Isnin, 26 Mac 2018

Ugut Penjawat Awam

SUDAH BERMULA EPISOD TRADISI MEMBULI PENJAWAT AWAM


Antara golongan pemilih yang menjadi mangsa dalam sistem pilihan raya di Malaysia ialah penjawat awam, selain golongan rakyat marhaen. Rakyat kelas bawah atau golongan kumpulan rakyat 40 peratus terkebawah yang terdiri dari petani, nelayan, buruh, peniaga kecil, pekebun kecil, khususnya di sektor luar bandar, secara tradisinya menjadi sasaran utama jentera kempen Barisan Nasional. Mereka menjadi sasaran dalam jangka panjang menerusi penafian dan deraan dalam agihan kemudahan kebajikan dan bantuan awam. Mereka berdepan kesukaran mendapat bantuan subsidi baja pertanian, bantuan persekolahan serta input pertanian sebagai contoh. Dalam jangka pendek, mereka disenaraikan dalam pemilih sasaran untuk diberikan bantuan dan kemudahan dalam bentuk wang tunai dan barangan. 

Bagi pemilih kelas menengah atau golongan 40 peratus, sejak lebih separuh abad amalan deraan yang paling popular ialah menukar tempat kerja atau "membuang daerah", malah " buang negeri", di samping penafian kenaikan pangkat. Penukaran tempat kerja atau "buang negeri" yang paling popular ialah selepas kekalahan teruk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 1990 (PRU 8), bila beberapa guru penyokong Pas dan Semangat 46 ditukar dari Kelantan ke Sabah. Ada guru yang terpaksa letak jawatan, tidak sangguh ke Sabah. 

Dalam satu majlis yang saya hadir minggu lepas, seorang peguam memaklumkan beliau telah diberitahu dalam satu sesi untuk warga pendidikan, para pendidik diingatkan supaya membuktikan mereka mengundi calon BN dalam PRU14 nanti. Bukti yang paling mudah ialah mengambil foto kertas undi yang dipangkah semasa membuang undi untuk ditunjukkan kepada majikan, sebagai bukti untuk mengelakkan seseorang guru ditukar selepas PRU14. 

Walaupun dalam peraturan perjalanan pilihan raya, sebagaimana dalam peraturan yang dibukukan oleh SPR, di mana seseorang pemilih dilarang menggunakan kamera atau seumpamanya untuk mengambil gambar dalam bilik mengundi, ianya banyak bergantung kepada kemahiran dan kecekapan ejen pilihan raya. Ejen pilihan raya atau polling agent yang mewakili seseorang calon perlu tangkas dan cekap mempastikan peraturan perjalanan pilihan raya yang dikepalai oleh seorang ketua tempat mengundi (polling officer) yang dilantik oleh SPR, tidak melanggari peraturan yang digariskan oleh SPR. 

Dalam PRU13 dan beberapa siri pilihan raya kecil, gambar kertas undi yang dipangkah oleh seseorang menjadi bahan bukti melayakkan seseorang pengundi mendapat tuntutan wang tambang balik mengundi. Tuntutan ini adalah merupakan saguhati kepada pengundi yang tinggal di luar kawasan tempat tinggal seseorang pemilih. 

Sayugia maklum, elemen menggunakan kamera atau seumpamanya melanggar peraturan pilihan raya serta amalan dan roh demokrasi bahawa  "undi adalah rahsia". Mencabuli nilai serta matlamat demokrasi kepilihanrayaan demi mempertahankan kuasa sebenarnya gambaran anti-demokrasi serta kerakusan kuasa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan