Rabu, 24 Julai 2019

Bubar DUN

TIADA KEPERLUAN UNTUK MEMBUBARKAN DEWAN UNDANGAN NEGERI KELANTAN & TERENGGANU

Cadangan Timbalan Presiden Pas, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man supaya Dewan Rakyat dibubarkan untuk membolehkan rakyat yang bosan dengan berbagai karenah dan kemelut dalam Pakatan Harapan hari ini. Isu yang mempopularkan kemelut pemerintahan Malaysia Baru; video intim, ahli Exco merogol, cabar mencabar kepimpinan parti, tuduhan merompak pungutan GST, kegagalan menjelaskan isu terowong, diterjemahkan sidang Parlimen yang sentiasa kecoh. Kekecohan sidang Parlimen yang sering berlaku setiap kali persidangan memberi gambaran imej sebuah pemerintahan, malah menggusarkan rakyat yang mengharapkan kebajikan dan penghidupan yang lebih baik.

Cadangan Timbalan Presiden Pas mewakili blok yang berada di tengah-tengah pertelagahan blok kerajaan dengan blok pembangkang yang dikuasai UMNO. Blok kerajaan yang sedang memerintah, barisan pembangkang yang berpengalaman memerintah, sementara Pas di pihak blok yang tiada pengalaman memerintah. Wajarlah cadangan wakil Pas itu, jalan penyelesaian mengatasi kemelut dan kekecohan yang berpanjangan diselesaikan dengan membubarkan Parlimen bagi mengembalikan kuasa rakyat memberi mandat baru.

Jawapan responsif kepada saranan Timbalan Presiden Pas, Pengerusi PH Negeri Kelantan, Husam Musa, mencabar Pas yang menguasai kerajaan Kelantan dan Terengganu, membubar DUN kedua-dua negeri sebagai jalan penyelesaian. Membandingkan pemerintahan negeri Kelantan dan Terengganu dengan kerajaan Persekutuan di bawah Malaysia Baru  lebih bersifat satu tindakan lucu dan nakal. Pas menguasai DUN Kelantan dan Terengganu dengan suara majoriti dua pertiga. UMNO yang menguasai blok pembangkang lebih berbentuk pembangkang toleransi berikutan Pas dan UMNO dalam proses mengadakan taawun siyasi. Hanya seorang ADUN PH dalam DUN Kelantan, hasil lompatan parti. 

Malaysia Baru menguasai Dewan Rakyat tanpa suara majoriti dua pertiga. Amat jelas terhimpit dengan asakan pembangkang, yang kadang-kadang menampakkan rendahnya mutu seorang anggota Parlimen bila mencelah perbahasan. Paparan siaran langsung sidang Parlimen menjelaskan ketidakupayaan barisan penyokong kerajaan menangkis asakan pembangkang. Justeru itu, lebih rasional saranan membubar Parlimen berbanding membubar DUN Kelantan dan Terengganu.

Dalam PRU14, Pas memenangi 37 dari 45 kerusi DUN Kelantan yang ditandingi dengan memungut sebanyak 426,462 undi atau 51.98% undi popular. BN mengumpul 308,639 undi menerusi 45 calonnya dan menang 8 kerusi. Undi BN adalah 37.62% dari jumlah undi sah. Pakatan Harapan yang bertanding menggunakan logo PKR, meletakkan 43 calon, berjaya meraih 82,237 undi atau 10.02% undi sah. 

Semua calon Pas dan BN berjaya mengutip kembali wang deposit, sementara seramai 24 calon PH hilang wang pertaruhan. Di Kelantan, terdapat 3 kawasan pilihan raya DUN di mana pengundi Melayu di bawah 90%; Kota Lama (65.0%), Galas (65.97%) dan Guchil (86.06%). Semua calon PH di 3 kawasan ini berjaya mempertahankan wang pertaruhan.  Kerusi DUN Kota Lama, dengan jumlah pengundi bukan Melayu seramai 9,800 orang memberikan saingan sengit antara calon Pas dan PH. Calon Pas perolehi 8,410 undi (40.12%), PH 6,965 undi (38.23%) dan BN 5,502 undi (26.25%).  Di Galas, calon PH perolehi 2,973 undi (18.82%), Pas 5,543 undi (35.09%), BN 7,281 undi (35.09%), di mana terdapat 6,000 pengundi bukan Melayu. Di Guchil yang mengandungi seramai 2,700 pengundi bukan Melayu darijumlah 20,500 pengundi telah memberikan PH sebanyak 2,362 undi (15.40%), Pas 7,564 undi (49.33%) dan BN 5,285 undi (34.47%). Guchil adalah kawasan yang dipertahankan oleh calon PKR yang memenanginya dalam PRU13.

PH perolehi undi yang mampu mempertahankan deposit iaitu di kawasan bandar dan pinggir bandar: Tanjong Mas (25.33%), Bunut Payong (21.04%), Pengkalan Pasir (13.47%), Pasir Tumboh (13.61%) dan Demit (16.54%). Di samping itu, PH perolehi undi menyelamatkan wang deposit di kawasan luar bandar, Salor (16.93%). 

Di Terengganu, undi PH agak berkesan di kawasan bandar. Di kerusi Bandar yang mempunyai 36% pengundi bukan Melayu (9,000 pengundi), PH perolehi 3,996 undi (24.71%) berbanding undi Pas 7,133 undi (44.11%) dan BN 5,042 undi (31.18%). Kerusi Bandar adalah kerusi yang dipertahankan oleh calon PKR.  Kerusi Chukai, yang mempunyai 4,000 pengundi bukan Melayu (14%) memberikan undi PH sebanyak 5,104 undi (20.35%), menandingi Pas 12,428 undi (49.56%), BN 7,547 undi (30.09%). Kerusi bandar, Ladang dengan 90.13% pengundi Melayu, memberikan PH 2,836 undi (15.03%), Pas 8,201 undi (43.45%), BN 7,838 undi (41.53%). 

Di peringkat DUN Terengganu dalam PRU14, PH hanya perolehi 45,428 undi atau 7.32% dari jumlah undi sah, dengan hanya 3 orang calon sahaja dari jumlah 32 calon yang berjaya menyelamatkan wang pertaruhan. Pas memungut 313,573 undi (50.52%) dan BN 261,653 undi (42.16%) dengan semua calonnya tidak hilang deposit.  Pas memenangi 20 kerusi dan baki 12 kerusi dimenangi BN menerusi calon UMNO.

Umumnya, PH hanya lebih menonjol di kawasan bandar dan pinggir bandar yang relatif dengan taburan pemilih berasaskan kaum. 93% kerusi DUN di Kelantan dan Terengganu mempunyai pengundi Melayu melebihi 90% daripada jumlah pemilih. Keupayaan PH hanya menguasai 10.02% undi di Kelantan dan 7.32% di Terengganu, menjadikan medan persaingan hanya dikuasai oleh Pas dan UMNO sahaja. 

Bacaan politik Pengerusi PH Negeri Kelantan menjangkakan rakyat Kelantan dan Terengganu akan berubah angin apabila parti yang berbeza menguasai kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Kemenangan PH menguasai kerajaan Persekutuan, menjadi faktor terpengaruh yang mampu menarik pengundi Kelantan dan Terengganu kepada PH. Pemerhatian empirikal di Kelantan dan Terengganu setelah setahun PH memerintah, tidak menampakkan perubahan mendesak, penyokong Pas tetap istiqamah, walaupun UMNO tidak lagi berkuasa, penyokong UMNO tidak berubah angin. Tidak nampak sebarang tuntutan mendesak, rakyat memerlukan mandat baru, sementelahan pentadbiran Pas di Kelantan dan Terengganu tiada masalah setelah menguasai suara dua pertiga dan UMNO sebagai pembangkang dalam proses pengaturan kerjasama. Rakyat tidak berbangkit manifesto tidak ditunaikan. Sidang DUN kedua-dua negeri lebih tenang dan berhemah, jauh bezanya dengan sidang Dewan Rakyat.

Dalam tempoh setahun pertukaran pemerintahan di peringkat tidak menampakkan impaks secara langsung sokongan kepada PH. Percambahan cawangan-cawangan baru parti-parti PH; PKR, DAP, Bersatu dan Amanah serta pembubaran cawangan UMNO tidak kelihatan di Kelantan dan Terengganu.  Warga Kelantan dan Terengganu yang melompat parti kesan kekalahan BN hanyalah kes pinggiran dan terpencil sahaja dan secara senyap-senyap. 

Iklim politik jauh berbeza berbanding situasi pasca Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir (2006) yang meletakkan kedudukan dalam DUN Kelantan; Pas 23 kerusi, BN 22 kerusi. Desakan membubarkan DUN begitu hangat sekali. Hari ini suasananya dingin dan lesu, dengan PH gagal menunjukkan kejaguhan sebagai penguasa kerajaan Persekutuan. Justeru itu, tiada keperluan bagi Pas membubarkan DUN untuk mandat baru.

 

Ahad, 21 Julai 2019

Pendaftaran Pemilih Automatik

PENDAFTARAN PEMILIH SECARA AUTOMATIK SEBAGAI MEKANISME PENYELESAIAN 

Tahniah diucapkan kepada anggota badan legislatif, Dewan Rakyat Malaysia yang telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (2019) yang melorong kepada beberapa penambahbaikan pengurusan pilihan raya. Seramai 211 ahli menyokong, tanpa ahli yang membangkang, yang menempa satu sejarah pemuafakatan ahli perundangan Malaysia dari kedua-dua blok; kerajaan dan pembangkang.

RUU ini meminda 3 perkara dalam Perlembagaan Persekutuan; Perkara 47 (b), Perkara 119 Fasal 1 (a) dan (c). Perkara 47 (b) iaitu kelayakan menjadi Ahli Dewan Rakyat, dengan menurunkan syarat umur daripada tidak kurang 21 tahun kepada 18 tahun. Perkara 119 Fasal 1 (a) iaitu kelayakan umur untuk didaftarkan sebagai pemilih, menurunkan telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh  kelayakan dari 21 tahun kepada 18 tahun. Perkara 119 Fasal 1 (c), seseorang yang mencapai umur kelayakan sebagai pemilih didaftarkan secara automatik di bawah mana-mana peruntukan undang-undang berkait dengan pilihan raya.

Masalah utama pengurusan pilihan raya di Malaysia ialah kadar pengundi layak tidak didaftarkan. Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hampir 4 juta rakyat Malaysia dalam kategori umur yang layak tidak mendaftar sebagai pemilih, dengan 1.4 juta pengundi baru atau penduduk yang baru masuk dalam kelompok layak didaftarkan, masih belum mendaftar sebagai pemilih. Dilaporkan 85% adalah dari etnik Melayu. Usul pendaftaran secara automatik akan menyelesaikan masalah warganegara yang layak tetapi tidak mendaftarkan diri. 

Data jumlah pemilih yang layak mengundi dalam tiga pilihan raya umum (PRU) terakhir, dari tahun 2008 hingga 2018 (PRU12-PRU14), di negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, boleh dijadikan asas perbandingan dan perkembangan. Senarai pemilih dalam PRU12, direkodkan berjumlah 9,191,242 orang meningkat kepada 11,174,297 orang iaitu pertambahan seramai 1,983,055 orang atau 21.58%, dalam PRU13. Taburan pemilih di Persekutuan Tanah Melayu, dalam tempoh 10 tahun (2007-2017) ialah 60.48% Melayu, 29.57% Cina, 8.43% India dan 1.53% lain-lain komuniti. 

Sementara dalam PRU14, jumlah pengundi bagi Persekutuan Tanah Melayu ialah 12,524,815 orang iaitu pertambahan 1,350,518 orang atau 12.09% daripada senarai yang digunakan dalam PRU13. 

Senario yang digambarkan bahawa peratusan tertinggi warganegara yang layak tetapi gagal mendaftar diri sebagai pemilih adalah orang Melayu. Angka jumlah pemilih dikatakan berkaitan dengan komposisi kaum. Penceraikinan data pengundi dalam tempoh 10 tahun dapat menjelaskan kemungkinan implikasi kegagalan pendaftaran kepada taburan pemilih mengikut bahagian pilihan raya Negeri dan Persekutuan. 

Tempoh 2008-2012, pendaftaran pengundi lebih rancak iaitu pertambahan 21.58%, berbanding hanya 12.09% bagi tempoh 2013-2017. Di semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya, pertambahan pengundi dalam PRU14 lebih rendah berbanding pertambahan pengundi dalam PRU13. 

Kenyataan popular berhubung dengan pendaftaran pemilih ialah peratusan utama warga yang tidak mendaftar ialah orang Melayu, khususnya di negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu. Berdasarkan kepada data pemilih dalam tempoh 10 tahun sebelum PRU14, pertambahan peratusan pengundi yang rendah berlaku di negeri tertentu sahaja, sama ada negeri yang majoriti pengundi Melayu atau sebaliknya. 

Perlis yang mempunyai 85% pengundi Melayu, hanya mencatat pertambahan 17,007 orang pemilih atau 14.17% dalam tempoh 2007-2012, dan 12,136 orang atau peningkatan 8.85% dalam tempoh 2012-2017, iaitu di bawah purata peratus peningkatan nasional. Kedah yang mempunyai 77.5% pengundi Melayu, merekodkan pertambahan 155,755 orang atau 17.6% dalam tempoh 5 tahun pertama dan hanya 89,971 pemilih atau 8.64% dalam tempoh kedua. 

Pulau Pinang yang merekodkan 65.6% pengundinya bukan Melayu, meningkatkan seramai 211,983 pemilih atau 19.31% dalam tempoh pertama, dan hanya bertambah 44,179 orang atau 5.22% sahaja. Wilayah Persekutuan yang memiliki 62% pemilih bukan Melayu hanya menambah seramai 104,622 orang atau 15.22% dalam tempoh 5 tahun pertama dan 57,319 orang atau 7.24% dalam tempoh 5 tahun berikutnya, berbanding peratusan 21.58% dan 12.09% purata Persekutuan Tanah Melayu. 

Negeri majoriti Melayu iaitu Kelantan dan Terengganu yang masing-masing mempunyai 94.9% dan 96.3% pengundi Melayu, berjaya mengatasi purata nasional dalam pertambahan pemilih. Di Kelantan, berlaku peningkatan seramai 166,891 pemilih atau 22.2% dan 124,160 orang atau 13.52%, dalam kedua-dua tempoh 5 tahun tersebut. Sementara di Terengganu, dicatatkan peningkatan 113,347 pemilih atau 21.73% dalam tempoh pertama, dan 102,996 orang atau 16.22% dalam tempoh berikutnya. 

Perak dan Selangor yang merekodkan jumlah pengundi yang sama banyak (50%) serta negeri yang paling ramai pengundi, di samping Johor, menentukan pola pendaftaran pengundi baru mengikut kaum. Pertambahan pemilih di Perak, lebih rendah berbanding purata nasional. Perak mencatat pertambahan 211,983 pengundi atau  17.74% dan 104,085 pemilih atau 7.4%, dalam tempoh-tempoh di atas. 

Negeri Selangor mempunyai kadar pertambahan pengundi yang tinggi dan jauh berbeza dengan negeri-negeri lain. Seramai 482,935 pengundi bertambah atau 30.85% dalam tempoh pertama, dan 396,444 orang atau 19.35% bagi tempoh kedua. 

Johor (54.83 pengundi Melayu) dan Pahang (71.68% Melayu) mencatatkan mengimbangi kadar nasional, sementara Negeri Sembilan (54.95% Melayu) dan Melaka (62.2% Melayu), sedikit di bawah garisan nasional.

Menurut kenyataan SPR, operasi pendaftaran secara automatik akan dilaksanakan dalam tahun 2021. SPR akan menyelaraskan operasi teknikal dan pengurusan dengan beberapa jabatan dan agensi menjelang pelaksanaannya. SPR menjangkakan seramai 22.5 juta pengundi akan disenaraikan untuk PRU15, sekiranya berlangsung dalam tahun 2023. Angka ini merupakan peningkatan 51% pemilih berbanding 14,891,462 pemilih dalam PRU14. 

Peningkatan 7.6 pemilih atau 51% kesan implikasi pendaftaran secara automatik dan penurunan umur kelayakan pendaftaran, akan menjadi satu cabaran baru dalam lanskap amalan demokrasi di Malaysia. Perubahan ini memungkinkan akan berlaku perubahan pola taburan pengundi atau peratusan pengundi mengikut kaum. 

Justeru dalam PRU14, pengundi Melayu hanya menguasai 50.04% jumlah pengundi di kala isu besar peratusan tinggi warga yang layak tetapi tidak mendaftar adalah adalah dari etnik Melayu, komposisi pegundi Melayu dijangka berubah  di semua negeri-negeri. Senario yang menarik dijangka mengubah iklim politik berparti di semua negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, kecuali Kelantan dan Terengganu. 

Faktor utama ialah kesungguhan, kesedaran dan political will yang mampu mengajak pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab pada hari mengundi. Dalam beberapa PRU terakhir, umumnya peratusan keluaran mengundi di saluran pengundi baru dan anak muda adalah rendah.









 






Sabtu, 13 Julai 2019

Perpaduan Melayu

IMPAKS SELEPAS SETAHUN PERTUKARAN PEMERINTAH

Antara kesan menonjol selepas satu tahun pertukaran kerajaan Malaysia dari Barisan Nasional (BN) ke Pakatan Harapan (PH) ialah seruan kepada perpaduan Melayu. Pakatan Harapan menerusi edisi Malaysia Baru dengan acuannya tersendiri ke arah membentuk satu perspektif baru sosio-budaya politik nasional. Percubaan perubahan ini menonjolkan perubahan  daripada politik dominasi Melayu/Islam di bawah BN. Dasar dan pendekatan dalam pentadbiran secara perlahan menghakis penguasaan dominasi berkenaan.

Lantaran cetusan perubahan-perubahan dasar dan pendekatan menzahirkan sentimen kesukaran penerimaan awam. Perubahan dasar, pendekatan dan komposisi anggota badan perundangan hasil dari perubahan pemerintah, memberi kesan yang jelas kepada tanggapan awam atau rakyat. Keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), setahun lalu, mengubah dominasi pemerintah. 

PRU14 telah mengubah situasi dengan meruntuhkan pemerintahan dominasi Melayu menerusi BN. BN memenangi 79 kerusi Parlimen berbanding 133 kerusi dalam PRU13. UMNO parti yang mendominasi BN hanya menang 54 kerusi, Parti Bumiputera Bersatu dengan 13 kerusi, Parti Rakyat Sarawak 3 kerusi, sementara parti-parti komponen yang lain satu atau dua kerusi sahaja. 79 anggota Parlimen BN bersama 18 ahli Pas dan seorang ahli STAR membentuk barisan pembangkang di Parlimen yang berjumlah 98 orang. Barisan pembangkang di Parlimen dikuasai oleh Ahli Parlimen Melayu/Bumiputera Islam  iaitu 82 orang atau 83.7% dari jumlah 98 orang tersebut.

Gabungan kerjasama PKR (47 kerusi), DAP (42 kerusi), PPBM (Bersatu) (13 kerusi) dan Amanah (11 kerusi) menguasai 113 kerusi, dengan sokongan 8 ahli Warisan dan 3 calon Bebas, berjaya membentuk kerajaan dengan kekuatan 124 Ahli Parlimen. Blok kerajaan di Parlimen terdiri dari 57 orang Ahli Parlimen Melayu/Bumiputera Islam atau 45.9% sahaja. 

Kerusi eksekutif (menteri & timbalan menteri) diagihkan 14 untuk PKR, 12 kepada DAP, 10 PPBM, 9 Amanah dan 5 untuk Warisan.  Lima bulan selepas menguasai kerajaan, PH menambah 5 anggota pentadbiran: seorang menteri (tanpa parti) dan 4 timbalan menteri iaitu 2 dari PPBM, masing-masing seorang dari DAP dan Amanah, setelah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Jumlah penuh anggota pentadbiran kerajaan Malaysia Baru semasa ialah seramai 55 orang, dengan 33 orang berbangsa Melayu/Islam atau 60%. 

Kabinet kerajaan BN dengan pembentukan terakhir 28/07/2015, dianggotai oleh 69 ahli: 37 menteri dan 32 timbalan menteri. Jumlah ahli pentadbiran berbangsa Melayu/Bumiputera Islam ialah seramai 46 orang atau 66.7%. Dalam PRU13, BN menguasai 133 kerusi, sementara pembangkang seramai 89 orang Ahli Parlimen. 

Dari segi saiz anggota pentadbiran, zaman pemerintahan BN lebih besar lantaran keanggotaan di pihak kerajaan lebih ramai, walaupun gagal menguasai suara dua pertiga. Perbandingan saiz perwakilan Melayu dan Bumiputera Islam, sungguhpun saiz keanggotaan Melayu/Islam lebih rendah, anggota pentadbiran Malaysia Baru, dapat menyaingi pentadbiran BN, dengan marginal yang kecil; 60:67. Justeru itu, tidak hairanlah mengapa bahagian besar Ahli Parlimen dari PPBM dan Amanah menduduki kerusi pentadbiran; 10  dari 13 ahli PPBM, 9 dari 11 ahli Amanah. 

Suara-suara kritikan dan keluhan isu-isu dan amalan pentadbiran Malaysia Baru khususnya terhadap jawatan kritikal dan utama dalam kabinet dan perkhidmatan awam. Jawatan yang puluhan tahun tradisi dikuasai oleh orang Melayu di bawah BN beralih kepada bukan Melayu atau bukan Islam. Antaranya protfolio kewangan,  di mana ada peruntukan dalam Akta Perbendaharaan, Menteri Kewangan  mengatasi kuasa Perdana Menteri. Jawatan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara membolosi tradisi. 

Semua portfolio kerajaan tempatan dan perumahan dalam Exco kerajaan negeri-negeri yang dikuasai PH; Pulau Pinang, Kedah, Perak, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor diperuntukan kepada wakil DAP. Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, portfolio utama selepas jawatan Menteri Besar/Ketua Menteri, satu tugasan yang amat dominan dalam pentadbiran kerajaan negeri. 

Peranan Timbalan Menteri Pendidikan yang lebih menonjol dan terkedepan dalam membuat keputusan mengatasi menteri. Peruntukan untuk sekolah dan kolej swasta Cina serta pengiktirafan kelulusan UEM, dilihat usaha kerajaan Malaysia Baru memulakan langkah membantu pendidikan Cina, yang kurang diberi perhatian kerajaan terdahulu. Sungguhpun usaha meratifikasi ICERD dan  perjanjian Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa ditarik balik, tetapi masyarakat awam membaca sebagai antara usaha untuk mengurangkan hak isitmewa Orang Melayu dan kedudukan Yang Dipertuan Agong sebagai lambang dominasi dan kedaulatan bangsa Melayu. 

Sungguhpun keahlian Melayu/Islam dalam pentadbiran pemerintahan Malaysia Baru tajaan PH, tetapi keanggotan penyokong kerajaan di Dewan Rakyat masih dikuasai oleh keahlian bukan Melayu/Islam. Usaha dilakukan untuk mengimbangi perwakilan blok kerajaan di Dewan Rakyat, menerusi kaedah lompat parti. UMNO yang memenangi sebanyak 54 kerusi dengan 53 ahlinya Melayu/Islam, berdepan dengan masalah ahlinya keluar parti. Sehingga hari ini, seramai 17 Ahli Parlimen UMNO telah keluar parti, dengan 13 menyertai kerajaan menerusi keanggotaan PPBM dan seorang memasuki Parti Warisan, sementara tiga orang masih di blok pembangkang sebagai Wakil Bebas. 

Penyokong kerajaan semasa di Dewan Rakyat setelah penyertaan bekas ahli UMNO ialah 138, dengan 71 Melayu/Islam dan 67 bukan Melayu/Islam. Angka ini masih belum mencukupi suara majoriti dua pertiga, iaitu 148 anggota. Secara terbuka, DAP melalui kepimpinannya meminta PPBM tidak lagi menerima bekas ahli UMNO untuk tambah perwakilan di Parlimen. 

Akhir-akhir ini, Perdana Menteri selaku pemimpin PPBM menyeru orang Melayu bersatu dalam sebuah parti. Dianjurkan penyokong-penyokong pembangkang khususnya UMNO menyertai PPBM sebagai langkah menyatupadukan orang Melayu. Demi survival, PH yang didominasi perwakilan legislatif oleh bukan Melayu, memerlukan sokongan orang Melayu. 

Di pihak pembangkang, UMNO sebagai parti utama di Parlimen, memenangi kerusi terbanyak, 54 kerusi dalam PRU14, hari ini ketinggalan setelah berlaku lompat parti. Dengan 37 kerusi Parlimen, UMNO parti terbesar mewakili orang Melayu, ditinggalkan oleh  PKR yang memiliki 50 kerusi, dengan 26 ahli berbangsa Melayu, DAP dengan 42 kerusi, mewakili bukan Melayu/Islam. Kerusi Melayu selebihnya dikongsi oleh 26 kerusi PPBM, 18 Pas dan 11 Amanah. 
 
Ketidakseimbangan perwakilan di Parlimen antara kerajaan dan pembangkang dari sudut dominasi Melayu, kesan satu selepas PRU14 ialah kedua-dua pihak memulakan langkah berpaksikan perpaduan Melayu. Di pihak kerajaan, menganjurkan perpaduan Melayu menerusi penyertaan parti-parti dalam PH, khususnya PPBM. Sementara blok pembangkang merencana perpaduan Melayu menerusi kerjasama UMNO dengan Pas. 

Apa saja pendekatan dan kaedah yang dirancang oleh kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang berfokus kepada satu matlamat mengekalkan dominasi Melayu dalam pemerintahan negara ini. Usaha-usaha ini tidak lain hanya untuk mempastikan tidak terhakisnya kontrak sosial yang dibina lebih 60 tahun, demi kesajahteraan sebuah masyarakat berbilang bangsa.









Sabtu, 29 Jun 2019

Merotan Murid

TENTANGAN MEROTAN MURID SEBAGAI GAMBARAN KEGAGALAN SISTEM PENDIDIKAN

Cetusan dari peristiwa seorang murid perempuan dirotan guru di sebuah sekolah di Skudai baru-baru ini secara lateralnya satu gambaran terjemahan hasil sistem pendidikan negara kita. Terbaru, satu kes sama berlaku di sebuah sekolah di Kuantan. Bagi mereka yang berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan, bahagian besarnya selari dengan tindakan guru. Seseorang guru menjalankan amanah demi membentuk peribadi luhur di kalangan murid dengan batasan-batasan tertentu. Guru mengambil pendekatan berbagai dalam menangani kepelbagaian karenah murid. 

Alam pendidikan hari ini, begitu jauh berbeza dengan dunia pendidikan yang dilalui oleh setiap orang sama di awal kemerdekaan atau zaman Dasar Ekonomi Baru (DEB). Hari ini, fasa Malaysia Baru, dengan wajah dan perwatakan  murid-murid yang jauh berbeza. Sungguhpun negara mengalami kemajuan yang pesat dalam bidang pendidikan dengan bantuan methodologi pengajaran dan pembelajaran, persekitaran dan prasarana yang lebih selesa, suasana bilik darjah yang lebih kondusif, perkembangan teknologi pendidikan, telah menampakkan ketidakseimbangan antara kemajuan pendidikan dengan pembangunan insan. Kontradiksi ini memaparkan keperluan kepada perseimbangan antara kemajuan pendidikan dengan pembinaan moral dan tatasusila. 

Institusi pendidikan yang bermula dari taman didikan atau pusat asuhan, dilanjutkan ke alam persekolahan, adalah satu proses kemahiran menguasai penulisan, pengiraan, penganalisaan dan penyelesaian masalah beriringan dengan proses sosialisasi insan. Menerusi institusi pendidikan, seseorang secara langsung mempelajari proses sosialisasi yang terangkum dalam berbagai aktiviti pergaulan, gerakerja berkumpulan dan interaksi antara individu. Proses ini bermatlamat menyemai nilai-nilai tangungjawab, sabar, gigih, tolong-menolong serta tahan diuji. 

Asas proses sosialisasi ialah mematuhi peraturan. Peraturan adalah panduan untuk mengurus, menyusunatur dan mentadbir sesebuah organisasi atau institusi atau kelompok manusia. Allah menurunkan Al Quran sebagai garisan panduan untuk manusia mengatur kehidupan di dunia demi kesejahteraan dan keselesaan mereka. Kecelaruan dan ketidakteraman dalam kelompok manusia berlaku apabila manusia melanggari atau tidak mematuhi peraturan yang mereka bentuk. 

Kegagalan manusia mematuhi peraturan berkaitan dengan kegagalan sistem pendidikan yang mereka lalui.  Contohnya, bagaimana kegagalan pengguna motorsikal di jalan raya memakai topi keledar semasa memandu dan membonceng. Peraturan kewajipan memakai topi keledar jelas difahami dan disedari oleh semua pengguna, semua peringkat umur. Senario murid sekolah di usia muda tidak memakai topi keledar  adalah pemandangan biasa di merata tempat di seluruh negara, sama ada di bandar atau di desa. Mustahil pihak sekolah atau ibu bapa tidak memberitahu mereka tentang peraturan memakai topi keledar. 

Di usia semuda itu, murid sekolah di negara kita melanggar peraturan jalanraya yang secara langsung di alam persekolahan mereka sudah bermula tidak mematuhi peraturan. Justeru itu, bila anak-anak ini memasuki alam remaja seterusnya alam dewasa, tidak mematuhi peraturan atau menghormati norma-norma ketatasusilaan adalah suatu kelumrahan. Fenomena ingkar peraturan yang membawa ke alam sosialisasi dalam masyarakat yang lebih besar bolehlah disifatkan sebagai antara punca kegagalan sistem pendidikan itu. 

Sewajarnya menghukum murid secara fizikal, antaranya merotan tidak boleh dipinggirkan demi mempastikan setiap peraturan dipatuhi. Peraturan disusun dan diinstitusikan sebagai salah satu kaedah pendidikan. Jika seorang murid tidak dapat membezakan antara hak dan batasan hubungan murid dengan guru, serta hak dan batasan hubungan berbeza usia, haruslah dipersoalkan keberkesanan pendidikan yang diterima oleh seseorang murid atau pelajar. 

Kes seorang murid dirotan oleh guru menjadi isu besar, dsebarluaskan menerusi berbagai media, tidak seharusnya meletakkan kesalahan ke bahu guru sebagai pendidik. Sungguhpun guru dibekalkan dengan berbagai ilmu methodologi, psikologi sosial, ilmu ubudiyah sebagai hamba Allah, sepatutnya dihormati dan ditaati. Jika seorang murid diberi peluang mencabar dan tidak menghormati guru sebagai pendidik dan penyampai ilmu, tidak seharusnya dibela dan disimpatikan. 

Seandainya meletakkan dasar dan penguatkuasaan peraturan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun gagal membangunan budi dan amal rakyatnya, menjadi satu cabaran kepada pemerintahan Malaysia Baru. Pendidikan merentasi etnik mampu membangunan rakyat yang berdisiplin, beriman, patuh kepada peraturan, akur undang-undang dan menghormati orang yang lebih tua, menjadi cabaran utama pemerintahan semasa. Harapan yang cukup tinggi agar proses pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah akan diperhebatkan ke arah perpaduan nasional dan jatidiri negara bangsa.   

Khalayak masyarakat yang akur dengan kehendak demokrasi mengangkat pasukan Pakatan Harapan menerusi Malaysia Baru, amat menantikan proses pendidikan bermula dari bangku pra-sekolah akan melahirkan insan yang bertaqwa, berdisiplin dan bertatasusila. Harapan yang cukup tinggi agar masalah atau isu negatif antara pelajar dengan pendidik tidak lagi menjadi isu popular. 

Jumaat, 21 Jun 2019

Politik Jijik

POLITIK JIJIK MASIH MEWARNAI MALAYSIA BARU

Pendedahan seorang kepimpinan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga seorang setiausaha sulit kanan kepada seorang Timbalan Menteri dari PKR aksi lucah telah mengajak rakyat Malaysia menjejaki isu moral dalam politik. Usaha ini untuk mengajak khalayak awam menilai dan menghukum musuh politik. Justeru itu, pendedahan menerusi media sosial ini, untuk mengumpul tahap tindakbalas pandangan awam. Matlamat akhirnya untuk memudahkan lorongan  reputasi ke atas  individu yang dikaitkan.

Episod pendekatan pendedahan nilai moral ahli politik dalam politik Malaysia sebenarnya bermula sebaik saja negara mencapai kemerdekaan, lantaran persaingan perebutan kuasa lebih terserlah menerusi demokrasi kepilihanrayaan. Musuh akan memperbesarkan isu moral sebagai strategi jangka pendek demi keuntungan politik. Ianya berlaku dalam lingkungan satu parti berpaksikan perebutan kuasa dalaman atau antara parti berstrategi melemahkan lawan. 

Sejarah politik nasional pasca Merdeka sama ada secara terbuka atau disembunyi di celah lantai, tidak berpisah diisi dengan isu moral dan isu jijik. Kisah seorang Ahli Parlimen dari parti pembangkang terlibat dengan khalwat pernah menggemparkan negara. Satu pilihan raya kecil pernah diadakan apabila wakil rakyat hilang kelayakan setelah didapati bersalah oleh mahkamah kerana kes rogol. 

Kemuncak isu moral dalam politik nasional ialah pemecatan seorang Timbalan Perdana Menteri yang dituduh dengan isu liwat. Berbeza dengan isu-isu moral sebelumnya, di mana ianya lebih kepada isu peribadi dan tidak menjejaskan parti dan pendirian rakyat. Isu liwat seorang insan politik telah memberikan satu gelombang kebangkitan suara rakyat, di mana berlaku kemerosotan sokongan kepada parti kerajaan. Kesan yang menjejaskan sebuah kuasa pemerintahan serta mengubah dominasi komposisi barisan pembangkang di Parlimen, daripada penguasaan bukan Melayu kepada dominasi wakil rakyat Melayu.

Isu yang membabitkan nilai moral telah membuka peluang pihak parti lawan atau musuh politik untuk menyerang dan mempermainkan isu. Isu terbaru yang dikatakan menyerupai seorang pemimpin PKR, nampaknya tidak memberi daya tarikan kepada parti lawan khususnya UMNO atau Pas. Di pihak UMNO, cuma segelintir kecil pemimpin yang memberikan respons, sementara Pas dengan tegasnya menerusi kenyataan Timbalan Presidennya mengambil sikap berdiam diri demi keharmonian politik sejahtera, secara langsung menjauhkan diri dalam politik jijik. 

Perubahan politik negara dengan pertukaran kerajaan yang mengambil pendekatan Malaysia Baru seharusnya sudah tiba masanya isu-isu jijik terbatas kepada isu peribadi dan terpencil, yang tidak harus disekongkolkan dengan agenda politik nasional. Kematangan berpolitik hendaklah menjadi paksi kepada mewarnai politik nasional secara damai, harmoni dan sejahtera. Strategi memerangkap tokoh politik dengan isu-isu jijik tak ke mana, dalam tempoh tertentu akan terbongkar jua sebarang perancangan jahat. Lazimnya, kospirator yang mempopularkan skandal akan terdedah, impaknya karier politik konspirator terjejas. Sebaliknya, moral mangsa akan meningkat, berjaya mengaut populariti dan simpati.

Sabtu, 15 Jun 2019

Dr Zakir Naik

EKSTRADISI ZAKIR NAIK

Isu mengekstradisi Dr Zaki Naik ke India lebih menampakkan kecenderungan sensitiviti pegangan kepercayaan. Kenyataan beberapa individu; penganut Islam atau mereka yang berotoriti dalam birokrasi pengurusan Islam selari dengan langkah yang diambil kerajaan menerusi kenyataan Perdana Menteri, sebaliknya penganut Hindu berpendirian mengikut lunas perundangan atau peraturan universal Dr Zakir Naik sepatutnya menerima permintaan pemerintah India iaitu mengekstradisinya ke India. 

Perbezaan pendapat dan hujah media tertumpu kepada pandangan penganut Islam dan Hindu. Individu atau mana-mana pihak non-Islam dan non-Hindu, tidak mengeluarkan walau sepatah komentar. Isu ektradisi Zakir Naik hanya berkisar di kalangan masyarakat Islam dan Hindu sahaja, seolah-olah penganut agama atau kepercayaan lain sengaja mengasingkan diri. 

Zakir Naik, dilahirkan pada 18/10/1965 di Mumbai, India, memiliki keisitmewaan tersendiri, seorang berkelulusan  ijazah perubatan, mampu menyampaikan dakwah menerusi ceramah di seluruh dunia tentang Islam dan perbandingan agama. Insan isitmewa ini lebih terkenal kerana kemampuan berhujah dengan penganut agama berlandaskan hujah akademik dan penguasaan bidang agama. Keistimewaan mampu mematah hujah penganut agama ini, amat digeruni oleh penganut agama lain.

Menerusi ceramahnya, beliau berjaya menjelaskan pandangan dan membetulkan pandangan yang tidak betul dan tidak jelas tentang ajaran Islam berdalilkan Al Quran dan Al Hadith serta kutipan dari kitab agama lain disokong oleh fakta saintifik. 

Sebelum ini, kehadiran beliau yang diberi taraf pemastautin tidak disenangi oleh penganut agama lain yang cukup bimbang dengan pandangan atau ceramah beliau yang boleh menggugat iman dan boleh bertukar anutan atau kepercayaan. Ketidakupayaan untuk menangkis pandangan Zakir tentang anutan agama, beberapa kalangan mendesak beliau dikeluarkan dari negara ini. 

Peranan dan sumbangan beliau kepada pengukuhan iman, memang patut dan wajar pendirian kerajaan menerusi PM mempertahankan beliau untuk terus berada di negara ini. Sebagai seorang yang memberi sumbangan besar kepada pengembangan Islam, beliau dinagerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1435 Hijrah/ 2013. Adalah menjadi tanggungjawab penguasa melindungi Zakir Naik, seorang tetamu yang diberi pengiktirafan seorang tokoh ulamak yang mampu menguasai ilmu, demi ikutan dan rujukan semua warga.

Mungkinkah lantaran kegagalan mematahkan hujah atau perasaan rendah diri untuk bersemuka, mendorong golongan yang kurang senang dengan kehadiran Zakir Naik di negara ini, memberikan berbagai perseptif negatif terhadap beliau. Mana mungkin seseorang indvidu menjadikan pegangan dan kepercayaan yang dianuti sekadar memenuhi tuntutan sosial. Mana mungkin jua, seseorang menganut sesuatu fahaman bersandarkan kehendak popular masyarakat berasaskan masa dan tempat.

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, tokoh yang tidak perlu diperkenalkan, dalam kuliah dan syarahannya menegaskan seseorang individu tak kira Islam atau apa juga pegangan kepercayaan mesti yakin, mempunyai pegangan dan kefahaman yang mantap, yang tidak mampu diganggu-gugat oleh pihak lain atau kepercayaan yang bertentangan. Seorang Islam perlu mencari ilmu mencukupi untuk menguatkan aqidah dan pegangan, yang mampu berhujah mempertahankan kepercayaannya bila dicabar oleh penganut agama lain.  Sudah tentunya seseorang insan memilih pegangan dan kepercayaan yang terbaik dan tentunya menyakini apa yang dipercayainya dalam mencorak kehidupannya di dunia ini dan di hari pembalasan. 






 

Selasa, 11 Jun 2019

Ketua PJ SPRM

ISU PERLANTIKAN KETUA PESURUHJAYA SPRM


Pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menjadi isu kontroversial yang dipertuturkan oleh berbagai pihak khususnya penyokong kerajaan dan pembangkang. Kenyataan-kenyataan ekoran pengumuman perlantikan Ketua PJ SPRM oleh Perdana Menteri di tengah kemeriahan masyarakat Muslim menyambut Hari Raya Idilfitri menampakkan pandangan berbelah bagi di kalangan kepimpinan politik. 

Latheefa Koya yang telah meletakkan jawatan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), seorang pemimpin nasional PKR yang vokal mengkritik kepimpinan parti sedikit ketika sebelum ini, menerima pandangan berbelah bagi dari kalangan kepimpinan dan penyokong PKR sendiri.  Sedia maklum, kepimpinan PKR jelas memperlihatkan terbentuk dua team; sealiran dengan pembawaan Presiden parti, DS Anwar Ibrahim dan berpendirian sebaliknya. Latheefa Koya di awal lagi cenderung kepada kumpulan kedua. Kumpulan pertama tidak senang dengan pendekatan diambil PM memilih Latheefa. PM mengambil tindakan berasaskan peruntukan perundangan yang memberi kuasa Yang Dipertuan Agung dalam hal perlantikan perjawatan awam setelah menerima nasihat PM. 

Amalan melantik ahli politik ke jawatan awam adalah amalan biasa dalam pentadbiran sejak sekian lama. Pada tahun 2015, Dato' Mohd Affandi Ali, telah dilantik sebagai Peguam Negara setelah Dato' Abdul Ghani Patail digugurkan. Mohd Affandi pernah bertanding sebagai calon BN di Parlimen Pengkalan Chepa dalam PRU 1990 dan bekas Bendahari UMNO Bahagian Pengkalan Chepa. Ahli politik pembangkang mempersoalkan tindakan kerajaan BN melantik kedudukan Mohd Affandi, orang politik mengetuai perkhidmatan awam.

Dato' Wan Adnan bin Wan Ismail, seorang peguam, tiga penggal menganggotai Dewan Undangan Negeri Terengganu mewakili kawasan Kemaman Utara (1974-1986) mewakili UMNO. Beliau menggantikan tempat ayahnya, Wan Ismail bin Wan Musa,  yang menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan selama dua penggal (1964-1974). Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di zaman Dr Mahathir sebagai PM. 

PM melantik Latheefa sebagai Ketua PJ kerana ada peruntukan membolehkan PM melantik orang politik memegang jawatan utama sektor awam, sebagaimana PM sebelum ini menggunakan peruntukan demikian. Pihak yang mempersoal perlantikan Latheefa melihat dari sudut politik yang sepatutnya mengatasi peruntukan perundangan. Pakatan Harapan telah berjanji dalam manifesto PRU14 untuk membawa perlantikan perjawatan awam utama ke Parlimen terlebih dahulu. 

Perlantikan Latheefa bercanggah dengan kandungan manifesto PH.  Langkah merealisasi demokrasi ialah penubuhan sebuah parliamentary select committee; Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Perlantikan Jawatan Awam Utama (PAC). PAC ini dianggota ahli pelbagai parti: kerajaan dan pembangkang. Cadangan perlantikan jawatan awam utama dibawa ke jawatankuasa ini sebelum dibentang di Parlimen, selari dengan perkara 16 Buku Harapan; manifesto untuk PRU14. 

Tindakan PM melantik atau mencadangkan nama kepada Yang Dipertuan Agung tanpa dibawa ke PAC bertentangan dengan pembaharuan yang hendak dilakukan oleh kerajaan Malaysia Baru. Beberapa ahli PAC mengugut untuk letak jawatan lantaran tindakan PM membelakangi keperluan pengwujudan PAC. 

Mungkinkah PM bertindak membelakangi janji manifesto lantaran kurang keyakinan pendekatan liberalisasi demokrasi  dan keterbukaan kerajaan baru; Malaysia Baru. Atau apakah di pertengahan penggal sudah mempertontonkan kegagalan keberksamaan semua parti yang mendokongi PH, di mana setengah parti melihat ketergugatan status quo sosial kontrak yang membentuk negara bangsa, Malaysia. 

Manifestasi dari rasa tidak senang dengan tindakan PM, ada pihak mengesyor ditarik balik perlantikan, ada pihak meminta Latheefa meneruskan amanah yang dipertanggungjawabkan. Ada pihak bercadang menyerah memorandum kepada pihak berwajib. Ada pihak meminta supaya Latheffa diberi peluang membuktikan keupayaan dan agendanya.


 

 

Rabu, 29 Mei 2019

Debat Kleptokrasi

MENGAPA DEBAT TAK JADI

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencabar debat atas isu kleptokrasi dengan bekas PM, DS Mohd Najib Razak. Awalnya diramalkan DS Najib akan cuba mengelak, tetapi sebaliknya bila cabaran disambut, pihak Kit Siang pula kecut perut. 

Cabaran debat ini sangat menarik yang mencerahkan keberanian politik tokoh, apatah lagi kedua-dua tokoh merupakan watak utama politik nasional semasa, yang dikenali semua lapisan rakyat. Bukan sahaja, nama mereka terkenal di peringkat nasional, malah tersohor peringkat antarabangsa dengan peranan masing-masing. 

DS Najib bukan sekadar seorang kepala kerajaan, lebih menonjol sebagai ketua kerajaan yang gagal mempertahankan tempoh pemerintahan amalan demokrasi paling lama mengatasi pemerintahan Parti Kongres di India dan Liberal Democrat di Jepun. UMNO yang mengetuai kerajaan berjaya memerintah selama 63 tahun (1955-2018) cukup bangga dengan kejayaan mempertahankan rekod di Asia, berbanding dengan Congress 49 tahun (1947-1966) dan LDP selama 38 tahun (1955-1993) mengatasi negara-negara lain yang sering berukar tangan kuasa parti yang memerintah. Kekalahan UMNO dan rakan sekutu dalam PRU14 telah meranapkan usaha UMNO untuk terus berkuasa untuk selamanya, merencat usaha tercatat dalam moto: Dulu, Kini, Selamanya. Sekadar di sini sahaja, selama 63 tahun, masih ketinggalan di belakang kepimpinan Partido Revolucionatio Institucional (Institutional Revolutionary Party) yang bertahan selama 71 tahun menguasai kerajaan Mexico (1929-2000).

Tokoh politik veteran, Kit Siang, ketua pembangkang paling lama dalam sejarah legislatif Malaysia. Kit Siang, tokoh tiada tolak banding yang mampu bertahan dalam politik hari ini di kala tokoh seangkatan dengannya sudah tiada. Dato'Mohd Asri Haji Muda, Dr Tan Chee Khoon, Dato' Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Datin Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjawat Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dalam tempoh yang terhad. Justeru itu, nama Kit Siang lebih sinonim dengan penguasaan pembangkang selepas merdeka. 

Sayang sekali strategi yang diambil Kit Siang ialah tidak akan meneruskan usaha debat atas isu kleptokrasi, setelah cabaran disambut DS Najib. Khalayak masyarakat awam beri perhatian dan tumpuan atas isu debat ini lantaran isu kleptokrasi adalah isu pokok yang menjatuhkan sebuah kerajaan. Apakah alasan dan tektikal pihak Kit Siang, masih tersembunyi di sebaliknya beliau sebagai pencetus. 

Apakah Kit Siang yang berada di blok kerajaan agar sukar menangkis serangan pembangkang yang diwakili DS Najib. Mungkinkah pengalaman Kit Siang sebagai pembangkang sejak memasuki Parlimen selepas demokrasi dipulihkan dalam tahun 1971, menghalang beliau untuk menghakis dan membidas hujah pembangkang hari ini. 

Demi keharmonian dan penyuburan demokrasi, sewajarnya debat yang cukup hebat mempertemukan dua tokoh politik semasa, yang sama-sama berpengalaman ada pasang surut dan jatuh bangun dalam politik, berada di satu pentas. Kit Siang yang membuat bola tanggung untuk diterjah dan dilibas pembangkang sedikit sebanyak memberikan nilai tambah pemerhatian awam kepada kerajaan baru dan pembangkang baru. 

Atau mungkin atas menghormati bulan Ramadhan, tambahan di kala 10 malam terakhir yang diberi tumpuan oleh penganut Islam, Kit Siang mengambil tindakan berhemat dan beradab serta mengalah dalam isu debat ini.  

Khamis, 23 Mei 2019

Ramadhan Kareem

MEMUNAFAAT KESEMPATAN KEBERADAAN DI BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan diraikan seluruh umat Islam sebagai kemuncak dalam kehidupan sepanjang tahun. Amalan, aktiviti dan pengurusan kehidupan dalam bulan ini memancarkan tahap keimanan dan pengukuhan tauhid sebagai makluk yang dijadikan Allah Taala sebagai pemimpin semasa menghuni dunia ini.

Menghormati kemuliaan bulan ini dalam semua urusan keduniaan dapat mengukuhkan gagasan Islam sebgai rahmatul alamin, kehadiran Islam di alam ini sebagai rahmat untuk semua bidang kehidupan; pergaulan, solidariti, intergriti, daya produktiviti dan akhlak.  Menjadikan semua kegiatan harian sepanjang bulan ini sebagai asas mengatur perjalanan hidup berjemaah demi kesejahteraan bersama. 

Di bulan Ramadhan ini dianjurkan memperbanyakkan sedeqah, membaca al Quran, tidak membazirkan masa, memperbanyakkan ibadat khusus, menjauhkan diri dari amalan negatif seperti berbual kosong, menfitnah, mengadu domba, angkuh, tidak bertanggungjawab, suka melanggar peraturan dan sebagainya. Nilai-nilai dari tarbiyah dan pengajaran Ramadhan diperlanjutkan dalam kehidupan seterusnya, akan menjadikan dunia ini tempat tinggal yang aman, sejahtera dan selamat. Secara langsung memantapkan sebuah kehidupan berasaskan keadilan sosial yang mengharmonikan manusia dengan alam sekitarnya.

Hari ini, kita berada di fasa kedua, fasa pertengahan Ramadhan iaitu musfirah, peringkat kita dilingkungi dengan ruang keampunan. Allah Taala mengurniakan pakej keampunan, semoga kita dapat dibersihkan dari segala kotoran bathin khususnya. Syukur kita diberi kesempatan menikmati Ramadhan tahun ini, kita dilanjutkan usia untuk bersama Ramadhan.  Peluang ini bukan sahaja medan persiapan ke alam akhirat tetapi ruang perkhidmatan untuk keluarga dan masyarakat; mentarbiyah, memimpin dan membantu mereka mengharungi kehidupan semasa dan akan datang. 

Tahap pertengahan Ramadhan hari ini, adalah persiapan kita ke tahap kemuncak iaitu 10 hari terakhir. Semoga keberadaan kita di bulan Ramadhan ini akan menyaksikan munafaat yang maksima dan terbaik sebelum Ramadhan mengundurkan diri tahun ini. 

 

Ahad, 12 Mei 2019

PRK Sandakan 3

KEMENANGAN DAP MENJAWAB PENERIMAAN RAKYAT SABAH KEPADA PEMERINTAHAN MALAYSIA BARU

Keputusan Pilihan Raya Kecil Sandakan, walaupun berlangsung di kubu tradisi DAP, sedikit sebanyak dapat menterjemahkan sokongan kepada Pakatan Rakyat yang genap setahun pemerintahannya. Pencapaian calon DAP sebagai mewakili Pakatan Harapan lebih baik berbanding pencapaian calon-calon PH dalam 7 PRK pasca PRU14. 

Kemerosotan undi DAP dari 19,094 undi dalam PRU14 kepada 16,012 undi dalam PRK kelmarin sebenarnya secara relatif adalah lebih baik diukur dari peratus keluar mengundi yang kecil. Peratusan keluar mengundi 72.1% dalam PRU14 berbanding cuma 54.4% dalam PRK, perlu dilihat secara adil dari sudut latar belakang parti-parti yang bertanding dan serta pola taburan etnik serta taburan umur pengundi. Dalam PRK, pemerhatian umum menyebut peratus keluar mengundi tinggi di kalangan pengundi di Saluran 1 dan Saluran 2, rata-ratanya warga emas dan golongan dewasa. Peratusan keluar mengundi disebut rendah di Saluran 4 dan Saluran 5 dan selebihnya, iaitu pengundi muda dan di bawah garisan umur 40 tahun. 

Dengan hanya  21,829 orang pengundi menunaikan tanggungjawab dari sejumlah 40,131 pengundi, yang menentukan undi calon-calon yang bertanding, tetapi calon DAP mampu mengekalkan momentum rakyat sebagaimana PRU14. Calon DAP, Vivian Wong berjaya perolehi 16,012 undi atau 74.15% dari jumlah undi sah, berbanding 67.97% dalam PRU14. Calon PBS, Datuk Linda Tsen memungut 4,491 undi atau 20.80%, sementara calon-calon bebas; Hamzah Abdullah perolehi 788 undi (3.65%), Chia Siew Yong dapat 178 undi (0.82%), Sulaiman Abdul Samat, 126 undi (0.58%). 

Sungguhpun PBS bertanding dengan logo sendiri dan disokong parti-parti komponen Barisan Nasional serta parti-parti pembangkang lain, tetapi ianya hanya satu percubaan mewujudkan saingan dua penjuru. PBS sebagai bekas anggota BN yang meninggalkan BN selepas PRU14 bersama Gerakan, UPKO, LDP dan PBRS, agak asing dengan pengundi Sandakan. Amalan BN memperuntukkan kerusi Sandakan kepada LDP dan kerusi-kerusi DUN di situ kepada Gerakan. Pencapaian PBS kurang tepat untuk dibandingkan undi diperolehi oleh BN menerusi calon LDP dalam PRU14, semasa BN sebagai kerajaan Persekutuan dan negeri. Dalam PRU14, BN perolehi 8,996 undi atau 32.02% undi popular. 

Positifnya, kemenangan DAP di Sandakan lebih mencerminkan adunan kekuatan DAP sedia ada serta kedudukan DAP mewakili parti pemerintah hari ini. Kelebihan ini ditambah bukan sahaja penurunan moral dan kedudukan BN pasca PRU14, persefahaman antara parti pembangkang yang longgar dengan sekadar mewujudkan satu calon pembangkang. Di samping itu, ianya juga menggambarkan penerimaan rakyat di Sabah di bawah Malaysia Baru, yang ada kelainan dengan iklim persepsi pengundi Malaya.
 

Rabu, 8 Mei 2019

PRK Sandakan 2

PRK SANDAKAN SEKADAR MENGUJI SOKONGAN KEPADA PAKATAN HARAPAN DI SEBELAH TIMUR

Pilihan Raya Kecil P186 Sandakan diramalkan hanyalah satu kajian rentas prestasi kerajaan Malaysia Baru yang belum teruji di sebelah Malaysia Timur, Sabah khususnya. Sebelum ini, 6 PRK sudah berlangsung di Malaya, yang secara langsung satu penilaian tahap sokongan rakyat dalam jangka pendek terhadap pemerintah baru. Hasilnya digambarkan penilaian yang tidak menguntungkan Pakatan Harapan, walaupun PH berjaya mempertahankan 4 kerusi, hilang satu dan gagal merampas 2 kerusi pembangkang. PH berjaya pertahan kerusi dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, sementara PRK yang mencatat peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi memberi musibah kepada PH. 

Apa pula cerita di Sandakan di mana liputan menerusi media perdana dan media sosial agak terbatas, dijangka PH menerusi calon DAP mampu menang. Sandakan memiliki sejarahnya politik kepilihanrayaannya yang agak unik berbanding kawasan lain di Sabah khususnya. Fung Ket Wing, adalah satu nama yang tidak asing bila dikaitkan dengan sejarah politik Sandakan. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1978, beliau yang bertanding atas tiket DAP, telah mengejutkan dunia politik Malaysia bila memenangi kerusi Parlimen Sandakan, menerokai dan memecahkan dominasi pilihan raya yang dikuasai parti-parti tempatan di Sabah. 

Dalam PRU 1982, Fung berjaya mengekalkan kerusinya, dengan peningkatan majoriti. PRU 1986 menyaksikan prestasi DAP terbaik dengan penyebaran pengaruh bukan berpusat di Malaya, malah mampu menguatkan tapak di Sabah serta menerokai Sarawak. Di Sabah, di samping mengekalkan kerusi Parlimen Sandakan menerusi Fung, berjaya menguasai 3 lagi kerusi Parlimen bandar: Gaya, Tanjung Aru dan Tawau.  

Dalam PRU 1990, DAP hilang semua kerusi Parlimennya di Sabah kepada Parti Bersatu Sabah (PBS). PBS yang bernaung dalam Gagasan Rakyat bertembung dengan calon-calon DAP di beberapa kawasan berjaya memenangi semua kerusi bandar dan pinggir bandar.  Fung yang meninggalkan Sandakan dan bertanding di Tanjung Aru gagal mengekal kerusi DAP di situ. 

Dalam PRU 1995, prestasi DAP semakin merosot. Saingan sebenar hanya antara Barisan Nasional (BN) dengan PBS, di kawasan bandar.  BN kuasai Gaya dan Tawau.  Sementara PBS menang di Tanjung Aru, undi Fung sendiri ditinggalkan calon-calon PBS dan BN.  Cuma di Sandakan, lebih menampakkan pengaruh DAP masih kuat, walaupun tewas kepada BN. Berbeza dengan kawasan bandar lain, calon PBS tertinggal di belakang. 

PRU 1999, masih mempamerkan persaingan adalah antara PBS dengan BN. BN mengekalkan Gaya, Tawau dan Sandakan, sementara PBS menguasai Tanjung Aru. Prestasi calon-calon DAP semakin merosot. Calon DAP di Tanjung Aru hanya meraih 534 undi sahaja. Krisis kepimpinan DAP, membentuk sebuah parti serpihan, Malaysian Democratic Party (MDP) memberi kesan kepada pencapaian DAP. Fung, bekas kepimpinan nasional DAP bersama MDP dan balik bertanding di Sandakan, tetapi gagal memperlihatkan prestasi yang mencabar. 

Persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003, bukan sahaja merombak kawasan tetapi mengubah senario komposisi etnik, Parlimen Gaya dan Tanjung Aru disusun membentuk Parlimen Kota Kinabalu dan Putatan. Hasil persempadanan ini juga membentuk bahagian pilihan raya Parlimen Batu Sapi dengan memindahkan satu bahagian dari Parlimen Sandakan iaitu bahagian pilihan raya negeri Karamunting. Hasil persempadanan semula ini, kawasan bandar atu kawasan majoriti etnik Cina, hanya terdapat 3 bahagian pilihan raya Parlimen; Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. BN menguasai Kota Kinabalu dan Tawau. Calon bebas menang di Sandakan dalam persaingan dengan calon BN, tanpa penyertaan DAP.

DAP bangkit semula dalam PRU 2008, apabila saingan di kawasan bandar, bila berjaya merampas kerusi Kota Kinabalu yang menyaksikan persaingan antara calon DAP dan PKR, dengan BN di tangga ketiga. BN menguasai Sandakan dan Tawau.

PRU 2013, Sandakan dapat menguasai semula Sandakan setelah gagal dalam lima kali PRU. Petapakan ini lebih diperkukuhkan lagi kemenangan calon DAP dalam PRU 2018 (PRU14), dengan majoriti yang lebih besar. Kejayaan menguasai majoriti 10,098 undi menunjukkan kekuatan DAP sebenar Sandakan di samping menambahkan beberapa kerusi Parlimen dan DUN dalam PRU14. Pencapaian dalam PRU14 di Sandakan mengembalikan sejarah kekuatan DAP di Sabah bermula di Sandakan, 30 tahun lalu. 

PRK Sandakan bukan setakat mengukur atau menguji kekuatan sokongan kepada DAP di kubu kuatnya, malah ianya lebih kepada nilai dimensi tahap sokongan kepada DAP mewakili kerajaan baru yang genap satu tahun hari ini. Apa yang menjadi perhatian ialah sejauhmana kemampuan pungutan undi untuk menyakinkan politik nasional bahawa Malaysia Baru mendapat sambutan hangat dari warga pengundi. Pencapaian dan prestasi di kawasan campuran seperti Sandakan, dengan jumlah 51% pengundi Cina, akan merekodkan sokongan sebenar rakyat berbagai kaum, bukan sokongan masyarakat Cina kepada DAP. Peratusan keluar mengundi yang tinggi dan seimbang tanpa batasan perkauman, juga antara kayu ukur menilai prestasi.





Isnin, 29 April 2019

PRK Sandakan 1

PRK SANDAKAN MENGUJI KEPERLUAN SEBUAH BLOK PEMBANGKANG YANG BERKESAN

Seramai lima orang calon mendaftarkan diri untuk bertanding dalam PRK P186 Sandakan, Sabtu lepas. Persaingan sebenar adalah calon DAP yang mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU14, bersama calon PBS mewakili blok pembangkang. Vivian Wong Shir Yee, baru berusia 30 tahun, dipilih menggantikan mendiang bapanya mewakili DAP, yang memenangi kerusi ini dengan majoriti besar dalam PRU14. Bapanya, Wong Tien Fatt meraih 19,094 undi untuk mengatasi calon BN dari LDP, majoriti 10,098 undi.

Dalam PRK P186 kali ini, BN tidak meletakkan calon, sementelahan LDP sudahpun keluar BN selepas PRU14. Sandakan, sebuah kawasan campuran dengan 51% pengundi dari etnik Cina, memperlihatkan ketidakmampuan UMNO atau MCA bertanding dalam PRK ini. Peluang ini diisi oleh PBS, bekas komponen BN, dengan mencalonkan Naib Pengerusinya dan bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Thau Lin. Sama seperti Vivian, Linda dibawa masuk ke arena politik menerusi PRK, ganti mendiang suaminya, Ahli Parlimen Batu Sapi, yang ditimpa kemalangan jalan raya. 

Di samping, PRK Sandakan akan menyaksikan sejauhmana keupayaan calon-calon bebas. Hamzah Abdullah, bekas Pesuruhjaya Pas Sabah dan bekas Pengerusi Parti Amanah Sabah, yang bukan muka baru dalam politik Sabah, bertanding bersama dua calon bebas, Sulaiman Abdul Samat dan Chua Siew Yong. Mampukah calon-calon bebas ini mengasingkan diri pengalaman calon-calon bebas yang sekadar memungut satu atau dua peratus undi sahaja dalam beberapa PRK pasca PRU14.

Berdasarkan tujuh PRK di Malaya selepas PRU14 yang mempamerkan trend kemerosotan sokongan kepada Pakatan Harapan, PRK Sandakan yang merupakan PRK pertama kali di Sabah, akan mengulangi sejarah pencapaian yang berkecenderungan menurun. Pertembungan dua calon wanita kali ini, bukan sekadar pertembungan antara blok kerajaan dan blok pembangkang tetapi lebih kepada cabaran analisis penurunan sokongan kepada PH hasil kajian Merdeka Centre. 

Persepakatan tidak langsung parti-parti pembangkang secara terbuka menggerakkan jentera parti masing-masing oleh beberapa buah parti pembangkang meletakkan PRK Sandakan bukanlah jalan mudah kemenangan PH menerusi calon DAP yang berbekalkan majoriti besar dalam PRU14. Lantaran amalan parti-parti pembangkang mengelakkan banyak parti bertanding, kecenderungan mewujudkan saingan satu lawan satu atau sistem dua parti akan menjadi realiti. Justeru itu, PRK Sandakan akan menentukan sama ada trend penolakan kepada PH juga berlaku di Sabah.

Sabtu, 13 April 2019

PRK Rantau 3

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL RANTAU MENYEMARAKKAN MOMENTUN PEMBANGKANG

Keputusan PRK N27 Rantau malam ini yang memberikan satu keputusan luar jangkaan di mana ramalan awal pemerhatian politik di penghujung tempoh berkempen meletakkan Barisan Nasional (BN) akan menang di sekitar 2,000 undi. Calon BN, Dato' Mohamad Haji Hasan mengekalkan kerusinya dengan memperolehi 10,397 undi atau 63.22% dari jumlah undi untuk mengalahkan pencabar utama, Dr S. Streram calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR dengan majoriti 4,510 undi atau 27.42%. Calon PH mengaut 5,887 undi atau 35.80% undi popular. Dua orang calon Bebas, R. Malar dan Mohd Nor Yassin, hanya mendapat 83 dan 79 undi. 

Kemenangan calon BN dengan majoriti 4,510 undi atau marginal 27.42% dikira satu pencapaian yang tinggi mengatasi pencapaian calon-calon BN dalam PRU14, yang rata-ratanya dengan perbezaan undi yang lebih kecil. Pencapaian BN di Rantau kali ini mengulangi kemenangan besar calon-calon BN sebelum PRU14. 

Setelah kehilangan kuasa di kedua-dua peringkat; Dewan Negeri dan Parlimen julung kali tahun lepas, kejayaan BN dalam PRK Rantau memperkukuhkan momentum peningkatan pencapaian pembangkang baru. Cetusan kerjasama antara dua parti pembangkang utama; UMNO dan Pas, nampaknya semakin menyakinkan satu hasil yang jitu, bukan lagi satu hasil secara berkebetulan. Ianya bukanlah satu desakan semasa di atas isu tempatan yang disensasikan. Lantaran hasil kerjasama tersebut memberikan output yang mampu mengikat kekuatan kuasa dan berjaya merungkaikan sedikit demi sedikit sokongan rakyat kepada pemerintah yang baru berusia setahun jagung.

Kerjasama antara dua parti Melayu ini dalam jangka masa pendek berjaya merencanakan gelombang penilaian rakyat terhadap kerajaan baru; kerajaan Malaysia Baru. Kejayaan berturut-turut menafikan dan menghakis sokongan kepada pemerintah, menjangkakan persaingan antara pembangkang dan pemerintah akan lebih mencabar dan rancak di masa akan datang. Jangkaan perubahan lanskap politik tanah air ini diharap membuahkan keuntungan kepada rakyat. Pemerintah akan berusaha memperbaiki dan menambahbaik hidangan perkhidmatan untuk rakyat, sementara pembangkang bersedia dengan penawaran yang lebih menarik, dalam kerangka persaingan kuasa dan pengaruh.

PRK Rantau menjelaskan kepada khalayak masyarakat Malaysia penolakan politik perkauman, walaupun kerjasama UMNO-Pas dituduh usaha memperkukuhkan penyatuan Melayu, pola sokongan kepada BN merentasi batasan kaum. Komposisi pengundi di Rantau, dengan 55% terdiri dari pengundi Melayu, calon BN berjaya memungut 63% undi, menunjukkan undi pengundi bukan Melayu mempunyai pengaruh yang menentukan pungutan undi. Kerjasama UMNO-Pas, tidak menghalang undi dari bukan Melayu kepada BN.

Di daerah mengundi Pekan Sega, yang mempunyai pengundi India paling besar iaitu 63.7%, tetapi calon BN berjaya mengumpul 56.57% berbanding 42.47% kepada PH. Undi untuk calon Parlimen dalam PRU14; BN hanya 44.23% sahaja berbanding 51.98% undi kepada PH dan baki 3.78% undi kepada Pas. Di daerah mengundi ini, pengundi Melayu hanya 19.5% dan Cina 16.8%.

Bahagian pilihan raya Rantau, sebuah kawasan campuran dengan pengundi Melayu seramai 11,615 orang (55.51%), 5,441 orang atau 32.9% pengundi India, dan 3,863 orang atau 13.9% pemilih Cina, sepatutnya merupakan kawasan ancaman buat BN, berdasarkan kepada pola pengundian PRU14. Justeru kegagalan calon PH bertanding dalam PRU14, membolehkan BN menang tanpa bertanding, dan undi yang diperolehi calon Parlimen di mana BN mengatasi PH di bawah 2,000 undi, bolehlah dijadikan petunjuk kekuatan BN dan PH di Rantau. Kekalahan PH lebih 4,500 undi menzahirkan tanda-tanda ketidakpopular kerajaan PH semakin jelas dan tersebar. Kekalahan calon PH menerusi DAP di Cameron Highlands di kawasan majoriti bukan Melayu, menerusi calon PPBM(Bersatu) di kawasan Melayu iaitu Semenyih, dan menerusi calon PKR, di Rantau, kawasan campuran, adalah satu gambaran penghakisan sokongan merentasi ruang, etnik dan kawasan.

 

 

Selasa, 9 April 2019

PRK Rantau 2

FAKTOR PAS TENGGELAM DALAM KEMPEN PRK RANTAU

Tinggal tiga hari lagi, pengundi Rantau keluar membuang undi, membezakan isu kempen PRK Rantau dengan 6 PRK lain pasca PRU14. Serangan jentera kempen Pakatan Harapan ke atas Pas tidak menonjolkan sepanjang kempen PRK Rantau, semenjak hari penamaan calon pada 30/03/2019 lalu. Berbeza dengan 6 PRK yang lain, kehadiran Pas lebih terserlah lantaran penglibatan aktiviti Pas telah sedia wujud. Di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu/Islam; Cameron Highlands dan Balakong, tersedia wujud penglibatan Pas menerusi aktiviti cawangan. 

Selepas PRU14, lantaran kerjasama dan persefahaman pilihan raya antara Barisan Nasional khususnya UMNO dengan Pas, telah mengubah kecenderungan dan pola tindakan pengundi. Secara lebih jelas, menampakkan ke arah demokrasi dua parti yang banyak memberi kesan kepada pencapaian parti pemerintahan, Pakatan Harapan dan pembangkang utama, BN dan Pas. 

Kerjasama dan persefahaman yang dirintis oleh UMNO dan Pas mengundang cabaran sengit kepada PH yang menguasai kerajaan. Kemenangan calon-calon PH dalam 4 PRK di kerusi yang dipertahankan dengan kemerosotan majoriti dan hakisan peratusan undi popular memperlihatkan kesan ancaman pendekatan baru diambil oleh pembangkang pasca PRU14. 

Pas yang memperlihatkan peningkatan pencapaian menerusi PRK Seri Setia setelah diberi laluan oleh BN, diikuti pencapaian Pas dalam PRK Port Dickson setelah dipulau oleh BN, meningkatkan momentun keperluan sistem dua parti. Hasilnya Pas dibebani dengan tuduhan rasuah RM90 juta dan bayaran penyelesaian luar mahkamah kepada pengarang Sarawak Report sebanyakRM1.4juta dalam kempen PRK Cameron Highlands dan Semenyih. Isu kempen untuk mensabotaj kerja keras jentera Pas membantu calon BN dalam kedua-dua PRK berkenaan. 

Serangan ke atas Pas tidak ketara dalam PRK Rantau berbanding dengan beberapa 6 PRK lain. Sungguhpun di peringkat kepimpinan parti, Pas ikut sama membantu pasukan kempen jentera BN, kekuatan Pas peringkat akar umbi di Rantau kurang ketara. Keberadaan Pas dalam politik Rantau agak asing, sementelahan Rantau adalah sebuah kawasan campuran. BN yang menguasai kerusi Rantau semenjak PRU 1974, pernah memberikan kerusi ini kepada calon MIC. Sama ada semasa Pas bersendiri, terlibat dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, Pas tidak pernah bertanding di kerusi Rantau, dalam mana-mana PRU. Sepanjang tempoh 11 PRU (1974-2018), calon UMNO atau MIC ditentang oleh calon-calon DAP, Semangat 46 dan PKR (dulunya Parti Keadilan Nasional). Atas faktor atau latar belakang ini, kehadiran Pas tidak dilihat sebagai satu faktor ancaman kepada PH.

Faktor kerjasama Pas-UMNO dijangka tidak banyak membantu kekuatan calon BN, Dato' Mohamad Haji Hasan mempertahankan kerusi ini. Justeru itu, tumpuan gerakan kempen PH lebih kepada faktor peribadi calon BN dan rekod pemerintahannya. Apa yang diberi tumpuan ialah PRK Rantau penentuan hidup mati UMNO yang meletakkan Timbalan Presidennya yang menjalankan tugas Presiden parti masa ini.