keluar mengundi dan Sungai Limau (04/11/2013) 85.22% keluar mengundi. Berlainan dengan kawasan bandar, peratusan keluar mengundi tinggi boleh membuatkan BN cipta kejutan sebagaimana di Teluk Intan (31/05/2014), bila DAP hilang kerusi, bila hanya 67.13% keluar mengundi.

Ulasan pertama dari pihak BN menerusi Pengarah Jentera Pilihan Rayanya, DS Ahmad Zahid Hamidi, perncapaian calon sebagai calon muda merupakan satu permulaan yang baik. Pencapaian ini memberikan alamat baik masa depan BN khususnya di kerusi ini menjelang PRU14. 

Tak ada yang harus dikagumi dengan pencapaian calon BN, sungguhpun majoriti kemenangan calon PKR lebih kecil berbanding PRU13. Sungguhpun kemerosotan undi calon PKR lebih besar berbanding calon BN, dilihat dari segi peratusannya tiada apa-apa perbezaan, kecuali perubahan kecil perbezaan kurang dari 1 peratus. 

Pemboikotan Dewan Pemuda Pas Negeri membantu kempen calon PKR yang dibesar-besarkan oleh media arus perdana, walaupun ditarik balik di saat akhir, sepatutnya memberi merit atau kelebihan kepada calon BN serta menjejaskan prestasi calon PKR. Kejatuhan undi calon BN dan calon PKR selari dan berkadaran dengan pengurangan bilangan serta peratusan keluar mengundi. 

Sebagai kawasan pilihan raya bersifat luar bandar dan bermajoriti pengundi Melayu, isu nasional semasa cuma memberi kesan kecil sahaja kepada corak pemilihan pengundi. Kempen serta saraf BN, persaingan 50:50 di Permatang Pauh setelah menimbulkan  4 isu utama; perpecahan dalam Pakatan Rakyat, tiada pembangunan di Permatang Pauh dalam tempoh 17 tahun, calon PKR gagal jaga kawasan ADUNnya di Kajang, isu hudud, tidak berkesan serta penuh dengan propaganda politik sahaja. 

Undi rosak dalam PRK kelmarin, 843 undi atau 1.58%, dari jumlah kertas undi dalam peti undi. Angka ini agak besar berbanding 672 undi atau 1.06%, dalam PRU13. Sebagai negeri yang memiliki kawasan pilihan raya bandaran dan campuran lebih banyak berbanding kawasan luar bandar, undi rosak dalam PRU13 antara terkecil iaitu 1.13%. Undi rosak paling rendah ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang keseluruhannya bersifat bandar iaitu 0.83%, dan paling tinggi di Semenanjung ialah Pahang dengan 1.81%. Pertambahan jumlah undi rosak, ada kaitan dengan krisis dalam Pakatan Rakyat, bila sebahagian anggota dan penyokong Pas mengumumkan akan merosakkan kertas undi dan lebih rela merosakkkan kertas undi dari menyokong sama ada BN atau PKR. 

Sepatutnya bila ada sebahagian pengundi yang dulunya mengundi PKR memilih untuk merosakkan kertas undi, undi calon PKR sahaja yang merosot, yang akan mengecilkan majoriti kemenangan. 

Kesimpulan dari PRK Permatang Pauh, faktor pemilihan lebih banyak bergantung kepada ketokohan dan perwatakan calon. Nama DS Wan Azizah sudah lama menetap dalam ingatan pengundi berbanding Suhaimi Sabudin, yang lebih muda, muka baru dan mewakili parti yang kalah berkali-kali di Permatang Pauh. Walaupun BN menimbulkan isu umur, dan calon BN mewakili generasi baru, tetapi pengundi yang menguasai latar belakang sosio-georafi dan demografi Permatang Pauh, seperti kawasan luar bandar yang lain, sukar untuk melakukan tindakan drastik, melulu dan mendadak membuat keputusan di peti undi.

Pencapaian calon Pas dalam PRK Rompin jauh lebih menonjol berbanding calon BN PRK Permatang Pauh, walaupun kedua-duanya calon muda dan bertanding sebagai pencabar, di mana kedua calon parti yang mempertahankan kerusi lebih senior dari segi umur, kedudukan dalam masyarakat, serta pengalaman politiking. Sementelahan kedua-dua kawasan memiliki beberapa persamaan dari sudut sosio dan politikal- geografis. 

Bagi Pakatan Rakyat, andainya benar peningkatan undi rosak serta merosotnya bilangan keluar mengundi, kesan dari kekecewaan sekumpulan penyokong Pas yang tidak puas hati dengan tindakan rakan-rakan, angka atau kesan ini mungkin akan lebih besar bila melibatkan kawasan bandaran. Situasi ini akan lebih mencabar dalam penentuan lanskap politik masa depan. 


 

Selasa, 5 Mei 2015

PRK Rompin 3: kegagalan SPR

PRK ROMPIN MENYAKSIKAN SEBUAH KEGAGALAN SPR

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang baru saja diumumkan malam ini menyaksikan sebuah keputusan menarik dan istimewa. Petunjuk yang paling menarik ialah kegagalan peranan dan perancangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Tugas SPR ialah mempastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi, dalam PRK hari ini cuma 39,288 dari jumlah 53,294 pemilih atau 73.72% keluar membuang undi. Berbanding 85.90% dalam PRU13 (PRU 2013), atau kekurangan 6,563 pemilih atau penurunan sebanyak 14.31%. Masa lalu, sama ada PRU atau PRK diadakan hujung minggu, sama ada Sabtu atau Khamis, mengikut negeri. Ini untuk membolehkan pengundi yang berada di luar kawasan boleh pulang mengundi di kampung halaman masing-masing. Hari ini, seolah-olah SPR sengaja meletak hari mengundi di pertengahan minggu. Sungguhpun cuti peristiwa diambil oleh kerajaan negeri, tidak melibatkan keseluruhan pengundi di luar kawasan. 

Sepatutnya SPR mencari jalan untuk memberi kemudahan dan keselesaan pengundi keluar mengundi, agar peratusan keluar mengundi tinggi.  Menyuburkan  demokrasi menerusi penglibatan lebih ramai rakyat membuat keputusan, sepatutnya diutamakan oleh SPR. Mungkin Rompin satu kawasan selamat, selesa dan kubu kuat BN serta beberapa isu nasional semasa yang tidak mengungtungkan BN, kaedah menyukarkan pengundi dari kota yang terdedah kepada maklumat semasa untuk pulang mengundi diciptakan.


Sungguhpun Barisan Nasional (BN) sebagaimana dugaan dan ramalan akan menang mudah di kubu kuatnya ini berasaskan kepada pencapaian dalam 3 Pilihan Raya Umum (PRU) terakhir, beberapa unsur yang boleh dijadikan indikator petunjuk kelemahan serta masa depan. 

Calon BN, Datuk Hassan Ariffin hanya perolehi 23,796 undi, iaitu kurangan sebanyak 6,244 undi atau 20.78% daripada perolehan undi BN, 30,040 undi dalam PRU13. Sementara calon Pas, Ustaz Nazri Ahmad, perolehi 14,901 undi kurang 25 undi berbanding undi Pas dalam PRU13. Pencapaian BN dalam PRK ini bolehlah disifatkan satu prestasi buruk jika dilihat dari sudut peratusan keluar mengundi yang menurun. Sebaliknya, undi calon Pas pun sepatutnya menurun berkadaran dengan penurunan peratusan keluar mengundi. Prestasi calon Pas harus dibanggakan kerana berjaya meningkatkan peratusan undi popular. 

Dalam PRU13, undi BN 30,040 merupakan 66.8% daripada undi sah, tetapi dalam PRK hari ini, cuma perolehi 61.49% sahaja. Berbanding dengan undi Pas, 33.2% undi sah dalam PRU13, meningkat kepada 38.51%. 

Peningkatan peratusan undi Pas kerana berjaya memenangi undian di 4 daerah mengundi; Felda Keratong 2, Felda Keratong 4, Muadzam Shah dan Pianggu. Di samping itu, memberi saingan sengit di daerah mengundi; Felda Keratong 5, Sungai Puteri dan Bandar Baru Rompin, dengan beza jumlah undi yang kecil. Berbanding dengan PRU13, Pas tewas dengan jumlah undi yang besar di daerah-daerah mengundi berkenaan. 

Peningkatan undi Pas di beberapa penempatan Felda dan kawasan pekan, memberikan satu perkembangan menarik yang boleh mencipta satu indikator arah tuju politik masa depan. Isu semasa nasional yang popular: GST, saham Felda dan krisis keyakinan kepimpinan UMNO (terutamanya kritikan Tun Dr Mahathir), menjadi penentu perubahan sikap pengundi yang berlatarbelakangkan penerokaan Felda dan kawasan pekan. 

Peratusan keluar mengundi menjadi indikator pencapaian BN terutamanya dalam beberapa PRK sebelum ini. Peratusan keluar mengundi yang tinggi menjadi kelebihan kepada BN dalam mana-mana PRK. BN yang akses bantuan serta kemampuan kewangan dapat menggerakkan peratusan keluar mengundi yang tinggi. Pengundi dari luar diberi wang tambang untuk pulang mengundi di kampung. Kemudahan ini tidak ada kepada Pas, kecuali di Kelantan di mana jentera pilihan raya dibantu kewangan kerana memiliki banyak kemudahan apabila parti menguasai kerajaan. 

Walaupun BN masih menang, tetapi dengan penurunan majoriti dari 15,114 undi dalam PRU13, kepada 8,895 undi dalam PRK ini, satu kekalahan moral yang tidak boleh dipandang enteng bila berdepan dengan parti tanpa kemudahan, pengundi dari luar pulang tidak diberi saguhati untuk tambang. Betapa melesetnya, kenyataan TPM TS Muhyiddin Yassin yang BN akan menang mudah dengan majoriti 15,000 undi, beberapa lalu.

Benarlah kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, PRK Rompin sebagai tanda aras penerimaan rakyat pelaksanaan GST. Penurunan undi serta kejatuhan majoriti menjawab telahan bapak menteri. 

Tanpa penglibatan Perdana Menteri dalam kempen membantu calon BN dalam PRK Rompin, lebih lagi pilihan raya ini ganjil kerana tidak keliahatan poster PM, sebagaimana dalam mana-mana PRU atau PRK. Apakah prestasi BN kali ini ada kaitan dengan peranan PM. 

Sejauhmana pula, kesan PRK Rompin ini kepada gerakerja dan strategi serta prestasi BN dalam PRK Permatang Pauh lusa. Berbaloikah SPR mengasingkan hari mengundi 2 PRK ini, khususnya dari segi peratusan mengundi dan prestasi BN, di samping imej SPR dapat menepati matlamat penubuhan. 


Sabtu, 2 Mei 2015

Dari Rompin ke Permatang Pauh

APA MUSLIHAT SPR

Pilihan Raya kecil (PRK) P.091 Rompin dah bermula dengan pengundian awal, dan hari pembuangan undi akan berlangsung pada Selasa, 05/05/2015. Sementara pembuangan undi bagi PRK P.044 Permatang Pauh, pada Khamis 07/05/2015. Untuk makluman, kekosongan kerusi Permatang Pauh berkuatkuasa 16/03/2015, setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen Ahli Parlimen Permatang Pauh, DS Anwar Ibrahim . Kekosongan kerusi P.091 kerana kematian Ahli Parlimen Rompin, DS Jamaluddin Jarjis, 04/04/2015.

Dalam mesyuarat SPR pada  08/04/2015, 22 hari  selepas kekosongan kerusi berkenaan secara rasmi, memutuskan hari penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh ialah 25/04/2015 dan pembuangan undi pada Khamis 07/05/2015. Dua hari berikutnya iaitu selepas 6 hari kematian Ahli Parlimen Rompin, 10/04/2015 SPR mengadakan mesyuarat untuk mengisi kekosongan kerusi parlimen Rompin. Mesyuarat menetapkan 22/04/2015 sebagai hari penamaan calon dan pembuangan undi pada Selasa 05/05/2015.

Apakah muslihat dan petunjuk SPR meletakkan tarikh pengundian berbeza cuma dua hari PRK Rompin perlu didahulukan. Persoalan kedua, mengapa tempoh yang lama diambil untuk SPR adakan mesyuarat menentukan PRK Permatang Pauh berbanding hanya 6 hari sahaja selepas kematian Ahli Parlimen Rompin. Parlimen memaklumkan ke SPR pun sehari kemudian, selepas disahkan kemalangan maut yang menimpa Ahli Parlimen Rompin. Persoalan ketiga, hingga hari ini SPR belum memberi penjelasan dan sebab munasabah mengapa PRK Rompin perlu disegerakan berbanding PRK Pengkalan Pauh, walaupun tempoh mengisi kekosongan tidak melebihi 60 hari, masih panjang.

Adakah perlaksanaan GST yang baru berkuatkuasa pada 1 April lepas, masih panas, masa rakyat belum menerima impaks dan merasai kesan, masa rakyat masih belum faham, dijadikan alasan kukuh PRK Rompin perlu disegerakan. Malah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pun tak faham, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, yang ditugaskan menjadi jurucakap rasmi GST.

Sebagai sebuah kawasan pilihan yang bersifat luar bandar dan antara kawasan yang paling luas di Semenanjung, yang rata-rata pemilihnya kurang pendedahan maklumat. Kawasan Rompin mengandungi kawasan penempatan masyarakat FELDA yang luas, yang sukar ditembusi parti pembangkang. Di samping itu, masyarakat Orang Asal yang bertaburan, seramai lebih 7,000 pemilih serta masyarakat nelayan di pinggiran pantai yang masih tak bertanah, mendirikan rumah di atas tanah bukan milik sendiri, tanpa bekalan letrik, tanpa bekalan air bersih, perlu disembunyikan fakta sebenar tujuan dan impaks GST. Jika PRK Rompin tidak disegerakan, maklumat-maklumat kesan pelaksanaan GST serta krisis keyakinan kepimpinan sebagaimana pendedahan mantan PM, akan tersebarluas yang boleh memberi kesan dan prestasi BN di Rompin, yang memberikan kemenangan selesa dalam beberapa pilihan raya lepas. Imej Rompin sebagai kubu kuat BN perlu diutamakan demi agenda PRU14.

Meletakkan tarikh berbeza dalam masa sangat rapat bagi dua PRK amat melucukan serta merupakan satu permainan tektikal politik yang sangat nakal. Hal ini dibimbangi akan menjejaskan reputasi SPR, yang sering diletakkan sebagai memihak. SPR dirumuskan sebagai agensi perancang dan pelaksana strategi parti pemerintah. Keputusan dan tindakan diambil SPR lebih memihak. 

PRK Rompin didahulukan, dengan kemenangan besar dengan majoriti lebih 30% serta pungutan undi melebihi 65% jumlah undi sah dalam 3 PRU terakhir, diyakini BN akan menang mudah. Hasil keputusan PRK Rompin untuk momentun dan suntikan semangat jentera BN di Permatang Pauh menghadapi kerja-kerja akhir menjelang hari pengundian. Secara langsung memberi kesan psaikologi dan sikap pemilih Permatang Pauh yang akan mengundi 2 hari berikutnya.

Bagi kedua-dua pihak PKR yang mempertahankan kerusi Permatang Pauh dan BN, petunjuk prestasi masing-masing amat penting, agenda politik masing-masing. Tambahan pula, P.044 yang beberapa kali membuat kejutan dalam beberapa pilihan raya yang lepas. 

Nampaknya sangat peranan SPR yang memiliki agenda politik serta berkepentingan. Apabila kerusi DUN Merlimau kosong kerana kematian ADUNnya pada 20/01/2011 dan diistiharkan kosong esoknya bila pihak Pejabat DUN maklumkan kepada SPR, diikuti kematian ADUN Kerdau pada 12/02/2011, tetapi SPR keluarkan writ, notis serta memutuskan hari penamaan calon dan tarikh pengundian pada hari yang sama. 

Hari penamaan calon untuk PRK Kerdau (DUN Pahang) dan Merlimua (DUN Melaka) diadakan serentak pada 26/02/2011 dan pembuangan undi 06/03/2011. Kedua-dua kerusi ini, adalah kawasan kemenangan besar BN dalam PRU12, di mana undi popular BN melebihi 70%. Dalam PRK ini, berlaku persaingan dua penjuru; BN lawan Pas, sebagaimana PRU12. 

Apakah rasional SPR mengadakan PRK Merlimau dan Kerdau serentak, di mana jarak kekosongan kerusi berkenaan adalah 22 hari. Jarak kekosongan kerusi Permatang Pauh dengan Rompin ialah 19 hari. Di mana alasan munasabah dan kukuh yang membezakan antara PRK Merlimau dan Kerdau dengan PRK Rompin dan Permatang Pauh. Beza jelasnya Merlimau, Kerdau dan Rompin kerusi yang dimenangi Bn dengan majoriti besar, sementara Permatang Pauh, BN kalah dengan majoriti besar juga. Itu saja perbezaan nyata yang tak boleh memperdaya orang berakal. 

Mungkin senario politik semasa nasional dan tempatan yang berbeza yang memisahkan keputusan berbeza oleh SPR bagi keempat-empat PRK di atas. Dengan cuti panjang bermula hari Jumaat berakhir Selasa 05/05/2015 yang mengambilkira cuti Hari Pekerja, cuti mingguan, cuti Hari Wesak serta cuti peristiwa sempena PRK Rompin, membolehkan pengundi di luar kawasan pulang mengundi di Rompin, sepatutnya diambil kira SPR, mengadakan PRK Permatang Pauh, pada 05/05/2015. Hari mengundi Khamis 07/05/2015 di Permatang Pauh, membebankan, menyusahkan dan membosankan pemilih yang sudah pulang bekerja pada hari Selasa dan Rabu.



 

Khamis, 30 April 2015

PRK Permatang Pauh 1

KEUNIKAN KERUSI PARLIMEN PERMATANG PAUH

Kerusi Parlimen P.044 Permatang Pauh memiliki keistimewaan yang tersendiri sebagaimana catatan episod kepilihanrayaan di negara kita. Kerusi atau bahagian pilihan raya parlimen ini dibentuk hasil persempadanan kawasan pilihan raya 1973. Pembentukan kawasan pilihan raya ini adalah hasil pemecahan kerusi Parlimen Seberang Utara dan Seberang Tengah. Sebahagian kawasan pilihan raya persekutuan Seberang Utara membentuk kawasan pilihan raya persekutuan atau kerusi Parlimen Kepala Batas. Satu bahagian dalam kawasan pilihan raya Seberang Tengah membentuk kerusi Parlimen Bukit Mertajam. Lebihan pecahan kawasan Seberang Utara dan Seberang Tengah, dibentuk satu kawasan pilihanan persekutuan baru; Permatang Pauh. 

Kerusi Parlimen Seberang Utara disempadankan semua membentuk Parlimen Kepala Batas, sementara Parlimen Seberang Tengah diganti dengan Parlimen Bukit Mertajam. Justeru asas persempadanan semula kawasan pilihan raya 1973 mengambilkira keperluan politik pasca 13 Mei, maka lebih banyak kawasan majoriti Melayu dibentuk. Dalam PRU3 (PRU1969), Parlimen Seberang Tengah, satu kawasan campuran, di mana calon Melayu dari Gerakan menewaskan calon UMNO yang mempertahankan kerusi.   

Lantaran itu, dengan penambahan satu kerusi  Parlimen, kerusi Bukit Mertajam diperuntukan kepada MCA dan Permatang Pauh kepada UMNO. Ini berikutan persempadanan 1973 menjadikan kawasan asal Parlimen Seberang Tengah yang campuran sifatnya, membentuk satu kerusi Parlimen majoriti Melayu dan satu kerusi majoriti bukan Melayu (Cina). Seolah-olah persempadanan semula ini sebagai jawapan kepada kekalahan calon UMNO mewakili Perikatan bagi kerusi Parlimen Seberang Tengah, dalam PRU 1969.

Kawasan pilihan raya yang dibentuk selepas merdeka, bagi Pulau Pinang, setiap kawasan pilihan raya negeri mengandungi 3 kawasan pilihan raya negeri (kerusi DUN). Pengwujudan kawasan pilihan raya Permatang Pauh menambahkan tiga kerusi baru bagi DUN. 

Kawasan pilihan raya persekutuan Permatang Pauh terdiri dari 3 kawasan pilihan raya negeri; Sungai Dua, Kubang Semang dan Penanti. Sungai Dua dipindahkan dari Parlimen Seberang Utara, Kubang Semang dari Seberang Utara dan Seberang Tengah, sementara Penanti dari Seberang Tengah. Sementara kawasan pilihan raya negeri majoriti bukan Melayu di Seberang Tengah: Bukit Tengah dan Pekan Bukit Mertajam membentuk Parlimen Bukit Mertajam, bersama kawasan pilihan raya negeri Machang Bubok dari Seberang Selatan.

Dalam PRU4 (PRU 1974), kerusi Parlimen Permatang Pauh dan kerusi negeri Kubang Semang dan Penanti diberikan kepada UMNO, sementara Sungai Dua kepada Pas, dalam agihan kerusi dalam komponen BN. BN menang semua kerusi berkenaan dengan selesa.

Dalam PRU5 (PRU 1978), Pas yang disingkirkan dari BN pada November 1977, bertanding bersendirian. Ustaz Zabidi Ali berjaya mempertahankan kerusi negeri Sungai Dua dan merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh, dalam suasana pengaruh Pas mulai surut setelah kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Negeri (DUN) Kelantan yang diadakan berasingan, serta kehilangan banyak kerusi dalam PRU4 di seluruh negara. 

Di kawasan yang tak pernah menonjolkan pengaruh Pas berbanding Kelantan, Kedah, Terengganu, Perlis dan Perak Utara, kemenangan Pas di Permatang Pauh adalah sesuatu yang luar biasa. Di samping menang di Sungai Dua, Pas juga beri saingan sengit di Kubang Semang dan Penanti, memberikan BN menang dengan majoriti kecil.

 Dalam PRU6 (PRU 1982), bila UMNO menonjolkan Presiden ABIM, Anwar Ibrahim untuk Parlimen Permatang Pauh, memberikan pencapaian luar biasa bagi BN. Di kerusi Parlimen Permatang Pauh, Anwar perolehi kemenangan dengan majoriti besar, 14,352 undi atau 61.47% untuk menumpaskan calon Pas yang mempertahankan kerusi. BN menerusi Anwar membantu meningkatkan undi dari 10,264 undi (PRU5) kepada 18,849 undi, sementara undi Pas merosot dari 11,124 undi kepada 4,497 undi. Pencapaian cemerlang BN ini turut membantu memenangi semua tiga kerusi DUn dengan majoriti besar. 

Persempadanan semula kawasan pilihan raya 1983 sekali lagi melibatkan kawasan pilihan raya di Seberang Prai, termasuk Permatang Pauh. Satu kawasan pilihan raya persekutuan iaitu Parlimen Tasek Gelugor diwujudkan. Kawasan pilihan raya negeri Tasek Gelugor dari Parlimen Kepala Batas dicantumkan dengan kawasan pilihan raya negeri Sungai Dua dari Permatang Pauh, dicantumkan untuk pembentukan kerusi Parlimen Tasek Gelugor. Persempadanan 1983 menjadikan Permatang Pauh terdiri dari 3 kerusi negeri; Seberang Jaya (mengambil sebahagian kawasan Parlimen Bagan), Permatang Pasir (dulunya Kubang Semang) dan Penanti. 

Dalam PRU7 (PRU 1986) yang menggunakan sempadan baru, undi BN merosot sementara undi untuk Pas meningkat, walaupun sebahagian kawasan pengaruh Pas dikeluarkan dan dimasukkan ke Parlimen Tasek Gelugor. Di kerusi Parlimen, DS Anwar Ibrahim cuma menang dengan majoriti berkurangan, 10,470 undi atau 41.13%. 

Persempadanan kawasan pilihan raya 1993 tidak melibatkan kawasan pilihan raya di Pulau Pinang. PRU10 (PRU 1999) melibatkan secara langsung dengan Parlimen Permatang Pauh sebagai petunjuk, di mana PRU diadakan dalam zaman Reformasi kesan dari pemecatan DS Anwar Ibrahim dari UMNO. Selain ada kaitan langsung dengan mantan Ahli Parlimennya, sebagai kawasan majoriti Melayu terlibat sama dengan tsunami Melayu dalam PRU10. BN diwakili UMNO ditumpaskan oleh calon KeADILan, diwakili isteri DS Anwar, DS Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti agak besar juga, 9,072 undi walaupun BN menurunkan seorang Timbalan Menteri. Kerusi negeri Permatang Pasir dimenangi Pas dengan majoriti besar, 3,194 undi. Kerusi Penanti dimenangi calon KeADILan, dengan majoriti selesa juga, 1,941 undi, sementara Seberang Jaya dipertahankan BN dengan majoriti 853 undi sahaja. 

Persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003, sebagai natijah dari penolakan pengundi Melayu kepada BN dalam PRU10, difokuskan untuk menambahkan kawasan campuran dan bukan Melayu. Di Pulau Pinang, ditambah 2 kawasan pilihan raya persekutuan. Penambahan 2 kerusi Parlimen baru mewujudkan kerusi Parlimen Batu Kawan di Seberang Prai dan Bukit Gelugor di bahagian pulau. Kedua-duanya kawasan majoriti bukan Melayu. Dalam PRU11 (PRU 2004), walaupun mandat diperlukan untuk DS Abdullah Ahmad Badawi sebagai PM, namun UMNO masih gagal di Permatang Pauh. Calon KeADILan, DS Wan Azizah menang dengan majoriti kecil, cuma 590 undi sahaja, dengan kemerosotan undi dari 23,820 undi ke 21,737 undi, berbanding BN yang meningkat dari 14,743 undi ke 21,147 undi. Pas masih berjaya pertahan kerusi Permatang Pasir dengan majoriti merosot, sementara KeADILan hilang kerusi Penanti.


Dalam PRU12 (PRU 2008), DS Wan Azizah mengekalkan kerusi parlimen dengan majoriti besar 13,398 undi. Di kerusi negeri Pas berjaya pertahan Permatang Pasir dengan majoriti besar lebih 5,000 undi dan kerusi Penanti dirampas balik oleh PKR (dulunya KeADILan) dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 26/08/2008, ekoran perletakan jawatan DS Wan Azizah, dimenangi DS Anwar Ibrahim dengan majoriti meningkat, 15,671 undi. Dalam PRK Permatang Pasir 25/06/2009, kerana kematian ADUNnya, calon Pas menang dengan majoriti selesa, lebih 4,500 undi. 

Dalam PRU13, DS Anwar yang pertahan kerusi Permatang Pauh, menang dengan majoriti merosot 11,721 undi. PKR perolehi 37,090 undi atau 59.19% undi sah berbanding BN perolehi 25,369 undi atau 40.49% undi sah. 

Dari senario berbagai episod kepilihanraya di Permatang Pauh sejak tahun 1960an mencatatkan ragam pemilihan atau corak pengundian di sini yang sungguh menarik, unik dan kelainan berbanding kawasan lain, khususnya kawasan majoriti Melayu. Biasanya perubahan yang berlaku dari pilihan raya yang berlainan dapat disaksikan di kawasan bandaran atau separa bandar atau pinggiran kota. Kemenangan besar dalam satu pilihan raya, berlaku sebaliknya dalam pilihan raya yang lain. 

Permatang Pauh dulunya sebahagian Parlimen Seberang Tengah setakat ini mencatat 3 kejutan dalam pilihan raya; 1. Parti Gerakan yang baru berusia 1 tahun mengalahkan calon UMNO yang pertahan kerusi dalam PRU 1969, 2. Calon Pas menjadi parti pembangkang kedua menumpaskan calon UMNO yang pertahan kerusi, dalam PRU 1978, 3. Parti KeADILan yang baru berusia setahun menang dengan majoriti besar mengalahkan calon UMNO, dalam PRU 1999. 

Apakah pula keunikan pemilih kawasan parlimen ini dalam PRK 07/05/2015 nanti, yang menantikan perubahan dari sudut undi popular, pihak mana yang merosot, pihak mana yang meningkat sokongan. Sejauhmana faktor semasa mempengaruhi ragam pilihan pengundi; 1. undi simpati, 2. undi protest, 3. kesan krisis dalam Pakatan Rakyat, 4. kesan krisis keyakinan kepimpinan UMNO, 5. kesan dasar kerajaan semasa terutama GST. 






Selasa, 28 April 2015

PRK Rompin 2

MEMPERTAHANKAN STATUS QUO DALAM KEMELUT KRISIS KEYAKINAN

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin bakal diadakan minggu hadapan ditunggu dengan beberapa kemungkinan yang memberikan kesan jangka pendek kepada kedua-dua parti yang bertanding. Kebiasaaannya isu nasional lebih mendominasi isu tempatan dalam PRK, walaupun ianya berfokus kepada satu kawasan atau bahagian pilihan raya. Bacaan awal perletakan calon BN menampakkan menepati telahan PRK Rompin mencerminkan satu episod yang tak boleh dipinggirkan oleh BN selaku penyandang.

Dua isu besar sedia maklum masakini: isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan kritikan serta serangan mantan PM, Tun Dr Mahathir terhadap PM DS Mohd Najib. Kebetulan isu ini sudah berbangkit sebelum kekosongan kerusi P.091 lantaran kematian Ahli Parlimen arwah Datuk Dr Jamaluddin Jarjis. Prestasi BN dalam PRK P.091 akan memberikan satu jawapan kepada dua isu utama nasional tersebut. Sejauhmanakah khalayak pemilih di Rompin menterjemahkan penerimaan GST serta teguran mantan PM, sebagai mewakili kelompok masyarakat luar bandar, atau mungkin mewakili kelompok yang lebih meluas sebagai suara rakyat keseluruhannya.

Apabila BN meletakkan calon yang sudah established dan popular serta tokoh veteran peringkat negeri, malah pernah menduduki Majlis Tertinggi UMNO  untuk berdepan dengan muka baru, seorang Ketua Pemuda Pas Negeri, memperlihatkan peri pentingnya dan kesungguhan UMNO/BN mempertahankan kemenangan serta mengekalkan majoriti besar, di kubu kuatnya. Seolah-olah UMNO/BN khuatir, dengan ledakan peluru GST dan peranan mantan PM, Rompin tidak mampu mencerminkan kubu kuat UMNO dengan mempertahankan kemenangan bergaya sebagaimana 3 PRU terakhir.

Dalam PRU11 (PRU 2004) di kala prestasi cemerlang BN seluruh negara, UMNO/BN menerusi Datuk Jamaluddin memperolehi 19,359 undi atau 65.91% jumlah undi sah, meningkat ke 21,308 undi atau 66.71% undi sah dalam PRU12, dan meningkat ke 30,040 undi atau 66.8% undi sah dalam PRU13. Dalam ketiga-tiga PRU tersebut, BN berjaya pertahankan legenda Parlimen Rompin sebagai kubu kuat UMNO, dengan pencapaian yang sentiasa meningkat. Dalam 3 PRU tersebut, BN berdepan satu lawan satu dengan calon Pas.

Kecermelangan UMNO/BN di Parlimen Rompin diceriakan lagi dengan kemenangan majoriti besar dan konsisten. Dalam PRU11, menang dengan majoriti 9,350 undi atau 31.83%, dalam PRU12 (PRU 2008) kepada 10.679 atau 33.43%, dan di kala pencapaian semakin merosot di seluruh negara dalam PRU13 (PRU 2013), di Rompin, BN masih menang bergaya dengan majoriti 15,114 undi atau 33.61%. 

Seandainya BN gagal mempertahankan prestasi dalam 3 PRU terakhir tersebut, satu alamat atau petanda cemas bukan untuk masa depan BN di Parlimen Rompin, malah di seluruh negara. Dengan latar belakang pemilihnya yang terdiri dari 3 komponen besar penyokong tegar yang membekalkan fixed deposit untuk BN: masyarakat nelayan (di DUN Tioman khususnya), masyarakat Orang Asal dan peneroka Felda (khususnya dari Gugusan Felda Kratong), secara langsung memberikan BN berada di zon selesa. Penurunan undi popular, peratusan undi serta majoriti, walaupun menurunkan tokoh veteran popular, atas desakan akar umbi kononnya, akan mengiyakan pandangan Tun Mahathir, UMNO sedang menuju masa depan yang mencemaskan untuk berdepan PRU14. 

Sungguhpun dalam beberapa PRK sebelum ini, calon BN gagal kemenangan dalam PRU. Dalam PRK Teluk Pasu (DUN Terengganu) 26/06/1989, calon UMNO/BN gagal pertahan kerusi. Dalam PRU 1986, calon UMNO menang dengan majoriti 776 undi atau 12.13%. Dalam PRK berkenaan kerana kematian ADUNnya, BN yang mempertaruhkan calon popular, Kadhi Besar Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahman Mohamad kalah kepada calon Pas, Ustaz Harun Taib dengan majoriti 141 undi atau 1.95%. Kekalahan luar jangka BN, tambahan pula undi BN hanya turun sebanyak 57 undi sahaja, dari 3,587 undi dalam PRU 1986, turun kepada 3,530 undi dalam PRK. Ini lantaran undi Pas meningkat dari 2,811 undi dalam PRU kepada 3,671 undi dalam PRK. Peningkatan undi calon Pas sebanyak 860 undi berbanding pengurangan undi BN, 57 undi, adalah disebabkan peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam PRK, 86.25%, berbanding cuma 77.0% dalam PRU 1986.

Antara sebab kekalahan BN ialah: i. faktor calon elit, tidak mesra pengundi, ii. kerja keras jentera Pas yang baru bergabung dengan parti baru, Semangat 46, mempastikan dan mengenalpasti penyokongnya keluar mengundi, iii. krisis UMNO yang belum reda, ekoran krisis 1987 yang membawa kepada pembatalan parti UMNO.

Satu PRK Parlimen Arau telah diadakan pada 04/07/1998, kerana kematian Ahli Parlimen kawasan berkenaan. BN yang memenangi kerusi berkenaan dalam PRU 1995, dengan majoriti 6,929 undi atau 27.07%, gagal pertahan kerusi bila undinya merosot dari 16,268 undi kepada 11,541 undi, membolehkan calon Pas, Ustaz Hashim Jasin menang dengan majoriti 1,323 undi, setelah memperolehi 12,804 undi, berbanding undi calon Semangat 46 dalam PRU 1995; 9,337 undi. Semasa PRK Parlimen Arau, Semangat 46 telah dibubarkan dan ahlinya memasuki UMNO beramai-ramai. Sepatutnya BN boleh menang mudah dalam PRK tersebut. Faktor calon dan faktor pemecatan DS Anwar Ibrahim menjadi faktor utama kekalahan BN, di kawasan yang UMNO tidak pernah kalah sejak zaman Perikatan dalam PRU pertama, 1959.

Secara tidak langsung faktor nasional memberi sumbangan kepada kemerosotan prestasi UMNO/BN sebagaimana pengalaman PRK Teluk Pasu dan PRK Arau, yang kebetulan berdepan dengan isu nasional yang secara langsung krisis dalaman UMNO dan negara. 

Pengundi Rompin yang rata-ratanya luar bandar sifatnya dengan lebih 80% pengundinya orang Melayu, kebarangkalian membuat keputusan sebagai keputusan sebagaimana pengundi kota dan pinggiran kota adalah rendah. Pengundi Parlimen Seremban memberi kemenangan besar kepada calon DAP dalam PRK 19/11/1983 berbanding kekalahan 845 undi atau 1.85% dalam PRU 1982. Di samping calon DAP dapat meningkat undi, calon MCA mewakili BN, kehilangan lebih 5,000 undi berbanding PRU, setahun sebelum PRK. 

Dalam PRK Parlimen Teluk Intan, 17/05/1997, calon MCA/BN yang menang dengan majoriti 13,968 undi dalam PRU 1995, tewas dalam PRK berkenaan, setelah kehilangan 9,500 undi. Kemerosotan undi calon BN, membolehkan calon DAP menang dengan 2,916 undi, apabila dapat meningkatkan undi sebanyak 7,400 undi dari PRU 1995. Begitu juga dalam PRK kawasan sama pada 31/05/2014, DAP yang menang dengan majoriti 7,313 undi dalam PRU13 gagal pertahan kerusi apabila undinya merosot sebanyak lebih 8,000 undi, sementara BN menerusi calon Gerakan yang hanya dapat tingkat undi sebanyak 71 undi, merampas kerusi Teluk Intan, walaupun dengan majoriti kecil, 238 undi. 

Dua kes Teluk Intan (1997 dan 2014) dan kes Seremban (1983) berlaku tanpa isu besar dalam politik tanah air berbanding kes Teluk Pasu (1989) dan Arau (1998) semasa suasana dipanaskan dengan isu besar peringkat nasional. Perbezaan asasnya, perubahan serta kejutan sikap pengundi di luar bandar berlaku bila digerakkan oleh isu nasional semasa. 

Sejauhmanakah keberkesanan ketidakpuasan rakyat terhadap pelaksanaan GST, disokongan pula dengan senarai 12 kesalahan DS Najib pada pandangan Tun Dr Mahathir, lebih tenat lagi, saranan seorang Ahli Parlimen UMNO, supaya PM membubarkan Parlimen untuk mendapat mandat baru. Seandainya, berlakunya perubahan besar dari sudut pungutan undi kedua-dua calon dalam PRK P.091, secara langsung satu bingkisan referendum sebagai bahan analisis suara rakyat. 

Langkah SPR menetapkan hari mengundi pada hari Selasa, boleh membantut peratusan keluar mengundi. Di Rompin terdapat lebih 5,000 pengundi berada di luar kawasan atau disebut sebagai pengundi luar. Dalam pengalaman PRK seluruh negara, peratusan keluar mengundi yang rendah akan mengancam pencapaian undi BN. 

Sungguhpun Pas pernah memenangi kerusi DUN Bukit Ibam dalam PRK 1974, tidak boleh dijadikan stigma kekuatan Pas di kawasan Parlimen Rompin. Dalam PRK 1974, hasil persempadanan kawasan pilihan raya 1973, kawasan pilihan raya negeri di Pahang telah ditambah sebanyak 8 kawasan baru di samping tambahan 2 kawasan pilihan raya persekutuan. Masa itu, Pas adalah komponen BN, dan diperuntukan satu kerusi DUN. Dari sudut ini, tidaklah boleh dijadikan sebagai asas ancaman kepada UMNO/BN. Bila Pas disingkir dari BN, sejak PRU 1978, Bukit Ibam menjadi kubu kuat UMNO/BN, hinggalah PRU terakhir. 

PRK P.091 lebih merupakan satu cabaran buat BN dalam mempertahankan status kubu kuatnya dalam suasana yang boleh dikatakan sebagai krisis keyakinan kepimpinan bila peranan mantan PM Tun Dr Mahathir disebarluaskan untuk tatapan awam. Bagi Pas yang bertanding di kawasan undi popularnya yang rendah, bawah 35 peratus atau bawah satu pertiga, yang juga digemburkan dengan krisis keyakinan, tidak menguasai faktor pilihan pengundi. Lainlah jika Parlimen Rompin, walaupun majoriti Melayu sebagai pemilih, sama dengan kawasan pilihan raya di negeri-negeri di mana undi Pas adalah melepasi 40 peratus. 





 

Jumaat, 24 April 2015

Persempadanan Sarawak 2

SEMAKAN SEMULA PERSEMPADANAN KAWASAN PILIHAN RAYA SARAWAK

Cadangan persempadanan kawasan pilihanan raya negeri di Sarawak yang menyesyorkan cadangan bagi bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri di Sarawak mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan menerusi Fasal (2) Perkara 113 telah dipamerkan untuk siasatan awam pada 25 Februari hingga 6 Mac 2015. 

Berikutan kajian tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan di bawah Seksyen 7, Bahagian II, Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, untuk mengubah syor-syor yang telah dicadangkan dan menyesyorkan laporan syor-syor baru. Justeru itu, pameran semula sedang berlangsung, dari 30 Mac hingga 29 April 2015. 

Tulisan saya dalam ruangan ini pada 17/01/2015 telah menganalisis cadangan persempadanan bahagian pilihan raya negeri Sarawak yang dipamerkan untuk tatapan awam yang pertama, untuk mendapat pandangan awam. Cadangan semakan semula yang sedang dipamerkan dengan beberapa perubahan nama serta perubahan daerah mengundi, yang asasnya mengekalkan jumlah bilangan bahagian pilihan raya negeri tambahan sebanyak 11, tanpa pertambahan bahagian pilihan raya persekutuan. 

Dalam semakan semula yang sedang berjalan, 11 kawasan pilihan raya negeri tambahan berkenaan diberikan sedikit tukaran nama. 3 tukaran nama; N23 Bukit Semuja (Triboh dalam syor pertama dulu), N63 Bukit Goram (syor awal Selirik), N78 Mulu (syor awal Long Lama). N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serambu, N26 Gedung, N40 Kabong, N57 Tellian, N66 Murum dan N70 Samalaju.

Sementara perubahan nama kawasan pilihan raya kecil disyorkan ditukar dalam semakan pertama dulu dikekalkan; N19 Mambong (dulunya Bengoh), N34 Batang Ai (Batang Air), N41 Kuala Rajang (Belawei) dan N68 Tanjong Batu (Kidurong).

Pengesyoran persempadanan ini adalah berasaskan kepada jumlah pemilih yang diwartakan oleh SPR pada 30/04/2014 iaitu seramai 1,109,134 pemilih.

Sungguhpun tiada pertambahan kawasan pilihan raya persekutuan tetapi 13 kawasan telah disemak semula, di mana tiga kawasan:  P206 Tanjong Manis, P218 Sibuti dan P219 Miri, tidak ditambah bahagian pilihan raya atau kerusi negeri.

P218 Sibuti yang mengadungi 28,634 pemilih kekal dengan 2 bahagian pilihan raya negeri: N71 Bekenu (12,238 pemilih) dan N72 Lambir (16,396 pemilih), di mana Bekenu adalah kawasan majoriti Bumiputera Islam, sementara Lambir kawasan campuran dengan majoriti Bumiputera Islam. P213 Mukah dengan 27,167 pemilih diberi tambahan satu kawasan pilihan raya negeri dengan komposisi: N56 Dalat (10,985 pemilih), N57 Tellian (8,698 pemilih), N58 Balingian (7,484 pemilih). Parlimen Mukah mempunyai lebih 70 peratus pemilih Bumiputera Islam. 

Kawasan pilihan raya Parlimen P216 Hulu Rajang (24,293 pemilih) dan P215 Kapit (27,899 pemilih), masing-masing diberi tambahan satu kawasan pilihan raya negeri. Kawasan pilihan raya persekutuan ini wajar ditambah wakil rakyat DUN kerana melihat kepada faktor geografi dan sistem perhubungan. 

P205 Saratok (28,175 pemilih) asalnya dua kawasan pilihan raya negeri: Kalaka (majoriti Bumiputera Islam) dan Kerian (majoriti Bumiputera Bukan Islam) dipecahkan kepada tiga kawasan pilihan raya negeri: N38 Kalaka (7,324 pemilih), N39 Kerian (11,694) dan N40 Kabong (9,157). Jika pertambahan kerusi di dalam kawasan Parlimen Mukah, Kapit dan Hulu Rajang, berdasarkan komposisi pemilih secara langsung untuk menambahkan kerusi untuk kaum atau kelompok tertentu, berbeza dengan P205 Saratok, kerana kerusi Kerian dimenangi calon PKR dalam Pilihan Raya Negeri 2011. Adakah pertambahan kerusi di P205 untuk menyelamatkan parti komponen BN, berbanding tiada pertambahan untuk P218. 

Kawasan P195 Bandar Kuching, asalnya mengandungi 2 bahagian pilihan raya negeri: Padungan dan Pending, diperluaskan dengan memindahkan Batu Lintang dari P196 Stampin. Sementara P196 Stampin, di samping 2 kawasan bahagian pilihan raya negeri Kota Sentosa dan Batu Lintang, ditambah satu kerusi baru Batu Kitang. Dalam PRN 2011, semua lima kerusi dalam kawasan Bandar Kuching dan Stampin dimenangi oleh calon pembangkang; DAP dan PKR.
Jumlah pemilih dalam persempadanan baru; P196 Bandar Kuching 81,992 orang (3 kerusi DUN) dan P197 Stampin 58,511 orang (3 kerusi DUN).

Memindahkan Batu Lintang ke Parlimen Bandar Kuching untuk mempastikan Parlimen Stampin bukan lagi kubu kuat pembangkang sebagaimana PRU13 atau PRN 2011. Dengan lain perkataan membantu, SUPP anggota komponen BN yang kehilangan banyak kerusi dalam PRN terakhir.

Kawasan pilihan bersifat bandaran dan separa bandar, P217 Bintulu dengan 57,887 yang asalnya 3 kerusi negeri ditambah satu kerusi tambahan. Dalam PRN 2011, kerusi Jepak dan Kemena dimenangi BN, sementara Kidurong dimenangi DAP. Tambahan kawasan pilihan negeri N70 Samalaju, menjadikan P217 mengandungi empat kerusi negeri. 

Umumnya perencanaan, penyusunan dan strategi persempadanan kawasan pilihan raya yang sedang dipamerkan, samalah dengan persempadanan lampau sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak, masih didominasi kepentingan politik kelompok yang menguasai kerajaan. 

Rabu, 22 April 2015

PRK Rompin 1

MENGAPA BN LETAK CALON KITAR SEMULA

Agak menarik juga Pilihan Raya Kecil (PRK)  P091 Rompin bila Barisan Nasional (BN) meletakkan tokoh veteran, Datuk Hassan Ariffin, di kawasan selamat dan kubu kuat sejak berzaman. Datuk Hassan, adalah ADUN empat penggal 1990-2008, pernah memegang jawatan kanan dalam pentadbiran negeri sebagai Timbalan Menteri Besar. Sungguhpun selayaknya sebagai orang nombor dua dalam UMNO Bahagian Rompin mengisi kekosongan kerusi parlimen Rompin, yang dipegang oleh Allahyarham Datuk Jamaluddin Jarjis, ketua bahagian. 

Kebiasaannya kerusi yang tidak selamat atau kawasan kelabu atau hitam, tokoh pilihan dicalonkan sama ada dalam pilihan raya umum (PRU) atau PRK, sebagaimana amalan BN dan parti-parti komponen. Strategi untuk memastikan kerusi berkenaan dapat dipertahan atau kerusi yang tewas dapat dirampas dari tangan parti pembangkang.

Datuk Othman Abdul telah mencipta nama sebagai ahli politik istimewa di Malaysia kerana beliau telah berjaya mencipta dua sejarah memulihkan semangat partinya, UMNO/BN. Othman Abdul adalah Ahli Parlimen Ulu Muda (kemudiannya tukar nama kepada Pendang) bermula dari PRK Ulu Muda (1983) dan memenangi 3 PRU, 1986, 1990 dan 1995. Dalam PRU 1999, BN gagal pertahan kerusi Parlimen Pendang, bila Othman Abdul tidak dicalonkan. Dalam PRK Parlimen Pendang, 18/07/2002, BN berjaya merampas kerusi ini, walaupun dengan majoriti kecil, 283 undi. Calon Pas gagal pertahan kerusi yang dimenangi Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Presiden Pas. 

Bagaimanapun BN gagal pertahan kerusi Pendang dalam PRU 2004, bila BN tidak mengekalkan Othman Abdul. Bagaimanapun, Pas yang memenangi kerusi Parlimen Pendang dalam PRU 2004 dan PRU 2008, tidak mengekalkan Ahli Parlimennya, Datuk Dr Hayati Othman. Sekali lagi, Othman Abdul dipanggil untuk jadi penyelamat, bila dipanggil bertanding di kerusi berkenaan dalam PRU 2013, dan BN berjaya merampas kerusi milikan Pas ini.

Dalam kes TS Mohd Isa Abdul Samad dipanggil untuk pertahankan kerusi Bagan Pinang dalam PRK kerusi berkenaan pada 11/10/2009, di mana kerusi berkenaan adalah kawasan selesa dan kubu kuat BN. Suasana politik pasca PRU12 yang masih dibebani kejutan tsunami politik memerlukan seorang tokoh untuk mengembalikan semangat sokongan kepada BN yang semakin menurun. Tiada apa-apa keperluan untuk TS Isa bertanding di peringkat kerusi negeri sedangkan tiada krisis politik negeri, lainlah untuk kerusi Parlimen, untuk meletakkan TS Isa dipersada politik nasional bersesuaian mantan Naib Presiden UMNO.

Buat politik semasa dalam BN, tiada keperluan untuk perlantikan atau pengisian jawatan untuk memperkukuhkan kerajaan. Berlainan dengan PRK Parlimen Teluk Intan, 31/05/14, ditonjolkan untuk mengisi jawatan kabinet mewakili kaum Tionghua. 

Pengisian kekosongan kerusi Parlimen Rompin tidak sama dengan PRK  Parlimen Kuala Kedah, 20/03/1973, bila Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman meletakkan semua jawatan politik. Dato' Senu Abdul Rahman, Menteri Penerangan yang tewas dalam PRU 1969 diberi ruang untuk meneruskan nafas politik untuk bertanding sebagai calon Perikatan. Sungguhpun Tunku sebagai PM menang dengan majoriti merosot dalam PRU 1969 bila diberi tentangan hebat oleh calon Pas, tetapi dengan penyertaan Pas dalam Kerajaan Campuran Perikatan-Pas bermula 01/01/1973, kerusi parlimen Kuala Kedah, bukanlah kawasan kelabu dan kurang selamat. 

Pengisian kerusi Parlimen Rompin tidaklah sama dengan kes Pendang atau kes Kuala Kedah atau Bagan Pinang. PRK Rompin menunggu jawapan rasionaliti Hassan Arifin dicalonkan untuk berdepan calon muka baru, calon muda dari Pas, Ustaz Nazri Ahmad, di kawasan BN menang besar dalam dua PRU terakhir. Dalam PRU12, BN membolot 66.7%  dan 66.8% undi sah dalam PRU13, mengekalkan majoriti 33% dalam kedua-dua PRU. 

Bacaan awal dari pencalonan Hassan Arifin adalah dari faktor:
pertama - kebimbangan BN dapat mengekalkan prestasi dua PRU terakhir dari isu GST yang masih panas, kedua - kesan kritikan Tun Mahathir ke atas DS Najib. Bagaimanapun tunggulah bagaimana isu utama dimainkan kedua-dua pihak bertanding dalam tempoh 10 hari, bermula hari ini.

Sabtu, 28 Mac 2015

PRK Cempaka 4

PENCAPAIAN PAS DI CEMPAKA TIDAK BANYAK BEZA DENGAN PRU13

Pilihan Raya Kecil N06 Cempaka pada 22/03/2015 berlangsung semasa saya sedang menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci Mekkah. Saya mempunyai sedikit waktu melihat kempen PRK ini, sebelum berangkat. Namun demikian, hasil dari PRK ini memberikan juga sedikit gambaran gelagat dan ragam pemilihan khalayah pemilih.

Sungguhpun calon Pas, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood memperolehi undi besar, 10,899 undi atau 91.79 peratus undi sah, serta majoriti besar 10,002 undi dalam persaingan mudah hadapi 4 calon bebas, hakikinya prestasi Pas sekadar mempertahankan sokongan yang diperolehinya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13. 

Dalam PRU13, Allahyarham Tuanguru Datuk Nik Abdul Aziz (TGNA) perolehi 12,310 undi atau 67.94 peratus undi sah berbanding 5,810 undi atau 32.06 peratus dikumpul oleh calon BN. TGNA menang dengan majoriti 6,500 undi. 

Oleh kerana dua keadaan berbeza dalam dua pilihan raya tersebut, dalam PRU13 pertembungan sengit Pas dengan BN, dan dalam PRK, Pas dapat laluan mudah ditentang calon-calon bebas tak popular, kecuali Mohd Sharif Mahmood, yang pernah pegang jawatan penting parti peringkat pertengahan. Awal kempen, telahpun digambarkan Mohd Sharif calon bebas paling terkedepan. 

Perbandingan perolehan undi serta saiz majoriti calon yang menang tidak menepati perbandingan lateral secara angka. Dalam PRU13, 85.3 peratus pemilih keluar mengundi, berbanding 55.0 peratus dalam PRK 22/03/15. Apabila calon Pas, Ustaz Ahmad Fathan perolehi 10,899 undi dari jumlah 12,039 jumlah yang keluar mengundi, sebenarnya lebih rendah dari angka perolehan undi Pas dalam PRU13, di mana Pas memungut semua jumlah 12,000 kertas undi pertama. Baki 6,000 kertas undi dalam PRU13, adalah untuk BN dan undi rosak.

Bila Pas memungut sebanyak 10,899 undi dan memberikan 1,040 kertas undi kepada calon bebas dan undi rosak memperlihatkan walaupun BN tidak menurunkan calonnya, lebih 1,000 pengundi, tidak menghiraukan keputusan BN tidak mahu terlibat dengan PRK ini. Kiranya, kajian post-mortem Pas menemui dan mengenalpasti 1,200 penyokong Pas tidak keluar mengundi  atas alasan utama: berada di luar kawasan, pencapaian calon Pas dalam PRK ini adalah satu kebanggaan jika dibanding dengan pencapaian dalam PRK Penanti 31/05/2009 dan PRK Parlimen Bukit Glugor 25/05/2014, yang memberikan peratusan undi yang besar kepada calon-calon dari kumpulan Pakatan Rakyat, bila BN tidak ikut serta.

Khamis, 12 Mac 2015

PRK Cempaka 3

BUKAN SEKADAR MEMERIAHKAN AGENDA DEMOKRASI

Pilihan Raya Kecil (PRK) Cempaka yang menyaksikan persaingan lima penjuru hasil penamaan calon kelmarin (10/03/2015) menepati dugaan awal, tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) akan memberi ruang ramai calon bebas. Penyertaan ramai calon bebas menentang calon Pas yang menyandang kerusi, yang membentuk kerajaan negeri, tidaklah bermakna, gambaran suara ketidakpuasan hati sebahagian khalayak rakyat sungguhpun BN tidak bertanding.

Calon Pas, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad, calon paling muda, 42 tahun, pensyarah Institut Dakwah Islamiah Perkim, berkelulusan Masters dalam syariah, ditentang oleh 4 orang calon bebas. Calon-calon bebas; Haji Sharif Mahmood,59, bekas Naib Yang Dipertua Perkasa Negeri Kelantan dan bekas pemimpin UMNO bahagian Gua Musang; Fadzillah Hussin, 55, Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Cik Siti Wan Kembang Malaysia; Izat Bukhari Ismail Bukhari, 48, bekas pensyarah politeknik; Aslah Mamat, 64, pesara perkhidmatan awam. 

Sungguhpun PRK Cempaka, penyandang ditentang oleh calon-calon bebas, tetapi dengan berita bualan awam pada hari penamaan calon, 3 orang bebas tersebut ditaja oleh tokoh-tokoh politik yang popular, bukan sekadar dalam negeri Kelantan, malah peringkat nasional. Secara langsung, calon-calon bebas bersaing mewakili proxy, di mana proxy tersebut adalah adalah bekas pemimpin utama UMNO Kelantan, dua adalah bekas Ahli Majlis Tertinggi dan seorang masih menduduki MT UMNO. 

Jika benarlah telahan ini, PRK Cempaka tidaklah sebagaimana beberapa PRK lepas bila ramai calon bebas bertanding menentang penyandang.  Pastinya, PRK Cempaka medan mencari parameter kepentingan politik proxy yang bersembunyi di sebalik calon bebas. Di situ terselitnya agenda dan perhitungan politik kelompok-kelompok tertentu. Calon-calon bebas yang tajaan penafian oleh UMNO/BN. 

PRK Parlimen Johor Bahru (25/08/1988) yang menyaksikan Datuk Shahrir Abdul Samad, dari Team B pemilihan UMNO 1987 yang menyandang kerusi itu meletakkan jawatan untuk membolehkan satu PRK diadakan. Agenda beliau menerusi PRK, untuk mengukur sejauhmana penolakan rakyat terhadap UMNO, di kubunya sendiri, iaitu Johor. Beliau bertanding sebagai calon bebas dengan lambang kunci berjaya mengalahkan calon UMNO/BN dengan majoriti besar, 12,000 undi lebih. Beliau memperolehi 64.02 peratus undi.

Satu PRK diadakan di kerusi Parit Raja pada 25/10/1988, kerana kematian ADUNnya. Parit Raja adalah kubu kuat UMNO, yang sukar dicerobohi parti lawan. Kerusi ini sentiasa memberi kemenangan tanpa bertanding kepada calon UMNO, dalam beberapa PRU. Populariti serta tuan lambang anak kunci yang mengalahkan calon BN alam PRK Johor Bahru, mengagendakan UMNO menaja ramai calon bebas supaya calon dari Team B yang bertanding atas tiket bebas tidak berpeluang memilih lambang anak kunci, kerana penggunaan lambang calon-calon bebas akan diundi, bila terdapat lebih seorang calon bebas. Ramainya calon bebas akan mengelirukan pengundi, dengan lambang anak kunci bukan lagi digunakan oleh calon bebas utama.

Gambaran lambang anak kunci yang menghantui BN kesan pengundi pola pengundian warga kota di Johor Bahru, dibimbangi mempengaruhi pengundi luar bandar. Parit Raja, satu kawasan luar bandar, kubu kuat ditakuti terpengaruh dengan lambang anak kunci calon bebas PRK Johor Bahru. 

Calon Team B, Hamdan Yahya, bekas Ketua Pemuda Bahagian Sri Gading yang bertanding sebagai calon bebas tidak dapat lambang kunci setelah diundi bersama 5 orang calon bebas yang lain, yang menjadi askar upahan. PRK Parit Raja yang melibatkan 7 penjuru menghasilkan UMNO/BN menerima tentangan sengit di kubu kuatnya yang sentiasa menang tak bertanding. Calon UMNO/BN, Yassin Kumari cuma dapat 51.07% undi sahaja, Hamdan Yahya sebagai calon bebas, perolehi 48.16% undi. BN menang dengan 413 undi sahaja. Sementara semua 5 orang calon bebas upahan perolehi undi, terlalu kecil, semuanya di bawah 0.5 peratus, paling tinggi 70 undi, ada dapat 9 undi. Mengelakkan calon bebas utama, Hamdan Yahya menggunakan lambang anak kunci, sedikit sebanyak beri advantage kepada calon BN.

Dalam PRK Parlimen Ampang Jaya (23/01/1989) sekali lagi takutnya BN kepada lambang anak kunci, terpaksa menaja ramai calon bebas supaya calon dari Team B yang bertanding sebagai calon bebas, terpaksa cabut undi untuk memilih lambang. Seperti PRK Parit Raja, BN ditentang oleh 6 calon bebas. Calon dari Team B, Datuk Harun Idris perolehi 44.9% undi, berbanding calon yang menang, Ong Tee Keat (MCA/BN) yang pungut 56.7%. Serupa PRK Parit Raja, kelima-lima calon bebas tajaan BN, perolehi undi yang amat kecil, di bawah 0.25%. Paling tinggi 104 undi. Ada dapat 22 undi. 

Bilangan calon yang paling tinggi tercatat dalam PRK Dun Bukit Selambau, Kedah (07/04/2009), menyaksikan pertandingan 15 penjuru. Berbeza dengan PRK Ampang Jaya dan Parit Raja, penyertaan calon bebas ramai adalah inspirasi dari kejayaan calon bebas di kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) setahun sebelumnya. PRK Bukit Selambau diadakan kerana perletakan jawatan ADUNnya. Persaingan adalah antara calon PKR dengan BN (MIC). Calon PKR, S. Manukumar menang setelah perolehi 52.23% undi berbanding 42.29% undi perolehan calon BN, S. Ganeson. Undi calon bebas yang paling tinggi ialah 2.1% (528 undi), seorang dapat 257 undi, sementara 11 orang calon perolehi undi di bawah 100. Semua calon bebas bertanding sendiri, tanpa tajaan mana-mana kumpulan.

Sharif Mahmood, ahli UMNO cawangan RKT Kesedar Jeram Tekoh, dalam Bahagian Gua Musang dan Fadzillah Hussin, ahli UMNO cawangan Kepala Batas, Bahagian Tumpat, dipecat serta merta oleh parti. Pemecatan ini berpanduan kepada Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO, bertentangan keputusan parti yang melarang ahli parti mengambil bahagian dalam satu pilihan raya. 

Sementara Aslah Mamat, seorang pemilih dalam daerah mengundi Sungai Petal dalam bahagian pilihan raya negeri Semerak, Pasir Puteh, yang disebut sebagai aktivis Pas dan beliau sendiri mengaku terlibat dalam beberapa pilihan raya, tiada apa-apa tindakan dari Pas. Sepatutnya beliau dikenakan tindakan tatatetib atau dipecat kerana menentang calon pilihan parti. Hasil cari dalam rekod keahlian Pas sama ada dalam Kawasan Pasir Puteh atau Kawasan Pengkalan Chepa, tiada nama beliau dijumpai. Kini beliau tinggal di Kampung Baung, satu daerah mengundi dalam PRK Cempaka.

Seorang lagi calon bebas, Izat Bukhari, diketahu umum bukan calon tajaan mana-mana tokoh, beliau bertanding bersendiri. Beliau pernah bertanding dalam PRU13 di Pengakalan Kubor dan PRK Pengkalan Kubor, tahun lepas, yang menghasil 65 undi dan 38 undi. Berapa undi pula kali ini, tunggulah hari mengundi 22/03/2015 nanti.

Sungguhpun tanpa pernyataan rasmi dari Perkasa, namun penyertaan Sharif Mahmood secara tersirat adalah mewakili NGO berkenaan. Tepatlah tindakan penyertaan ini sebagai medan ujian Perkasa masuk gelanggang muhasabah diri, tanpa keterlibatan rasmi UMNO/BN yang memberi ruang orang nombor satu Perkasa di kerusi Parlimen Pasir Mas dalam PRU13. 

Cempaka adalah bahagian pilihan raya hasil persempadanan semula 1993, yang asalnya bahagian besar bahagian pilihan raya negeri Kemumin. HAMIM, sebuah parti serpihan Pas hasil krisis kepimpinan Pas 1983, memilih medan ujian dengan menyertai PRK Kemumin (1983). Amat malang bagi HAMIM, penyertaan sulong secara solo, memberi cuma 161 undi sahaja. Mampukan Sharif Mahmood membuktikan nasib Perkasa tak serupa HAMIM.

Keistimewaan tersendiri calon-calon bebas bekas aktivis UMNO dan Pas dalam PRK Cempaka, jauh berbeza dengan calon-calon bebas dalam beberapa PRK di atas. Peratusan keluar mengundi yang rendah akan mengecewakan calon-calon bebas. Dalam PRU13, undi Pas dan BN adalah 85.3 peratus dari jumlah pemilih berdaftar, dengan 54% kepada Pas dan 31% dari BN. Jika peratus keluar mengundi, 60 peratus, Pas mengekalkan undinya, maka undi sebanyak 1,200 akan dikongsi oleh 4 calon bebas. Jika peratus keluar mengundi 55 peratus, 4 calon bebas akan berkongsi 200 undi. Jika ini berlaku, undi setiap calon bebas, sebagaimana calon bebas dalam PRK Pengkalan Kubor tahun lepas.





Ahad, 8 Mac 2015

PRK Cempaka 2

TINDAKAN LUAR BIASA BN

Pas yang mempertahankan kerusi N06 Dun Cempaka menamakan Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, 42, Bendahari Pas Kawasan Pengkalan Chepa sebagai calonnya malam ini. Perkasa secara tidak rasmi mengetengahkan Naib Pengerusi Kelantan, Shariff Mahmood, sementara pengerusi sebuah NGO, Fadzillah Hussin, paling awal menyatakan keinginan bertanding. Mereka bersama seorang lagi yang kurang dikenali, akan bertanding sebagai calon bebas dalam PRK Cempaka. BN awal-awal lagi mengumumkan tidak akan meletakkan calon.

Sama ada Pas selaku penyandang akan ditentang calon-calon bebas tajaan BN atau mesra BN,  atau sebaliknya, diharapkan menjanjikan satu PRK yang menarik serta respons dari pengundi. Peratus keluar mengundi yang tinggi amatlah diharapkan apabila ada calon yang secara tidak langsung mewakili UMNO atau BN. Perkasa sebuah NGO yang banyak menyuarakan rasisme dan fanatik perkauman sempit demi mempertahankan UMNO/BN, sewajarnya BN perlu menyokong secara moral atau material. Calon bebas mewakili Perkasa bukan sekadar mencari pengukur popularitinya tetapi secara hakikinya mewarnai kekuatan UMNO/BN di Pengkalan Chepa khususnya pasca kematian Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat,  ADUN Cempaka. 

UMNO/BN memberi alasan menghormati Allahyarham Tok Guru dan mahu beri tumpuan dari sudut perbelanjaan dan tenaga untuk kerja-kerja bantuan pasca banjir. 

Jika rasional menghormati Tok Guru sebenarnya agak luar biasa. Sepatutnya UMNO/BN tidak meletakkan calon menentang Tok Guru dalam beberapa PRU lepas, menghormati Tok Guru sebagai pemimpin sebuah kerajaan negeri. Biarkan Tok Guru menang tak bertanding, untuk membolehkan Tok Guru jelajah seluruh negeri dalam tempoh berkempen PRU dulu, atas sifatnya sebagai pemimpin sebuah kerajaan yang mewakili suara majoriti rakyat. 

Di Great Britain, contoh negara yang mengamalkan demokrasi kepilihanrayaan berasaskan perwakilan ikut kawasan (constituency representatives), masa pemimpin parti Conservative jadi Perdana Menteri, Margaret Thatcher (1979-1990) dan juga zaman Edward Heath (1970-1974), parti Labour memberikan Perdana Menteri menang tak bertanding, untuk membolehkan pemimpin masa yang luas jelajah seluruh negara masa kempen pilihan raya, menjelaskan manifesto partinya. Begitu juga, zaman peminpin parti labour Harold Wilson (1964-1970 & 1974-1976) jadi Perdana Menteri, Conservatives dan parti-parti lain beri penghormatan, membolehkan Perdana Menteri menang tak bertanding.

Di Malaysia yang mengambil sistem pilihan raya model British atau Westminster Abbey, pemimpin kerajaan Persekutuan (Perdana Menteri), atau pemimpin pembangkang (Ketua Pembangkang Parlimen) atau pemimpin kerajaan negeri (Menteri Besar atau Ketua Menteri), dipastikan tidak menang mudah atau menang tak bertanding. Tidak diberi laluan mudah, malah dipertaruhkan calon hebat, untuk mengikat pemimpin berkenaan tidak banyak masa keluar kawasan yang ditandinginya.

Jika PRK Cempaka dijadikan asas moral dengan menghormati seorang pemimpin, elok juga amalan baru dalam demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia ini, dalam pilihan raya akan datang, pemimpin utama sama ada kerajaan atau pembangkang, sama ada pemimpin kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, diberi laluan penghormatan, tidak dicabar oleh mana-mana parti.

Jika unsur atau amalan baru ini berterusan dalam sistem demokrasi kita, tindakan BN tidak bertanding ini harus disanjungi dan dipuji demi menyuburkan toleransi sosio-politik menerusi demokrasi kepilihanrayaan. Tindakan BN tidak bertanding dalam PRK Parlimen Bukit Glugor dan PRK DUN Cempaka, sebagai penghormatan kepada ketokohan dan sumbangan mendiang Karpal Singh dan Allahyarham Tok Guru. 

Harapannya bukanlah niat BN tidak ikut serta dalam kedua-dua PRK berkenaan secara langsung demi imej parti, dibimbangi prestasi pencapaian BN walaupun Karpal dan Tok Guru sudah tiada.