Rabu, 31 Disember 2014

Selamat Tahun Baru

CABARAN DAN KETABAHAN TAHUN BARU 2015

Tahun baru 2015 yang sama-sama kita sambut kehadirannya pagi ini, akan kita harungi dengan penuh kegetiran dan cabaran. Peristiwa dan perjalanan ekonomi penghujung akhir 2014 mengajak kita menghadapi tahun baru dengan dengan ketabahan dan kekuatan. 

Baru sekejap tadi kita terima berita baik dengan penurunan harga petrol dan diesel. Kita bergembira dengan penurunan 35 sen, harga petrol RON95 dari RM2.26 ke RM1.91, RON97 turun kepada RM2.11 dari harga semasa RM2.46,  sementara harga diesel turun sebanyak 30 sen, dari RM2.23 ke RM1.93. Kita bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pemerintah yang mengambil langkah yang boleh melegakan kita selaku masyarakat pengguna. 

Bagi lebih 200,000 mangsa banjir dari negeri Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor, Perlis dan Kedah, sama ada yang masih atau sudah meninggalkan pusat pemindahan, berita penurunan harga petrol tidak dapat mengubati keperitan mereka berdepan banjir. Bantuan dalam bentuk material, moral dan semangat lebih diutamakan dan diperlukan dalam masa terdekat.

Penurunan harga petrol bukanlah satu tindakan bijak dan pro-rakyat, tetapi ianya lebih kepada satu keputusan ekonomi yang tidak dapat dielakkan dalam suasana ekonomi yang bergantung kepada dualisme ekonomi. Ekonomi yang bergantung keputusan kepada ekonomi antarabangsa. 

Di peringkat antarabangsa, harga minyak mentah telah jatuh sebanyak 40% dalam tempoh 6 bulan terakhir. Harga pasaran dunia dalam bulan Jun 2014 ialah US$115 bagi setong, sementara pada pertengahan Disember lalu; US$59 setong. Sewajarnya harga petrol dan diesel, turun lebih awal. Negara-negara lain terutamanya negara pengeluar minyak telah mengambil keputusan menurun harga dalam tahun 2014, negara kita terpaksa tunggu tahun baru untuk menurunkan harga.

Mata wang kita, merosot berbanding dengan US$ dan mata wang negara-negara jiran, dalam tempoh setahun. Nilai satu US$ menyamai RM3.28 pada 31/12/2013,  RM3.43 pada 01/12/2014, dan turun lagi ke RM3.49 pada 31/12/2014. Bermakna satu unit barang yang kita import pada harga US$1000 pada akhir tahun 2013, kita bayar dengan RM3,280, tetapi dengan kuantiti yang sama, kita bayar dengan RM3,490 pada hari ini. Secara langsung, kita terpaksa bayar lebih kerana wang kita turun nilai, menyebabkan akan berlaku kenaikan harga barang mengikut sebutan dalam RM. Dengan lain perkataan, berlaku kenaikan harga barangan di pasaran dalam negeri.

Berbanding dengan mata wang negara jiran pula, setiap satu Dollar Singapura, tukarannya RM2.59 pada 31/12/2013 dan RM2.64 pada 31/12/2014. Banding dengan mata wang Thailand, 100 Bhat sama dengan RM9.97 turun ke RM10.62, dalam tempoh tersebut. 

Sementara itu,  setiap 100 Rupiah Indonesia ditukar kepada RM0.027, turun ke RM0.028. Harga satu barang dibeli di Indonesia 100,000 Rupiah pada 31/12/2013, rakyat Malaysia perlu bayar RM27, hari ini harganya adalah RM28.

Penurunan harga petrol sempena sambutan tahun baru 2015, tidaklah bermakna mengimbangi perbelanjaan pengguna. Kejatuhan harga petrol tidak banyak membantu pengguna kerana nilai RM yang semakin merosot. Justeru itu, dengan keadaan ekonomi semasa yang dihantui oleh kejatuhan nilai ringgit, kejatuhan harga getah, kejatuhan harga minyak sawit, maka menurunkan harga petrol adalah satu keputusan pasaran yang tak dapat dielakkan.

Apapun, kita harus bersyukur, terutamanya kita yang tidak ditimpa musibah bencana banjir. Tugasan kita ialah membantu dan menyumbangkan apa saja yang mampu, wang ringgit atau tenaga sukarelawan untuk memenuhi tuntutan mengsyukuri nikmat tidak ditimpa musibah. 

Dalam kita meraikan kehadiran tahun baru 2015 yang akan menambahkan usia kita serta akan bertambah lagi rezeki kita, sama-samalah kita kongsi perasaan, emosi dan penderitaan sahabat kita yang ditimpa musibah banjir. Jika terluang hulurkan bantuan menerusi:

TABUNG AMANAH BENCANA BANJIR NEGERI KELANTAN
Akaun BIMB : 03018-0100-80024

 Selamat Tahun Baru, 2015

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan